Monday, December 16, 2013

2014: Bebanan ekonomi rakyat.

Tahun 2013 sudah hampir tiba ke penghujungnya. Sementara menantikan tibanya bulan Januari memunculkan diri, satu persatu pengumuman berkaitan kenaikan harga barangan mahupun perkhidmatan di dalam negara kita berlaku.

Menakutkan.

Di Malaysia, jumlah pekerja yang menerima pendapatan bulanan melebihi RM 2500 hanyalah sekitar 1.7-1.95 juta orang sahaja, bermakna hanya dalam lingkungan 15% daripada 13 juta pekerja. Bagaimana pula dengan yang berbaki 85%?

Majoriti inilah yang terus ditekan dan sangat tertekan dengan perubahan iklim ekonomi negara pada hari ini.

Bermula daripada penurunan subsidi petrol RON 95 dan gula yang membawa kepada peningkatan kos sara hidup secara tidak langsung sebelum ini. Kemudiannya pada hari ini, seorang demi seorang daripada barisan kabinet menteri mengumumkan kenaikan harga produk dan perkhidmatan seliaan kementerian mereka.

Kadar Tarif Elektrik

Dijangka pada awal tahun hadapan akan berlaku kenaikan tarif elektrik sebanyak 10-20%, iaitu sekitar 6-7 sen/kWj.

Menurut Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili, pengstrukturan semula kadar tarif ini dikatakan sebagai perlu demi menjayakan proses merasionalisasikan pengagihan susbsidi dan merupakan impak daripada kenaikan harga bahan api dan minyak sedunia.

Ana tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Ir Azman Mohd yang menyatakan rakyat tidak akan terjejas dengan pengenalan kadar baru ini. Meskipun kadar yang baru ini hanya akan dikenakan kepada pengguna 200 kWj ke atas, tetapi ianya hanyalah berjumlah sekitar 50% daripada pengguna.

Bagaimana boleh mengatakan dengan yakin bahawa rakyat tidak terjejas? Adakah kerana merasa pasti bahawa rakyat biasa hanya menggunakan sedikit kuasa elektrik bagi penggunaan elektrik? Hujah sedemikian tidak menyeluruh dan bagaikan terlupa bahawa pengilang dan berbagai lagi sektor perkhidmatan yang lain merupakan pengguna yang bakal dikenakan kadar baru ini.

Bukankah ini akan membawa kepada peningkatan kos penghasilan dan perkhidmatan seterusnya menekan rakyat?

Menurut Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada 3 Disember yang lepas, pelarasan semula kadar tarif ini akan menyebabkan kenaikan inflasi sebanyak 0.4% seterusnya memungkinkan inflasi negara meningkat sehingga 3.0%.

Kerajaan sendiri membuktikan bahawa kenaikan kadar tarif ini akan membebankan rakyat berpendapatan rendah. Buktinya? Lihat sahajalah apa yang diumumkan oleh pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkenaan struktur tambang Monorail dan LRT akan dikaji semula untuk kenaikan selaras dengan kenaikan kadar tarif elektrik yang baru.

Itu baru pengangkutan awam, belum lagi barangan dan perkhidmatan lain.

Rakyat dan bebanan kos pengangkutan


Purata pengguna yang menggunakan Monorail adalah sekitar 70,000 orang setiap hari.

Mereka yang sedia ada menggunakan kemudahan ini adalah majoritinya daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Perkhidmatan LRT dan Monorail dijadikan satu pilihan terbaik buat golongan ini untuk membolehkan mereka memininumkan kos di dalam bergerak ke mana-mana berikutan kenaikan harga petrol. Akan tetapi, amat malang sekali apabila mereka sekali lagi menjadi mangsa kenaikan harga.

Bagaimana kerajaan boleh menjamin harga barangan dan perkhidmatan di negara ini di dalam kawalan dan tidak akan membebankan rakyat sedangkan kerajaan sendiri tidak berdaya mengawal harga daripada pihaknya sendiri.

Dijangkakan peningkatan pada harga tambang turut akan berlaku pada tambang Kereta api Tanah Melayu (KTM). Apa yang sedang berlaku pada kerajaan kita hari ini?

Ini bukan satu-satunya isu yang melibatkan SPAD. Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) setelah sekian lama mendesak agar tambang bas sekolah dinaikkan telah sebulat suara melalui usul di dalam mesyuarat yang lepas untuk menaikkan tambang bas sekolah sebanyak 40%.

Kenaikan RM 0.20 seliter pada harga petrol tempoh hari telah menunjukkan impaknya sedikit demi sedikit walaupun terdapat pihak yang cuba menafikan dan tidak mengendahkannya.

Belum cukup dengan kenaikan harga petrol dan tambang pengangkutan awam, kemudian ditoreh lagi luka penderaan rakyat dengan semakan semula bayaran tol yang akan meningkatkan bayaran tol di 13 lebuhraya seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menyatakan bahawa kenaikan ini tidak dapat dielakkan kerana sudah dipersetujui di dalam perjanjian sebelum ini. Akan tetapi kenyataan ini dibidas oleh YB Rafizi Ramli melalui kenyataannya bahawa seharusnya kerajaan mampu menetapkan harga mahupun menurunkannya kerana syarikat konsesi lebuhraya seperti PLUS dan Prolintas adalah dibawah kendalian kerajaan.

Menurut Rafizi, PLUS dikuasai sepenuhnya oleh agensi kerajaan iaitu Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sementara Prolintas adalah anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu agensi amanah saham milik kerajaan.

“Hanya Gamuda syarikat swasta tetapi agensi kerajaan seperti KWSP, Tabung Haji, KWAP, unit-unit Amanah Saham dan lain-lain mempunyai sekurang-kurangnya 22.59% pegangan (berdasarkan pemilikan saham akhir 2010) dalam Gamuda yang menjadikan kerajaan Persekutuan sebagai salah satu pemegang saham terbesar Gamuda melalui pelbagai agensinya,” katanya.

Kerajaan menyatakan telah terpaksa membayar pampasan berjumlah RM 400 juta bagi memastikan tiada peningkatan harga kerana tidak membenarkan penstrukturan semula harga bayaran tol yang sepatutnya berlaku pada tahun 2011 yang lalu.

Ana tertanya-tanya.

Kerajaan sedang memeras kantung duit rakyat dengan berhelahkan alasan "terpaksa". Sedangkan yang memaksa dan yang berada di dalam rundingan kontrak ini adalah mereka yang sama menyatakan dirinya "terpaksa".

Kelakar.

Apakah nasib rakyat?

Kerajaan pimpinan DS Najib Razak menyatakan antara tindakan yang diambil bagi memastikan golongan rakyat yang terjejas melalui pemberian BR1M dan menurunkan kadar cukai pendapatan serta cukai korporat.

Hakikatnya, seperti yang dinyatakan pada awal penulisan ini. Hanya 15% daripada pekerja yang dikehendaki membayar cukai pendapatan. Maka apa manfaat yang boleh diperoleh majoriti yang terjejas ini dengan pengurangan cukai pendapatan?

Sistem ini hanya menguntungkan mereka yang sedia ada berpendapatan tinggi.

Ana tidak mahu mengulas berkaitan konsep pemberian rebat seperti BR1M secara one-off yang bagi ana tidak akan membantu memulihkan penderitaan rakyat marhaen.

Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan tindakan penurunan subsidi perlu dibuat kerana kerajaan sudah tidak mempunyai sebarang pilihan.

Kerajaan kini menghadapi ‘Twin Deficit’ atau ‘Defisit Berkembar’, yang pertama Defisit Fiskal kerana “Perbelanjaan melebihi pendapatan” dan yang kedua Defisit Perdagangan kerana “Import lebih daripada Eksport”. Situasi ini telah menyebabkan sebuah badan penarafan antarabangsa, Fitch Rating untuk menurunkan penarafan atau sovereign rating Malaysia daripada "Stabil" kepada "Negatif".

Lantaran daripada itu, kerajaan Malaysia dilihat cuba memulihkan imej dan status ekonominya melalui penstrukturan semula subsidi dan mengkaji semula projek-projek kerajaan.

Bagi mengatasi kemelut ini, kerajaan dilihat -bagi ana- lebih cenderung meningkatkan sumber pendapatan seperti penurunan subsidi dan pengenalan cukai GST berbanding cuba mengatasi masalah yang sebenar.

Perbelanjaan boros, tidak mengikut keutamaan, ketirisan, ketidakpatuhan, amalan kronisme dan paling parah rasuah mengakibatkan negara mengalami 16 tahun defisit belanjawan.

Seharusnya kerajaan berusaha mengubati luka yang menyebabkan wang rakyat terus berdarah mengalir.

Tetapi kerajaan tidak mempamirkan sedemikian. Sebaliknya, kerajaan dilihat lebih berminat mengurangkan kemampuan dan pelaburan kepada rakyat sepertimana yang boleh dilihat pada bajet 2014. Perbelanjaan mengurus telah meningkat sebanyak RM 15.7 bilion berbanding di dalam bajet 2013 sedangkan peruntukan perbelanjaan pembangunan yang memberikan kesan kepada pembangunan rakyat telah dikurangkan sebanyak RM 3.2 bilion.

Mengapakah perbelanjaan mengurus meningkat sedangkan subsidi sudah dikurangkan? Jika sebelum ini subsidi berada di bawah peruntukan perbelanjaan mengurus, maka mengapa setelah subsidi ditarik tidak pula berlaku penurunan pada angka penurunan perbelanjaan mengurus? Malahan meningkat.

Tindakan ini menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak telus dalam menyatakan kondisi ekonomi negara, di hadapan rakyat jelata merayu-rayu meminta rakyat berjimat cermat tetapi mereka sewenang-wenangnya meneruskan perbelanjaan duit rakyat yang mana kita sedia maklum melalui pembentangan Laporan Ketua Audit Negara saban tahun berlaku ketirisan dan perbelanjaan tidak perlu, sudah jelas melalui pengamalan kerajaan sebelum ini peruntukan perbelajaan mengurus kebanyakannya akan masuk ke dalam poket kroni.

Diparahkan lagi sekiranya kerajaan hari ini masih tidak bijak berbelanja sehingga terpaksa membuat bajet tambahan sepertimana pengamalan kerajaan pimpinan DS Najib semenjak tahun 2009.

Menteri-menteri yang berkaitan sering menggunakan alasan terhadap fenomena kenaikan harga dengan menyatakan bahawa sudah lama tidak berlaku penstrukturan semula dan harga sedia ada adalah harga lama yang tidak wajar untuk digunakan pada hari ini.

Ketahuilah wahai para menteri kami, pendapatan rakyat juga sudah lama tiada peningkatan dan tidak wajar pada kondisi hari ini. Malahan, kuasa membeli kami makin hari makin berkurangan. 

Rakyat Malaysia.
Selamat datang 2014.

No comments:

Post a Comment