Saturday, January 11, 2014

GST: Haram?


Saya mengikuti dan sentiasa cuba memahami dengan lebih baik isu berkenaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan sedia ada.

Melalui pembacaan dan pemerhatian, saya tertarik dengan cara yang dibawa oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di dalam isu GST. PAS membawa pendekatan yang berbeza di dalam hal ini. Mereka menyentuh isu ini daripada perspektif agama dan membawakan pandangan yang mengatakan perlaksanaan GST pada waktu sekarang adalah tidak dibenarkan dan zalim perlaksanaannya berdasarkan hujah-hujah berikut;

  1. Cukai hanya boleh dikenakan kepada golongan kaya sahaja. Tetapi GST dikenakan pada semua jenis barang kecuali yang telah dinyatakan pengecualiannya dan kesan berantainya akan tetap memberikan impak kepada golongan miskin.
  2. Cukai sepatutnya hanya bersifat sementara, hanya boleh dikutip apabila wujudnya keperluan (maslahat). Tidak boleh diwujudkan semata-mata untuk meningkatkan pendapatan negara.
  3. Cukai hanya boleh diambil sekiranya baitulmal (khazanah negara) tidak mencukupi.

Hujahan di atas adalah yang saya simpulkan melalui penelitian saya pada pandangan-pandangan yang dibawa oleh tokoh pimpinan PAS itu sendiri seperti Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi (Presiden), Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man (Naib Presiden) dan Ustaz Zaharudin Muhammad pada penulisan mahupun pengucapan mereka.

Di dalam penulisan saya kali ini, saya akan rungkaikan beberapa persoalan yang pernah sama bermain di minda saya dan saya harap penulisan saya ini dapat membantu meningkatkan kefahaman pembaca dalam menilai perlaksanaan GST di Malaysia menurut pandangan syara’.

Antaranya adalah:

  1. Barangan asasi telah dikenakan kadar sifar (zero rated), bermakna tiada cukai dikenakan padanya. Kenapa masih dikatakan cukai ini menekan golongan bawahan?
  2.  Cukai Jualan sedia ada sekarang 10% ditambah dengan Cukai Perkhidmatan 6% (berbeza-beza kadar mengikut jenis barangan) adalah lebih tinggi berbanding kadar GST yang akan menggantikannya. Tidakkah harga akan turun?
  3. Sebanyak 160 negara telah menggunakan mekanisme pencukaian GST dan tiada yang berpatah balik, bukankah ini menunjukkan bahawa sistem pencukaian ini baik?
  4. Pengenalan cukai GST hanyalah menggantikan cukai SST, bukan cukai tambahan. Ianya lebih sekadar untuk memperbaiki sistem pencukaian sedia ada.
  5. Pendapatan negara tidak mencukupi. Bukankah di dalam pandangan ulama Islam ada mengatakan bahawa cukai boleh diambil sekiranya duit yang ada pada kewangan negara tidak mencukupi?
  6. Kalau GST haram, kenapa kalian tak menentang perlaksanaan cukai SST yang dah sekian lama diguna pakai. Tak ke lebih kurang sama?
  7. Perlaksanaan GST akan diimbangi dengan pemberian BR1M, pengurangan cukai pendapatan dan berbagai lagi kemudahan, bukankah kerajaan prihatin?
  8. Bukankah di dalam mekanisme GST, hanya pengguna sahaja yang akan dikenakan cukai? Pengilang, pengedar, pemborong mahupun penjual akan mengutip semula cukai kenaan pada bekalan (input tax) daripada kerajaan, bukankah ini akan menjadikan harga lebih murah kerana cukai tidak lagi termasuk di dalam kos?
  9. Cukai ini hanya dikenakan kepada orang kaya, kerana hanya kaya sahaja banyak membeli barangan mewah.
  10. Bukankah cukai ini hanya dikenakan pada mana-mana perniagaan yang memiliki pulangan tahunan melebihi RM 500,000 setahun sahaja, ini bermakna hanya syarikat yang besar dan kaya dan barangan berjenama sahaja yang akan dikenakan cukai?

Banyak kan persoalannya?

Kerana menurut sebuah laporan kaji selidik, 60% daripada rakyat Malaysia masih tidak memahami sistem perlaksanaan GST, samada yang menyokong mahupun yang menentang.

Kalau dahulu, saya seakan bersetuju pada perlaksanaan GST kerana melihatkan mekanisme GST yang lebih baik berbanding SST.

Tetapi, setelah saya berjaya mendapatkan senarai penuh barangan yang dikenakan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan sedia ada dan barangan yang akan dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), maka terjawablah persoalan terakhir yang berada di fikiran saya mengenai GST. (Rujukan pada 1. Model Cukai Barang dan Perkhidmatan, lampiran 9, Bajet 2014. 2. Warta Kerajaan Persekutuan, Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai No. 2) 2012. 3. Senarai Perkhidmatan Bercukai dan Tidak Bercukai)

Rentetan daripada itu, saya mengambil peluang untuk menulis untuk menguatkan tiga hujahan yang saya nyatakan di atas.

Pengenalan ringkas GST

Sebelum saya teruskan, saya akan jelaskan secara ringkas:
  1. Cukai kenaan pada bekalan (Input Tax)
  2. Kadar Standard (Standard rated)
  3. Kadar Sifar (Zero-rated)
  4. Dikecualikan cukai (Exempted tax)
Input Tax adalah cukai yang telah dikenakan pada bekalan (barangan mahupun perkhidmatan). Setiap pengilang, peruncit mahupun pekedai yang telah berdaftar dengan GST boleh menuntut kembali pembayaran Input Tax daripada Jabatan Kastam Malaysia. Maka kos barangan akan lebih rendah berbanding semasa di bawah SST.


Sebagai contoh:


Kilang kasut memerlukan elektrik, getah, kain dan sebagainya untuk penghasilan kasut. Kesemua barangan tersebut diperolehi oleh pengilang pada harga yang sudah dikenakan padanya cukai GST (Input Tax).

Andai kata kos operasinya adalah RM 100,000 dan RM 6,000 daripadanya itu adalah daripada cukai yang telah dikenakan pada bekalan, maka pengilang tersebut boleh menuntut kembali daripada Jabatan Kastam Malaysia RM 6,000 tersebut. Hasilnya, kos pembuatan akan menjadi lebih rendah.

Di bawah sistem pencukaian GST, terdapat tiga kategori barangan dan perkhidmatan yang boleh dikenakan cukai (taxable):

  1.  Standard rated: Dikenakan kadar standard (6%) dan cukai yang dikenakan kepada bekalan (input tax) boleh dituntut semula kecuali pengguna.
  2. Zero-rated:  Dikenakan kadar sifar (0%) dan cukai yang dikenakan kepada bekalan (input tax) boleh dituntut semula kecuali pengguna (pada pengguna tiada cukai, kerana 0%).
  3. Exempted tax: Dikecualikan daripada GST. Bermaksud, tidak dikenakan cukai. Tetapi, cukai yang dikenakan pada bekalan TIDAK boleh dituntut.

Sekiranya penjelasan ini masih tidak jelas, boleh rujuk laman web rasmi GST (gst.customs. gov.my).

Untuk penulisan berkaitan latar belakang GST secara umum anda boleh membacanya di artikel “GST vs SST” di blog saya.(Pendapat saya sewaktu penulisan artikel tersebut dengan hari ini adalah berbeza, maka mungkin ada kelainan sedikit pada pandangan yang dikemukakan)

Sekurang-kurangnya anda akan lebih mudah memahami penulisan ini jika dapat memahaminya secara ringkas. Baik. Kita teruskan.

Hujah Pertama: GST turut sama dikenakan pada orang miskin.

Saya pasti ada yang tidak bersetuju.
Bagi yang mendakwa bahawa GST tidak akan dikenakan kepada golongan berpendapatan rendah hanya kerana barangan asasi dan perkhidmatan seperti kesihatan dan pendidikan telah dikecualikan cukai, maka anda silap.

Andaian ini wujud kerana ramai tidak tahu bahawa di dalam Cukai Jualan (SST) juga terdapat barangan yang dikecualikan, malah lebih banyak daripada yang telah disenaraikan untuk GST. Manakala, Cukai Perkhidmatan (SST) pula hanyalah melibatkan beberapa jenis pekhidmatan sahaja tidak seperti GST yang meliputi semua jenis perkhidmatan KECUALI yang telah disenaraikan sebagai terkecuali daripada kenaan cukai.

Justeru itu, bagaimana mungkin hujah seperti “ 10% + 6% (SST) lebih tinggi daripada 6% (GST)” boleh digunakan untuk menunjukkan kadar GST lebih ringan berbanding daripada SST? Sedangkan senarai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai itu sendiri terdapat perbezaan.

Saya bersetuju bahawa penurunan harga barangan asasi boleh berlaku kerana kos pembuatan akan berkurangan melalui tuntutan semula Cukai kenaan (Input Tax). Tetapi, adakah semudah itu?

Kerana barangan yang telah diletakkan di bawah kategori kadar-sifar (zero-rated) hanyalah barangan berupa makanan asasi dan beberapa item lain seperti elektrik di bawah penggunaan 200 unit pertama, pembekalan air dan beberapa perkhidmatan lain.

Bagaimana pula dengan pengangkutan awam, perumahan dan barangan keperluan harian yang lain?

Pengangkutan awam dan perumahan adalah termasuk di dalam kategori “Dikecualikan Cukai" (Exempted Tax). Bermakna, ianya tidak akan mengenakan cukai kepada pengguna. Tetapi, segala cukai yang dikenakan pada bekalan tidak boleh dituntut semula. Ini bermakna, kos akan meningkat untuk menyerap cukai yang telah dikenakan ke atas bekalan. Kesannya, ia akan mempengaruhi harga barangan yang lain termasuk barangan keperluan asasi.

Pengenalan GST juga akan melibatkan penambahan kos operasi sesebuah perniagaan. Untuk memastikan pematuhan perlaksanaan GST itu berjalan dengan baik memerlukan penyediaan komputer, buku resit khas, perlantikan dan latihan akauntan dan sebagainya akan meningkatkan kos perniagaan. Kenaikan harga akan berlaku bagi menampung kos penyediaan dan penyelenggaran tersebut.

Selain daripada itu, tahap kecekapan dan keberkesanan pihak berkuasa di dalam mengawal harga juga masih diragui walaupun mempunyai Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan 2011. Sebagaimana yang berlaku pada siri-siri kenaikan harga barangan sebelum ini yang tidak pernah diikuti semula dengan penurunan harga, meskipun faktor kenaikan harga itu telah berjaya diatasi.

Justeru, tiada jaminan yang boleh diberikan bahawa tiada peniaga akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga walaupun mereka tiada kaitan dengan GST.

Tambahan pula, GST dikenakan pada pelbagai barangan dan perkhidmatan, ianya pasti akan mempengaruhi gaya hidup setiap orang. Maka tidak mustahil akan ada peniaga atau pemberi khidmat mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan atau perkhidmatannya supaya dapat memastikan kehidupannya dapat berjalan dengan baik seperti sediakala. Kesan rantaian yang dibawa oleh GST adalah sangat besar.

Sekiranya kalian masih ragu-ragu, izinkan saya bertanya. Apakah rasionalnya bagi kerajaan untuk mengumumkan pemberian BR1M dan penurunan kadar cukai pendapatan yang akan berkuatkuasa setelah perlaksanaan GST?

Bukankah di sini menunjukkan bahawa kerajaan mengakui bahawa GST akan menyebabkan kenaikan harga dan memberikan kesan kepada rakyat? Saya tinggalkan anda dengan persoalan ini.

Tindakan menurunkan kadar cukai pendapatan hanya memberikan manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi. Sedangkan mereka hanya berjumlah 15% daripada keseluruhan golongan pekerja yang ada di Malaysia pada hari ini. Kelihatan seperti kerajaan sedang mengalihkan beban cukai tersebut kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah dengan menggunakan alasan samarata dan keadilan.

Singapura sebagai comtoh, mengambil pendekatan mengurangkan cukai pendapatan individu selepas perlaksanaan GST adalah kerana 70% daripada pekerjanya adalah pembayar cukai pendapatan. Bermakna; majoriti rakyatnya berpendapatan tinggi. Tindakan pengurangan cukai pendapatan tersebut di Singapura adalah wajar kerana dapat mengimbangi semula kesan cukai kepada kuasa membeli.

Tetapi apa yang dilakukan oleh Malaysia adalah aneh, kerajaan melaksanakan pengurangan cukai pendapatan dengan beralasan supaya kenaan cukai lebih saksama. Menurut mereka, sistem pencukaian pada hari ini tidak adil kerana hanya dikenakan pada sebahagian kecil golongan pekerja sahaja di Malaysia.

Perkara ini adalah bertentangan dengan konsep adil di dalam Islam. Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Bukan bermaksud setiap manusia perlu menerima dengan kadar yang sama.

Saya bawakan kepada pembaca, persoalan yang kedua. Di dalam ucapan Bajet 2014, Perdana Menteri kita ada menyebut bahawa waktu sekarang adalah masa yang terbaik untuk menjalankan sistem pencukaian GST kerana kadar inflasi negara sedang berada pada kadar yang rendah (2%). Tidakkah kata-kata ini mencerminkan bahawa perlaksanaan GST akan memberikan kesan kepada kadar inflasi negara? 

Selain itu, saya juga musykil mengapakah kerajaan tidak menggunakan unjuran inflasi pada 2015 sebagai hujah? Memandangkan GST akan dilaksanakan pada April 2015 kelak dan saya berpandangan bahawa kadar inflasi kita pasti sangat berbeza pada tahun 2015 berikutan beberapa siri kenaikan harga barang dan perkhidmatan selepas daripada rasionalisasi subsidi dibuat.

Ada yang turut berpendapat bahawa rakyat berpendapatan rendah dan sederhana tidak perlu bimbang kerana tidak semua perniagaan akan berdaftar dengan GST. Maka, kata mereka industri kecil dan desa yang sinonim dengan rakyat kebanyakan tidak akan terjejas.

Realitinya, walaupun perniagaan yang mendapat perolehan tahunan kurang daripada RM 500,000 ke bawah tidak perlu mendaftar GST. Ini tidak bermakna industri kecil tidak menerima kesan daripada implementasi GST kelak.

Disebabkan mereka tidak berdaftar di bawah GST, pemilik kedai-kedai runcit, gerai kecil di kampung tidak boleh menuntut kembali kredit cukai kenaan pada bekalan (kredit tax input). Mereka akan terpaksa meningkatkan harga barangannya untuk mengimbangi kos barangan yang telah dikenakan cukai GST padanya. Rakyat berpendapatan rendah yang bergantung pada industri kecil ini dalam memperolehi barangan asasi dan sebagainya akan menerima kesannya.
Secara asasnya juga, GST adalah cukai yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan. Bukan berdasarkan pendapatan individu. Maka ianya secara tidak langsung meliputi pada semua rakyat tanpa mengira status pendapatan mereka.

Kesan yang diterima oleh golongan berpendapatan rendah bukan sahaja dilihat pada harga barangan asasi, tetapi seluruh aspek kehidupan yang lain seperti pendidikan, penempatan, pengangkutan dan kesihatan. Cukai yang menekan golongan miskin adalah tidak dibenarkan dalam Islam.

Konklusinya, berdasarkan apa yang telah saya nyatakan di atas, maka jelas menunjukkan bahawa GST tidak wajar dilaksanakan kerana turut sama dikenakan pada golongan berpendapatan rendah.

Hujah Kedua: Cukai perlu bersifat sementara. Diwujudkan berdasarkan keperluan sahaja.

Di sini ada dua pandangan. Ada yang mengatakan GST hanyalah bertujuan untuk memperbaiki sistem pencukaian sahaja. Pandangan yang kedua pula, cukai GST diperkenalkan untuk mengurangkan defisit negara dan akan menjadi salah satu sumber pendapatan negara yang lebih stabil.

Meskipun pandangan pertama itu benar. Saya lebih cenderung untuk memilih pandangan kedua berdasarkan kepada beberapa jawapan yang telah diberikan oleh wakil kerajaan apabila ditanya berhubung isu GST.

Adakah salah untuk kerajaan memperkenalkan GST supaya dapat menampung kos operasi pentadbiran kerajaan?

Tidak salah sekiranya telah memenuhi syarat-syaratnya. Ustaz Zaharudin Muhammad melalui penulisannya di dalam artikel “GST menurut perspektif Islam” ada menyimpulkan syarat-syarat pencukaian menurut pandangan daripada Imam Juwaini, Imam Ghazali dan lain-lain;

  1. Negara mestilah berpegang teguh dengan ajaran Islam. Dalam erti kata lain, negara mestilah menjalankan sistem ekonomi Islam termasuk sistem percukaian Islam sepenuhnya seperti zakat sebagai sistem cukai utama Negara.
  2. Hajat kepada percukaian hendaklah benar-benar berlaku.
  3. Baitul Mal benar-benar telah kekeringan sehingga tidak dapat memenuhi hajat dan keperluan rakyat.
  4. Meminimakan seboleh mungkin tekanan terhadap individu rakyat dengan cara-cara yang selain cukai. Oleh itu, sebelum mengutip cukai daripada rakyat, kerajaan disarankan supaya mengutip sumbangan ikhlas serta menggalakkan rakyat memberikan derma dalam menyelesaikan sesuatu keperluan sebelum cukai dikenakan.
  5. Kutipan cukai hendaklah diputuskan hasil perbincangan golongan fuqaha dan profesional berkait dengan isu tertentu.
  6. Cukai hendaklah dikenakan ke atas orang-orang yang kaya sahaja dan ia langsung tidak harus dikenakan ke atas orang-orang miskin.
  7. Cukai hendaklah dalam bentuk sementara. Ia akan terhapus dengan hilangnya hajat dan keperluan. Cukai tidak boleh dikenakan secara berterusan dan dijadikan pendapatan utama berbanding zakat.
  8. Wajib meraikan keadilan di dalam perwartaannya dan pemungutannya. Maka kadarnya hendaklah sekadar keperluan. Keperluan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengutip cukai lebih daripada rakyat.

Bagi item nombor 2 dan 3, saya berpandangan bahawa keperluan kepada pencukaian itu ada kerana:

  1.  Kos bagi pembangunan negara dan pembayaran tetap telah dikira dan dianggarkan perbelanjaan setiap tahun melalui perangkaan bajet tahunan. Ini membuktikan wujudnya keperluan (maslahat) pencukaian tersebut.
  2. Pendapatan negara yang diperolehi daripada Petronas  melalui pembayaran dividen tetap dan cukai adalah sekitar RM 70 billion. Hanya membentuk 1/4 daripada dana yang diperlukan untuk menggerakkan bajet tahun 2014. Walaupun dicampur hasil bumi dan perlaburan lain seperti pinjaman dan penggunaan aset kerajaan. Kita hanya akan memperolehi separuh sahaja jumlah dana yang diperlukan.
  3. Kutipan zakat hanya berjumlah sekitar RM 1.5-2 billion sahaja seluruh Malaysia dan zakat hanya boleh digunakan kepada asnaf-asnaf yang telah ditentukan.

Tetapi, Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun telah menunjukkan bahawa seringkali pengiraan anggaran belanjawan tidak tepat dan boros. Maka, adakah melalui bajet yang telah dirangka itu telah mencerminkan keperluan dana yang sebenar Negara?

Kerana itu, pelbagai pihak menuntut kerajaan agar lebih telus dan berhemah dalam perbelanjaan sebelum tergesa-gesa menambah sumber pendapatan negara. Saban tahun pendapatan negara sentiasa tidak mencukupi jika dibandingkan dengan perbelanjaan. Maka dimanakah silapnya?

Persoalan saya pada pembaca, benarkah pencukaian di Malaysia hari ini berdasarkan keperluan (maslahat) sebenar atau semata-mata menampung ketirisan yang wujud?
Hujah Ketiga: Cukai tidak boleh diambil sekiranya baitulmal masih mencukupi.

Penasihat Kastam Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Zaleha Hamzah, pernah berkata bahawa sistem pencukaian GST akan dapat memperbaiki kelemahan yang ada pada sistem pencukaian sedia. Menurut beliau, cukai jualan sedia ada hanya berjaya mengutip 70% daripada nilai sebenar yang seharusnya dapat dikutip. Tetapi melalui sistem GST, kerajaan akan dapat mengutip sehingga 90% daripada jumlah sebenar kerana sistemnya yang lebih efisien.

Menurut Senator Datuk Chin Su Phin pula, kerajaan akan dapat meningkatkan pendapatan negara sehingga 20 ke 30 billion negara. Kenyataan ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar. Beliau menyatakan bahawa, GST dijangka membolehkan kerajaan memperoleh pendapatan bersih RM3.87 bilion untuk 2015 dan RM9 bilion pada 2016 selepas ditolak semua inisiatif yang diberikan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta potongan cukai individu dan korporat.

Melalui kenyataan ini jelas menunjukkan GST adalah untuk meningkatkan pendapatan negara, bukan sekadar pembaikian sistem. Lebih malang apabila ada yang mengatakan dengan perlaksanaan GST akan berjaya mengurangkan kadar hutang isi rumah kerana akan menjadikan rakyat lebih berhemat dalam berbelanja. Apakah ini?

Melalui pengiraan kasar pada Laporan Audit dan jenis projek yang tidak memulangkan faedah kepada rakyat adalah berjumlah sekitar RM 20 – 28 billion wang tiris setiap tahun. Belum dikira perbelanjaan tidak munasabah melalui perlantikan duta khas bertaraf menteri dan penasihat khas.

Ini bermakna, melalui penstrukturan semula perbelanjaan negara kepada yang lebih berhemah, ianya dilihat dapat memberikan pulangan yang sama banyak seperti mana melalui perlaksanaan GST. Maka mengapa kerajaan tidak terlebih dahulu menunjukkan usaha yang lebih serius di dalam menangani ketirisan 'pembelajaan tidak perlu' berbanding terus meletakkan bebannya pada rakyat?

Saya pulangkan soalan ini kepada anda. Adakah benar Baitul Mal (Perbendaharaan) Negara tidak mencukupi?
Penutup

Penulisan ini hanyalah bertujuan untuk menyediakan maklumat untuk dijadikan sandaran kepada hujah yang berpandangan bahawa perlaksanaan GST di Malaysia pada konteks hari ini adalah tidak wajar.

Jika pembaca ingin membaca pandangan yang dibawa oleh PAS, anda boleh membacanya pada laman web PAS itu sendiri.

Saya menulis maklumat sokongan ini adalah kerana saya percaya bahawa kita selaku orang Islam tidak seharusnya memisahkan antara urusan dunia dan akhirat. Maka sewajarnya apabila sesuatu isu timbul, kita perlu melihatnya melalui persepektif agama terlebih dahulu. Kerana itu dalam penulisan kali ini saya memetik pandangan daripada PAS, bukanlah kerana ingin mewujudkan sentimen kepartian. Tidak sama sekali. Tetapi kerana PAS itu sendiri adalah gerakan Islam yang terlibat secara aktif di dalam politik (siyasah) dan tidak salah untuk merujuk mereka di dalam perkara berkaitan kenegaraan.

1.     Diakui bahawa sistem pencukaian GST adalah lebih baik daripada sistem pencukaian sedia ada. GST berupaya mengatasi masalah pertindihan cukai, pengelakan cukai dan sebagainya. GST lebih cekap jika dibandingkan dengan model pencukaian yang lain. Tetapi ianya hanya bermaksud lebih cekap melakukan kutipan wang. Tidak membawa maksud ianya memberikan manfaat lebih banyak kepada rakyat. Sekiranya kerajaan hari ini berterusan dengan sikap boros sedia ada, seakan tiada erti pendapatan baru yang diperolehi kerana akan lenyap dek keborosan dan akhirnya dana baru perlu dicari bagi menampung sikap buruk pemimpin.

Kerana itu Islam telah menggariskan beberapa panduan di dalam perihal pengutipan cukai. Tidak boleh sewenang-wenangnya diguna pakai tanpa punyai asbab yang perlu.

Saya teringin sangat untuk mengikuti perbincangan atau menemui penulisan yang membawa perbincangan topik berikut:

  1. Cadangan penstrukturan semula GST menurut perspektif Islam.
  2. Struktur cukai alternatif yang patuh syariah dan cekap.
  3. Mekanisme untuk mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah terhadap pencukaian.

Pandangan saya, sistem GST adalah sistem yang baik dari sudut perlaksanaannya. Mungkinkah terdapat ruang penambahbaikan pada sistem tersebut untuk menjadikannya patuh syariah?

Mungkin boleh diusahakan melalui perluasan skop barangan kadar-sifar, pengurangan kadar cukai dan diwujudkan mekanisme pengecualian cukai bagi asnaf miskin dan fakir.

Atau, jika SST ini terlalu banyak kelemahan, mengapa tidak diteruskan usaha pembaikian?