Monday, August 10, 2015

Isu 1MDB: Analisa Kerapuhan Nilai & Amalan Tadbir Di Malaysia.


Latar belakang

Tahun 2015 merupakan tahun yang sangat getir buat Malaysia.Berbagai ujian dan cubaan didatangkan kepada rakyat Negara ini di dalam pelbagai rupa.Keperitan luka yang dirasai oleh masyarakat marhaen terutamanya yang disebabkan oleh kesempitan ekonomi gara-gara kepincangan kerajaan di dalam pengurusan kewangan semakin pedih.

1 Malaysia Development Berhad , sebuah syarikat perlaburan jangka masa panjang yang dibina di atas kerangka idea penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) pada tahun 2008 kini selepas 5 tahun beroperasi mengalami masalah pembayaran hutang dan pengurusan kewangan yang diragui kebolehupayaannya. Syarikat yang pada awalnya menyimpan aspirasi Negara agar dapat menjadi antara pemangkin pertumbuhan ekonomi Malaysia, kini menjadi tumpuan penganalisa ekonomi seluruh dunia disebabkan krisis kepincangannya.

Ketempangan yang terlalu ketara telah dihidu oleh beberapa pihak yang berkepentingan, samada yang telus ingin menyelamatkan tanah air ini daripada terus diperlakukan hina oleh kerajaan pemerintah hari ini mahupun yang berminat untuk merobek kedaulatan Negara.Seterusnya mendorong kepada pendedahan demi pendedahan maklumat dalaman krisis 1MDB yang menggemparkan rakyat di Negara.

Bermula dengan pendedahan kerugian RM 42 billion, seterusnya kontroversi isu Tabung Haji digunakan untuk  membeli aset tanah dengan harga lebih tinggi.Seterusnya, 1MDB terus ditelanjangkan dengan pendedahan daripada media luar, Wall Street Journal yang melaporkan penyiasatan mereka bahawa terdapat penyaluran wang sejumlah AS$700 juta ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri.Rentetan peristiwa ini telah menjadikan isu ini mejadi lebih kompleks dan menimbulkan kesangsian ke atas pentadbiran Malaysia hari ini.

Permasalahan

Kami melihat, permasalahan kes ini berakar dan melingkari beberapa aspek yang perlu diambil pengajaran dan diperbaiki segera:

1. Ketidaktelusan dan sikap penafian kepada rakyat.

Sebelum terjadinya siri-siri pendedahan yang bertalu-talu, kita dapat menyaksikan bagaimana beberapa aktor penting di dalam konflik ini membuat penafian akan keterlibatan mereka.Ketidakjujuran yang diamalkan oleh pemimpin Negara ini dalam menghadapi sesuatu isu adalah sesuatu yang tidak sihat dan perlu diubah.

Penipuan dan tindakan mengkelabukan kebenaran membawa kepada penghakisan kepercayan kepada setiap lapis institusi kerajaan. Hal ini akan membawa kepada kerapuhan dan kesukaran untuk mengekalkan kestabilan Negara.

2. Institusi kerajaan mengalami krisis kepercayaan.

Di era langit terbuka ini, kerencaman maklumat dan pendedahan salahlaku pemerintah telah banyak menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.Baik di dalam perihal ekonomi hinggalah ke perihal urusan keagamaan.

Kemiskinan nilai kejujuran dan jawapan yang menyakinkan kepada rakyat menyebabkan masyarakat terbanyak lebih cenderung mendengar dan mengutip berita daripada sumber alternatif yang lebih dekat menggambarkan realiti kehidupan harian mereka.

Kita boleh melihat di dalam isu 1MDB ini, pendedahan yang dibuat adalah menggemparkan bersama beban bukti yang sukar disangkal oleh pihak berwajib.Timbul persoalan mengapakah whistleblowerlebih pantas daripada Bank Negara Malaysia itu sendiri?Bukankah aliran transaksi wang itu sangat meragukan dan seharusnya diambil tindakan penyiasatan segera.Tetapi tindakan hanya mula dibuat setelah pembongkaran demi pembongkaran dibuat.

Walaupun telah diwujudkan pasukan penyiasatan khas untuk bertindak ke atas kes ini, krisis kepercayaan yang sangat parah memungkinkan rakyat tidak lagi akan percaya kepada sebarang jawapan positif daripada pasukan penyiasatan ini.

Kerajaan perlu berani menyatakan yang benar dan memberikan kenyataan yang tuntas bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan agar rakyat jelas kedudukan sebenar Malaysia pada hari ini.Bagi membangunkan Negara ini secara bersama-sama, krisis kepercayaan ini perlu dirawat segera dengan bermula daripada berlaku jujur dan bersedia mengakui kesilapan.

3. Ancaman geopolitik.

Kita tidak boleh dinafikan bahawa Malaysia mempunyai tarikan dan kepentingannya yang tersendiri pada kuasa dunia yang lain. Semenjak keterlibatan kita di dalam rundingan Perjanjian Perdangangan Trans-Pasifik (TPPA), Negara kita seolah telah digula-gulakan dengan pelbagai pemberian.

Negara kita telah menerima kunjungan rasmi Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama pada 26 April 2014  dan akan diadakan kunjungan rasmi sekali lagi pada akhir tahun ini. Negara kita juga telah dilantik sebagai pengerusi ASEAN bagi tahun 2015 dan turut diberikan kerusi di dalam Majlis Keselamatan PBB dengan undian sebanyak 187 daripada 192.  Malaysia juga telah dipilih oleh Bank Dunia untuk ditempatkan satu-satunya pejabat mereka di rantau Asia.

Menurut John Perkins, seorang tokoh economic hitman (pensabotaj ekonomi) antara kaedah yang digunapakai bagi mengawal sebuah Negara adalah melalui debt entrapment (perangkap hutang). Kita melahirkan rasa kebimbangan bahawa Malaysia bakal menerima nasib yang serupa dengan Greece sebagaimana diperlakukan oleh Goldman Sachs yang turut terlibat di dalam urusniaga bersama 1MDB.

4. Tabiat pengurusan kewangan yang boros dan teruk.

Selain ancaman daripada penguasaan kuasa luar.Kelemahan budaya pengurusan kerja dan kewangan kerajaan hari ini juga sangat membimbangkan.Ianya mirip dengan situasi Greece sebelum keruntuhan sistem ekonominya.

Ramon Navaratnam, Pengerusi Centre of Public Policy Study ketika ditemuramah pernah menyatakan bahawa kita perlu belajar daripada apa yang telah terjadi kepada Greece. Katanya, pada aspek ekonomi, Greece kukuh sebagaimana Malaysia, tetapi telah terjerumus ke dalam kancah permasahan kewangan ini kerana tidak mengambil berat akan tanda-tanda amaran yang mula timbul dalam iklim ekonomi Negara tersebut.

Tabiat rakyatnya yang lari daripada cukai, saiz pentadbiran Negara yang besar dan tidak efisyen dan perbelanjaan yang tidak berhemah telah merapuhkan lagi usaha pembaikian ekonominya.Ianya sepertimana yang berlaku di Malaysia.

1MDB menjadi contoh pengurusan dana dalam skala besar yang diuruskan dalam keadaan yang mencurigakan dan tidak dijalankan dengan baik. Kedudukan syarikat ini di bawah Kementerian Kewangan dan diilhamkan sendiri oleh Perdana Menteri memberikan impak yang besar kepada persepsi penggerak ekonomi dunia terhadap Malaysia.

5. Amalan politik wang yang membarah

Dakwaan WSJ bahawa penyaluran wang sejumlah AS$  700 juta ke dalam akaun Perdana Menteri telah digunakan bagi membiayai kempen Barisan Nasional di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 14  yang lepas adalah suatu dakwaan yang serius. Sehingga ke hari ini, Perdana Menteri masih belum menafikan akan wujudnya transaksi wang tersebut dan hanya menegaskan bahawa wang tersebut tidak digunakan untuk kepentingan peribadi.

Sekiranya dakwaan ini benar, ianya boleh membawa kepada implikasi yang besar dengan pembatalan keputusan PRU yang lalu sepertimana yang dinyatakan di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Jika kita amati perjalanan politik tanah air kita dewasa ini, kita tidak dapat nafikan bahawa amalan politik wang bagi memanjangkan hayat survivaliti parti memerintah adalah amat jijik dan semakin melarat. Kita mahukan amalan politik yang sihat, bertanding di atas padang lawan yang rata dan adil. Menggunakan jentera dan dana kerajaan bagi membiayai kempen dan janji parti memerintah adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Kita perlu bijak membezakan antara parti memerintah dan kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat keseluruhannya.

7. Menyelamatkan ketidakupayaan dan korupsi kroni menggunakan aset Negara.

Telah berulang kali didedahkan kepada kita akan penyelamatan perusahaan kroni dengan menggunakan dana yang datangnya daripada rakyat. Di dalam isu ini sekali lagi, dengan beralasankan ancaman geopolitik dan maruah Negara maka kerajaan sekali lagi masuk campur dan menyuntik dana bagi mengeluarkan 1MDB daripada kemelut hutang ini.

Tabung Haji, salah sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) telah digunakan untuk mebeli tapak tanah daripada 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX) dengan harga RM 188.5 Juta sedangkan 1MDB membeli daripada kerajaan dengan hanya harga RM 4 Juta sahaja. Tindakan ini telah membawa kepada kemarahan daripada penyimpan akaun di TH dan tuntutan serta gesaan telah digerakkan oleh rakyat sehingga TH menjual semula tapak tanah tersebut.

Kita tidak nafikan akan perlunya memastikan aset bernilai Negara tidak hilang daripada pegangan kita. Tetapi kita juga perlu teliti dan jelas, siapakah daripada awal lagi bertindak memperjudikan nasib aset Negara tersebut.

Islam sebagai solusi

1. Memecahkan tradisi monopoli kroni dengan pasaran bebas terkawal.

Di Malaysia, kewujudan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan penguasaan pasaran oleh golongan kroni telah sedikit sebanyak merencatkan pertumbuhan ekonomi disebabkan oleh krisis nilai kecekapan dan akauntabiliti di dalam pengurusan mereka. Situasi ini juga cenderung kepada pembentukan dominasi pasaran melalui monopoli oleh kroni.

Ibn Khaldun pernah menyatakan di dalam penulisannya, Muqaddimah; “ Aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh kerajaan adalah merbahaya kepada rakyat dan boleh merosakkan pendapatan dan pentadbiran kewangan Negara.” Ibn Khadun juga menjelaskan bahawa jika kerajaan melibatkan diri di dalam perniagaan, maka ada kemungkinan akan wujud sebuah monopoli yang akhirnya menyebabkan rakyat terpaksa membayar harga yang tinggi. Situasi sebegni pasti akanmembebankan rakyat

Proses liberalisasi ekonomi secara terkawal serta di dalam kondisi keperluan asasi rakyat terpelihara adalah diperlukan. Proses penswastaan yang pernah digiatkan pada zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir tidak hanya lebih kepada pengkorporatan berbanding liberalisasi ekonomi.

2. Menjunjung ketelusan dan keadilan penyiasatan

Perdana Menteri disarankan untuk mengambil cuti khas (gardening leave) bagi memberikan ruang dan kebebasan buat pasukan penyiasatan melakukan siasatan secara teliti dan tanpa dipengaruhi oleh pihak atasan.Tindakan ini sangat diperlukan bagi memulihkan persepsi dan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.

Keputusan kerajaan untuk menggantung lesen akhbar The Edge boleh disalahtafsirkan oleh rakyat terbanyak bahawa kerajaan berada di dalam ketakutan dan sedang mencarik nilai demokrasi dan hak bersuara di dalam tanah air ini. Kerajaan perlu sedar bahawa tabiat lewat ambil tindakan dan melepaskan ‘jerung’ tetapi menangkap ‘bilis’ sebelum ini, telah membentuk suatu sudut pandang yang konkrit bahawa kerajaan tidak boleh dipercayai hatta pada Polis Diraja Malaysia itu sendiri. Maka, kerajaan perlu memulihkan cara pandang ini terlebih dahulu dan tidak memilih mengambil tindakan yang drastik pada pemberi maklumat (whistle blower) melebihi tindakan terhadap tertuduh.

Pendirian Presiden PAS, TGHH di dalam isu ini dapat menzahirkan ketinggian ilmu dan adab beliau. Sebagaimana yang dianjurkan di dalam Islam bahawa seseorang itu tidak dikira bersalah selagi mana belum dibuktikan bersalah, maka beliau memilih untuk berhati-hati di dalam mengkritik dan meletakkan hukuman awal.

3. Memelihara kedaulatan Negara

Tidak boleh dinafikan bahawa isu 1MDB ini menarik perhatian mereka yang telah lama berminat untuk meluaskan cengkamannya ke atas kedaulatan Negara ini. Menjadi kewajipan kepada kita semua untuk menjunjung keadilan disamping bijak membaca percaturan musuh yang cuba untuk mengambil kesempatan di atas kerapuhan fabrik sosial yang disebabkan isu ini.

Pentadbiran Negara hari ini digesa agar tidak mudah tunduk kepada kuasa luar.Malaysia perlulah mengurangkan kebergantungannya dengan Amerika Syarikat dan mula beralih dokongan kepada kumpulan Negara yang lebih setara kedudukan ekonominya dan perkembangan kemajuannya.

Pada masa yang sama, pemimpin yang terbukti melakukan kesalahan dan penyelewangan hendaklah diambil tindakan tegas tanpa membezakan antara  kedudukannya di dalam hieraki politik. Ini adalah kerana, kadangkala kita hanya melihat Negara luar sahaja dianggap sebagai ancaman terhadap kedaulatan Negara, sedangkan kita telah pelajari melalui cerminan sejarah bahawa di dalam empayar Islam itu sendiri ada di kalangan pentadbir yang khianat kepada negaranya sendiri sepertimana yang berlaku pada peristiwa pelanggaran Monggol terhadap kota Baghdad.

4. Menjauhi dan mengurangkan bebanan hutang

Sejarah telah mengajar kita bahawa bebanan hutang yang tidak terkawal akan mengheret sesebuah pemerintahan daripada terus berkembang. Malah, berupaya untuk meranapkan kemajuan yang telah dibina lama. Sebagaimana yang berlaku kepada khilafah Turki Uthmaniyyah yang telah terpaksa mengambil hutang luar pasca peperangan Crimea yang melibatkan kos yang tinggi telah menjadi mengekang kebebasan Uthmaniyyah sehingga diisytiharkan muflis pada 1870-an.

Penubuhan OPDA atau Ottoman Public Debt Authorities, kemudiannya telah meletakkan hampir kebanyakan sumber ekonomi empayar tersebut tidak lagi dikawal dibawah khalifah. Biarpun telah diangkat Sultan Abdul Hamid II, seorang pemimpin yang berdedikasi dan sangat tegas dengan kuasa luar yang cuba menyusup masuk ke dalam empayarnya, namun situasi pentadbiran yang sudah sedia goyah dan terikat dengan komitmen hutang menyebabkan tidak banyak reformasi dan pembaikian dapat dibuat pada Uthmaniyyah.

Kita tidak mahu, peristiwa seperti di atas berlaku di Malaysia.Kita mengharapkan agar isu hutang ini diambil serius dan ditangani dengan baik.Kita bimbang andai, pada PRU yang mendatang telah diangkat pemimpin yang baik dan kompeten, tetapi situasi pentadbiran semasa yang sedia pincang menyebabkan kualiti kepimpinan yang ada pada pimpinan ketika itu tidak mampu memperbaiki masalah tersebut.

Di antara falsafah ekonomi islam adalah bersederhana dan mengelakkan sifat israf dan tabzir. Tindakan merancakkan ekonomi melalui suntikan wang yang datang daripada terbitan hutang adalah tidak digalakkan di dalam Islam kerana pertumbuhan ekonomi yang ada tidak menzahirkan kemampuan Negara &  keperluan sebenar rakyat. Bahkan kitaran ekonomi hari ini yang hanya bertunjangkan prinsip pengumpulan kekayaan semata dan perataan kekayaan sedia ada masih tidak berkesan, maka dibimbangi kita sedang mengheret alam ini ke arah kebinasaan atas nama kemakmuran ekonomi.

5. Menyerahkan urusan kepimpinan kepada ahlinya

Apa yang berlaku di dalam urusan kepimpinan tertinggi di kebanyakan aspek di Malaysia pada hari ini adalah lantikan menurut kedudukan politiknya bukan berdasarkan merit kepimpinan dan kelayakan. Biarpun organisasi seperti GLC  digerakkan oleh professional di dalam bidang tersendiri yang berkaitan, tetapi mereka yang menduduki kerusi pembuat dasar adalah yang dipilih berdasarkan kepentingan politik pemerintah.

Situasi ini amat membimbangkan dan ianya terdedah kepada salah laku dan penyelewangan atas nama parti atau kroni. Islam mengajar kita untuk menyerahkan sesuatu urusan itu pada pakarnya. Budaya ini hendaklah diubah bagi memastikan kita dapat membangunkan Negara ini tanpa ada rasa prejudis antara satu sama lain hanya kerana perbezaan parti politik sehingga menidakkan keilmuan seseorang mahupun penyalahgunaan ilmu atas nama politik parti.