Fenomena kejatuhan nilai Ringgit
Malaysia (MYR) berbanding Dollar Amerika Syarikat (USD) secara berterusan
semenjak nilai tinggi terakhirnya pada bulan Ogos 2014 (3.1463) telah
menimbulkan keresahan kepada ramai pihak. Ringgit telah mengalami kejatuhan
drastik dalam tempoh dua hari dengan kejatuhan sebanyak 2.4% pada tarikh 1
Disember 2014 (3.3465 menjadi 3.4300). Penurunan nilai Ringit ini merupakan yang
terteruk berbanding semasa krisis ekonomi Asia 1997 sebelum ini. Semasa
penulisan ini sedang dibuat, kadar tukaran nilai Ringgit berbanding Dollar
adalah 3.6231 (28 Januari 2013).
Pelbagai persoalan timbul sebagai
reaksi kepada situasi ini. Apakah yang menjadi punca penyusutan nilai matawang
negara kita berbanding USD? Adakah ianya memberikan impak negatif kepada
kehidupan kita? Adakah krisis ini berpanjangan?
Penulisan ini akan membantu pembaca
untuk memahami faktor yang menjadi pemain utama disebalik kenaikan/penurunan
matawang dunia, kesannya kepada kesihatan ekonomi negara dan bagaimanakah jalan
terbaik untuk kita menghadapinya pada kapasiti sebagai seorang mahasiswa.
Sejarah Penggunaan Wang Kertas
Sebelum kita memasuki perbincangan
ini dengan lebih mendalam, sebaiknya kita telusuri sejarah penggunaan wang
kertas terlebih dahulu.
Kita biasa menggambarkan bahawa wang
yang digunakan oleh masyarakat silam adalah syiling emas mahupun perak
sebagaimana yang sering disajikan di dalam filem dan penulisan klasik. Begitu
juga jika kita mengamati sirah Nabi Muhammad s.a.w mahupun al-Quran dan
himpunan hadith, kita tidak akan terlepas daripada membaca berkenaan penggunaan
dinar (emas) dan dirham (perak) di dalam urus niaga ketika zaman tersebut.
Persoalannya disini, bilakah bermulanya penggunaan wang kertas?
Penggunaan emas dan perak telah
digunakan secara meluas dan diterima pakai sebagai mata wang hampir di seluruh
dunia berikutan nilai yang tersimpan di dalam logam berharga itu sendiri. Ibn
Khaldun di dalam Muqaddimah turut menukilkan berkenaan penggunaan emas dan
perak sebagai medium perantaraan jual beli dan penyimpan nilai usaha dan
kekayaan manusia:
“Allah telah menciptakan dua jenis
logam, iaitu emas dan perak sebagai ukuran nilai bagi semua pengumpulan modal.
Penduduk dunia menganggapnya sebagai harta dan kekayaan. Meskipun apabila
berada dalam keadaan-keadaan tertentu, barang-barang lain dikehendaki, ia tidak
lain daripada mencapai tujuan yang pada matlamatnya adalah untuk memperoleh
emas dan perak. Semua barangan lain terdedah kepada turun naik harga pasaran,
sementara emas dan perak adalah terkecuali. Emas dan perak menjadi dasar
keuntungan, harta dan kekayaan.”
Walaubagaimanapun, emas dan perak
mempunyai kelemahan yang ketara iaitu kesukaran untuk membawanya di dalam
kuantiti yang banyak dan wujud kebimbangan terhadap jaminan sekuritinya semasa
di dalam perjalanan yang jauh. Perkembangan ekonomi dan aktiviti
perdagangan yang menuntut kepada penggunaan wang dalam nilai yang besar telah
membawa kepada inovasi penciptaan wang kertas. Pada permulaan penggunaannya,
‘wang kertas’ tersebut tidak dikira sebagai mata wang. Ianya hanya sebagai
dokumen bukti atau resit bagi mewakili nilai emas atau perak yang dimiliki oleh
pendeposit. ‘Wang kertas’ dihasilkan oleh individu atau institusi yang
diamanahkan untuk menjaga emas dan perak tersebut.
Penggunaan wang kertas mula dikesan
pengamalannya di China pada seawal abad ke-7 masihi. Manakala, negara barat
pula mula menggunakannya sekitar 1000 tahun selepasnya dan penghasilan wang
kertas di dunia Islam pula hanya bermula pada tahun 1850 semasa pentadbiran Khilafah
Turki Uthmaniyyah.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini,
masyarakat dunia umumnya menerima emas dan perak sebagai duit. Penggunaan wang kertas pada mula pengenalannya tidaklah
sepenuhnya menenggelamkan peranan emas dan perak. Wang kertas hanya mewakili
simpanan emas atau perak dan boleh dituntut di bank dengan menukarkannya.
Ketika itu, nilaian mata wang diikat dengan emas (gold-standard).
Akan tetapi, peredaran masa telah
membawa kepada dominasi penggunaan wang kertas berbanding syiling emas atau
perak itu sendiri. Keyakinan pengguna terhadap keupayaan saling-tukaran wang
kertas dengan emas atau perak telah dikhianati oleh bank apabila penghasilan
duit kertas telah melebihi simpanan emas sepertimana yang pernah terjadi pada
tahun 1759 di England.
England merupakan antara negara
pertama yang meleraikan ikatan mata wangnya daripada emas pada tahun 1931
lanjutan daripada krisis ekonomi yang melanda dunia barat (Great Depression).
Pada tahun 1944, konferens Bretton Wood dianjurkan sebagai medium perbincangan
untuk mengstrukturkan semula polisi kewangan dunia pasca perang dunia kedua.
Hasilnya, mata wang dollar kemudiannya secara tidak langsung telah memainkan
peranan sebagai mata wang dunia. Semua mata wang telah diikat dengan dollar,
manakala dollar pula diikat kepada emas dengan kadar nilai 1 dollar bersamaan
35 oz emas.
Percetakan dollar yang melangkaui
nilai rizab emas yang dimiliki oleh Amerika Syarikat (AS) pasca perang Vietnam
telah mendorong AS untuk mengakhiri ikatan mata wangnya dengan emas secara
persetujuan sehala (uni-lateral) pada tahun 1971. Sejak daripada itu, mata wang
di seluruh dunia tidak lagi didokong nilai komoditi berharga. Tindakan presiden
Nixon pada tahun 1971 itu telah membuka lebaran sejarah yang baharu di dalam sejarah
pengamalan kewangan global iaitu dengan bermulanya zaman penggunaan wang fiat.
Dinamakan fiat kerana merujuk
kepada sifat wang itu yang tidak disandarkan nilainya pada apa-apa komoditi melainkan
hanya anggapan semata-mata.
Sejak nilai mata wang telah
diapungkan nilainya bergantung kepada kondisi pasaran, ianya mudah terdedah
kepada risiko spekulasi dan ketidakstabilan. Perlaksanaan sistem Fractional
Reserve yang menjadi asas kepada penghasilan wang kertas pula telah membawa
implikasi yang lebih teruk apabila ianya menjadi faktor utama kepada inflasi.
Kenapa Nilai Mata Wang Sesebuah
Negara Jatuh/Meningkat?
Untuk memahami punca jatuh naik (appreciate/depreciate)
sesuatu nilai mata wang, sewajarnya kita memahami terlebih dahulu konsep
permintaan-pembekalan (demand-supply).
Mata wang diniagakan dalam pasaran
tukaran mata wang asing (Foreign Exchange Market) dan turun naik
nilainya bergantung pada tahap permintaan dan jumlahnya yang berada di dalam
pasaran. Secara asasnya, semakin tinggi permintaan terhadap sesuatu mata wang,
maka nilainya akan meningkat. Manakala, jika pemintaan terhadap sesuatu mata
wang menurun atau ramai menjualnya sehingga berlaku lebihan di dalam pasaran,
maka nilainya akan jatuh.
Apakah yang menyebabkan berlakunya
peningkatan dan penurunan permintaan?
Faktor peningkatan:
1. Perkembangan
sektor eksport
Untuk
mengimport barangan daripada sesebuah negara, perlu menggunakan mata wang
negara tersebut. Negara yang produknya kompetitif di dalam persaingan eksport,
nilai mata wangnya kukuh kerana permintaan terhadap mata wangnya tinggi.
2. Kadar bunga
(interest) tinggi
Kadar
bunga yang tinggi yang ditetapkan oleh bank negara menjadi tarikan kepada
pelabur asing untuk menyimpan di dalam negara tersebut. Secara tidak langsung
akan mengembangkan permintaan terhadap mata wangnya.
3. Peningkatan
permintaan di dalam pasaran tukaran mata wang asing
Apabila
sesuatu mata wang dijangka nilainya akan meningkat, biasanya akan membawa
kepada pembelian mata wang negara tersebut oleh pemain pasaran dan seterusnya
melonjakkan nilainya.
4. Kemasukan
pelabur asing
Negara
yang dilihat menjadi destinasi yang menarik untuk perlaburan, akan membawa
kemasukan pelabur luar ke dalam negara (capital inflow). Mereka perlu
membeli mata wang negara tersebut untuk terlibat di dalam perlaburan di negara
tersebut.
5. Campur
tangan bank negara
Terdapat
negara yang sengaja merendahkan mata wangnya seperti yang dilakukan oleh China.
Bank pusatnya akan membeli bon terbitan AS supaya mata wangnya akan menjadi
lebih rendah daripada dollar. Tindakan ini dibuat supaya barangan lokalnya
mampu kekal lebih murah dan mampu mengekalkan momentum persaingan di dalam
pasaran eksport.
6. Kadar
pengangguran rendah dan peningkatan pendapatan rakyat
Kadar
pengangguran yang rendah dan tahap pendapatan rakyat yang tinggi meningkatkan
permintaan wang di dalam pasaran domestik seterusnya meningkatkan nilai mata
wang negara tersebut.
Faktor penurunan:
1. Kadar bunga
yang rendah
Kadar
bunga yang rendah akan mengurangkan tarikan yang ada untuk pelabur luar
menyimpan di dalam sesuatu negara.
2. Peningkatan
inflasi
Inflasi
yang tinggi akan mengurangkan kuasa beli yang dimiliki oleh pengguna di dalam
sesebuah negara, seterusnya merencatkan pertumbuhan ekonomi negara. Kesannya,
ekonomi negara tersebut di nilai sebagai lemah dan tidak stabil oleh pelabur
asing.
3. Aktiviti
spekulator
Tindakan
spekulator di dalam pasaran tukaran mata wang asing menjual mata wang sesebuah
negara dalam jumlah yang besar berupaya menyebabkan kekacauan dan ketakutan di
kalangan pasaran saham.
4. Campur
tangan kerajaan
Sepertimana
yang pernah dilakukan oleh AS melalui
tindakan Quantitative Easing. AS membeli bon terbitan negaranya sendiri
dan secara tidak langsung mengwujudkan impresi permintaan yang tinggi terhadap
dollar.
Faktor Kejatuhan Nilai Ringgit
Setelah kita memahami punca naik dan
turunnya mata wang sesebuah negara, kita akan lebih mudah untuk mengenal pasti
punca penguncupan nilai mata wang negara kita.
1. Penurunan
ketara harga minyak dunia
Mutakhir
ini, harga minyak menah dunia telah mencatatkan sejarah apabila mencecah
serendah 48 USD/setong pada 19 Januari yang lalu. Penurunan harga hampir 50%
daripada harga tahun lalu yang setinggi USD100-115/setong telah menjejaskan
pendapatan Malaysia yang merupakan negara pengeksport minyak mentah.
Penghasilan
minyak dunia yang meningkat disebabkan oleh kemajuan teknologi AS yang berupaya
menghasilkan shale oil dan kelembapan ekonomi yang dialami oleh negara
penyumbang utama ekonomi dunia seperti China dan Jepun telah mengurangkan
permintaan terhadap minyak seterusnya menjadi faktor kejatuhan harga minyak
dunia.
Keputusan Organisasi
Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) yang diwakili oleh Saudi di dalam
kenyataan media sebelum ini bahawa mereka tidak akan mengurangkan penghasilan
minyak untuk mengembalikan semula harga
asal minyak telah memberikan ramalan bahawa harga minyak mentah akan kekal pada
kadar yang rendah.
30%
daripada pendapatan Malaysia adalah datang daripada sektor minyak. Di dalam
Bajet 2015, diunjurkan bahawa sektor ini bakal menyumbang sejumlah RM 82
billion atau 11.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Akan
tetapi apabila berlaku kejatuhan harga minyak dunia secara drastik sebegini,
Malaysia dijangka akan mengalami kehilangan pendapatan sebanyak RM 25 billion.
Kelompongan pada pendapatan negara ini tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh
lebihan yang dinikmati melalui penghapusan subsidi petrol sebanyak RM 18
billion.
Kebimbangan
timbul terhadap status Imbangan Akaun Semasa negara (trade account/current
account). Akaun semasa adalah jumlah baki perdagangan (jumlah eksport –
jumlah import barangan dan perkhidmatan). Penguncupan lebihan pada akaun semasa
(import lebih daripada eksport) akan menunjukkan marginal surplus yang makin
mengecil. Dibimbangi sekiranya pendapatan melalui aktiviti eksport minyak
mentah kita terjejas akan membawa kepada defisit pada akaun semasa seterusnya
menjerumuskan Malaysia ke dalam masalah deficit berkembar (twin-deficit).
Ketidakstabilan
ini mengurangkan keyakinan dan tarikan terhadap pelabur luar.
2. Polisi dan
urustadbir kewangan kerajaan
Sebelum
daripada berlakunya kejatuhan harga minyak mentah dunia, ramai penganalisa
ekonomi sudah menjangkakan akan berlaku penurunan nilai mata wang Ringgit
Malaysia kerana polisi kewangan yang dilihat tidak fleksibel dan kurang mesra
pelabur berbanding negara membangun yang menjadi pesaing kepada Malaysia
seperti Indonesia dan India.
Malaysia
kini dilihat sebagai prospek yang berisiko kepada pelabur; takat hutang awam
yang tinggi, peningkatan hutang asing dan penguncupan marginal lebihan akaun
semasa telah menjadi antara faktornya.
Pegangan
hutang oleh pelabur asing mewakili 45% daripada hutang negara telah meletakkan
negara Malaysia berada di dalam posisi yang membimbangkan. Ini berbeza dengan
Indonesia yang hanya mempunyai 32.5% sahaja hutangnya daripada luar, begitu
juga India dengan hanya serendah 2 %.
3. Kekukuhan dollar
Amerika Syarikat (USD)
Semenjak
daripada tahun lepas, AS telah meningkatkan kadar faedahnya. Menyebabkan berlakunya
kemasukan modal (capital inflow) ke dalam negaranya seterusnya
mengukuhkan kedudukan USD itu sendiri.
Apakah Langkah Yang Diambil Oleh
Kerajaan?
Perdana Menteri kita, Y.A.B Dato’
Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah mengumumkan kondisi semasa ekonomi
Malaysia dan tindakan susulan kerajaan dalam menghadapi kemelut ekonomi ini.
Sikap positif dan optimis yang ditunjukkan oleh beliau dalam menanggapi isu ini
adalah sesuatu yang saya anggapkan adalah untuk mengelak timbulnya kebimbangan
yang melampau di kalangan rakyat dan juga untuk mengelakkan daripada berlakunya
krisis keyakinan terhadap kendalian kerajaan. Sikap ini penting supaya, rakyat
akan sederap langkah dengan yakin bersama kerajaan dalam mengembleng kudrat
memulihkan ekonomi negara kita.
Untuk memudahkan pemahaman pembaca,
suka untuk saya rumuskan pelan tindakan kerajaan kepada beberapa isi:
1. Mengembangkan
pasaran eksport dan perlancongan
Nilai
mata wang yang rendah telah membuka peluang kepada negara kita untuk bersaing
di dalam pasaran eksport kerana produk kita menjadi lebih murah berbanding
negara yang stabil nilai mata wangnya. Kerajaan telah menyusun beberapa
tindakan untuk memastikan perolehan daripada eksport meningkat seterusnya
memastikan Imbangan Akaun Semasa kita sentiasa positif.
Antaranya
seperti membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) untuk menerokai pasaran
luar dengan mempromosikannya kepada 46 buah negara. Begitu juga meningkatkan
kualiti dan capaian tahan logistik dan pengangkutan bagi tujuan perdagangan.
Kerajaan
juga, bagi merancakkan kemasukan modal daripada luar telah menyusun beberapa
pelan untuk mempromosi sektor perlancongan negara kita. Antaranya seperti menghapuskan
caj permohonan visa kepada pelancong luar.
2. Mengurangkan
kebergantungan terhadap barangan import
Barangan
import akan menjadi lebih mahal di kala kejatuhan nilai mata wang negara
seperti sekarang. Kebergantungan yang tinggi kepada barangan import akan
membawa kepada inflasi dan membawa kepada risiko defisit –bekembar.
Justeru,
kerajaan telah menyusun beberapa tindakan seperti mempromosi secara
aktif perkhidmatan gantian-import seperti perkhidmatan perkapalan, pelabuhan,
pendidikan dan profesional. Begitu juga menggalakkan pembelian barangan
tempatan di kalangan rakyat dan meningkatkan kekerapan dan memanjangkan tempoh
jualan mega di seluruh Malaysia.
3. Meneruskan
pengstrukturan semula pendapatan dan mengkaji perbelanjaan negara
Bagi
meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap negara, kerajaan komited untuk
mengukuhkan kestabilan ekonomi negara melalui mempelbagaikan sumber kewangan
dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dengan meneruskan
perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang dijadualkan bermula pada 1
April 2015 ini.
Kerajaan juga akan menghentikan sementara Program Latihan Khidmat Negara
yang akan membawa kepada penjimatan sebanyak RM 400 juta. Seterusnya,
mensasarkan penjimatan sebanyak RM 1.6 billion melalui mengoptimumkan
pengurangan perbelanjaan ke atas bekalan dan perkhidmatan, penganjuran majlis
dan mesyuarat serta perkhidmatan profesional.
Kerajaan juga akan mengkaji semula
pemberian dan geran kepada Badan Berkanun Persekutuan, GLC serta Tabung Amanah
Kerajaan, terutamanya yang mempunyai aliran pendapatan yang konsisten dan rizab
yang tinggi. Langkah ini dijangka memberi penjimatan sebanyak 3.2 bilion
ringgit. Kerajaan juga akan menjadualkan semula pembelian aset tidak kritikal
terutamanya peralatan pejabat, perisian dan kenderaan yang mampu memberi
penjimatan sebanyak 300 juta ringgit
Kerajaan
tidak mengambil tindakan menghentikan projek mega dan memotong kebanyakan
perbelanjaan (austerity) dan menggalakkan rakyat berbelanja melalui
penganjuran jualan mega dilihat adalah untuk memastikan kitaran ekonomi terus
berjalan dan mengelakkan kelembapan ekonomi disebabkan oleh perlahannya kitaran
duit dalam negara.
Bank Negara
Malaysia (BNM) juga tidak mengambil keputusan untuk meningkatkan kadar bunganya
seperti mana negara yang lain kerana ianya akan membebankan rakyat. Persoalan
yang paling utama perlu diamati dan dijawab di dalam menanggapi isu kejatuhan
mata wang ini adalah, “Adakah perlu untuk naikkan semula nilai mata wang atau
fokus kepada kestabilan ekonomi?”.
Alternatif: Ekonomi Islam?
Akhir tinta, saya percaya ramai yang
ingin mengetahui apakah jawapan di sebalik kekalutan dan kekusutan yang
ditimbulkan oleh sistem ekonomi konvensional ini. Jika ditanya pada saya, saya
sentiasa optimis bahawa jawapannya adalah dengan kembali kepada Islam.
Jika kita renungi semula sejarah
peradaban manusia, kita akan mendapati kerosakan sistem ekonomi pada hari ini
adalah berpunca daripada tangan-tangan manusia yang melepaskan diri daripada
kerangka wahyu. Sebagai contoh, kita lihat pada sistem kewangan itu sendiri.
Bermula daripada peperangan sesama sendiri yang memaksa negara-negara mencetak
lebih banyak wang sehingga terpaksa meleraikan ikatan nilai mata wangnya dengan
emas. Seterusnya, pengamalan sistem penghasilan wang (Fractional Reserve
System) yang berasaskan kepada riba dan sifat matawang tanpa sokongan
sebarang komoditi, telah membawa kita ke dunia yang tidak henti dengan sindrom
inflasi. Semua ini terjadi kerana kita membelakangi panduan yang digariskan
oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Walaubagaimanapun, kita perlu
menerima hakikat bahawa kita sudah berada di dalam krisis ini. Sebaiknya bagi
kita yang mendokong penerapan nafas Islam dalam segenap kehidupan termasuk di
dalam urusan kenegaraan dan urus tadbir ekonomi hendaklah memikirkan jalan
keluar dan alternative kepada permasalahan yang dihadapi sekarang.
Adakah kita perlu memperjuangkan
sistem Full-reserve sepertimana yang diperjuangkan oleh ahli ekonomi
daripada sekolah aliran Austria? Adakah kita perlu mengikat kembali wang kertas
dengan komoditi yang bernilai? Bagaimana pula caranya untuk mengembangkan
kredit dan apakah regulasi yang kita akan guna pakai?
Ingin saya tinggalkan kepada kalian
banyak lagi persoalan, tetapi cukuplah sekadar yang diatas dahulu sebagai
permulaan.
Penutup
Kejatuhan nilai Ringgit Malaysia
memberikan kesan yang ketara kepada kita selaku mahasiswa yang menuntut di luar
negara. Jumlah wang saku yang dilihat mengecil, bebanan untuk membayar yuran
pengajian semakin memberat, simpanan menggunakan ringgit menyusut kuasa belinya
dan pelbagai lagi yang dirasai oleh kita di sini.
Pesanan saya, jika kita mempunyai
masalah kewangan disebabkan oleh sumber pendapatan yang tidak menentu,
laksanakanlah tiga perkara:
1. Berniaga
Di
Mesir, pasarannya sangat luas untuk diterokai peluang meraih pendapatan. Jumlah
pelajar yang mencecah ribuan orang memberi makna bahawa terdapat berbagai
keperluan dan kehendak yang wujud. Sama ada terhadap barangan mahupun
perkhidmatan.
Saya
sering memberitahu rakan saya bahawa “kemalasan orang adalah peluang untuk
kita.” Maka manfaatkanlah kemahiran dan pengetahuan yang kalian miliki. Tetapi
pastikan bahawa pekerjaan tersebut selari dengan syariat dan tidak sehingga
menganggu pelajaran.
2. Melabur
Jika
tidak mampu berniaga kerana kesuntukan masa, maka melaburlah dengan wang yang
anda ada. Anda boleh membantu rakan yang ingin berniaga tetapi tidak mempunyai
modal melalui konsep Mudharabah, atau anda boleh bekerja bersama-sama
dengan berkongsi modal melalui konsep Musyarakah.
Ingat,
jangan terperangkap di dalam janji manis skim cepat kaya.
3. Berjimat dan
memulakan simpanan
Setelah
memperolehi wang, berjimatlah. Pastikan anda tahu kemana setiap sen yang anda
belanjakan. Kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. Sentiasa amati
perkembangan nilai mata wang, tukarkan simpanan anda ke mata wang yang lebih
kukuh atau aset yang dijangka dapat mengekalkan nilainya setelah peredaran
masa.
Sekian.
http://www.hargaemas.com.my/terkini/penurunan-nilai-mata-wang-ringgit-malaysia/
ReplyDeleteJazakaAllah di atas penerangan tuan..
ReplyDeleteThanks.. a lot information i get
ReplyDeleteThanks.. a lot information i get
ReplyDeleteThanks.. a lot information i get
ReplyDeleteterima kasih atas info yg tuan berikan..
ReplyDeleteMohon share ye tuan.
ReplyDeletethanks a lot bro
ReplyDeletethanks a lot bro
ReplyDeleteterima kasih atas infonya...
ReplyDeleteterima kasih, sangat membantu
ReplyDeletekerah lagi
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteterima kasih sahabat atas artikal yang padat dengan jawapan buat masa ini, harap kerajaan berhemah. sememangnya, prospek ekonomi malaysia perlu berdaya saing dalam export dan pelancongan kerana malaysia negara yang indah dan kaya dengan bangsa yang majmuk. sekian semoga allah s.w.t membantu kita dalam susah dan senang.
ReplyDeleteterima kasih sahabat atas artikal yang padat dengan jawapan buat masa ini, harap kerajaan berhemah. sememangnya, prospek ekonomi malaysia perlu berdaya saing dalam export dan pelancongan kerana malaysia negara yang indah dan kaya dengan bangsa yang majmuk. sekian semoga allah s.w.t membantu kita dalam susah dan senang.
ReplyDelete