Wednesday, December 25, 2013

Gas Pemedih Mata: Panduan Keselamatan.


Gas Pemedih Mata: Panduan Keselamatan.

Sejak kebelakangan ini, sering berlaku demonstrasi rakyat daripada kalangan mahasiswa yang melibatkan kawasan universiti dan laluan jalanraya yang biasa digunakan oleh pelajar Malaysia di Mesir.

Setiap kali terjadinya pertembungan antara pihak berkuasa dan demostran, pasti kita, pelajar Malaysia akan turut sama terkena tempias gas pemedih mata.

Apakah isi kandungannya?

 Antara jenis gas pemedih mata yang biasa digunakan untuk menyuraikan perhimpunan mahupun demonstasi jalanan adalah o-chlorobenzylidenemalononitrile (CS) dan chloroacetophenone (CN).

Berdasarkan kanister gas pemedih mata yang dijumpai selepas demonstrasi di Tahrir, dipercayai gas pemedih mata yang digunakan oleh pihak berkuasa Mesir bagi berhadapan dengan demonstrasi di sini adalah daripada jenis CS.

CS dan CN adalah ejen lakrimator yang memberikan kesan kepada mata, kulit dan sebarang permukaan mukus terutamanya daripada saluran pernafasan dan permakanan. Mata yang terdedah dengan CS akan merasai kepedihan dan seakan terbakar. Kebiasaannya air mata akan terhasil sebagai reaksi tindak balas.

Mereka yang berada di kawasan yang terdedah pada ejen lakrimator akan merasai  pedih pada kulitnya, sakit tekak, cenderung untuk batuk dan menghadapi kesukaran dalam bernafas.

Kesimpulannya, suasana berada di dalam kawasan yang telah “diserang” oleh gas pemedih mata sangatlah menyeksakan dan sangat pedih.

Adakah gas pemedih mata berbahaya?

Kebiasaannya tidak membawa sebarang mudarat yang berpanjangan kerana kesan sampingan yang disebabkan oleh CS hanya bersifat sementara dan akan beransur-ansur hilang setelah bebas daripada pendedahan kepada CS.

Akan tetapi bagi mereka yang sudah sedia ada mempunyai penyakit berkaitan dengan sistem pernafasan seperti asma berkemungkinan akan berhadapan dengan situasi yang sukar apabila terdedah dengan gas pemedih mata.

Wanita mengandung sangat-sangat tidak digalakkan berada di kawasan yang sedang terdedah dengan gas pemedih mata.

Kelewatan di dalam membersihkan diri mahupun berterusan membiarkan diri terdedah dengan gas pemedih mata juga akan memberikan kesan yang buruk seperti radang kulit.

Langkah berjaga-jaga yang boleh dilakukan.

 Sebelum ke kuliah:
1)      Membawa bersama sebotol air limau atau air kosong.
2)      Sediakan sehelai kain bersaiz sederhana.
3)      Bawa bersama pelindung mata (goggle, jika ada)
4)      Bawa ubat-ubatan peribadi.
5)      Elakkan memakai losyen pada kulit.
6)      Memakai pakaian lengan panjang dan berkasut.

Apabila terpaksa berada di dalam kawasan yang terdedah dengan gas pemedih mata:
1)      Tanggalkan kanta mata pelekap dan jangan memakainya semula walaupun suasana telah beransur reda, bersihkannya dahulu.
2)      Basahkan kain yang dibawa dengan air limau, gunakannya untuk menutup mulut dan hidung.
3)      Meminimakan kawasan kulit yang terdedah. (Elakkan menyinsing lengan baju).
4)      Segera mencari dan menuju ke kawasan yang tidak terdedah dengan gas pemedih mata.
5)      Gunakan goggle. *jika ada.
6)      Jika tiada kain untuk menutup muka, gunakan bahagian dalam baju/jaket anda untuk bernafas. Ini hanya akan membantu untuk sementara waktu sahaja sebelum baju tersebut mulai tepu dengan CS.
7)      Jangan basuh muka dengan air biasa sekiranya air yang anda ada adalah sedikit, ia akan memedihkan lagi wajah anda. Gunakan air limau untuk membasuh kulit anda.
8)      Elakkan terlalu kerap menelan air liur, ludahkannya keluar.
9)      Jangan gosok mata anda dan bernafaslah dengan teratur dan pelahan bagi mengurangkan jumlah ejen lakrimator yang disedut masuk melalui saluran pernafasan.
10)   Jika ingin minum, sebaiknya minumlah dengan air limau yang di bawa.
11)   Elakkan daripada membasahkan tubuh badan anda, ianya hanya akan meningkatkan kepedihan pada kulit anda.

Selepas berada di kawasan yang terdedah kepada gas pemedih mata:
1)      Basuh pakaian yang dipakai secara berasingan daripada pakaian harian yang lain. (gunakan air sejuk)
2)      Mandi dengan air sejuk/bersuhu sederhana. Elakkan penggunaan air panas kerana ia akan menyebabkan pembukaan liang roma dan membolehkan ejen lakrimator yang terdapat pada tubuh masuk.
3)      Jangan meletakkan sebarang losyen atau krim pada kulit yang terjejas kecuali setelah mendapat nasihat pakar atau setelah tubuh badan dibersihkan atau selepas 6 jam (CS larut di dalam lemak, maka penggunaan krim mahupun losyen hanya akan memburukkan keadaan)
4)      Boleh gunakan ais yang dibalut dengan kain bagi mengurangkan rasa pedih pada kulit.
5)       Jika menghadapi kesan sampingan yang lebih teruk seperti blister, penyakit berkaitan sistem pernafasan dan serbuk CS mengenai mata pada kuantiti yang banyak, maka dinasihatkan agar segera berjumpa doktor di pusat rawatan kesihatan yang berdekatan.

Panduan dan ilmu yang dikongsikan di sini adalah bertujuan untuk kegunaan pelajar Malaysia yang berkemungkinan sekali lagi terpaksa melalui suasana demonstrasi yang melibatkan gas pemedih mata.

Tips ringkas bagi mereka yang tidak mampu melaksanakan semua panduan di atas, cukup sekadar ingat tiga kata kunci bagi berhadapan dengan kepedihan terdedah dengan gas pemedih mata:

“Air sejuk, udara dan masa.”

Selamat berjuang dan meneruskan perjalanan menuntut ilmu rakan-rakan semua.

*Air limau tu sedap minum (haha)

No comments:

Post a Comment