Friday, June 6, 2014

Memahami Halangan Perundangan dan Peluang Perlaksanaan Hukuman Jenayah Syariah di Malaysia

Mutakhir ini isu berkenaan perlaksanaan hukuman jenayah syariah kembali menjadi polemik di kalangan rakyat Malaysia. Jika sebelum ini perbincangannya hanya berkisar relevensi mahupun hikmah yang terkandung di dalam perlaksanaannya,pada hari ini hala tuju perbincangan telah melangkah ke satu peringkat yang baru. Masyarakat mula tertanya-tanya di manakah ruang dan peluang untuk perlaksanaannya di dalam kerangka perundangan sedia ada untuk menjadi kenyataan.

Dunia maklumat yang lebih bebas dan terbuka memungkinkan kita melihat reaksi dan respon yang berbagai dalam menanggapi isu ini. Kedengaran suara-suara yang mengatakan bahawa perlaksanaan hukuman jenayah syariah adalah ultra vires atau bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Suara-suara sama  ini jugalah yang mencanangkan bahawa Malaysia adalah Negara Sekular dan agama tidak wajar mencampuri urusan kenegaraan. Justeru itu, artikel ini akan mengupas berkenaan apakah halangan yang wujud menurut aspek perundangan dan apakah solusi disebalik cabaran tersebut bagi menjawab kekeliruan yang timbul.

Artikel ini tidak hanya merujuk kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (ii) 1993 sahaja, tetapi bersifat umum kepada mana-mana inisiatif perlaksanaan hukuman jenayah syariah di Malaysia. Hukuman jenayah syariah yang dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada hukuman Hudud, Qisas, Diyat dan Takzir.

Pengenalan Ringkas Hudud, Qisas, Diyat dan Takzir.

1. Hudud
Terdapat 6 (atau 7, menurut sebahagian pendapat) kesalahan yang berada di bawah Hudud. Antaranya adalah; Syurb (minum arak) ,Qazaf (tuduhan zina) , Zina, Sariqah (mencuri) , Hirabah (merompak), Irtiddah (murtad) dan bughah (pemberontakkan terhadap kerajaan).

2. Qisas
Kesalahan yang dikenakan hukum balas. Sebagai contoh; membunuh dibalas dengan dibunuh, mencederakan dibalas dengan dicederakan.Persamaan antara hukuman Hudud dan Qisas adalah ianya telah ditetapkan oleh Allah swt pada kadar dan jenis hukumannya. Akan tetapi, Qisas hanya akan dilaksanakan sekiranya dituntut oleh mangsa mahupun ahli keluarga mangsa.

3. Diyat
Hukuman diyat adalah bersangkutan dengan hukuman Qisas. Melalui hukuman ini, pesalah perlu membayar ganti rugi kepada waris mangsa diatas kesalahan terhadap mangsa. Kesalahan yang dikenakan hukuman Diyat adalah seperti; pembunuhan tidak sengaja dan pembunuhan dengan sengaja tetapi telah dimaafkan oleh keluarga mangsa daripada dikenakan hukuman Qisas.

4. Takzir
Merupakan hukuman terhadap kesalahan yang tidak ditetapkan kadar dan jenis hukumannya oleh Allah swt. Tertakluk kepada kebijaksanaan ulil amri atau pemerintah.

Halangan Perundangan

Meninjau sejarah usaha yang digerakkan bagi merealisasikan perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 Kelantan sebagai contoh, menunjukkan bahawa terdapat berbagai rintangan yang wujud. Bukan sekadar dari sudut perundangan, malah turut sama melibatkan pengaruh politik, pendidikan dan kefahaman rakyat dalam isu ini. Akan tetapi, penulisan ini hanya akan membincangkan halangan-halangan yang ada dari perspektif perundangan sahaja.

Di sini saya simpulkan bahawa terdapat tiga halangan untuk dibincangkan:


  1.          Perlembagaan Persekutuan
  2.         Akta Mahkamah Syariah 1965 (pindaan 1984)
  3.      Dewan Rakyat (Keinginan Politik)

Perlembagaan Persekutuan

Saya akan nyatakan beberapa pandangan daripada pelbagai pihak yang menyatakan bahawa hukuman jenayah syariah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan secara satu persatu:

          1. Jadual Kesembilan

Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan adalah berkenaan senarai perundangan. Terdapat tiga senarai di dalamnya; Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Ianya menjelaskan pembahagian bidangkuasa persekutuan dan negeri.

Di dalam Senarai Persekutuan, butiran keempat menyatakan bahawa undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan adalah dibawah bidangkuasa persekutuan.

Manakala di dalam Senarai Negeri, butiran satu pula menjelaskan bahawa:

Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama islam, termasuk hukum Syarak …………kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan……..tidak mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan….”

Berdasarkan Jadual Kesembilan, jelas menunjukkan bahawa kesalahan jenayah seperti membunuh, merompak, mencuri yang berada di bawah hukuman Hudud dan Qisas adalah di bawah bidangkuasa persekutuan. Justeru itu, Negeri tidak boleh menggubal sebarang undang-undang yang bercanggah dengan bidangkuasanya sepertimana yang dinyatakan di dalam Artikel 74 di dalam perlembagaan.

        2. Artikel 4 dan Artikel 75

Di dalam Artikel 4 (1) ada menyatakan bahawa:

Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.”

Manakala, di dalam Artikel 75 pula menyebut:

“Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang perseketuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.”

Pertindihan bidangkuasa yang wujud di antara persekutuan dan negeri dalam perlaksanaan hukuman jenayah syariah memungkinkan untuk perlaksanaannya tidak dapat dilaksanakan secara keseluruhan.

        3. Artikel 7

Artikel ini merujuk kepada larangan terhadap double jeopardy atau wujudnya potensi bahawa mana-mana warganegara boleh terdedah kepada perbicaran berulang terhadap kesalahan yang sama.

Melalui perlaksanaan hukuman jenayah syariah yang turut sama meliputi jenayah yang terletak dibawah bidangkuasa negeri dan diadili melalui Kanun Keseksaan seperti kesalahan mencuri, merompak dan membunuh, akan mendedahkan seseorang warganegara itu kepada potensi dibicarakan di dua mahkamah yang berbeza; Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah pada kesalahan yang sama.

Perkara ini bercanggahan dengan Artikel 7.

        4. Artikel 8

Artikel ini merujuk kepada kesamarataan. Tidak boleh terdapat sebarang diskriminasi terhadap warganegara atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh perlembagaan.

Sebarang kanun hukuman jenayah syariah yang hanya memperuntukkan kepada orang muslim sahaja adalah bertentangan dengan prinsip kesamarataan yang terdapat di dalam Artikel 8 ini.  

Akta Mahkamah Syariah 1965 (Pindaan 1984)

Akta ini telah memperuntukkan bahawa bidangkuasa Mahkamah Syariah hanyalah:

      1.       Terhadap kesalahan yang diperuntukkan di dalam Jadual 9, Senarai Negeri sahaja.
      2.       Had hukuman hanya sekadar; 3 tahun penjara, RM 5,000 denda dan 6 kali sebatan.

Bidangkuasa Mahkamah Syariah yang diperuntukkan melalui akta ini adalah sangat rendah dan tidak mempunyai kuasa untuk mengadili kesalahan Hudud dan Qisas menurut kadar dan jenis hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah swt.

Dewan Rakyat (Keinginan Politik)

Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa hukuman jenayah syariah memerlukan pindaan Perlembagaan, dan terdapat juga pandangan yang berpegang bahawa hanya perlu sekadar meminda Akta 355.

Artikel 159 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa sebarang pindaan terhadap perlembagaan memerlukan undian 2/3 daripada ahli parlimen iaitu sejumlah 148 undian. Manakala bagi sebarang pindaan akta mahupun sebarang undang-undang selain perlembagaan hanya memerlukan undian majoriti  mudah (112 undian).

Melihat kepada jumlah ahli parlimen muslim di Dewan Rakyat yang hanya berjumlah 137 orang sahaja, ianya tidak mencukupi untuk memperolehi undian majoriti 2/3 sekiranya diperlukan pindaan pada perlembagaan.

Sekiranya dipecahkan bilangan ahli parlimen muslim tersebut mengikut blok oposisi dan kerajaan, maka kita akan mendapati bahawa Barisan Nasional mempunyai seramai 101 orang dan 36 orang yang berbaki adalah daripada Pakatan Rakyat. Disini jelas menunjukkan bahawa perlunya kerjasama dan kesepakatan ahli parlimen muslim di dalam isu ini merentasi sempadan kepartian. Sekiranya tiada kesatuan di dalam hal ini, maka menjadi kesukaran untuk meluluskan hatta pindaan akta yang hanya memerlukan undian majoriti mudah.

Berdasarkan kepada tinjauan terhadap kenyataan rasmi mahupun tidak rasmi pimpinan dan wakil-wakil setiap parti politik, potensi bagi sebarang rang undang-undang berkenaan hukuman jenayah syariah pada ketika ini dapat diluluskan adalah sangat tipis.

Bahkan, usaha untuk mendapatkan kelulusan Parlimen menjadi lebih sukar sekiranya usul pindaan yang dibawa oleh persendirian bukan daripada kerajaan. Menjadi kelaziman untuk speaker dewan mengutamakan usul yang dibawa oleh kerajaan terlebih dahulu dan speaker mempunyai keupayaan tidak meluluskan untuk dibahaskan sekiranya pada pandangannya bahawa usul tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Gambaran ini jelas menunjukkan bahawa kita selaku pendokong agama Allah seharusnya perlu lebih bekerja keras dan tersusun dalam penyampaian penerangan berkenaan kompenen hukuman jenayah syariah, bukan sekadar kepada masyarakat muslim, tetapi turut sama kepada golongan bukan islam. Kefahaman mereka perlu dibina dan salah faham perlu diperbaiki agar sokongan rakyat terhadap perlaksanaan hukuman ini kukuh tanpa mengira status agama seterusnya menjadi kuasa desakan kepada setiap ahli parlimen untuk merealisasikan aspirasi dan mandat daripada rakyat.

Ruang dan Peluang Perlaksanaan Hukuman Jenayah Syariah

Pada penulisan ini saya bawakan tiga pandangan berkenaan jalan-jalan yang ada bagi membolehkan hukuman jenayah syariah dapat diluluskan dan dilaksanakan:

      1. Pandangan Pertama: Melakukan pindaan pada perlembagaan dan Akta Mahkamah Syariah.

Pandangan yang pertama ini merupakan pandangan yang dipegang oleh majoriti pihak. Mereka berpandangan bahawa perlu dipinda butiran satu pada Senarai Negeri dengan membuang perkataan “…kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan…”  supaya perihal kesalahan Hudud dan Qisas yang terdapat di dalam Senarai Persekutuan dapat dijalankan hukumannya oleh Negeri melalui Mahkamah Syariah.

Disamping pindaan terhadap Senarai Negeri, Akta 355 atau Akta Mahkamah Syariah juga perlu dipinda. Had bidangkuasa Mahkamah Syariah perlulah ditingkatkan bersesuaian dengan kadar yang diletakkan oleh Allah swt.

Kesannya, akan berlaku beberapa pertindihan antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di dalam beberapa kesalahan jenayah. Akan tetapi boleh diselesaikan sekiranya:

a.       Sebarang kesalahan yang melibatkan pesalah muslim terhalang untuk diadili di Mahkamah Sivil dan akan dibicarakan di Mahkamah Syariah. ATAU
b.      Siasatan akan dimulakan oleh badan-badan tertentu dan laporan siasatan diserahkan kepada pendakwa raya untuk ditentukan samada kes tersebut akan diadili di Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah sepertimana yang akan digunapakai di Negara Brunei.

Bagi merealisasikan perlaksanaan hukuman jenayah syariah dengan menggunakan pandangan ini, kita memerlukan undian sebanyak 148 undian daripada ahli parlimen.

      2.  Pandangan Kedua: Hanya perlu melakukan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah sahaja.

Beberapa individu seperti Prof. Aziz Bari dan Hanipa Maidin berpandangan bahawa tidak memerlukan kepada pindaan perlembagaan, memadai dengan meminda Akta 355 sahaja dengan meningkatkan had bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Pandangan ini didasari beberapa hujah:

a.       Tafsiran terhadap agama Islam selaku agama persekutuan sebagai bersifat upacara (ceremonial) semata-mata adalah silap dan perlu diberikan tafsiran baru yang bersifat ad-deen (Islam sebagai suatu cara hidup). Ini adalah kerana tiada tafsiran berkaitan agama Islam di dalam Artikel 160 yang berkaitan dengan tafsiran perlembagaan mahupun di dalam Akta Tafsiran 1948. Bahkan, Perlembagaan Persekutuan bersifat sui juris, bermakna ianya berdiri sendiri tanpa terikat dengan mana-mana tafsiran mahkamah hatta Mahkamah Agung sekalipun.

Justeru itu, walaupun sebelum ini kita sering merujuk kepada tafsiran yang digunakan oleh Mahkamah Agung di dalam kes Che Omar Che Soh yang menyatakan bahawa Islam adalah bersifat upacara semata-mata, ini tidak bermakna tafsiran baru yang lebih tepat dan berdasarkan al-Quran dan sunnah tidak boleh dilakukan.

Kesan daripada tafsiran songsang ini telah mewujudkan gambaran salah bahawa Negara Malaysia adalah Negara Sekular, secara tidak langsung menimbulkan persepsi bahawa hukuman jenayah syariah tidak mempunyai tempat di Negara ini.

b.      Agama Islam mempunyai kedudukan yang istimewa di dalam perlembagaan. Kedudukan agama Islam dilindungi berdasarkan Artikel 3, 8, 11, 12, 121 dan 150.

Di dalam Artikel  11 yang merujuk kepada kebebasan beragama ada menyatakan bahawa setiap warganegara berhak menganuti dan mengamalkan agamanya. Adakah perlaksanaan syariat agama Allah secara menyeluruh meliputi perundangan adalah bersalahan dengan perlembagaan sekiranya tafsiran Islam sebagai ad-deen  bukan lagi ceremonial  telah dibuat?

c.       Walaupun di dalam butiran satu Senarai Negeri telah menyebut dengan khusus satu persatu urusan keagamaan selepas dinyatakan perkataan “Hukum syarak” . Akan tetapi bagi mereka yang berpandangan dengan pandangan kedua ini berpendapat bahawa ianya tidak menjadikan tafsiran “Hukum syarak” menjadi sempit dan khusus.

Kerana menurut Artikel 74 (4) jelas menyatakan bahawa keluasan ungkapan am di dalam Jadual Kesembilan tidak boleh dihadkan oleh mana-mana ungkapan khusus. Maka, meskipun selepas ungkapan “Hukum syarak” telah disusuli dengan perincian seperti undang-undang kekeluargaan, zakat dan sebagainya, ianya boleh ditafsirkan dengan lebih luas merangkumi Hudud dan Qisas.

      3. Pandangan Ketiga: Melakukan pindaan terhadap Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Keterangan.

Pandangan yang ketiga merupakan pandangan yang sangat baik akan tetapi agak terpencil dan kurang diketahui. Kemungkinan kerana ramai pihak hanya menumpukan perhatian kepada peringkat Negeri semata-mata.

Menurut pandangan ini, kesalahan jenayah syariah yang sedia ada di dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) seperti mencuri, merompak, merogol dan membunuh akan tetap diadili di Mahkamah Sivil. Akan tetapi pindaan perlu dibuat terhadap Kanun Keseksaan dan Akta Keterangan bagi menjadikannya patuh syariah.

Sebagai contoh, kesalahan mencuri yang berada di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan dikenakan hukuman maksimum penjara 7 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dipinda dengan menambah had hukuman potong tangan di dalam pilihan hukuman.

Maka, penentuan samada seseorang pesalah itu akan dikenakan hukuman dibawah takzir atau hudud adalah dibawah Hakim. Susulan daripada itu,penambahbaikan Mahkamah Sivil seperti mewujudkan Syariah Bench dan memastikan terdapat hakim yang berkelayakan di dalam ilmu perundangan jenayah syariah perlu dibuat.

Akta Keterangan juga perlu dipinda agar cara keterangan dan pembuktian menurut Islam dapat digunapakai di Mahkamah Sivil.

Kesannya, tidak akan timbul isu pelanggaran Artikel 7 (2) dan Artikel 8 dalam perlaksanaan hukuman jenayah syariah. Bukan itu sahaja, malah perlaksanaannya meliputi seluruh Malaysia bukan sekadar negeri-negeri tertentu sahaja.

Penutup

Polemik hukuman jenayah syariah yang melanda Negara kita telah menyedarkan kita betapa usaha-usaha dalam memartabatkan syariah Allah di bumi Malaysia amat mendambakan kesatuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak daripada pelbagai lapangan kepakaran.

Semoga gerak kerja meninggikan kalimah Allah tidak terhenti hanya pada isu ini, akan tetapi berterusan merangkumi keseluruhan aspek kehidupan samada ekonomi, pendidikan, politik dan perundangan.

Thursday, June 5, 2014

Kasut

Kasut.

Ada org, kasutnya sempit. Perit bila berjalan. Apatah lagi nak berlari. Tetapi semua org pinta dia berlari pantas dan berasa tidak senang apabila dia tersungkur.

Ada org, kasut yg dipakainya bersaiz besar. Longgar bila berjalan. terpaksa mengheret kakinya apabila berjalan. Perlahan-lahan menuju destinasi.

Ada org, kakinya kuat. Persis pelari pecut. Tetapi diberi kasut tumit tinggi untuk berlari. Maka terkehel kakinya sehingga terpaksa direhatkan.

Ada org, dirinya mahir menari ballet. Kakinya cantik bila menyusun gerak langkah. Tetapi diberi kasut spike untuk lari pecut. Pincang habis tariannya.

Kaki kamu. Kaki dia.
Kasut kamu. Kasut dia. Tidak sama.

Fahamilah perbezaan tersebut dan berilah kasut sesuai dgn kaki-kaki itu.

Teruskan melangkah wahai rakan.

Setelah berkata..

Kita akan diuji terhadap apa yg kita katakan.

Jika kita sebut tentang pengorbanan. Maka akan didatangkan pada kita situasi yg menuntut akan pengorbanan.

Jika akhlak yg kita bicarakan. Suatu hari kemudian kita akan diuji akan sesuatu yg menguji kawalan akhlak kita.

Kerna itu ramai takut untuk menyampaikan nasihat.

Takut untuk tidak mampu diuji. Tapi jika selamanya takut, sampai bila?

Medan membuktikan kata-kata adalah selepas mengatakannya.

Lalat

[Lalat]

Rimas. Tak selesa.

Setiap kali lalat hinggap pada tubuh badan kita mesti akan rasa rimas sangat-sangat.

Tapi kalau dgn rimas itu yang bantu kita terbangun awal untuk subuh. Dengan rimas itu boleh merencatkan rasa nak bermaksiat dan dengan rimas itu juga mampu untuk memaksa kita bingkas bangun dripada trus berbaring, mandom hingga tak trlaksana amanah.

Maka. Bersyukurlah pada pencipta lalat.

Lalat sangat sinonim dgn perkara jijik dan kotor. Tetapi turut sama menghurungi diri kita, tidakkah dengan ini sudah cukup menjadi peringatan buat diri kita?