Friday, October 25, 2013

GST v.s SST

Apakah itu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)?

GST adalah cukai penggunaan (Consumption Tax) yang dikenakan pada setiap aktiviti nilai tambah (value-adding activity) pada setiap peringkat rangkaian pengeluaran barang dan perkhidmatan, termasuk  yang diimport. Melainkan pada barangan mahupun perkhidmatan yang telah dikecualikan oleh kerajaan.

GST juga turut dikenali sebagai Value Added Tax (VAT) di sebahagian negara.

Cukai ini mula-mula digunapakai adalah di Negara Perancis pada tahun 1954. Kini sebanyak 146 -160 buah negara seluruh dunia sudah menggunapakai sistem cukai sebegini. Semua negara ASEAN telah menggunakan sistem ini kecuali Negara Malaysia, Brunei dan Myanmar.

SST?

Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (Sales and Service Tax – SST) pula adalah merupakan cukai yang telah digunapakai oleh Kerajaan Malaysia semenjak daripada tahun 1972.

Cukai Jualan adalah cukai yang dikenakan pada peringkat pengilangan dan import, dengan kadar sekitar 5% - 10% secara umumnya berbeza kepada jenis barangan.

Cukai Perkhidmatan pula adalah cukai yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tertentu termasuk makanan, minuman, tembakau, perkhidmatan professional dan perundingan. Cukai ini dikenakan pada kadar 6%.

SST kebiasaannya dikenakan ke atas bil telekomunikasi, internet, ASTRO, tiket wayang, tiket parking, barangan di supermarket, KFC, McD, Pizza dan Pizza.

Mengapa kerajaan ingin menukarkan SST kepada GST?

Rang undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah mula dibacakan di Dewan Rakyat pada tahun 2009 dan dirancang untuk mula dilaksanakan pada tahun 2011, akan tetapi berikutan beberapa tentangan dan permasalahan hasrat ini telah tertangguh sementara.

Sehinggalah pada tahun ini apabila ura-ura GST akan mula diperkenalkan telah menjadi kenyataan apabila telah dibentangkan bersama Pembentangan Bajet 2014 oleh Dato Seri Najib Razak.

Pemansuhan SST dan digantikan kepada GST adalah bertujuan untuk mengatasi kelemahan sistem cukai sedia ada dan bagi mengatasi isu cukai bertindih (cascading tax), berganda (double tax), pemindahan harga dan nilai pindah (transfer pricing), tiada pelepasan lengkap barang dieksport, menggalakkan integrasi menegak, kerenah birokrasi pentadbiran, isu-isu klasifikasi dan lain-lain.

GST dilihat mampu meningkatkan pematuhan pembayaran cukai (tax compliance) kerana mempunyai mekanisme yang tersedia menjadikan pentadbiran cukai lebih berkawalan kendiri (self-policing) dan dengan ini akan mempertingkatkan pematuhan. Berbeza dengan SST sedia ada yang mempunyai banyak kelemahan yang menyukarkan pentadbiran.

GST adalah sebahagian daripada program reformasi cukai kerajaan.

Cukai Berganda (Double Tax?)

Pada Cukai Perkhidmatan (Service Tax) sedia ada, pengguna akan menghadapi penggandaan cukai atau tax on tax.

Pengguna terpaksa membayar cukai yang dikenakan di peringkat rangkaian pengeluaran kerana cukai yang dikenakan di peringkat pengeluaran awal (input tax) telah dikira sebagai kos kepada pembeli yang selepasnya. Maka pertambahan kos itu telah dimasukkan kepada harga caj perkhidmatan sebelum dikenakan cukai sekali lagi pada jumlah harga tadi kepada pengguna yang merupakan penerima akhir rantaian.

Berbeza dengan GST, dimana pengguna hanya perlu membayar cukai yang dikenakan di peringkat perkhidmatan terakhir kerana input tax akan dituntut semula oleh pihak peniaga sebagai kredit seterusnya akan mengurangkan kos yang dihadapi peniaga.

Tranfer Princing? Ana tak berkesempatan nak memanjangkan penulisan ini. Diharapkan agar pembaca memperbanyakkan bacaan berkenaan kesan, kelebihan dan kekurangan GST dan SST sebelum ini.

Apakah kesan perlaksanaan GST dan pemansuhan SST?

Ana bukan seorang yang mahir secara khusus di dalam bidang ekonomi, cuma membiasakan diri dan memperbanyakkan bacaan di dalam isu ini semenjak mula diperkatakan.

Antara perkara yang dikhuatiri oleh masyarakat awam adalah seperti kenaikan harga barang secara mendadak dan berlaku penipuan daripada para peniaga. Gambaran yang muncul dalam minda masyarakat adalah seperti seolah-olah semua perkara akan dikenakan cukai selepas ini. Perkara ini menakutkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Salah faham yang sangat ketara apabila beranggapan GST merupakan pertambahan cukai yang baru telah menyebabkan rakyat semakin bimbang. Hakikatnya, GST adalah sebagai ganti kepada SST yang akan dimansuhkan bagi menggantikan sistem baru GST.

Kadar cukai GST adalah hampir sama dengan kadar Cukai Jualan sedia ada, akan tetapi rakyat tidak menyedarinya berikutan jumlah Cukai Jualan telah dimasukkan ke dalam harga barang dan dikira sebagai kos barang. Berbeza dengan GST yang tidak dimasukkan ke dalam harga barang dan akan dinyatakan di dalam resit jumlah yang dikenakan. Berikutan itu, jurang perbezaan harga asal dengan harga selepas diperkenalkan GST adalah sangat minima.

GST juga hanya dikenakan kepada perusahaan yang melepasi jumlah perolehan pendapatan tahunan melebihi kadar RM 500,000. Tidak semua pengeluaran akan dikenakan GST, terutama perusahaan kecil. Ini adalah bertujuan supaya kawasan desa tidak terjejas dengan GST.

Di dalam GST, terdapat tiga kategori kadar cukai yang telah ditetapkan. Yang pertama adalah standard rate, zero-rated dan exempted.

Kerajaan telah mengumumkan bahawa tidak akan dikenakan GST kepada barangan asasi seperti beras, gula, garam, rempah ratus, sayur-sayuran, binatang ternak (daging dan organ dalaman), tepung, ikan, penggunaan elektrik 200 KWH yang pertama, bekalan air 35 meter padu yang pertama, perkhidmatan pengangkutan seperti bas, KTM, feri dan sebagainya, perkhidmatan kesihatan oleh kerajaan. Perlaksanaan ini samada melalui zero-rated atau exempted.

Pengenalan GST ini tidak akan memberikan impak yang besar kepada harga barangan akan tetapi ianya bergantung kepada kecekapan pengurusan kerajaan. Kerajaan melalui Akta Anti-Pencatutan (Anti-Profeeting Act) akan digunakan bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan.

Kemungkinan bagi harga barang dan perkhidmatan naik itu ada pada sesetengah barangan. Kenaikan harga juga boleh berpunca daripada caj perkhidmatan yang dikenakan oleh sebahagian peniaga tetapi caj itu bukan merujuk kepada caj Cukai Perkhidmatan yang dikenakan oleh kerajaan, jadi caj itu peniaga itu tetap berkemungkinan akan mengenakan caj yang sama disamping GST nanti.

Bagaimana salah faham tentang GST berlaku?

Pada awal pengenalan GST pada rakyat pada tahun 2005, pelbagai andaian telah muncul seperti GST dilihat sebagai tambahan cukai yang baru, GST akan dikenakan pada semua jenis barangan termasuk barangan asasi dan kesihatan.

Penggunaan istilah juga telah mengelirukan rakyat, sebagaiman hebahan sebelum ini yang menunjukkan di dalam resit terdapat kenaan cukai SST, tetapi telah ditulis Government Service Tax (GST). Sedangkan, seharusnya digunakan istilah SST bagi merujuk Service Tax. Di dalam hebahan itu menunjukkan kadar yang dikenakan sebanyak 6%, kadar ini telah lama dikenakan semenjak tahun 1975. Tetapi salah faham telah timbul berikutan pengggunaan istilah yang silap.

Perkara-perkara seperti ini telah membawa kepada penentangan oleh rakyat, lebih-lebih lagi di dalam suasana iklim politik hari ini yang rakyat akan sentiasa menanggapi apa yang dibawa oleh kerajaan adalah buruk dan membebankan.

Keyakinan rakyat kepada kerajaan sudah parah terhakis menyebabkan rakyat sukar menerima sesuatu yang baru. Rakyat hanya mahukan transformasi daripada cara pengurusan kerajaan dilakukan terlebih dahulu supaya ketirisan dan penyelewengan dapat diatasi sebelum mula mengenakan pelbagai perkara yang mengusik kantung duit rakyat seperti penarikan subsidi, pengenalan cukai dan tiada pengstrukturan semula cukai pendapatan bagi meningkatkan pendapat boleh-guna rakyat.

Penerangan yang menyeluruh perlu dilaksanakan.

GST akan mula dilaksanakan pada 1 April 2015. Kerajaan telah memperuntukkan tempoh 17 bulan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada rakyat berkenaan GST sebelum ianya dapat dilaksanakan.

Tempoh ini perlu digunakan sebaiknya bukan sekadar di laman web kerajaan tetapi meliputi penerangan yang terus kepada rakyat.

Penutup: Adakah GST akan membebankan rakyat?

Akan ada harga barangan yang turun dan akan ada pula yang naik. Tetapi perubahan ini tidak akan ketara kerana kadar yang dikenakan hampir sama seperti SST sedia ada, malah lebih rendah.

Dalam masa yang sama, kerajaan seharusnya melihat dan menyusun atur sistem pencukaian pendapatan rakyat  bagi memastikan pendapatan boleh-guna rakyat dapat ditingkatkan, bukan sekadar memperkenalkan cukai baru bagi membaiki pendapatan negara.

Penerangan kepada rakyat juga perlu menyeluruh bukan sekadar menyentuh isu GST-SST, akan tetapi mengaitkan dengan apa yang sudah berlaku melalui rasionalisasi subsidi sebelum ini seperti pada RON 95 dan gula. Bentangkan kajian samada gabungan GST dan penurunan subsidi ini memberikan kesan negatif atau sebaliknya pada rakyat dan penerangan bagaimana bantuan sokongan seperti BR1M dapat membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.


1 comment:

  1. terima kasih atas perbandingan diatas. saya dah dapat gambarannya.

    ReplyDelete