Wednesday, April 30, 2014

Hudud: Adakah Undian MP Akan Mencukupi?

Jika dibuat pengiraan, MP Muslim hanyalah berjumlah seramai 137 orang (101 BN, 36 PR). Dalam 36 orang muslim daripada PR, hanya 21 orang daripada PAS dan dalam 101 orang muslim daripada BN hanya 88 orang daripada UMNO.

Untuk meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan 2/3 (148 orang) daripada seluruh MP. Manakala, bagi meluluskan RUU selain daripada pindaan Perlembagaan, cukup sekadar majoriti mudah (112 orang).

Ada dua pandangan untuk merealisasikan kelulusan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan:-

1) Perlu pinda perlembagaan dan Akta Mahkamah Syariah 1965. Kerana bercanggah dengan Perkara 8 dan berlaku pertindihan bidangkuasa dengan penal code yang berada di bawah senarai persekutuan jadual sembilan. Maka memerlukan 2/3 undi.

2) Hanya perlu pinda Akta Mahkamah Syariah 1965 sahaja dengan mengubah had hukuman yang diletakkan pada pindaan 1988 (365: 3 tahun penjara, 6 kali sebatan dan RM 5,000 denda). Pandangan ini berhujahkan bahawa hanya perlu penafsiran yang tepat pada Perkara 3 (1), ungkapan 'Hukum Syarak' pada perenggan pertama senarai negeri jadual sembilan dan turut sama menggunakan Perkara 76 (a). Maka memerlukan 112 undi.

Jika benar pandangan kedua boleh digunakan. Memerlukan kesatuan daripada semua MP Muslim untuk mengundi, tidak memadai jika hanya UMNO dan PAS sahaja yang menyokong.

Tetapi sekiranya pandangan pertama yang digunapakai, maka kita memerlukan tambahan MP daripada non muslim untuk menyokong sama.

Melihatkan pada gaya undian di Parlimen yang hanya mengikut pendirian Parti seperti dalam isu GST yang lepas dan kenyataan rasmi dan tidak rasmi parti-parti selain PAS. Tampak sukar untuk mencapai bilangan undi walaupun dengan hanya majoriti mudah.

Apa-apa pun, kita gunakan kesempatan ini untuk menjernihkan pandangan masyarakat berkenaan hudud. Tak dapat semua, jangan tinggal semua.

Monday, April 28, 2014

Perlembagaan Menjamin Hak Kebebasan Beragama

Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan ada menyatakan bahawa setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.

Selama ini bila dilihat pada Perkara 11, sering dirujuk pada golongan minoriti, agama anutan selain daripada Islam. Adakah Islam terkeluar daripada tafsiran 'Agama yg berhak dianuti dan diamalkan' di dalam perlembagaan?

Tidak. Malah Islam mempunyai keistimewaan di dalam Perlembagaan apabila disebutkan dalam Perkara 3, 8, 11, 12, 121, 150 dan kedudukan Yang Dipertuan Agong dalam urusan hal ehwal agama Islam.

Maka, kenapa apabila hasrat rakyat di Kelantan yang diwakili oleh DUN Negeri Kelantan untuk melaksanakan Perundangan Islam bagi melengkapkan pengamalan agama Islam secara menyeluruh telah mendapat tentangan banyak pihak?

Mereka menggunakan hujah bahawa perlaksanaan hudud itu bertentangan dengan Perlembagaan, sehingga timbul kenyataan dripada Ketua Pemuda MCA bahawa akan menghalang PAS daripada membawa private bill tersebut dengan benteng manusia sekiranya PAS tetap ingin mengusulkan di Dewan Rakyat. Sedangkan, tindakan mereka inilah yang bertentangan dengan Perlembagaan.

PAS bukan ingin melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah secara illegal dan membelakangi prinsip demokrasi dan perlembagaan. Tetapi PAS menyatakan hasratnya melalui jalan yg sah. Bukankah memang antara tugas Parlimen untuk membincangkan berkenaan dasar dan penggubalan undang-undang?

Bahkan, Perkara 159 dan 161(e) adalah berkenaan pemindaan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Menunjukkan bahawa Perlembagaan itu boleh dipinda. Adakah tindakan PAS untuk mengusulkan RUU yang sekiranya ada keperluan pemindaan perlembagaan adalah bercanggah dengan Perlembagaan? Tidak.

Perlembagaan bukanlah tidak pernah dipinda, malah telah berpuluh kali dipinda.

Kenyataan bahawa Perlembagaan Persekutuan itu sendiri mencerminkan bahawa Negara Malaysia adalah sebuah negara sekular adalah tafsiran terburu-buru dan tidak boleh dijadikan alasan hudud tidak boleh dilaksanakan.

Meskipun pengamalan sebelum ini yang menggunapakai tafsiran Islam sebagai agama persekutuan ini hanyalah bersifat upacara dan istiadat bukan ad-deen atau cara hidup. Tetapi, adakah ini bermakna tafsiran ini rigid, tidak boleh berubah?

Tidak. Saya cenderung pada pandangan saudara Hanipa Maidin, Pengerusi Lajnah (Biro) Undang-undang PAS dalam isu berkaitan penafsiran Agama Islam sebagai Agama Persekutuan.

(Boleh baca disini: http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/27185-hudud-perlukah-dipinda-perlembagaan)

Saya kembalikan semula persoalan pada anda, adakah salah Kelantan ingin melaksanakan hudud?

Bukankah kita menjunjung prinsip demokrasi? Jika YA, ketahuilah bahawa rakyat Kelantan telah memberikan mandat melalui DUN kelantan sejak sekian lama. Hormatilah permintaan mereka.

Thursday, April 24, 2014

Peluang Dakwah Disebalik Cabaran Hudud


[Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993]

2 April yang lalu, MB Kelantan mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan mengusulkan RUU persendirian ke Parlimen untuk mendapatkan kelulusan bagi membolehkan perlaksanaan hukuman hudud di Kelantan.

Melihatkan kelainan pada kesediaan UMNO dan ketegasan PAS di dalam usaha untuk membolehkan undang-undang ini dapat dilaksanakan telah membawa tahap perbincangan dan penilaian terhadap isu ini ke tahap yang baru.

Penelitian pada lambakan artikel yang menyentuh berkenaan isu ini jelas menunjukkan bahawa majoriti masyarakat Malaysia masih tidak memahami akan hudud itu sendiri.

Bukan sahaja pada yang menolak, bahkan pada kalangan mereka yang mendokong idea perlaksanaan hudud ini.

Penjelasan atau jawapan mudah seperti:
"Kalau tak buat salah, kenapa perlu takut dengan hudud."

"Nanti kamu akan faham dan nampak keindahan perlaksanaannya."

"Kamu sendiri yang tidak faham."

Jawapan mudah dan tergantung sudah tidak mencukupi dan tidak relevan pada hari ini. Tetapi apakan daya, bagaikan tugas penerangan ini terpundak pada layman kerana agamawan itu membisu. Sudah pasti sukar untuk penerangan yang baik dapat dibuat.

Institusi keagamaan dan intelektual agamawan perlu tampil menjelaskan dan berperanan. Media juga perlu telus, tidak hanya semata-mata menampilkan kritikan terhadap usaha Kelantan dalam perlaksanaan undang-undang.

Penjelasan dan pendidikan berkenaan hudud perlu telus dan berpaksi pada kaedah perlaksanaanya dalam zaman hari ini. Penerangan juga hendaklah tidak hanya tertumpu pada masyarakat muslim, tetapi perlu dipanjangkan kepada rakan-rakan non-muslim juga.

Kenyataan bahawa non-muslim tidak akan terlibat dengan hukuman hudud tidak cukup bagi mereka dan tidak boleh dijadikan hujah untuk kita bermudah-mudahan dan sambil lewa dalam penerangan terhadap mereka, kerana walaupun RUU ini boleh diluluskan dengan hanya meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 yang hanya memerlukan majoriti mudah (112 undian), tetapi perlaksanaan yang hanya dikenakan pada orang Islam akan menjadikannya tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.


Perkara 8 (Kesemarataan) di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak membolehkan sebarang perbezaan dan diskriminasi kenaan undang-undang berlaku. Ini menyebabkan masyarakat non-muslim tidak menerima penyataan bahawa non-muslim tidak terlibat sama. Kerana ini, mereka turut sama menentang dan berbicara berkenaan hudud.

Hudud dianggap kejam, barbaric dan undang-undang kuno. Model yang ada dijalankan di beberapa negara luar gagal membawakan maksud sebenar perlaksanaan Hudud. Justeru itu, dikala ramai yang ingin tahu, ini adalah peluang baik untuk kita menyampaikan penerangan yang benar pada yang tersalah faham sebelum ini.

Pendokong usaha perlaksanaan hudud perlu keluar daripada kepompong selesa mereka selama ini. Timeline Facebooknya yang hanya penuh dengan rakan-rakan yang menyokong hudud tidak mencerminkan kehendak masyarakat terhadap penerangan jitu berkenaan implementasi hukuman hudud di Malaysia. Belum dilihat pada lingkungan kehidupan kita sendiri yang berkisar berkenaan rakan yang sefikrah dan sama ideologi dengan kita. Akhirnya kita rasa selesa dan beranggapan semuanya akan berjalan dengan baik tanpa perlu berbuat sesuatu.


Jika agamawan ramai menyepi dengan fakta yang mencerahkan, saya khuatir usaha media yang menyerang perlaksanaan hudud akan menang. Doktrin salah akan terus tertanam pada pemikiran masyarakat yang akan lebih menyukarkan pemahaman terhadap Islam pada aspek perundangan secara khususnya dan imej Islam itu sendiri secara amnya.

Semoga Allah redha.