Saturday, March 14, 2015

GST: Selepas Perbincangan Hukum Kemudiannya Apa?

Menjelang hampirnya tarikh perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), perbahasan berkenaannya dirancakkan kembali melalui penganjuran wacana dan penulisan ilmiah daripada kedua-dua belah pihak; yang menyokong dan juga yang menentang.

Jika ditelusuri sejarah, kita akan mendapati bahawa isu pencukaian sentiasa segar menjadi tema perbincangan dan dasar perjuangan yang memacu mobilisasi rakyat sepanjang zaman. Pengamatan di dalam sejarah peradaban pemerintahan Khilafah Islamiyyah mengajar kepada kita bahawa terdapat dua jenis pemerintah jika diklasifikasi berdasarkan cara menangani perbendaharaan negara dan pengutipan cukai. Jenis yang pertama, yang disayangi rakyat dan pentadbirannya dilatari dengan iklim ekonomi yang makmur dan keadilan sosial dijunjung sepertimana pada zaman Khalifah Umar Abd Aziz. Manakala jenis yang kedua pula yang dibenci rakyat dan kepapaan rakyat menjadi sesuatu yang lazim pada zaman tersebut sepertimana gabernor Iraq iaitu al-Hajjaj semasa zaman Khalifah Abd Malik dan anaknya.

Selain daripada perbezaan watak pemerintah yang melatari sejarah, kita juga dapat melihat terdapatnya dua sikap yang berbeza ditunjukkan oleh ilmuwan Islam dalam menanggapi isu pencukaian. Ada yang secara tegas dan tidak gentar menyuarakan yang hak sepertimana Sultan `Ulama `Iz bin Abdussalam pada zaman Sultan Saifuddin al-Qutuz dan Imam an-Nawawi yang berada di dalam zaman pemerintahan Sultan Zahir Berbers. Ada pula golongan ulama’ yang amat mudah mengeluarkan fatwa ‘harus’ apabila dipinta oleh pemerintah.

Hari ini, ceritera yang sama berulang kembali. Jika dahulu maslahahnya adalah keselamatan negara, wujudnya keperluan tehadap pembiayaan tambahan bagi berhadapan dengan tentera Tartar. Hari ini maslahahnya adalah bagi menampung kekurangan angka bagi menampung perbelanjaan dan bebanan hutang negara. Maslahah atau keperluan terhadap pencukaian itu benar ada, tetapi persoalannya di sini adalah adakah pencukaian itu merupakan satu-satunya cara?
   
Jika dilihat intipati penegasan yang dibuat oleh imam an-Nawawi dan Sultan `Ulama `Iz bin Abdussalam terhadap pemerintah Mamalik ketika diminta mengeluarkan hukum mengutip cukai tambahan, kita akan mendapati mereka menekankan akan peri penting bertindak melalui tingkatan keutamaan. Mereka menjelaskan bahawa boleh dikutip cukai daripada rakyat, tetapi hendaklah terlebih dahulu dibelanjakan harta istana dan warganya. Menariknya juga, bukanlah tiada `ulama lain pada zaman tersebut yang mengharuskan hasrat kerajaan ketika itu untuk melakukan kutipan cukai. Justeru, tiada perbezaan yang ketara antara hari ini dan dahulu. Ada yang menyetujuinya atas dasar maslahah dan ada yang menentangnya atas prinsip menolak kezaliman dan mendesak kerajaan mengutamakan perbelanjaan yang berhemah disamping merawat penyakit ketirisannya. Sejarah sentiasa berulang.                                                                                           

[Hukum pemerintah mengutip cukai]

Sebelum kita meneliti perbincangan halal-haram GST, adalah lebih baik kita meluangkan masa bagi memahami hukum mengutip cukai terlebih dahulu. Kerana melalui pengamatan saya, perdebatan akan hukum GST ini menjadi celaru apabila perihal hukum asas mengutip cukai ini tidak jelas dan dicampur adukkan ketika perbahasan khusus mengenai hukum GST.

Perlu jelas, hukum asal bagi mengambil harta milik orang lain adalah haram. Ianya diperbolehkan hanya pada perkara yang dibenarkan oleh syara’ seperti yang diperolehi daripada transaksi jual beli, upahan dan perlaburan.

Begitu juga dengan pencukaian, ianya haram apabila tiada sebab yang mengharuskannya. Terdapat dua pandangan ulama’ dalam menanggapi hukum pengutipan cukai oleh pemerintah:

Pandangan pertama: Haram secara mutlak.

Dalil yang digunapakai oleh ilmuwan Islam yang berpandangan dengan pendapat yang pertama ini adalah seperti ayat 188 daripada surah al-Baqarah:

“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang bathil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.”

Mereka meletakkan kutipan cukai pada kategori ‘memakan harta sesama manusia secara bathil’. Dikuatkan juga dengan hadis Nabi saw yang berbunyi:

“Janganlah kami menzalimi dan tiada halal harta seseorang muslim yang (diambil) tanpa disertai rela dan izin dari pemiliknya.” (HR Ahmad)

Begitu juga hadis yang masyhur digunakan oleh sebahagian yang menolak GST dan cukai secara keseluruhan:

“Sesungguhnya penguasa yang mengenakan ‘maks’ (sebahagian menterjemahkannya sebagai cukai) berada di dalam neraka.” (HR Ahmad)

Pandangan kedua: Harus secara bersyarat.

Bagi golongan ulama’ yang mengharuskan pengenaan cukai ke atas rakyat, mereka berhujah menggunakan sandaran dalil seperti berikut:

“Sesungguhnya pada harta itu ada kewajiban lain selain zakat.” (HR Tirmidzi)

Sirah ijtihad pemerintahan Sayyidina Umar al-Khattab r.a juga menjadi pengukuh hujah apabila Umar r.a pada zamannya telah memperkenalkan dua jenis cukai yang tidak dilaksanakan oleh Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w iaitu cukai kharaj (cukai tanah) dan `ushur (cukai perdagangan). Meskipun cukai jizyah (ke atas bukan muslim yang berlindung di bawah pemerintahan Islam) tidak dikenakan ke atas muslim, tetapi kedua-dua cukai yang dinyatakan di atas tadi tidak mengecualikan kaum muslimin. Meskipun begitu, kadar bagi cukai `ushur  berbeza-beza mengikut taraf kerakyatan. Bagi orang muslim ianya hanya dikenakan sebanyak 2.5 peratus, manakala kafir zimmi sebanyak 5 peratus dan kafir harbi sebanyak 10 peratus. Tindakan Sayyidina Umar r.a ini sekaligus bertentangan dengan pandangan yang mengharamkan pengutipan cukai secara mutlak.

Menyentuh berkenaan hadis yang menyatakan bahawa pengutip ‘maks’ atau cukai ini berada di dalam neraka, kita perlulah melihat syarahan yang dibuat oleh ulama’ terhadap perkataan ‘maks’ ini. Menurut Imam an-Nawawi hadis ini merujuk kepada pengutip cukai yang mengambilnya daripada rakyat tanpa hak dan membelanjakannya ke arah jalan yang salah. ‘Maks’ ini boleh merangkumi segala jenis kutipan biarpun yang diistilahkan sebagai ‘ushur, kharaj’ dan hatta zakat sekalipun, sekiranya perlaksanaan kutipan dan pengagihannya dijalankan secara zalim.

Melalui penjelasan yang dilakukan oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan turut mengemukakan nama-nama tokoh ilmuwan yang membenarkan kerajaan untuk mengenakan cukai kepada rakyat sekadar untuk memenuhi maslahat umum pentadbiran negara seperti Ibn Hazm, Ibn Thaimiyah, Ibn al-Musili, al-Syafi’I, al-Syatibi dan Ibn Khaldun.

Biarpun menurut pandangan daripada golongan ini bahawa kutipan cukai adalah diharuskan bagi memenuhi maslahat kerajaan, ianya hanya diperbolehkan apabila memenuhi syarat-syarat seperti berikut (dipetik daripada artikel Ustaz Zaharudin Muhammad; GST menurut perspektif Islam):

  1. Negara mestilah berpegang teguh dengan ajaran Islam. Dalam erti kata lain, negara mestilah menjalankan sistem ekonomi Islam termasuk sistem percukaian Islam sepenuhnya seperti zakat sebagai sistem cukai utama Negara.
  2. Hajat kepada percukaian hendaklah benar-benar berlaku.
  3. Baitul Mal benar-benar telah kekeringan sehingga tidak dapat memenuhi hajat dan keperluan rakyat.
  4. Meminimakan seboleh mungkin tekanan terhadap individu rakyat dengan cara-cara yang selain cukai. Oleh itu, sebelum mengutip cukai daripada rakyat, kerajaan disarankan supaya mengutip sumbangan ikhlas serta menggalakkan rakyat memberikan derma dalam menyelesaikan sesuatu keperluan sebelum cukai dikenakan.
  5. Kutipan cukai hendaklah diputuskan hasil perbincangan golongan fuqaha dan profesional berkait dengan isu tertentu.
  6. Cukai hendaklah dikenakan ke atas orang-orang yang kaya sahaja dan ia langsung tidak harus dikenakan ke atas orang-orang miskin.
  7. Cukai hendaklah dalam bentuk sementara. Ia akan terhapus dengan hilangnya hajat dan keperluan. Cukai tidak boleh dikenakan secara berterusan dan dijadikan pendapatan utama berbanding zakat.
  8. Wajib meraikan keadilan di dalam perwartaannya dan pemungutannya. Maka kadarnya hendaklah sekadar keperluan. Keperluan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengutip cukai lebih daripada rakyat.

 [GST haram?]

Setelah kita memahami hukum mengutip cukai daripada rakyat, kita akan mendapati bahawa golongan yang menolak perlaksanaan GST ini, mereka terbahagi kepada dua:

  1. Berpegang dengan hujah bahawa cukai adalah haram secara mutlak.
  2. Berpandangan bahawa kerajaan belum mencukupi syarat yang membolehkannya melakukan kutipan cukai.


Saya sangat kecewa dan sedih melihat sikap kerajaan dalam mengambil berat soal hukum halal-haram GST. Sebelum ini, apabila Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri disoal oleh ahli parlimen Marang berkenaan status hukum dan fatwa mengenai GST, jawapannya adalah tiada keperluan untuk jawatankuasa fatwa membincangkannya. Setahun selepas itu, selepas telah sekian lama GST ini meniti di bibir masyarakat seawal 2009, barulah ‘terhegeh-hegeh’ diadakan perbincangan bagi mengeluarkan fatwa yang pada pandangan saya bagai memaksa tutup mulut rakyat yang dambakan sisi pandang Islam. Seharusnya ia perlu diperdebatkan sebelum di bawa ke parlimen, apa guna fatwa selepas telah diluluskan secara undang-undang manusia? Adakah jika muzakarah mengatakan ianya haram atau kerajaan masih belum menepati syaratnya maka kerajaan akan menghentikan perlaksanaannya? Saya jamin tidak. Kerana itu saya katakan ianya bagai usaha untuk melembutkan masyarakat semata-mata.

Saya memilih untuk menilai hujah PAS adalah kerana PAS merupakan satu-satunya gerakan Islam di Malaysia yang berkecimpung lama di atas pentas politik. Penelitian terhadap hujah yang dibawakan oleh PAS khususnya di dalam mendepani isu ini membina kepada rumusan bahawa PAS membawa beberapa pendekatan dan hujah di dalam menggerakkan advokasi agar perlaksanaan GST ini dihentikan:

  1. Menggesa kerajaan agar menumpukan pada usaha menghapuskan gejala ketirisan di dalam pengurusan perbendaharan negara terlebih dahulu.
  2. GST merupakan cukai yang bersifat regresif. Cukai tidak sepatutnya dikenakan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengambil kira status pendapatan mereka. Tidak boleh mengambil cukai daripada golongan fakir dan miskin.
  3. Mencadangkan alternatif kepada GST, iaitu Capital Gain Tax (CGT).
  4. Perlaksanaan GST yang bermatlamat meluaskan saiz capaian kenaan cukai adalah bertentangan dengan konsep pentadbiran dan pencukaian Islam.
  5. Kaedah perlaksanaan kutipan cukai tidak bertepatan dengan cara yang dianjurkan oleh Islam.


Pertamanya, sebelum kita menyokong atau menolak intipati gesaan yang di bawa oleh PAS, adalah sangat baik agar kita memahami terlebih dahulu latar belakang perbendaharaan negara kita dari sudut pendapatan dan perbelanjaan.

Pendapatan negara datangnya daripada beberapa sumber seperti:
  1. Cukai pendapatan (Bajet 2015 – 46.9%)
  2. Pinjaman dan penggunaan aset kerajaan (Bajet 2015 – 13.5%)
  3. Cukai tidak langsung (Bajet 2015 – 17.6%)*Seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Bakal digantikan dengan GST.
  4. Hasil bukan cukai (Bajet 2015 – 19.1%)
  5. Cukai langsung lain (Bajet 2015 - 2.9%)*Unjuran pendapatan Bajet 2015 adalah sebanyak RM 271 billion. 

Manakala, perbelanjaan negara adalah seperti berikut:

  1.  Pembangunan (Bajet 2015 – Ekonomi: 10.8%, Sosial: 4.6%, Keselamatan: 1.8%, Pentadbiran am: 0.6%)
  2. Emolumen (Bajet 2015 – 24.1%)
  3. Bayaran khidmat hutang (Bajet 2015 – 9%)
  4. Bekalan dan perkhidmatan (Bajet 2015 – 14%)
  5. Pencen dan ganjaran (Bajet 2015 – 6%)
  6. Pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri (Bajet 2015 – 2.7%)
  7. Subsidi (Bajet 2015 – 13.9%)
  8. Perbelanjaan lain (Bajet 2015 – 12.5%)


Setelah memahami sumber pendapatan dan ke mana wang tersebut dibelanjakan oleh kerajaan, saya akan menerangkan pula bagaimanakah belanjawan Malaysia dirangka. Pengetahuan ini penting supaya kita dapat menghadami perbincangan kita selepas ini.

Sebelum ini Malaysia mengamalkan sistem push-based budget. Ini bermaksud, kerajaan menentukan unjuran nilai belanjawan pada tahun seterusnya berdasarkan jangkaan peratusan peningkatan kos perbelanjaan sesuatu kementerian. Sebagai contoh, sekiranya Kementerian A dianggarkan peratusan kenaikan kos perbelanjaannya adalah sebanyak 6% pada tahun 2015 dan telah membelanjakan sebanyak RM 11 billion pada tahun 2014 meskipun hanya mendapat peruntukan sebanyak RM 10 bilion semasa Belanjawan 2014. Maka, Kementerian A akan diperuntukkan sebanyak RM 11,66 bilion di dalam Belanjawan 2015. Manakala, sekiranya Kementerian A tersebut kurang berbelanja, hanya menggunakan sebanyak RM 9 bilion sahaja daripada peruntukannya, maka pada tahun 2015 hanya akan diberikan sebanyak RM 9,54 bilion.

Kelemahan yang ketara pada perlaksanaan sistem sebegini adalah secara tidak langsung telah menggalakkan kementerian kerajaan untuk sentiasa berbelanja lebih atau berusaha menghabiskan lebihan peruntukan yang berbaki di akhir sesi pentadbiran. Daripada kekurangan inilah yang membibitkan ketirisan dan sikap boros di dalam membelanjakan wang rakyat.

Walaubagaimanapun, kerajaan telah mengenal pasti punca permasalahan ini dan berusaha untuk meminimakan kelemahan yang ada dengan cara membuka ruang dan peluang kepada rakyat untuk menyuarakan hasrat, kehendak dan pandangan terhadap pengurusan ekonomi negara sepertimana yang dilakukan pada zaman Dato’ Sri Najib Razak melalui pengumpulan pandangan di laman web 1Malaysia. Asimilisasi antara sistem push-based dan needs-based budget ini sedikit sebanyak membantu di dalam merasionalisasikan semula perbelanjaan kerajaan.

Saya berpandangan bahawa pembaca setelah memahami latar belakang pengurusan perbendaharaan di negara kita dan setelah menelusuri penulisan di atas, maka tidak akan timbul soal bahawa cukai itu tidak boleh dikutip dan kita hendaklah hanya bergantung kepada zakat semata-mata. Saya simpulkan sebab saya kepada beberapa poin:


  1.  Untuk kerajaan dapat berfungsi memelihara kemakmuran, keamanan dan menjalankan tanggungjawab sosial, maka kerajaan memerlukan sejumlah dana yang mencukupi. Sepertimana yang dinyatakan sebelum ini, bagi menampung perbelanjaan pentadbiran Malaysia secara kasarnya memerlukan sekitar RM 250 - 300 bilion. Jumlah ini tidak memadai dengan hanya didanai oleh zakat semata-mata (kutipan di Malaysia: RM 1.5 – 2 bilion sahaja). Bahkan wang zakat telah ditetapkan golongan penerimanya oleh syara’.
  2. Pendapatan negara yang berasaskan hasil bumi seperti daripada petroleum melalui cukai, pemberian dividen dan royalti hanyalah membentuk 1/3 daripada nilai pendapatan yang diperlukan oleh kerajaan. Jika digabung bersama pendapatan daripada pinjaman dan penggunaan aset kerajaan, nilainya masih tidak mencukupi separuh daripada yang diperlukan.
  3.  Maslahah (keperluan) itu wujud melalui perangkaan belanjawan tahunan. Kerana melalui perangkaan ini, kerajaan telah meletakkan unjuran nilai kos perbelanjaan yang perlu ditampung bagi menjalankan khidmatnya kepada rakyat.

Biarpun saya bersetuju akan perlunya cukai bagi menampung kekurangan angka yang ada dalam pendapatan negara, tetapi ini belum bermakna saya menyetujui terhadap segala cukai yang diperkenalkan kerajaan termasuklah GST.

Saya konsisten dengan beberapa pandangan pimpinan PAS bahawa:


  1. Kerajaan wajar menumpukan pada usaha mengecilkan lubang ketirisan dan merawat penyakit boros yang menular di dalam kementeriannya. Pembaikian kaedah perangkaan belanjawan tahunan negara perlu diteruskan dan dicadangkan agar Laporan Ketua Audit Negara diambil kira dalam meluluskan jumlah peruntukan kepada sesuatu kementerian. Hentikan budaya menghabiskan wang rakyat melalui perbelanjaan tidak perlu seperti lawatan ke luar negara, makan malam dan sebagainya semata-mata ingin menghabiskan peruntukan tahun tersebut. Nilai Belanjawan Negara perlulah mencerminkan jumlah sebenar yang diperlukan oleh kerajaan agar dapat dinilai sejauh mana keperluan terhadap sesetengah perlaksanaan pencukaian. Tidak seharusnya nilai belanjawan itu didorong naik hanyalah kerana sikap kementerian yang berlumba-lumba menghabiskan baki peruntukan saban tahun.
  2. Cukai tidak seharusnya dikutip daripada golongan fakir dan miskin. Jika ditinjau sejarah perlaksanaan pencukaian semasa zaman Sayyidina Umar al-Khattab r.a, beliau sendiri mengecualikan cukai jizyah kepada rakyat bukan muslimnya yang miskin. Bahkan kadarnya berbeza-beza menurut kemampuan, ada yang dikenakan 12 dirham, ada pula 24 dirham dan yang paling tinggi adalah 48 dirham. Perlaksanaan cukai semasa pemerintahan islam yang terdahulu tidak boleh dijadikan sandaran hujah secara umum bagi membenarkan sebarang bentuk perlaksanaan cukai oleh kerajaan.
  3. Saranan oleh PAS agar dijadikan cukai CGT sebagai ganti kepada GST adalah sesuatu yang baik dan sewajarnya diberikan perhatian. Biarpun kerajaan pernah memberikan respon bahawa perlaksanaan CGT tidak bersesuaian dengan negara kita kerana akan menatijahkan kepada aliran keluar modal daripada negara kita, kenyataan ini pernah dibalas semula oleh Tan Sri Dr. Kamal Salih, Profesor Adjung Pengajian Ekonomi dan Pembangunan di Universiti Malaya. Beliau menyatakan bahawa hal ini adalah tidak benar dan kenyataan tersebut dibuat kerana dasar ekonomi kerajaan Malaysia sekarang lebih berorientasikan pro-perniagaan. Beliau menyebut bahawa seharusnya pengagihan sumber ekonomi itu perlu dijuruskan kepada kumpulan rakyat yang mudah terjejas. CGT biarpun kelihatan tidak mesra perniagaan, ianya lebih melindungi rakyat dan mengelakkan pendapatan boleh guna mereka mengecil.

Jika dilihat kepada fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan, mereka telah meletakkan syarat keharusan GST. Hal ini selari dengan syarat yang diutarakan oleh Ustaz Zaharudin Muhammad di dalam sebuah penulisannya. Syarat yang ditetapkan adalah seperti berikut:

  1.  Kerajaan komited melaksanakan syariat Islam.
  2.  Kerajaan memerlukan sumber kewangan.
  3. Cukai yang dikutip hanya untuk memenuhi maslahah dharuriyyat dan hajiyyat.
  4. Bebanan cukai dikutip secara adil.
  5. Cukai dibelanjakan untuk maslahah ummah bukan untuk maksiat.
  6. Agihan cukai hendaklah bertepatan dengan ijtihad ulama’ semasa dan setempat.


Melihatkan kepada syarat tersebut, persoalan yang sewajarnya ditimbulkan adalah, bagaimanakah komitmen kerajaan dalam melaksanakan syariat Islam secara sepenuhnya di dalam menjalankan pentadbirannya? Adakah melalui pencapaian di Indeks Syariah?

Bagaimana pula dalam memastikan hasil kutipan tersebut tidak dibelanjakan ke arah maksiat sedangkan terlalu banyak penganjuran program sebelum ini dengan jelas dan nyata kemungkaran itu terjadi.  

[Seterusnya apa yang boleh kita lakukan?]

Pada hemat saya, ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan:

  1.      .  Mendesak agar perlaksanaan GST dihentikan dan memberikan cadangan penambaikan terhadap permasalahan dalam perlaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada. ATAU
  2.       Menggesa perlaksanaannya ditangguhkan dan dibawa perbincangan bagi menggantikan perlaksanaannya dengan CGT. ATAU
  3.        Terus menerus menyampaikan permintaan agar kadar cukai GST dimulakan dengan kadar yang rendah terlebih dahulu. Dicadangkan antara 3-4%. ATAU
  4.        Memberikan cadangan agar dilebarkan lagi senarai barangan yang dikenakan GST pada kadar sifar (zero-rated). ATAU
  5.        Mencadangkan agar diwujudkan sistem pengecualian cukai yang mengecualikan kenaan cukai ke atas golongan fakir dan miskin. Boleh dibangunkan melalui penggunaan MyKad dan pengkalan data MyKasih dengan kerjasama Majlis Agama Negeri dan pertubuhan kebajikan swasta.  
  6. Menuntut perlaksanaan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatuan dikuatkuasakan dengan baik dan tegas. Selain setiap individu di dalam masyarakat memainkan peranan sosial di dalam mempengaruhi harga di pasaran.



Pertentangan tanpa diiringi dengan cadangan alternatif hanyalah umpama merobohkan sesuatu sebelum berfikir dan merancang apa yang perlu dibina kemudiannya di atas tapak robohan tersebut. Perbincangan berkenaan ekonomi Islam semakin mendapat perhatian oleh warga Malaysia, sama ada yang mencemuh mahupun yang menginginkannya. Justeru, cabaran buat ilmuwan Islam dan yang bakal menggantikannya untuk giat mencari jawapan dan membina idea struktur pencukaian yang patuh syariah di dalam masa yang sama menjejak realiti semasa. Andai perlu dirombak sistem perekonomian di Malaysia ini, maka bagaimanakah sifatnya?


Sekian.

6 comments:

  1. "Pertentangan tanpa diiringi dengan cadangan alternatif hanyalah umpama merobohkan sesuatu sebelum berfikir dan merancang apa yang perlu dibina kemudiannya di atas tapak robohan tersebut."

    Mafsadah perlu dihapuskan walaupun tiada maslahah menyusul. Suatu mafsadah hanya boleh dikekalkan sekiranya jika tiada ia (mafsadah sedia ada), maka akan ada mafsadah yang lebih besar berlaku.

    Sama sahaja seperti mengubah kerajaan sedia ada walaupun tiada ketetapan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya bersetuju perlunya dihapuskan mafsadah tersebut. Sebagai contoh di sini dihapuskan perlaksanaan GST. Kemudiannya bagaimanakah untuk menampung kekurangan angka yang ada pada belanjawan untuk menguruskan pentadbiran? Saya lebih prefer tindakan meroboh disamping mempunyai visi yang jelas apa yg perlu dibina di atas robohan. Tetapi saya tidak menafikan bahawa mafsadah itu perlu ditolak dan tidak juga saya bermaksud perlunya wujud maslahah yang menyusul barulah hanya boleh dirobohkan.

      Delete
  2. http://www.hargaemas.com.my/terkini/penurunan-nilai-mata-wang-ringgit-malaysia/

    ReplyDelete
  3. Anda patut duduk Kat parlimen...negara kita memerlukan pemikir seperti anda...bukn yb yg Tahu yes je Tampa berfikir pro and cons

    ReplyDelete