Ilmu Asas Pertolongan Cemas (First
Aid)
Pertolongan cemas atau lebih
dikenali sebagai first aid sangat membantu di dalam situasi genting.
Walaupun pengamalannya biasanya berdasarkan logik dan common sense,
tetapi seringkali ianya sangat membantu di dalam pelbagai situasi kecemasan.
Menggunakan rawatan asas berdasarkan ilmu pertolongan cemas barangkali sudah
mencukupi bagi sebahagian kes kecederaan, manakala pada sebahagian situasi yang
lain ianya menjadi asbab nyawa mangsa berjaya diselamatkan.
Cuaca politik Mesir semakin mendung
dan masih tidak kembali cerah. Demonstrasi terus dijalankan dengan giat
daripada kalangan mahasiswa Mesir. Ana berpandangan, seharusnya mahasiswa
Malaysia didedahkan dengan ilmu dan kemahiran pertolongan cemas supaya dapat digunakan
andai diperlukan suatu masa nanti (na’udzubillah min dzalik).
Ana tidak bercadang untuk menulis
semua yang berkaitan dengan pertolongan cemas, ana hanya akan memilih beberapa
sahaja berdasarkan keperluan situasi dan ana akan menggunakan bahasa yang mudah
difahami kerana artikel ini adalah untuk rujukan pembaca yang tidak mempunyai
asas ilmu perubatan.
In sha Allah ana akan sentuh
berkenaan:
1) Cardiopulmonary
resuscitation (CPR)
2) Recovery Position
3) Patah tulang (Fracture)
4) Pendarahan (Bleeding)
-Minor
-Major (Tikaman dan tembakan)
5) Pengsan
6) Melecur (Burn)
Langkah Pertama
Apabila berhadapan dengan situasi yang
terdapat mangsa mengalami kecederaan. Perlu dipastikan dahulu kawasan di sekeliling
anda dan mangsa tersebut selamat dan tiada ancaman lain sebelum anda mendekati
mangsa tersebut.
Kenal pasti permasalahan yang
dihadapi oleh mangsa, jika kecederaan yang dialami oleh mangsa adalah berat dan
serius, sila hubungi dengan segera nombor kecemasan (123: Ambulan Mesir, 122:
Polis Mesir, 180: Bomba Mesir dan nombor pihak berkaitan (Kedutaan/ pegawai negeri/
Lajnah Kebajikan PMRAM atau PERUBATAN/ YDP BKAN/ Ketua Hisbah atau JAKSI) bagi
memohon bantuan rawatan lanjut. Sekiranya mangsa dilihat tidak bermaya atau
tidak sedarkan diri, periksa pernafasan mangsa.
Anda boleh memeriksa pernafasan mangsa
melalui cara:
1) Mengesan hembusan angin daripada
saluran penafasan dengan mendekatkan pipi anda.
2) Melihat pergerakan dada.
Sekiranya pesakit itu tidak sedarkan
diri dan tidak bernafas, lakukan CPR kepadanya.
Cara-cara melakukan CPR
1) Mulakan dengan Bismillah
2) Pastikan tiada sebarang perkara
yang menghalang saluran pernafasan mangsa (longgarkan butang baju, buang benda
yang terdapat di dalam mulut *sekiranya ada)
3) Letakkan kedua-dua tapak tangan
anda di bahagian tengah dada mangsa (antara dua dada). Tekan dada mangsa
sedalam 5 cm dengan kadar tetap (dua tekanan dada pada satu saat). Prinsip asas
bagi tekanan dada adalah “Push Hard, Push Fast”.
4) Selepas mengenakan 30 kali
tekanan pada dada (chest compressions), lakukan bantuan pernafasan mulut
ke mulut sebanyak dua kali. (sekiranya anda tidak selesa untuk melakukannya,
anda boleh memilih untuk tidak melakukannya dan terus dengan melakukan chest
compressions)
- Dongakkan kepala mangsa dengan menggunakan dua jari anda pada dagu mangsa
(elakkan menekan pada leher mangsa)
- Picit hidung mangsa dan pastikan saluran pernafasannya melalui hidung
telah ditutup rapi.
- Letakkan mulut anda pada mulut mangsa dan lakukan hembusan. Pastikan
dada mangsa bergerak naik apabila hembusan dilakukan.
-Lakukan sebanyak dua kali hembusan.
5) Sekiranya mangsa masih tidak
bernafas, teruskan dengan 30 chest compressions dan 2 rescue breaths
sehingga mereka sudah boleh bernafas atau bantuan tiba.
6) Jika mangsa sudah boleh bernafas,
posisikan mangsa di dalam keadaan recovery position supaya mangsa dapat
bernafas dengan mudah dan baik.
Recovery Position?
Sekiranya mangsa yang anda temui
sedang menghadapi permasalahan di dalam pernafasan, badannya lemah akibat sukar
bernafas atau mampu bernafas tetapi tidak sedarkan diri, maka sila posisikan
tubuh badan mangsa ke Recovery Position.
Ana tak pasti apakah istilahnya di
dalam Bahasa Malaysia.
Recovery Position penting bagi memastikan saluran
pernafasan mangsa sentiasa terbuka dan mangsa dapat melakukan pernafasan dengan
lebih mudah.
Terdapat pelbagai bentuk dan kaedah Recovery
Position yang digunakan di seluruh dunia, tetapi semua kaedah tersebut
menepati dan memenuhi 6 asas penting ini:
1) Mangsa perlulah
berada dalam keadaan mengiring.
2) Posisi mangsa
perlulah stabil.
3) Perlu hilangkan
sebarang gangguan atau tekanan kepada dada.
4) Kaedah tersebut
perlulah mudah untuk memusingkan badan mangsa daripada posisi terlentang kepada
posisi mengiring mahupun sebaliknya.
5) Mudah untuk
melakukan pemerhatian pada saluran penafasan mangsa.
6) Posisi itu
sendiri tidak membawa kepada kecederaan tambahan mangsa.
Cara-cara Meletakkan Mangsa Pada Recovery
Position:
1) Mulakan dengan Bismillah.
2) Pastikan anda berada di sebelah
kiri mangsa yang sedang terlentang.
3) Posisikan tangan kiri mangsa pada
lantai di sisi kepala mangsa dalam keadaan dilipat sikunya pada 90 darjah.
4)
Ambil tangan kanan mangsa dan silangkan tangan kanannya di hadapan wajah
mangsa. Temukan belakang telapak tangan kanan mangsa dengan
pipi kirinya.
5) Lipat kaki kanan mangsa dan mengiringkan
tubuh mangsa ke arah anda dengan menarik pada kaki mangsa. (mangsa sepatutnya
lebih mudah digerakkan dengan cara ini)
6) Stabilkan posisi mangsa yang
sudah kini dalam posisi mengiring.
7) Dongakkan kepalanya dan pastikan
mangsa dapat bernafas dengan selesa.
Patah Tulang (Bone Fracture).
Sekiranya mangsa yang anda temui mengalami
kepatahan tulang, sila hubungi nombor kecemasan dengan segera sekiranya:
1) Pendarahan serius.
2) Kesakitan dirasai walaupun dengan
sentuhan yang lembut.
3) Sendi kelihatan tidak normal.
4) Tulang tertusuk keluar.
5) Tulang yang disyaki patah adalah
di leher, kepala atau tulang belakang.
6) Tulang yang disyaki patah adalah
di pinggang.
Sila pastikan anda tidak menggerakkan
tubuh badan mangsa kecuali sekiranya perlu. Ini adalah untuk mengelakkan
sebarang kecederan tambahan.
Apa yang anda boleh lakukan:
1) Hentikan pendarahan (sekiranya
ada), tekan luka mangsa dengan kain yang bersih sekadar untuk hentikan
pendarahan. Jangan terlalu kuat.
2) Tidak menggerakkan kawasan
yang cedera. Pastikan kawasan cedera tersebut dalam keadaan yang stabil dan
tidak terlalu banyak pergerakan berlaku. Sekiranya anda terlatih atau mengetahui
cara-cara untuk membuat dan memakaikan anduh, maka pakaikan kepada mangsa.
3) Gunakan pek ais. Jangan gunakan
ais secara langsung pada kulit mangsa. Balutkan dengan kain. Tekap pada kawasan
cedera untuk kurangkan bengkak dan kesakitan.
4) Sekiranya mangsa seakan lemah
semangat, bernafas pendek dan cepat. Sila baringkan mangsa dan tinggikan
sedikit kaki mangsa (sekiranya boleh).
Pendarahan (Bleeding)
Seringkali semasa pertembungan
antara pihak keselamatan dan demonstran akan berlaku kecederan berdarah. Samada
pendarahan yang minor seperti luka kecil dan calar mahupun pendarahan yang
major atau serius seperti luka tikaman dan tembakan.
Sekiranya luka yang dihadapi oleh
mangsa adalah kecil dan tidak serius, anda boleh ikuti langkah-langkah ini:
1) Mulakan dengan Bismillah.
2) Basuh dan bersihkan tangan anda
terlebih dahulu.
3) Gunakan sarung tangan atau lapik
tangan anda dengan sebarang plastik atau kain.
4) Bersihkan luka mangsa, sekiranya
terdapat kekotoran, dengan air mengalir. Keringkan luka mangsa dengan kain yang
bersih. Letakkan anggota badan yang luka tersebut lebih tinggi daripada paras
jantung (Heart Level) *Sekiranya boleh.
5) Sapukan iodine.
6) Tutup luka mangsa dengan dressing
atau plaster. (ikut kesesuaian)
Jika mangsa menghadapi masalah
pendarahan yang serius dan kritikal, anda hendaklah hubungi nombor kecemasan
dengan segera dan ikuti langkah-langkah ini:
1) Mulakan dengan Bismillah.
2) Gunakan sarung tangan atau lapik
tangan anda dengan sebarang plastik atau kain.
3) Tekan kawasan luka dengan kain
untuk hentikan pendarahan berterusan.
4) Baringkan mangsa.
5) Sekiranya pendarahan berlaku pada
anggota badan seperti tangan dan kaki, anda boleh tinggikan anggota badan yang
berkenaan lebih tinggi daripada paras jantung. Sila pastikan mangsa terlebih
dahulu tidak disyaki menghadapi kepatahan tulang.
6) Balut luka mangsa, tetapi jangan
terlalu ketat. Sekiranya darah menembusi balutan ini, tambah balutan baru di
atas balutan yang pertama. Tetapi jika darah tetap menembusi, buka semula
ikatan dan ulang semula proses balutan menggunakan kain baru.
Terdapat situasi di mana mangsa
ditikam atau badannya tertusuk dahan pokok atau sebagainya yang mengakibatkan
objek tersebut melekat pada tubuh mereka dan pendarahan pada masa yang sama.
Sekiranya mangsa yang anda temui menghadapi
kecederaan seperti ini, Sila pastikan anda:
1) Mulakan dengan Bismillah.
2) Hubungi nombor kecemasan.
3) Biarkan objek yang tertusuk
tersebut. Jangan cuba cabut atau menggerakkannya. Stabilkan kedudukan objek itu
dan pastikan objek tersebut tidak terdedah pada sebarang pergerakan.
4) Tekan dengan sederhana sekitar
kawasan tusukan untuk menghentikan pendarahan.
5) Balut kawasan luka tanpa mengeluarkan
objek tersebut.
Di dalam kes kecederaan yang serius
disebabkan oleh tembakan, maka anda perlu seharusnya membawa mangsa dengan
pantas ke pusat rawatan yang paling hampir.
Kebiasaannya tembakan yang mengenai
kepala membawa kepada maut serta merta. Tetapi sekiranya masih mempunyai
harapan, pastikan kepala mangsa dalam keadaan tegak dan lebih tinggi daripada
paras dada dan segera ke hospital.
Sekiranya tembakan tersebut mengenai
muka ataupun leher. Tekan kawasan luka untuk menghentikan pendarahan, tetapi
sila pastikan anda tidak menyebabkan mangsa sukar untuk bernafas. Bagi luka yang
berada di leher, elakkan daripada tertekan pada carotid artery sehingga
menyebabkan darah tidak sampai ke kepala.
Bagi luka tembakan di tangan dan
kaki, sekiranya darah tidak berhenti mengalir setelah anda menekannya, anda
boleh hentikan pendarahan tersebut dengan mengenakan tekanan di pangkal lengan
atau kaki melalui ikatan.
Ana tidak akan menerangkan cara
pertolongan cemas untuk mereka yang ditembak di dada mahupun badan, kerana
ianya agak rumit untuk dijelaskan melalui penulisan. Disini ana sertakan pautan
video untuk rujukan.
Pertolongan cemas hanya untuk tempoh
yang sementara sahaja. Mangsa hendaklah dibawa ke hospital dengan segera.
Sebarang kelewatan hanya akan menyebabkan mangsa semakin kehilangan darah dan
boleh membawa kepada maut.
Pengsan (faint)
Suasana yang cemas dan merimaskan
kadangkala menyebabkan sebahagian mangsa pengsan. Sekiranya anda berhadapan dengan
situasi ini, anda perlu baringkan mangsa pada lantai dan tinggikan kaki mangsa
menggunakan kerusi atau apa-apa sahaja objek yang bersesuaian.
Biarkan mangsa berada di dalam
posisi tersebut sehingga 10-15 minit.
Berikan jus buah atau manisan pada
mangsa sejurus sahaja mangsa kembali sedar.
Sekiranya muka dan bibir mangsa
kebiruan, mempunyai degupan jantung yang sangat perlahan dan mempunyai masalah
dalam pernafasan, sila bawa mangsa dengan segera ke hospital yang berdekatan.
Luka Melecur (Burns)
Sebelum kita mengetahui jenis
rawatan asas bagi luka melecur, kita perlu mengenali jenis-jenis luka melecur
terlebih dahulu.
Luka melecur kebiasaannya akan terbahagi
kepada dua:
1) Kecederaan Minor (Luka melecur
tahap pertama dan kedua)
2) Kecederaan Major (Sebahagian luka
melecur tahap kedua dan luka melecur tahap ketiga)
Kecederaan minor biasanya adalah
luka yang kecil saiznya dan hanya melibatkan lapisan kulit pertama dan yang
kedua sahaja.
Langkah-langkah yang perlu diambil:
1) Letakkan kawasan melecur di bawah
aliran air bersuhu sederhana. Sekiranya tiada air yang mengalir (paip dan sebagainya),
rendamkan kawasan kulit yang melecur itu atau memadai menekap kulit yang
melecur tersebut dengan kain yang telah dibasahkan dengan air sejuk. Lakukannya
di dalam tempoh 10-15 minit atau sehingga kesakitan beransur hilang.
2) Tutup atau balut kawasan kulit
yang melecur dengan kain yang bersih. Jangan guna kain yang boleh melekat dengan
luka mangsa.
Kecederaan minor atau ringan ini
biasanya akan pulih dengan sendirinya tanpa perlu melalui rawatan lanjut.
Tetapi, sekiranya terjadi jangkitan kuman pada bahagian yang luka, sila bawa
mangsa ke hospital.
blister |
Sekiranya anda berhadapan dengan mangsa
yang mempunyai kecederaan melecur major atau serius, sila hubungi nombor
kecemasan dengan segera atau membawa mangsa tersebut ke hospital untuk mendapat
rawatan segera.
Anda dinasihatkan agar tidak menanggalkan
pakaian mangsa dan jangan merendamkan kawasan kulit yang melecur ke dalam air.
Tingkatkan Tawakal dan Usaha
Perkongsian daripada ana ini
tidaklah bertujuan untuk meningkatkan rasa cemas atau sengaja menyatakan bahawa
kita sedang berada di dalam bahaya. Tetapi ana menulis supaya boleh dijadikan
rujukan andai kata sesuatu yang tidak baik berlaku pada rakan kita.
Setidak-tidaknya, ilmu ini akan
menjadi tambah nilai yang berguna buat diri kita.
Marilah kita perbanyakkan doa dan
perbaiki diri kita.
Tahun ini merupakan tahun yang sangat
unik, di mana kita sedang membulatkan tawakal kita pada Allah swt bukan hanya
terhadap keputusan peperiksaan kita setelah kita menaruhkan segala usaha yang
ada. Tetapi kita turut sama meletakkan tawakal kita terhadap jiwa dan nyawa
kita setiap kali kaki kita melangkah keluar daripada rumah.
Teruskan usaha kita mengejar
kejayaan.
Inilah kelebihan kita, mahasiswa
Malaysia di Mesir. Kita cekal walaupun berhadapan pelbagai cabaran.
Moga Allah terima segala usaha kita.
alhamdullilah...syukran
ReplyDeleteTerima kasih atas perkongsian ilmu yang bermanfaat ini. :)
ReplyDeleteAssalamualaikum, sangat menarik dan bermanfaat info ini.. adakah pihak tuan mempunyai tugas-tugas atau peranan sebagai First Aider, kalau ada, saya nak share juga..
ReplyDelete