[Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993]
2 April yang lalu, MB Kelantan mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri
Kelantan akan mengusulkan RUU persendirian ke Parlimen untuk mendapatkan
kelulusan bagi membolehkan perlaksanaan hukuman hudud di Kelantan.
Melihatkan kelainan pada kesediaan UMNO dan ketegasan PAS di dalam
usaha untuk membolehkan undang-undang ini dapat dilaksanakan telah
membawa tahap perbincangan dan penilaian terhadap isu ini ke tahap yang baru.
Penelitian pada lambakan artikel yang menyentuh berkenaan isu ini jelas
menunjukkan bahawa majoriti masyarakat Malaysia masih tidak memahami
akan hudud itu sendiri.
Bukan sahaja pada yang menolak, bahkan pada kalangan mereka yang mendokong idea perlaksanaan hudud ini.
Penjelasan atau jawapan mudah seperti:
"Kalau tak buat salah, kenapa perlu takut dengan hudud."
"Nanti kamu akan faham dan nampak keindahan perlaksanaannya."
"Kamu sendiri yang tidak faham."
Jawapan mudah dan tergantung sudah tidak mencukupi dan tidak relevan
pada hari ini. Tetapi apakan daya, bagaikan tugas penerangan ini
terpundak pada layman kerana agamawan itu membisu. Sudah pasti sukar
untuk penerangan yang baik dapat dibuat.
Institusi keagamaan
dan intelektual agamawan perlu tampil menjelaskan dan berperanan. Media
juga perlu telus, tidak hanya semata-mata menampilkan kritikan terhadap
usaha Kelantan dalam perlaksanaan undang-undang.
Penjelasan dan
pendidikan berkenaan hudud perlu telus dan berpaksi pada kaedah
perlaksanaanya dalam zaman hari ini. Penerangan juga hendaklah tidak
hanya tertumpu pada masyarakat muslim, tetapi perlu dipanjangkan kepada
rakan-rakan non-muslim juga.
Kenyataan bahawa non-muslim tidak
akan terlibat dengan hukuman hudud tidak cukup bagi mereka dan tidak
boleh dijadikan hujah untuk kita bermudah-mudahan dan sambil lewa dalam
penerangan terhadap mereka, kerana walaupun RUU ini boleh diluluskan
dengan hanya meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965
yang hanya memerlukan majoriti mudah (112 undian), tetapi perlaksanaan
yang hanya dikenakan pada orang Islam akan menjadikannya tidak sah di
sisi Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 8 (Kesemarataan) di
dalam Perlembagaan Persekutuan tidak membolehkan sebarang perbezaan dan
diskriminasi kenaan undang-undang berlaku. Ini menyebabkan masyarakat
non-muslim tidak menerima penyataan bahawa non-muslim tidak terlibat
sama. Kerana ini, mereka turut sama menentang dan berbicara berkenaan
hudud.
Hudud dianggap kejam, barbaric dan undang-undang kuno.
Model yang ada dijalankan di beberapa negara luar gagal membawakan
maksud sebenar perlaksanaan Hudud. Justeru itu, dikala ramai yang ingin
tahu, ini adalah peluang baik untuk kita menyampaikan penerangan yang
benar pada yang tersalah faham sebelum ini.
Pendokong usaha
perlaksanaan hudud perlu keluar daripada kepompong selesa mereka selama
ini. Timeline Facebooknya yang hanya penuh dengan rakan-rakan yang
menyokong hudud tidak mencerminkan kehendak masyarakat terhadap
penerangan jitu berkenaan implementasi hukuman hudud di Malaysia. Belum
dilihat pada lingkungan kehidupan kita sendiri yang berkisar berkenaan
rakan yang sefikrah dan sama ideologi dengan kita. Akhirnya kita rasa
selesa dan beranggapan semuanya akan berjalan dengan baik tanpa perlu
berbuat sesuatu.
Jika agamawan ramai menyepi dengan fakta yang
mencerahkan, saya khuatir usaha media yang menyerang perlaksanaan hudud
akan menang. Doktrin salah akan terus tertanam pada pemikiran masyarakat
yang akan lebih menyukarkan pemahaman terhadap Islam pada aspek
perundangan secara khususnya dan imej Islam itu sendiri secara amnya.
Semoga Allah redha.
No comments:
Post a Comment