Wednesday, April 30, 2014

Hudud: Adakah Undian MP Akan Mencukupi?

Jika dibuat pengiraan, MP Muslim hanyalah berjumlah seramai 137 orang (101 BN, 36 PR). Dalam 36 orang muslim daripada PR, hanya 21 orang daripada PAS dan dalam 101 orang muslim daripada BN hanya 88 orang daripada UMNO.

Untuk meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan 2/3 (148 orang) daripada seluruh MP. Manakala, bagi meluluskan RUU selain daripada pindaan Perlembagaan, cukup sekadar majoriti mudah (112 orang).

Ada dua pandangan untuk merealisasikan kelulusan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan:-

1) Perlu pinda perlembagaan dan Akta Mahkamah Syariah 1965. Kerana bercanggah dengan Perkara 8 dan berlaku pertindihan bidangkuasa dengan penal code yang berada di bawah senarai persekutuan jadual sembilan. Maka memerlukan 2/3 undi.

2) Hanya perlu pinda Akta Mahkamah Syariah 1965 sahaja dengan mengubah had hukuman yang diletakkan pada pindaan 1988 (365: 3 tahun penjara, 6 kali sebatan dan RM 5,000 denda). Pandangan ini berhujahkan bahawa hanya perlu penafsiran yang tepat pada Perkara 3 (1), ungkapan 'Hukum Syarak' pada perenggan pertama senarai negeri jadual sembilan dan turut sama menggunakan Perkara 76 (a). Maka memerlukan 112 undi.

Jika benar pandangan kedua boleh digunakan. Memerlukan kesatuan daripada semua MP Muslim untuk mengundi, tidak memadai jika hanya UMNO dan PAS sahaja yang menyokong.

Tetapi sekiranya pandangan pertama yang digunapakai, maka kita memerlukan tambahan MP daripada non muslim untuk menyokong sama.

Melihatkan pada gaya undian di Parlimen yang hanya mengikut pendirian Parti seperti dalam isu GST yang lepas dan kenyataan rasmi dan tidak rasmi parti-parti selain PAS. Tampak sukar untuk mencapai bilangan undi walaupun dengan hanya majoriti mudah.

Apa-apa pun, kita gunakan kesempatan ini untuk menjernihkan pandangan masyarakat berkenaan hudud. Tak dapat semua, jangan tinggal semua.

No comments:

Post a Comment