Friday, October 25, 2013

GST v.s SST

Apakah itu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)?

GST adalah cukai penggunaan (Consumption Tax) yang dikenakan pada setiap aktiviti nilai tambah (value-adding activity) pada setiap peringkat rangkaian pengeluaran barang dan perkhidmatan, termasuk  yang diimport. Melainkan pada barangan mahupun perkhidmatan yang telah dikecualikan oleh kerajaan.

GST juga turut dikenali sebagai Value Added Tax (VAT) di sebahagian negara.

Cukai ini mula-mula digunapakai adalah di Negara Perancis pada tahun 1954. Kini sebanyak 146 -160 buah negara seluruh dunia sudah menggunapakai sistem cukai sebegini. Semua negara ASEAN telah menggunakan sistem ini kecuali Negara Malaysia, Brunei dan Myanmar.

SST?

Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (Sales and Service Tax – SST) pula adalah merupakan cukai yang telah digunapakai oleh Kerajaan Malaysia semenjak daripada tahun 1972.

Cukai Jualan adalah cukai yang dikenakan pada peringkat pengilangan dan import, dengan kadar sekitar 5% - 10% secara umumnya berbeza kepada jenis barangan.

Cukai Perkhidmatan pula adalah cukai yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tertentu termasuk makanan, minuman, tembakau, perkhidmatan professional dan perundingan. Cukai ini dikenakan pada kadar 6%.

SST kebiasaannya dikenakan ke atas bil telekomunikasi, internet, ASTRO, tiket wayang, tiket parking, barangan di supermarket, KFC, McD, Pizza dan Pizza.

Mengapa kerajaan ingin menukarkan SST kepada GST?

Rang undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah mula dibacakan di Dewan Rakyat pada tahun 2009 dan dirancang untuk mula dilaksanakan pada tahun 2011, akan tetapi berikutan beberapa tentangan dan permasalahan hasrat ini telah tertangguh sementara.

Sehinggalah pada tahun ini apabila ura-ura GST akan mula diperkenalkan telah menjadi kenyataan apabila telah dibentangkan bersama Pembentangan Bajet 2014 oleh Dato Seri Najib Razak.

Pemansuhan SST dan digantikan kepada GST adalah bertujuan untuk mengatasi kelemahan sistem cukai sedia ada dan bagi mengatasi isu cukai bertindih (cascading tax), berganda (double tax), pemindahan harga dan nilai pindah (transfer pricing), tiada pelepasan lengkap barang dieksport, menggalakkan integrasi menegak, kerenah birokrasi pentadbiran, isu-isu klasifikasi dan lain-lain.

GST dilihat mampu meningkatkan pematuhan pembayaran cukai (tax compliance) kerana mempunyai mekanisme yang tersedia menjadikan pentadbiran cukai lebih berkawalan kendiri (self-policing) dan dengan ini akan mempertingkatkan pematuhan. Berbeza dengan SST sedia ada yang mempunyai banyak kelemahan yang menyukarkan pentadbiran.

GST adalah sebahagian daripada program reformasi cukai kerajaan.

Cukai Berganda (Double Tax?)

Pada Cukai Perkhidmatan (Service Tax) sedia ada, pengguna akan menghadapi penggandaan cukai atau tax on tax.

Pengguna terpaksa membayar cukai yang dikenakan di peringkat rangkaian pengeluaran kerana cukai yang dikenakan di peringkat pengeluaran awal (input tax) telah dikira sebagai kos kepada pembeli yang selepasnya. Maka pertambahan kos itu telah dimasukkan kepada harga caj perkhidmatan sebelum dikenakan cukai sekali lagi pada jumlah harga tadi kepada pengguna yang merupakan penerima akhir rantaian.

Berbeza dengan GST, dimana pengguna hanya perlu membayar cukai yang dikenakan di peringkat perkhidmatan terakhir kerana input tax akan dituntut semula oleh pihak peniaga sebagai kredit seterusnya akan mengurangkan kos yang dihadapi peniaga.

Tranfer Princing? Ana tak berkesempatan nak memanjangkan penulisan ini. Diharapkan agar pembaca memperbanyakkan bacaan berkenaan kesan, kelebihan dan kekurangan GST dan SST sebelum ini.

Apakah kesan perlaksanaan GST dan pemansuhan SST?

Ana bukan seorang yang mahir secara khusus di dalam bidang ekonomi, cuma membiasakan diri dan memperbanyakkan bacaan di dalam isu ini semenjak mula diperkatakan.

Antara perkara yang dikhuatiri oleh masyarakat awam adalah seperti kenaikan harga barang secara mendadak dan berlaku penipuan daripada para peniaga. Gambaran yang muncul dalam minda masyarakat adalah seperti seolah-olah semua perkara akan dikenakan cukai selepas ini. Perkara ini menakutkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Salah faham yang sangat ketara apabila beranggapan GST merupakan pertambahan cukai yang baru telah menyebabkan rakyat semakin bimbang. Hakikatnya, GST adalah sebagai ganti kepada SST yang akan dimansuhkan bagi menggantikan sistem baru GST.

Kadar cukai GST adalah hampir sama dengan kadar Cukai Jualan sedia ada, akan tetapi rakyat tidak menyedarinya berikutan jumlah Cukai Jualan telah dimasukkan ke dalam harga barang dan dikira sebagai kos barang. Berbeza dengan GST yang tidak dimasukkan ke dalam harga barang dan akan dinyatakan di dalam resit jumlah yang dikenakan. Berikutan itu, jurang perbezaan harga asal dengan harga selepas diperkenalkan GST adalah sangat minima.

GST juga hanya dikenakan kepada perusahaan yang melepasi jumlah perolehan pendapatan tahunan melebihi kadar RM 500,000. Tidak semua pengeluaran akan dikenakan GST, terutama perusahaan kecil. Ini adalah bertujuan supaya kawasan desa tidak terjejas dengan GST.

Di dalam GST, terdapat tiga kategori kadar cukai yang telah ditetapkan. Yang pertama adalah standard rate, zero-rated dan exempted.

Kerajaan telah mengumumkan bahawa tidak akan dikenakan GST kepada barangan asasi seperti beras, gula, garam, rempah ratus, sayur-sayuran, binatang ternak (daging dan organ dalaman), tepung, ikan, penggunaan elektrik 200 KWH yang pertama, bekalan air 35 meter padu yang pertama, perkhidmatan pengangkutan seperti bas, KTM, feri dan sebagainya, perkhidmatan kesihatan oleh kerajaan. Perlaksanaan ini samada melalui zero-rated atau exempted.

Pengenalan GST ini tidak akan memberikan impak yang besar kepada harga barangan akan tetapi ianya bergantung kepada kecekapan pengurusan kerajaan. Kerajaan melalui Akta Anti-Pencatutan (Anti-Profeeting Act) akan digunakan bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan.

Kemungkinan bagi harga barang dan perkhidmatan naik itu ada pada sesetengah barangan. Kenaikan harga juga boleh berpunca daripada caj perkhidmatan yang dikenakan oleh sebahagian peniaga tetapi caj itu bukan merujuk kepada caj Cukai Perkhidmatan yang dikenakan oleh kerajaan, jadi caj itu peniaga itu tetap berkemungkinan akan mengenakan caj yang sama disamping GST nanti.

Bagaimana salah faham tentang GST berlaku?

Pada awal pengenalan GST pada rakyat pada tahun 2005, pelbagai andaian telah muncul seperti GST dilihat sebagai tambahan cukai yang baru, GST akan dikenakan pada semua jenis barangan termasuk barangan asasi dan kesihatan.

Penggunaan istilah juga telah mengelirukan rakyat, sebagaiman hebahan sebelum ini yang menunjukkan di dalam resit terdapat kenaan cukai SST, tetapi telah ditulis Government Service Tax (GST). Sedangkan, seharusnya digunakan istilah SST bagi merujuk Service Tax. Di dalam hebahan itu menunjukkan kadar yang dikenakan sebanyak 6%, kadar ini telah lama dikenakan semenjak tahun 1975. Tetapi salah faham telah timbul berikutan pengggunaan istilah yang silap.

Perkara-perkara seperti ini telah membawa kepada penentangan oleh rakyat, lebih-lebih lagi di dalam suasana iklim politik hari ini yang rakyat akan sentiasa menanggapi apa yang dibawa oleh kerajaan adalah buruk dan membebankan.

Keyakinan rakyat kepada kerajaan sudah parah terhakis menyebabkan rakyat sukar menerima sesuatu yang baru. Rakyat hanya mahukan transformasi daripada cara pengurusan kerajaan dilakukan terlebih dahulu supaya ketirisan dan penyelewengan dapat diatasi sebelum mula mengenakan pelbagai perkara yang mengusik kantung duit rakyat seperti penarikan subsidi, pengenalan cukai dan tiada pengstrukturan semula cukai pendapatan bagi meningkatkan pendapat boleh-guna rakyat.

Penerangan yang menyeluruh perlu dilaksanakan.

GST akan mula dilaksanakan pada 1 April 2015. Kerajaan telah memperuntukkan tempoh 17 bulan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada rakyat berkenaan GST sebelum ianya dapat dilaksanakan.

Tempoh ini perlu digunakan sebaiknya bukan sekadar di laman web kerajaan tetapi meliputi penerangan yang terus kepada rakyat.

Penutup: Adakah GST akan membebankan rakyat?

Akan ada harga barangan yang turun dan akan ada pula yang naik. Tetapi perubahan ini tidak akan ketara kerana kadar yang dikenakan hampir sama seperti SST sedia ada, malah lebih rendah.

Dalam masa yang sama, kerajaan seharusnya melihat dan menyusun atur sistem pencukaian pendapatan rakyat  bagi memastikan pendapatan boleh-guna rakyat dapat ditingkatkan, bukan sekadar memperkenalkan cukai baru bagi membaiki pendapatan negara.

Penerangan kepada rakyat juga perlu menyeluruh bukan sekadar menyentuh isu GST-SST, akan tetapi mengaitkan dengan apa yang sudah berlaku melalui rasionalisasi subsidi sebelum ini seperti pada RON 95 dan gula. Bentangkan kajian samada gabungan GST dan penurunan subsidi ini memberikan kesan negatif atau sebaliknya pada rakyat dan penerangan bagaimana bantuan sokongan seperti BR1M dapat membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.


Monday, October 21, 2013

Perjanjian TPP: Apa Selepas APEC dan 17 Oktober?

Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Pengenalan Ringkas TPPA.

TPP merupakan cadangan perjanjian perdagangan yang melibatkan 12 buah negara. Perjanjian ini bersifat multi-lateral dan merupakan himpunan set-set perjanjian perdagangan bilateral sedia ada antara Amerika Syarikat dan beberapa negara yang kini menyertai TPP.

Perjanjian ini diterajui oleh AS dan dimulakan rundingannya daripada tahun 2010 sewaktu tempoh pentadbiran George Bush. TPP merupakan perkembangan daripada Perjanjian Perkongsian Ekonomi Strategik Trans Pasifik (TPSEP atau P4) yang pada awalnya merupakan perundingan di antara Brunei, Chile, Singapore dan New Zealand pada tahun 2005.

Perjanjian ini telah melalui 18 rundingan dan pada awalnya dijangka akan mendapat kata putus pada bulan Oktober 2013, akan tetapi kegagalan Presiden Obama untuk menghadirkan diri ke dalam persidangan APEC pada 5-7 Oktober di Bali yang lalu kerana terpaksa mengutamakan isu negaranya berkenaan bajet tahunan dan siling hutang (debt ceiling) telah merencatkan usaha bagi merealisasikan proses penandatanganian perjanjian ini. Dijangka perjanjian ini tidak akan dapat ditandatangani pada tahun ini.

Sekiranya perjanjian ini berjaya ditandatangani, perundingan ini bakal meliputi 2/5 daripada ekonomi dunia. Akan tetapi TPP telah mengundang pelbagai kontroversi berikutan skop perundingan ini yang lebih besar berbanding perundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang biasa.

Kerajaan Malaysia tidak terkecuali di dalam menerima kritikan daripada kalangan ahli politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap penglibatannya di dalam rundingan ini. Antara perkara yang menjadi kerisauan adalah seperti di dalam bab Perolehan Kerajaan (Government Procurement), Hak Harta Intelektual (IPR), tenaga buruh, alam sekitar, Resolusi Penyelesaian Pertikaian Antara Pelabur dan Negara (Investor-State Dispute Settlement, ISDS), nasib perusahaan kecil dan sederhana dan kerahsiaan isi perundingan.

Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan perundingan tersebut tidak akan mengganggu gugat tiga elemen penting iaitu perlembagaan negara, kuasa kerajaan negeri dan dasar-dasar negara.

Apa Selepas APEC dan 17 Oktober?

Beberapa perbincangan telah tercetus antara pengkritik dan pemerhati sewaktu AS terhadap keputusan Obama untuk tidak menghadirkan dirinya ke persidangan Asia Pasific Economy Coorperation (APEC) gara-gara konflik dalaman negaranya sehingga terpaksa menghentikan operasi pentadbiran negara AS.

Ketika itu AS telah melalui suatu tempoh yang cukup genting di mana operasi pentadbiran terpaksa dihentikan kerana Republikan tidak bersetuju untuk meluluskan bajet tahunan disebabkan polisi kesihatan baru yang lebih dikenali sebagai Obamacare. Ditambah pula dengan isu siling hutang yang perlu dinaikkan kadarnya sebelum menjelang 17 Oktober bagi mengelakkan kegagalan AS dalam membayar hutang dan menjalankan beberapa komitmen negaranya.

Hal ini telah memaksa Obama untuk membatalkan lawatannya ke Asia bagi menangani isu ini bagi mengelakkan krisis ekonomi yang lebih dahsyat. Tindakan Obama tidak meneruskan lawatannya ke Asia telah dikritik oleh beberapa pemerhati kerana telah mengabaikan peluang yang membawa ke arah potensi pulangan yang lebih besar berbanding memilih untuk berada di Washington untuk satu penyelesaian jangka pendek yang dijangka krisis yang sama tetap akan berulang sekali lagi Februari tahun hadapan.

Pentadbiran Obama dilihat telah merugikan masa yang ada bagi memastikan TPPA dan TIPP (bagi perjanjian dengan Eropah) berjaya dimeterai hanya kerana terpaksa berhadapan dengan konflik antara Demokrat dan Republikan.

Kegagalan Obama untuk berada di dalam APEC secara tidak langsung telah mengurangkan keyakinan negara yang menyertai rundingan TPP ini dan menunjukkan kelemahan AS dalam menangani konflik dalaman negaranya.

China telah mengambil peluang ini untuk mempromosikan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang telah dimulakan rundingan ini bermula pada 20 November 2012.

RCEP dilihat bersaing dengan TPPA di dalam menguasai pasaran dunia. Walaupun RCEP merupakan perundingan perjanjian perdangan yang baru sahaja diperkenalkan, perundingan ini dilihat lebih meyakinkan kerana disertai negara yang lebih sekata status ekonominya. RCEP juga tidak mempunyai banyak kontroversi berbanding yang ditimbulkan oleh TPPA.

Akan tetapi Malaysia melalui Kementerian Perdangan Antarabangsan dan Industri (MiTi) lebih menumpukan kepada perjanjian TPP berbanding RCEP.

Apa akan berlaku pada TPPA?

Pendirian AS untuk memastikan negara yang menyertai rundingan ini untuk menghapuskan kawalan terhadap pembiayaan rentas sempadan turut menimbulkan kesangsian sama ada perundingan ini akan mencapai kata sepakat.

Ini kerana Negara Malaysia dan Chile merupakan antara negara yang mengenakan kawalan terhadap pembiayaan rentas sempadan. Tindakan yang telah di buat oleh Malaysia semenjak tahun 1990-an ini terbukti berjaya mengurangkan risiko krisis ekonomi terutamanya yang berlaku pada tahun 2008. International Monetary Fund (IMF) juga telah bersetuju untuk menukar pendiriannya terhadap dasar aliran modal ini dan berpendapat bahawa kawalan sebegini berkesan. Akan tetapi aneh apabila AS ingin memastikan tiada kawalan sebegini sadangkan ianya terbukti boleh membawa kepada krisis ekonomi sekiranya tiada sekatan dan kawalan.

Menurut Kevin P. Gallagher yang pernah mengetuai satu task force daripada Universiti Boston bagi mengkaji kesan aliran modal antara negara maju dan negara membangun, beliau menegaskan bahawa seharusnya sebuah negara membangun mempunyai kawalan terhadap pembiayaan rentas sempadan sebelum menyertai mana-mana perjanjian perdagangan.

Ana percaya Malaysia tidak akan bersetuju di dalam perkara ini dan kita bakal melihat rundingan ini akan berpanjangan sebelum disepakati dan ditandatangani.

Pertembungan antara Republikan dan Demokrat di dalam soal polisi luar negara AS semenjak isu campur tangan tentera AS di dalam soal krisis di Syria juga telah menimbulkan kebimbangan di dalam kalangan pemerhati dan telah menimbulkan anggapan bahawa TPP ini mungkin akan berhadapan dengan dua cabaran, pertama untuk meyakinkan negara luar menyertainya dan yang kedua untuk memastikan TPP ini akan dimeterai tanpa bantahan daripada ahli kongres.

Tetapi kemungkinan ini hanya kecil memandangkan kedua-dua Demokrat dan Republikan dilihat menyokong idea perlaksanaan TPP sebelum ini.

Persoalannya adalah apakah yang akan berlaku kepada perjanjian ini? Adakah akan berulang sejarah sepertimana Doha Development Agenda (DDA) yang bermula pada 2001 dan telah tergendala pada tahun 2008 sehingga pada hari ini?

Bantahan demi bantahan yang dilakukan oleh masyarakat dunia semenjak perundingan ini dimulakan di negara-negara yang menyertai perundingan ini termasuklah di AS sendiri telah memberikan suatu signal yang tidak baik kepada perkembangan proses perundingan ini.

Ana menjangkakan perundingan TPP ini akan berlanjutan ke suatu tempoh yang lebih lama dan berkemungkinan juga akan tergendala sepertimana DDA sebelum ini berikutan terlalu banyak perkara yang belum berjaya disepakati. Kemungkinan selepas ini Malaysia akan lebih menumpukan perhatian kepada perundingan RCEP yang dilihat kurang menganggu gugat perkara sensitif negara berbanding TPP dan dilihat lebih berupaya disepakati di dalam tempoh yang lebih singkat berbanding TPP.

Ana cuma pelajar jurusan perubatan, mungkin bukan bidang ana utuk berbicara perkara ini. Cuma ingin berkongsi hasil pemerhatian dan pembacaan ana berkaitan TPPA mutakhir ini. Mohon diperbetulkan fakta yang silap dan salah faham yang ada pada pemerhatian ini.

p/s : Ada masa selepas ini, ana akan menulis berkenaan RCEP pula. Lama tak kemaskini blog, haha..


Friday, June 29, 2012

kenapa mesti "tok ilman"?

Selamat hari jumaat semua.

Kali ini, tok tak ada nak cerita perihal yang berat-berat. Bukan cerita politik, bukan juga isu semasa dan bukan juga sesi tazkirah pendek. (haha)

Hari ini, sekadar ingin bercerita mengenai 'Tok Ilman." (?)
Sebelum ini ramai bertanya: "Kenapa pakai nick-name tok ilman? kat kartun, Fb..tup tup..blog pun tok ilman?"

Baiklah..
Amaran: Post kali ini bukanlah post ilmiah. Jikalau tidak berminat mengetahuinya, sila jangan baca.

Pada mulanya, sekadar mencari nick-name untuk letak kat komik.
cari punya cari..fikir punya fikir. Terhasillah 'tok ilman.'

Ana nak gunakan suatu nama samaran yang menggambarkan diri ana. Ok, 'Ilman' memang nama ana, cuma terbitnya idea nak guna 'tok' sebab secara peribadi ana rasakan ana seperti orang retro sikit. (haha)

Ana minat lagu lama..
minat kereta klasik..
suka baca apa yang orang tua baca..
entahlah..senang cerita, citarasa ana macam orang lama-lama or..org tua.

Kebetulan, antara sumber inspirasi ana adalah atuk ana.
Ana sangat sayang dan hormat atuk ana, beliaulah yang menerapkan pelbagai nilai positif dalam diri ini sehinggalah ana menjadi 'tok ilman'. (?)

Maka, ana meletakkan perkataan 'tok' di hadapan nama ana, supaya ana menginspirasikan diri (cewah) agar berfikiran matang seperti atuk ana dan golongan veteren yang lain.

Kalian nak tahu tak cita-cita ana..cuba teka...
Ana bercita-cita ingin menjadi Geriatrician, pakar perubatan bagi golongan emas. Sebabnya..suatu hari nanti, semua orang yang kita kenal dan sayang pada hari ini akan menjadi tua. Mereka memerlukan penjagaan dan rawatan yang berbeza daripada insan biasa yang sihat. So..ana berazam ingin menjadi salah seorang yang dapat menjaga golongan emas ini..terutama mak ayah ana sendiri. Doakan ya.

Yang terakhir..
Ana suka ingatkan diri, bahawa umur ini singkat.
biar ana merasa bahawa diri ini sudah menjadi 'atuk' dan punyai pelbagai tanggungjawab.
mengingatkan diri akan kematian adalah motivasi terbaik bagi ana.

Sampai di sini sahajalah..
semoga selepas ini, tiada lagi yang akan bertanya kenapa ana menggunakan perkataan 'tok' di hadapan nama ana.

Ana tok ilman.
Selamat berkenalan ^_^

Thursday, June 28, 2012

Exam: Anda menulis, mereka juga menulis.

Pernah tak rasa menyesal apabila tersedar sudah tersalah tulis jawapan selepas tamat exam?

"Alamak..macam mana aku boleh tersilap fakta ini. Sipi je lagi ni."

Biasa berlaku?
Satu situasi yang agak biasa bagi ana. Tapi, nak buat macam mana..yang telah kita tulis, kekal tercatit.

Masa kita kecil, kita sering diingatkan dan diceritakan mengenai malaikat di bahu kiri dan kanan kita. Ingat lagi? Mereka juga sentiasa mencatit.

Di dalam dewan peperiksaan. Semasa kita sedang menulis, mereka juga menulis.

Pernah tak agaknya kita pernah terfikir: "Oh tidak, di catatan buku amalanku telah bertambah satu lagi kesilapan aku, tidak!" ?

Ana pun jarang terfikir perkara tersebut. Mungkin juga ramai begitu.
Sebab ana lihat ramai yang lebih takutkan tersalah tulis pada kertas jawapan berbanding dengan tercatitnya satu lagi perilaku tidak jujur yang bakal ditayangkan di hari pembalasan kelak.

Toleh kanan,
ada yang memberi tiru.

Toleh kiri,
ada yang meniru.

Ana tahu, imtihan sudah pun selesai. Nasi sudah pun menjadi bubur yang hangit. Tidak mengapa, biarlah catitan ini menjadi peringatan pada musim peperiksaan yang seterusnya.

Ana sebenarnya kasihan bila mendengar sahabat lain yang merungut dengan budaya meniru ini.

"Benci la..kiri kanan tiru, dekat facebook bukan main islamik."

...

haih..

Sekarang adalah waktu hangat bagi politik di Mesir.
Alhamdulillah, Muhammad Mursi memenangi kerusi Presiden Mesir selepas kejatuhan rejim Hosni Mubarak.

Sewaktu pilihanraya Presiden berlangsung, ramai yang marah apabila mendengar khabaran bahawa Ahmed Syafiq menipu keputusan pilihanraya. Termasuklah mereka yang turut menipu di dalam keputusan imtihan mereka.

Mereka membenci ketidakadilan dan penipuan.
Tetapi mereka juga melakukan perkara yang sama..
aneh...bukankah sama?

Sejujurnya, ana tidak cemburu dengan mereka yang berjaya meniru tanpa ditangkap mahupun diberi jawapan oleh penjaga dewan peperiksaan..bukan cemburu yang mendorong ana menulis mengenai ini. Ini bukan soal ana risau markah ana seorang sangat rendah manakala yang lain cemerlang berlaka, tidak sama sekali. Ana tekad untuk menulis perkara ini kerana sayang dengan kalian supaya tidak mengulanginya lagi pada masa akan datang.

Kalian hebat-hebat berlaka,
punya ilmu tinggi,
petah berkata-kata..
dan punya semangat juang pada islam yang tinggi.

Tapi ana takut,
ana bimbang potensi kalian terhakis kerana dibiar sikap jijik ini melarat.

Isu Palestin hingga kini tidak pernah selesai,
ditambah pula isu Syria yang kian berdarah..kemudian kita dikejutkan pula dengan kes di Rohingnya.

Ana lihat kalian berkobar menyatakan sanggup berjuang dan menitiskan darah demi maruah agama dan keselamatan saudara seIslam kita di sana. Tapi ana bimbang kita sebenarnya masih lemah walau berhadapan pada nafsu sendiri.

Berjihad di medan perang,
adalah soal hidup dan mati..

dan ana percaya, kalian juga meletakkan keberadaan dan kelangsungan kalian di universiti juga adalah soal hidup dan mati, betul bukan?

"Oh..aku perlu naik tahun kalau tidak pinjaman aku akan ditarik..matilah aku kalau gagal. Mana nak cari USD 8000"

"Alamak..ana perlu dapat mumtaz, kalau tidak, mak tak bagi pulang ke Malaysia."

"Aku kena elakkan daripada kena retest paper, kalau tidak..tak dapat la balik Malaysia lama-lama. Rugi la duit tiket."

Tetapi, ramai yang hanya kerana perkara di atas..diri tumpas dari kecenderungan untuk meniru dan menipu. Belum soal hidup mati, kita terkulai..adakah kita percaya tubuh kita mampu bergerak ke hadapan jika di medan perang? Atau kita akan menyerah diri apabila ditangkap dan dengan mudah mengatakan: "Oh...darurat mengizinkan."

Sahabat-sahabatku,
janganlah ruangan jawapan kita penuh jawapan dan dalam masa yang sama ruangan catitan perbuatan dosa di buku amalan kita juga penuh dengan pertambahan catitan baru.

Usahlah...

Buku amalan kita akan dibawa naik,
bertaubatlah atas perkara yang sudah berlalu.






Thursday, May 24, 2012

Mendengar dengan Baik

Soalan untuk kali ini:
"Adakah anda merupakan pendengar yang baik?"

Macam biasa, soalan itu simpan dulu dalam poket doraemon anda.

Rasa-rasanya, macam mana ya untuk kita dapat menjadi pendengar yang baik?
kena ada telinga besar?
atau..
kena ada empat telinga?
(haha)

Ingin menjadi pemidato yang hebat itu mudah, tetapi untuk menjadi pendengar yang hebat itu ramai yang sukar untuk melaksanakannya.

Jika dilihat pada mereka yang berada di sekitar kita (atau lihat pada diri sendiri sudah memadai), mereka yang bijak berpidato dan sering membentangkan idea dan pendapat sering tidak berjaya untuk menjadi pendengar yang baik. (tidak maksudkan semua)

Situasi ini berlaku kerana untuk menjadi pendengar yang baik ia cukup berkait rapat dengan ego kita. Seringkali terjadi (kepada ana sendiri), apabila kita sering berjaya membuahkan pendapat yang bernas atau bijak menyusun kata-kata, kita akhirnya menjadi mereka yang merasakan dirinya adalah 'Mr.Right'.

Apabila ada orang lain yang berkata-kata, kita tidak mudah untuk menerima kata-kata mereka, lebih-lebih lagi sekiranya yang berkata itu adalah mereka yang lebih muda atau penampilan mereka tidak semegah mana.

Kegagalan untuk menjadi pendengar yang baik adalah sesuatu yang bakal merosakkan diri kita. Kita akan menjadi mereka yang mempunyai pemikiran yang sempit, otak tepu dengan teori sendiri dan mudah bersangka buruk.

Maka, mari kita cuba perbaiki diri kita agar dapat menjadi pendengar yang baik mulai saat ini.

1. Nasihat


Hari-hari kita mesti tak terlepas daripada menerima nasihat kan?
kalau tak..kena cek balik jadual kehidupan kita.
sekurang-kurangnya pasti ada mendengar tazkirah di Masjid mahupun daripada kawan-kawan.

Sekiranya kita masih lagi mengungkapkan kata-kata seperti:

"Alaa..den dah dongar dah bondo ni, maleh la nak dongar balek."

atau,
"Buruk bonar la bahaso yang dio guno, baik den dongar ceramah ustaz lain."

Maka, itu bermaksud kita masih belum lagi menjadi pendengar yang baik dalam menerima nasihat.
Seperti yang pernah ana nyatakan sebelum ini, berkenaan dengan bahasa atau kaedah percakapan yang digunakan oleh mereka yang memberi nasihat itu adalah perihal mereka, yang paling utama di sini adalah bagaimana cara kita untuk mengambil manfaat di dalam nasihat tersebut.

Nasihat tidak semestinya perkara yang baru. Ia adalah untuk mengingatkan kita kembali supaya sentiasa berada di landasan yang benar. Sekiranya kita tidak pernah cuba mengubah diri kita setelah mendengar sesetengah nasihat, mengapa ingin berasa pelik sekiranya kita akan mendapat nasihat yang sama dan berulang pada masa akan datang.

Sekiranya ada yang menyampaikan nasihat, dengarlah dengan baik dan cuba fahami isi yang disampaikan. Jangan bazirkan masa melihat kepada bahasa mereka mahupun perilaku mereka, tetapi fokuskan diri pada perkara yang ingin cuba disampaikan.

"Jangan melihat kepada orang yang sedang memberi nasihat, tetapi lihatlah kepada nasihat yang sedang diberikan" 


2. Idea

Semasa di dalam mesyuarat mahupun luar mesyuarat, seringkali akan berlaku percanggahan idea.


"Kita patut bela gajah." Tuan Presiden memberikan cadangannya.

"Hei, kita patut bela Zirafah!"
Balas pak guard Zoo tanda tidak setuju dengan idea Tuan Presiden.

"Saya kata gajah!!"

"Tak..kami nak Zirafah!"

Ok.ok dialog di atas menipu besar (haha).
tapi ini realiti yang ada dalam kehidupan kita.

Semasa sedang berbincang, pasti akan ada idea yang matang dan idea yang pra-matang (what!?).
Dalam masa yang sama, akan ada juga idea yang bertentangan dengan idea yang dicadangkan oleh kita.

Maka, disini ada dua situasi:

a) Berhadapan dengan idea yang tidak matang dan tidak praktikal.

Seringkali kita melihat mereka yang menyuarakan idea jenis ini akan dihentam oleh ahli mesyuarat, samada mesyuarat agung mahupun mesyuarat tingkap peringkat setinggan blok A.

Idea tersebut diketawakan.
dan
Idea tersebut dibuang tanpa recycle (haha).

Cuba fikir sebentar..apa agaknya kesan buruk terhadap perbuatan kita?

Mereka yang muda dan mempunyai potensi besar ini akan mula menjauhkan diri daripada sebarang bentuk perbicangan dan mereka akan menjadi semakin malas untuk mengeluarkan sebarang idea mahupun pendapat.

Lebih malang lagi sekiranya mereka juga sudah berputus asa untuk berfikir dengan mendalam untuk sesuatu isu.."Ahh..biarlah 'diorang'-'diorang' sahaja yang fikirkan."

Jadi..meskipun idea tersebut tidak praktikal dan sebagainya, jangan tolak dengan drastik..dengar dengan baik terlebih dahulu dan kemudian nyatakan sebab apa tidak mungkin terlaksana idea tersebut. Jangan lupa juga untuk berterima kasih kepada mereka yang telah sudi menyumbangkan idea meskipun idea tersebut 'pelik' atau tidak matang.

b) Berhadapan dengan idea yang bertentangan dengan pendapat diri sendiri.

Pertama sekali, perlu semat elok-elok, kemas-kemas kat dalam hati kita bahawa tidak semua yang datang dari diri kita adalah benar belaka.

Idea mahupun buah fikiran kita terbentuk daripada pengalaman dan pembacaan kita yang lepas. Boleh jadi, mereka yang bertentangan dengan idea kita mengetahui perkara yang kita tidak ketahui, dan boleh jadi mereka ini nampak mudharat yang boleh timbul daripada perlaksanaan idea kita.

Maka..jangan cepat melatah.
dengar dahulu.
baru berbicara semula.

Seterusnya, kita perlu fahami kedudukan perbincangan tersebut, sekiranya hanya perbicangan di warung kopi tanpa membawa kesan besar yang buruk terhadap sesuatu, maka ada masa kita hanya perlu mendengar sahaja tanpa membalas sekiranya jika kita membalas semula bakal merosakkan ukhuwah sesama kita.

Hati-hati,
Risau sekiranya idea yang kita pertahankan itu mempunyai mudharat yang kita tak nampak manakala idea yang kita tentang dangan bersungguh-sungguh itu mempunyai manfaat yang kita tak nampak

Berbincanglah dengan baik dan berlapang dada terhadap sebarang keputusan.
"Jika ada ahli mesyuarat selain kita yang terlebih dahulu menyuarakan idea yang sama seperti dalam fikiran kita, maka bersyukurlah..bimbang sekiranya kita boleh berasa riak dengan idea tersebut.
Sekiranya idea yang dicadangkan oleh kita diterima, maka beristighfarlah dan berdoa kepada Allah agar tiada mudharat yang datang bersama idea tersebut. 
Sekiranya idea kita ditolak, bersyukurlah kerana idea kita terlepas dari dipertanggungjawabkan."

3. Luahan perasaan


Kadang-kadang ada masa, rakan kita akan datang menghampiri kita dan bercerita bermacam-macam kisah hidup mereka.

Hari Isnin, cerita cinta.
Hari Rabu, cerita bola.
Hari Jumaat, cerita buku.

Mereka meluahkan cerita, kerana mereka manusia,
dan mereka mencari anda, kerana anda rakan baik bagi mereka,

Ada masa, manusia perlu meluahkan segala apa yang terbuku dalam hati mereka, supaya hidup mereka jadi lebih tenteram. Kerana merasakan bahawa ada manusia lain yang mengetahui kisah hidup mereka dan memahami mereka.

Mereka akan mencari teman rapat mereka yang paling dipercayai untuk berkongsi suka dan duka. Bersyukurlah apabila ada teman yang ingin bercerita dengan anda, itu bermakna anda dipercayai oleh mereka.

Tips pertama:
-Jangan buat benda lain.

Dengar dengan baik,
dan respon jika perlu.

Tips kedua:
-Jangan ubah topik.

Biar dia bercerita sehingga kita jelas apa perkara yang sebenarnya dia ingin ceritakan.

Tips ketiga:
-Pandang wajah dia.

Elakkan bila dia sedang bercerita, kita pandang ke kanan, sekejap ke kiri. Tunjukkan keseriusan dalam mendengar luahan dia.

"Kawan yang baik akan mendengar dengan baik"

4. Pertanyaan

Ada ketika, ramai salah anggap sesetengah pertanyaan itu adalah kritikan.
contoh:
"Kenapa korang tak buat macam ni?"

atau
"Kenapa kempen ni tak ada aktiviti 'sekian-sekian'?"

Sedangkan, mereka benar-benar sedang bertanya, tetapi dijawab dengan kasar:

"Ahh..kau buatla sendiri!"

atau
"Kau tak jadi AJK boleh la cakap camtu."

(adoii..)
Jangan mudah-mudah menjawab dengan kasar.
Berikan jawapan seperti yang ditanya.

Kalau yang ditanya kenapa tidak ada aktiviti "sekian-sekian", maka kita jawablah mengikut situasi yang sebenar (tiada bajet/telah dipersetujui oleh mesyuarat/terdapat keutamaan lain dan sebagainya)

5. Berita

"Alaa..kau jangan dengar berita dari sumber ni, tak boleh percaya belaka."
Biasa dengar? (haha)

Jangan berat sebelah dan jangan bertindak zalim.
Dengar dan Percaya adalah dua perkara yang berlainan.

Yang paling utama, jangan hadkan sumber maklumat kita.
Tanpa maklumat yang menyeluruh, bagaimana kita ingin membuat pemerhatian dan kesimpulan yang adil terhadap sesuatu isu.

Dengar dahulu.
Percaya setelah menilai.
Jangan mudah-mudah menolak.

"Ucapkanlah terima kasih kepada mereka yang ingin berkongsi maklumat dengan kita walaupun kita tidak mempercayai sumber berita tersebut, kerana dengan cara ini kita akan mengetahui corak pemikiran mereka dan di manakah salah faham itu mula wujud." 

6. Kritikan

Akhir sekali..mendengar kritikan dengan baik.

Benar, tidak semua orang yang menyampaikan kritikan dengan kata-kata yang baik mahupun dengan sopan. Kebanyakannya kasar, penuh dengan emosi dan lebih suka untuk memalukan di hadapan khalayak ramai.

Pada ketika inilah peluang untuk kita mendidik diri kita dan melihat sejauh mana tahap kesabaran kita.

Sabar..
Jangan mudah melenting.

Sebenarnya ana dah penat menulis, nak sambung belajar anatomy..
Kerana kemalasan dan kepenatan mencapai tahap yang membimbangkan, maka ana copy paste status FB ana yang lepas (woha!):

jarang ada yg terlepas daripada emosi dan mampu bercakap dengan kawalan akal yg waras.

biasa dengar org ckp cmni x?:

"kenapa dalam isu ni kau bising, dalam isu 'itu', 'ini', 'di sana' dan 'di sini' yg lain tu..patut kau perjuangkn jgak."

atau
"cukup baiklah aku da pakai tudung, kenapa nak sibuk2 tegur aku pakai ketat2"

atau
"alaa..engkau bukan baik sgt pun"

atau
"engkau tegur la dia tu,lagi teruk..kenapa nak attack aku pulak."

bila mendapat teguran, mereka mengelak dan cuba menukar isu..sedangkan tiada manfaat yg boleh diperolehi daripada dirinya sekiranya berdolak dalik sedemikian. cuba escape daripada tuduhan. adakah hanya mereka yg sgt 'teruk' shjakah yg perlu dinasihati..?weird

dan ada pula yg setelah menulis berjela2 status dgn penuh ayat tersirat tiba2 menafikan kata-katanya. dengan tiba2 menjadi seorang yg literalis

contoh pertama
"mana ada org ckp tu.kau je sangka buruk.muahaha."

contoh kedua
"sejak bila pula aku mention nama kau, aku just ckp 'katak bawah tempurung', kenapa kau nak terasa pulak?"

contoh ketiga
"aku cakap anjing xxx, kau anjing ke?"

yg paling menyedihkan apabila seseorang itu sentiasa dan suka untuk hidup dalam persepsi negatif, setiap kali ditegur dia akan kaitkan orang itu dengan sesuatu yg dia xsuka:

seprti dalam taksub kepartian:
"Kau sapa pula nak tegur orang,,dasar balaci xxxxx."

ataupun persepsi terhadap keturunan:
"dasar keturunan xxxxx, patutla mulut lancang"

senyap
jentik hati
tanya diri

baiklah..
kritikan untuk kebaikan kita.
meskipun ianya kasar, terima isinya, kulitnya jangan disimpan.

Sekiranya kritikan itu tidak berasas dan tidak benar,
jawablah dengan baik dan biar berfakta bukan emosi.

Tamat

(huh)
kesimpulannya sedikit sahaja sebenarnya,
sengaja tulis panjang-panjang..kan dah penat (hoho)

1. Mulakan mendengar dengan sangka baik.
2. Itu sahaja (haha)

Sengaja tulis semua ini,
supaya menjadi peringatan kepada diri sendiri kelak,

"Mendengar dengan baik adalah langkah awal untuk menjadi pemikir yang hebat"
 Baik..tanya semula kepada diri.
"Adakah aku pendengar yang baik?" ^_^

Sunday, May 20, 2012

Andai akulah pengemis itu

Kota kaherah tidak pernah sunyi dengan manusia.
ada sahaja manusia di sana-sini.

Ada peniaga
ada pejalan kaki
dan ada juga pengemis

Bukan lagi pemandangan yang luar biasa untuk melihat pengemis berjumpa dengan kita selang setiap sejam,
macam ada temu janji pula.

Pukul 1.00, si baju merah.
pukul 5.00, si baju hijau pula.
disebabkan keadaan itu ramai yang mengeluh..

"Ingat ayah aku masuk duit untuk dia ke?!!" pernah terdengar ada pelajar malaysia yang rimas hingga merungut sedemikian.

Pasukan peminta sedekah ini cukup bijak, mereka akan lebih menumpukan gerak kerja mereka pada pelajar Malaysia, sebab mereka tahu pelajar kita poket ber'isi' dan hati cepat cair.

Ada juga mereka yang daripada kalangan kita yang apabila terlihat kelibat peminta sedekah mula menghampiri, mereka akan berpakat beramai-ramai untuk tidak mahu melayan langsung peminta sedekah tersebut...hanya kerana alasan tidak mahu kawasan perumahan mereka menjadi tumpuan harian kepada peminta sedekah ini kelak.

Ada juga yang memberitahu bahawa mereka yang meminta sedekah ini ramai yang menipu, guna surat sakit yang sudah bertahun luput tarikh..guna kisah menyayat hati yang palsu dan banyak lagi. Atas sebab ini mereka tidak mahu mendermakan duit mereka walau sesen pun apabila diminta.

Macam-macam kan kehidupan ini..

Kerap kali juga ana terdengar ada yang memaki hamun dengan perkataan kesat. Menggelar mereka sebagai seorang yang pemalas kerana tidak mahu bekerja.

Yang tak reti bercakap arab, akan terus dengan modal emas lama dia:
 "Majnun!!" atau "Haram 'Alaik"

Tetapi kan...
pernah terfikir tak bagaimana agaknya kalau kitalah pengemis itu?

Antara peminta sedekah yang "ramai" rimas adalah dari golongan kanak-kanak,
dikatakan mereka gemar mengacau,
suka mengambil barangan orang
dan agak nakal sifatnya

Cuba bayangkan sejenak..

Kalaulah si kecil itu adalah kita..
kita lahir dalam keluarga yang sememangnya sangat miskin
sudah pasti tidak mampu untuk membiayai kos ke sekolah..
tambahan lagi keadaan negara yang tidak seimbang pertumbuhan ekonominya.
 
Apabila melihat rakan sebaya makan sedap-sedap, mesti kita juga teringin..
nak juga merasa apa itu aiskrim..
nak juga merasa apa itu gula-gula..
minta pada ibu, agak-agak kita boleh dapat tak?

Mesti agak mustahil..
sebab apa?
sebab tak ramai yang simpati untuk menghulurkan sedekah..

Kenapa tak nak kerja?
baiklah..cuba kalian lihat keadaan sekeliling..
adakah kita merasakan peluang pekerjaan itu mudah-mudah diperolehi..?

Mungkin akan ada yang cakap:
"hendak seribu daya, tak nak seribu dalih."

Tapi..
jangan kepala penuh dengan teori tanpa berpijak pada bumi..
bukan semua daripada mereka yang mengemis ini dapat berfikir dengan cara kita berfikir.
bukan semuanya sama seperti tokoh-tokoh yang dahulunya miskin hina kini jadi jutawan dinar kerana usaha gigih mereka..
tidak semua dapat berfikiran sebegitu.
bukan salah mereka jika minda mereka tidak berkembang dengan baik..

Meskipun mereka dapat berfikir untuk melakukan sesuatu seperti berniaga kecil-kecilan dan sebagainya, rasa-rasanya ada tak mereka yang hendak memberi sokongan dari segi kewangan..
tak ramai..

Pernah juga mendengar ada yang marah-marah kerana ada si miskin kecil mencuri kuih di restoran. Ada yang akan mengatakan si kecil itu jahat dan tak takut tuhan.

Ya..malah mungkin dia juga tak kenal tuhan.
apa tidaknya, hendak ke sekolah..segalanya perlukan duit..
sejak kecil, dihina, dicemuh tanpa dibimbing..salah siapa?

Kita hendak memberi kerja kepada mereka...kita bukan bos besar, hanya pelajar universiti
kita hendak memberi tunjuk ajar agama..cakap arab tunggang-langgang (referring to me)
apa lagi yang boleh kita bantu saudara seakidah kita?

Meskipun "dia" menipu, itu urusan antara dia dengan tuhan..
yang pasti dia berada dalam kesempitan..
mana mungkin orang hidup senang lenang bersama iPhone sanggup berjalan ke hulu dan ke hilir dalam panas untuk menagih simpati.entah dapat duit atau tidak..(sebab majoriti masyarakat buat andaian macam-macam)

Ana mengakui orang miskin muslim yang baik mereka tidak akan meminta-minta..
tapi adakah anda rasa mereka pernah mendengar ayat itu?
jangan mudah menghukum tanpa menilai..

Jadi..ringan-ringankan tangan untuk menderma..
jadikan ini peluang untuk melembutkan hati kita..
dan berdoalah agar Allah buka pintu kefahaman dan rezeki kepada mereka..

Sangat baik apabila kita menderma walaupun sikit tapi biar cukup untuk membeli makanan sekali makan yang boleh mengenyangkan mereka. Kalau LE.5 dapat la beli Qosyari Kibir..kalau beri LE.0.25, apa lah sangat yang dapat dibeli oleh mereka.


"Jika anda tidak mampu untuk memberikan 'joran' kepada 'mereka', janganlah sehingga tidak mahu memberikan 'ikan'."

Friday, May 18, 2012

Hidup untuk hidup


"Aiyoo..makan untuk hidup la, bukan hidup untuk makan."

Pernah tak kena tegur macam ni?
tapi kalau kita ajak dia makan sekali, nanti dia tak akan cakap apa-apa lagi dah..(haha)

Mesti dah biasa kena tegur macam tu kan?

kalau kita perhati perjalanan hidup kita baik-baik, bukan hanya makan sahaja yang kita lakukan untuk hidup.
cuba kita tanya secara rambang kepada diri kita:

Kenapa aku belajar?
"Sebab aku nak dapatkan hidup yang lebih baik pada masa depan."

Kenapa aku bersenam?
"Nak hidup sihat."

Kenapa aku bekerja?
"Perlukan duit untuk keperluan hidup."

Apabila diteliti...kita melakukan segalanya untuk hidup dan terus hidup..
Jadual harian kita disusun adalah untuk memastikan survival kehidupan kita.
Hidup kita adalah untuk hidup..

Walaupun ramai yang sedar dan separa sedar (baru bangun tidur) bahawa hidup ini adalah untuk pengabdian kepada Allah swt dan sebagai jambatan akhirat, tapi ramai yang tetap membataskan matlamat hidupnya adalah pada "untuk hidup".

kita makan,
kita bekerja,
kita berkawan,
semua itu adalah untuk menjadikan hidup kita menjadi lebih baik.

kerana apa perlu hidup?
apabila hanya kehidupan dunia sahaja yang dijadikan matlamat.
sebab untuk meninggikan syariat Allah swt di muka bumi ini.

tetapi kita sering menjadikan matlamat akhir kita hanyalah sekadar "untuk hidup".

sedarlah wahai saudara..
kita sebagai seorang muslim, hidup kita adalah lebih dari itu..

hidup kita bukan hanya untuk hidup
tapi hidup kita adalah untuk yang disana



apabila akhirat jadi destinasi akhirmu
pandangan mata hatimu akan lebih luas