Perjanjian
Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).
Pengenalan Ringkas TPPA.
TPP merupakan cadangan perjanjian perdagangan yang
melibatkan 12 buah negara. Perjanjian ini bersifat multi-lateral dan merupakan
himpunan set-set perjanjian perdagangan bilateral sedia ada antara Amerika
Syarikat dan beberapa negara yang kini menyertai TPP.
Perjanjian ini diterajui oleh AS dan dimulakan rundingannya
daripada tahun 2010 sewaktu tempoh pentadbiran George Bush. TPP merupakan
perkembangan daripada Perjanjian Perkongsian Ekonomi Strategik Trans Pasifik
(TPSEP atau P4) yang pada awalnya merupakan perundingan di antara Brunei,
Chile, Singapore dan New Zealand pada tahun 2005.
Perjanjian ini telah melalui 18 rundingan dan pada awalnya
dijangka akan mendapat kata putus pada bulan Oktober 2013, akan tetapi
kegagalan Presiden Obama untuk menghadirkan diri ke dalam persidangan APEC pada
5-7 Oktober di Bali yang lalu kerana terpaksa mengutamakan isu negaranya
berkenaan bajet tahunan dan siling hutang (debt ceiling) telah merencatkan
usaha bagi merealisasikan proses penandatanganian perjanjian ini. Dijangka
perjanjian ini tidak akan dapat ditandatangani pada tahun ini.
Sekiranya
perjanjian ini berjaya ditandatangani, perundingan ini bakal meliputi 2/5
daripada ekonomi dunia. Akan tetapi TPP telah mengundang pelbagai kontroversi
berikutan skop perundingan ini yang lebih besar berbanding perundingan
perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang biasa.
Kerajaan Malaysia
tidak terkecuali di dalam menerima kritikan daripada kalangan ahli politik
mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap penglibatannya di dalam
rundingan ini. Antara perkara yang menjadi kerisauan adalah seperti di dalam
bab Perolehan Kerajaan (Government Procurement), Hak Harta Intelektual (IPR),
tenaga buruh, alam sekitar, Resolusi Penyelesaian Pertikaian Antara Pelabur dan
Negara (Investor-State Dispute Settlement, ISDS), nasib perusahaan kecil dan
sederhana dan kerahsiaan isi perundingan.
Datuk
Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah
menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan perundingan tersebut tidak akan
mengganggu gugat tiga elemen penting iaitu perlembagaan negara, kuasa kerajaan
negeri dan dasar-dasar negara.
Apa
Selepas APEC dan 17 Oktober?
Beberapa
perbincangan telah tercetus antara pengkritik dan pemerhati sewaktu AS terhadap
keputusan Obama untuk tidak menghadirkan dirinya ke persidangan Asia Pasific
Economy Coorperation (APEC) gara-gara konflik dalaman negaranya sehingga
terpaksa menghentikan operasi pentadbiran negara AS.
Ketika
itu AS telah melalui suatu tempoh yang cukup genting di mana operasi
pentadbiran terpaksa dihentikan kerana Republikan tidak bersetuju untuk
meluluskan bajet tahunan disebabkan polisi kesihatan baru yang lebih dikenali
sebagai Obamacare. Ditambah pula dengan isu siling hutang yang perlu dinaikkan
kadarnya sebelum menjelang 17 Oktober bagi mengelakkan kegagalan AS dalam
membayar hutang dan menjalankan beberapa komitmen negaranya.
Hal ini
telah memaksa Obama untuk membatalkan lawatannya ke Asia bagi menangani isu ini
bagi mengelakkan krisis ekonomi yang lebih dahsyat. Tindakan Obama tidak
meneruskan lawatannya ke Asia telah dikritik oleh beberapa pemerhati kerana
telah mengabaikan peluang yang membawa ke arah potensi pulangan yang lebih
besar berbanding memilih untuk berada di Washington untuk satu penyelesaian
jangka pendek yang dijangka krisis yang sama tetap akan berulang sekali lagi Februari
tahun hadapan.
Pentadbiran
Obama dilihat telah merugikan masa yang ada bagi memastikan TPPA dan TIPP (bagi
perjanjian dengan Eropah) berjaya dimeterai hanya kerana terpaksa berhadapan
dengan konflik antara Demokrat dan Republikan.
Kegagalan
Obama untuk berada di dalam APEC secara tidak langsung telah mengurangkan keyakinan
negara yang menyertai rundingan TPP ini dan menunjukkan kelemahan AS dalam
menangani konflik dalaman negaranya.
China
telah mengambil peluang ini untuk mempromosikan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau
(RCEP) yang telah dimulakan rundingan ini bermula pada 20 November 2012.
RCEP dilihat bersaing dengan TPPA di dalam
menguasai pasaran dunia. Walaupun RCEP merupakan perundingan perjanjian
perdangan yang baru sahaja diperkenalkan, perundingan ini dilihat lebih
meyakinkan kerana disertai negara yang lebih sekata status ekonominya. RCEP
juga tidak mempunyai banyak kontroversi berbanding yang ditimbulkan oleh TPPA.
Akan tetapi Malaysia melalui Kementerian
Perdangan Antarabangsan dan Industri (MiTi) lebih menumpukan kepada perjanjian
TPP berbanding RCEP.
Apa
akan berlaku pada TPPA?
Pendirian
AS untuk memastikan negara yang menyertai rundingan ini untuk menghapuskan kawalan
terhadap pembiayaan rentas sempadan turut menimbulkan kesangsian sama ada
perundingan ini akan mencapai kata sepakat.
Ini
kerana Negara Malaysia dan Chile merupakan antara negara yang mengenakan
kawalan terhadap pembiayaan rentas sempadan. Tindakan yang telah di buat oleh
Malaysia semenjak tahun 1990-an ini terbukti berjaya mengurangkan risiko krisis
ekonomi terutamanya yang berlaku pada tahun 2008. International Monetary
Fund (IMF) juga telah bersetuju untuk menukar pendiriannya terhadap dasar
aliran modal ini dan berpendapat bahawa kawalan sebegini berkesan. Akan tetapi
aneh apabila AS ingin memastikan tiada kawalan sebegini sadangkan ianya
terbukti boleh membawa kepada krisis ekonomi sekiranya tiada sekatan dan
kawalan.
Menurut Kevin
P. Gallagher yang pernah mengetuai satu task force daripada Universiti
Boston bagi mengkaji kesan aliran modal antara negara maju dan negara membangun,
beliau menegaskan bahawa seharusnya sebuah negara membangun mempunyai kawalan
terhadap pembiayaan rentas sempadan sebelum menyertai mana-mana perjanjian
perdagangan.
Ana
percaya Malaysia tidak akan bersetuju di dalam perkara ini dan kita bakal
melihat rundingan ini akan berpanjangan sebelum disepakati dan ditandatangani.
Pertembungan
antara Republikan dan Demokrat di dalam soal polisi luar negara AS semenjak isu
campur tangan tentera AS di dalam soal krisis di Syria juga telah menimbulkan
kebimbangan di dalam kalangan pemerhati dan telah menimbulkan anggapan bahawa
TPP ini mungkin akan berhadapan dengan dua cabaran, pertama untuk meyakinkan
negara luar menyertainya dan yang kedua untuk memastikan TPP ini akan dimeterai
tanpa bantahan daripada ahli kongres.
Tetapi
kemungkinan ini hanya kecil memandangkan kedua-dua Demokrat dan Republikan dilihat
menyokong idea perlaksanaan TPP sebelum ini.
Persoalannya
adalah apakah yang akan berlaku kepada perjanjian ini? Adakah akan berulang
sejarah sepertimana Doha Development Agenda (DDA) yang bermula pada 2001 dan
telah tergendala pada tahun 2008 sehingga pada hari ini?
Bantahan
demi bantahan yang dilakukan oleh masyarakat dunia semenjak perundingan ini
dimulakan di negara-negara yang menyertai perundingan ini termasuklah di AS
sendiri telah memberikan suatu signal yang tidak baik kepada perkembangan proses
perundingan ini.
Ana menjangkakan perundingan TPP ini
akan berlanjutan ke suatu tempoh yang lebih lama dan berkemungkinan juga akan
tergendala sepertimana DDA sebelum ini berikutan terlalu banyak perkara yang
belum berjaya disepakati. Kemungkinan selepas ini Malaysia akan lebih menumpukan
perhatian kepada perundingan RCEP yang dilihat kurang menganggu gugat perkara sensitif
negara berbanding TPP dan dilihat lebih berupaya disepakati di dalam tempoh
yang lebih singkat berbanding TPP.
Ana cuma pelajar jurusan perubatan,
mungkin bukan bidang ana utuk berbicara perkara ini. Cuma ingin berkongsi hasil
pemerhatian dan pembacaan ana berkaitan TPPA mutakhir ini. Mohon diperbetulkan
fakta yang silap dan salah faham yang ada pada pemerhatian ini.
p/s : Ada masa selepas ini, ana akan
menulis berkenaan RCEP pula. Lama tak kemaskini blog, haha..
No comments:
Post a Comment