Sunday, October 5, 2014

Meninjau Usaha Yang Pernah Dilaksanakan Bagi Menangani Konflik Palestin-Israel Melalui Jalan Diplomasi


1. UN Partition Plan 1947
i) PBB membahagikan tanah Palestin dengan nisbah 56:44; bangsa Yahudi diberikan 56% manakala Arab-Palestin diberikan hanya  44%.
ii) Pelan ini tidak dipersetujui oleh negara-negara Arab.
iii) Zionis-Yahudi telah memanfaatkan pelan ini dengan mengisytiharkan penubuhan negara haram Israel berdasarkan persempadanan yang ditentukan oleh PBB tersebut selepas pengunduran penguasaan British pada 14 Mei 1948.

2. Resolusi PBB 194
i) Rentetan daripada peperangan Arab-Israel 1948 yang tercetus sehari selepas pengistiharan negara haram Israel, dianggarkan seramai 700,000 penduduk asal Palestin telah diusir keluar daripada penempatan mereka dan seterusnya menjadi perlarian di negara jiran. PBB telah mengeluarkan resolusi 194 yang menyatakan bahawa perlarian yang diusir keluar perlulah diberikan hak mereka untuk pulang ke tanah asal dan ganti rugi perlu diberikan kepada mana-mana mangsa perlarian yang memilih untuk tidak mahu kembali semula.
ii) Negara haram Israel bertindak tidak mahu mematuhi resolusi tersebut kerana mereka menyatakan bahawa perlarian tersebut bukan diusir oleh mereka; tetapi penduduk Palestin itu telah melarikan diri atas arahan pimpinan negara Arab ketika itu. Berdasarkan hujah tersebut, mereka mendakwa resolusi tersebut tidak terpakai pada mereka.

3. Resolusi PBB 242
i) Pada tahun 1967, berlaku peperangan diantara tiga negara Arab (Jordan, Mesir dan Syria) dan Israel. Negara arab telah mengalami kekalahan yang teruk dan wilayah Gaza, Tebing Barat dan Bukit Golan terlepas ke tangan musuh.
ii) PBB telah meluluskan resolusi 242 yang bertujuan meminta untuk Israel berundur daripada penguasaan kawasan yang diperolehi melalui peperangan tersebut. Dukacitanya, sekali lagi Israel menafikan keperluannya untuk mematuhi resolusi tersebut berikutan dakwaan bahawa kawasan tersebut bukanlah tanah yang berdaulat dan mempunyai pentadbiran rasmi, justeru mereka mendakwa mereka tidak tertakluk dengan resolusi tersebut.

4. Perjanjian Camp David 1979
i) Lanjutan daripada peperangan Arab-Israel 1973, Mesir telah menandatangani perjanjian damai dengan Israel melalui pihak ketiga (Amerika Syarikat). Mesir merupakan negara Arab yang pertama mengadakan perjanjian seterusnya secara tidak langsung telah mengiktiraf status Israel sebagai sebuah negara yang sah.
ii) Berikutan daripada perjanjian ini, Mesir menjadi negara Arab pertama yang menghentikan aktiviti boikot Israel yang telah dimulakan oleh Liga Arab bermula seawal daripada tahun 1945.

5. Perjanjian Oslo 1993
i) Pada tahun 1987, telah tercetus Intifadha yang pertama dari kalangan Arab-Palestin yang tinggal di kawasan penaklukan Israel. Penentangan ini belanjutan sehingga tahun 1993 dengan termeterainya Perjanjian Oslo.
ii) Pada ketika itu, Israel dan Amerika Syarikat menyedari bahawa tindakan mereka untuk tidak mengiktiraf Palestine Liberation Organisation (PLO) yang diketuai oleh Yaser Arafat hanyalah merugikan mereka apabila penduduk asal Palestin mula beralih arah jalan juang mereka dan tidak lagi memihak kepada PLO yang dilihat sudah semakin sederhana pandangan politik mereka. Di atas kesedaran tersebut, Amerika Syarikat telah mengusahakan agar pengiktirafan diberikan kepada PLO dan seterusnya diadakan perjanjian dengannya bagi mencapai solusi dua-negara.
iii) Lanjutan daripada Perjanjian Oslo tersebut, pilihanraya telah diadakan di Gaza dan Tebing Barat (merujuk kepada persempadanan sebelum peperangan 1967). Pilihanraya tersebut telah dimenangi oleh Fatah.



6. Pelan Damai Arab 2002
i) Semasa Persidangan Liga Arab di Beirut pada tahun 2002, sebuah pelan damai yang dicadangkan oleh kerajaan Arab Saudi telah dipersetujui oleh anggota persidangan.
ii) Pelan damai tersebut terkandung beberapa perkara; antaranya:
a. Pengiktirafan negara Israel
b. Perjanjian damai dan pemulihan hubungan antara negara Arab-Israel
c. Pengunduran semua penempatan tentera mahupun rakyat Israel daripada kawasan milik Palestin (menurut persempadanan sebelum perang 1967)
d. Pengembalian hak kepada mangsa perlarian sebagaimana yang termaktub di dalam Resolusi 194
e. Penubuhan negara Palestin yang merdeka di tanah Gaza dan Tebing Barat; manakala Timur Jurusalem dijadikan pusat pentadbirannya.
iii) Walaubagaimanapun proposal pelan damai ini tidak dihiraukan oleh kerajaan Israel.

7.   Road map 2002
i) Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Bush telah mengusahakan pelan damai yang dinamakan sebagai Road Map. Pelan ini dirangka dengan bantuan dan pantauan daripada empat kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat, Great Britain, Russia dan PBB.
ii) Pelan ini ditangguhkan perlaksanaannya selama setahun bagi memberikan laluan kepada pilihanraya Israel agar Ariel Sharon dan Parti Likud dapat memegang tampuk kekuasaan negara.
iii) Disebabkan beberapa isu keselamatan dan kekacauan yang timbul, pelan damai ini terhenti.
iv) Melihatkan kepada permasalahan yang dihadapi untuk meneruskan pelan damai ini, Ariel Sharon beranggapan bahawa adalah sukar untuk mengekalkan status negara Israel sebagai negara buat bangsa yahudi dan di dalam masa yang sama masih cuba mengawal jutaan rakyat Palestin di luar kawasan Israel. Maka, Sharon memutuskan untuk mengundurkan semua tenteranya daripada wilayah Gaza pada tahun 2005.

8. Perjanjian sulit Olmert-Abbas 2006
i) Pada Januari 2006, Ariel Sharon menghidapi strok dan seterusnya koma selama 8 tahun. Posisinya sebagai Perdana Menteri telah digantikan oleh Ehud Olmert.
ii) Bermula daripada Disember 2006 sehinggalah pada September 2008, Olmert telah mengadakan beberapa siri rundingan bersama Mahmoud Abbas (Presiden Palestinian Authority) secara rahsia.
iii) Pada tahun 2011, isi kandungan rundingan tersebut telah tersebar kepada awam. Berdasarkan rundingan tersebut, mereka menyetujui untuk menghentikan aktiviti ketenteraan di negara Palestin, memposisikan tentera pengaman daripada Amerika di sempadan Palestin-Israel, berkongsi Jurusalem dan membenarkan 10,000 mangsa perlarian Palestin untuk pulang ke tanah asal dan akan membayar ganti rugi kepada mangsa yang berbaki.
iv) Walaubagaimanapun, rundingan ini terhenti dan tidak diteruskan apabila Benyamin Netanyahu telah memenangi pilihanraya seterusnya menggantikan Olmert. Netanyahu tidak berminat untuk meneruskan rundingan yang telah diteruskan oleh Olmert dan Abbas.

9) Perjanjian Doha: Fatah-Hamas 2012
i) Selepas kemenangan Hamas di dalam pilihanraya pada tahun 2006, telah berlaku beberapa konflik yang menyebabkan pada hari ini pentadbiran Gaza dan Tebing Barat terpisah. Ketegangan antara Hamas dan Fatah telah berlanjutan sehinggalah pada tahun 2012 diusahakan pendamaian melalui perantaraan Qatar sebagai pihak ketiga.
ii) Israel telah mengutuk dan mengancam penglibatan Fatah di dalam proses damai yang bertujuan untuk membentuk kerajaan perpaduan ini.

10) Perjanjian Gaza: Fatah-Hamas 2014
i) Perjanjian ini merupakan lanjutan daripada perjanjian yang dibuat di Doha dan Kaherah.
ii) Isi kandungan persetujuan ini menetapkan proses penubuhan kerajaan perpaduan dan menyatakan bahawa pilihanraya parlimen dan presiden perlu dibuat dalam tempoh enam bulan selepas perjanjian dimeterai.

Penutup
Selain daripada siri rundingan yang disenaraikan di atas, terdapat banyak lagi cadangan, pandangan dan usaha yang pernah diutarakan dan dijayakan oleh pelbagai pihak dalam usaha menyelesaikan konflik Palestin-Israel. Walaupun begitu, sejarah telah membuktikan bahawa bangsa Yahudi sukar berpegang pada janji apatah lagi untuk mengekalkan keamanan di dalam tempoh yang panjang.
Penulisan ini adalah untuk memudahkan pembaca bagi mendapatkan gambaran secara ringkas terhadap siri-siri usaha yang pernah cuba dibuat oleh pelbagai pihak bermula daripada 1947 sehingga 2014 supaya kita dapat memahami dimanakah kedudukan kita pada hari ini dan apakah yang sewajarnya kita lakukan bagi menyambung perjuangan terdahulu disamping berhati-hati agar tidak termasuk ke dalam gaung kesilapan sekali lagi.

Rujukan:
1. Palestine, Israel and the Arab-Israeli Conflict: A Primer; Joel Beinin & Lisa Hajar (Middle East Research & Information Project)
2. Timeline of the Arab-Israeli Conflict and Peace Process (Icsresources)

Tinjauan Ringkas Terhadap Sejarah, Struktur & Hala Tuju Ekonomi Islam

Kejatuhan sistem Sosialis pada hujung abad ke-20 telah membuka ruang kepada pengamalan sistem ekonomi Kapitalis sebagai sebuah sistem ekonomi yang dominan di seluruh dunia. Akan tetapi, semenjak krisis ekonomi pada tahun 2008 yang lalu, para ahli akademik dan penganalisa ekonomi mula membincangkan hala tuju dan nasib sistem ekonomi sedia ada ini. Walaupun krisis ini bukanlah krisis yang pertama di dalam sejarah dunia kapitalis, tetapi ianya merupakan yang terbesar semenjak Great Depression. Sehingga ke hari ini, iklim ekonomi global masih belum pulih sepenuhnya. Seiring dengan apa yang berlaku pada hari ini, suara-suara untuk mengangkat sistem ekonomi Islam sebagai paradigma ekonomi yang  baharu semakin kuat dan lantang. Walau bagaimanapun, masih ramai mempunyai kesamaran terhadap struktur ekonomi Islam hatta daripada kalangan pendokong kepada ide ekonomi islam itu sendiri. Perkembangan penulisan dan pencerahan  berkaitan ekonomi Islam pada hari ini juga lebih banyak berkisar berkenaan institusi dan instrumen kewangan berbanding penerangan fundamental dan struktur ekonomi Islam itu secara keseluruhan.



Sejarah Perkembangan Disiplin Ilmu Ekonomi Islam

Buku pertama yang menyentuh berkenaan pengurusan ekonomi melalui perspektif Islam adalah Kitab al-Kharaj karangan Abu Yusuf (113-182H / 731-798 S.M). Dorongan bagi penghasilan penulisan ini adalah lanjutan daripada permintaan khalifah Harun al-Rashid (789 S.M – 809 S.M) yang merupakan pemerintah Khilafah Abbasiah pada ketika itu. Buku ini membincangkan berkenaan pencukaian, pengurusan dan pengagihan dana negara dan pentadbiran awam.

Selepas daripada penulisan Abu Yusuf ini, perbincangan dan penulisan berkenaan ekonomi menurut kaca mata Islam semakin berkembang. Antara buku yang telah dihasilkan oleh ilmuwan Islam pada zaman Abbasiah adalah seperti berikut:

1.       Kitab al-Iktisab (Muhammad ibn al-Hassan al-Shaibani, 132-189H / 750-804M)
2.       Kitab al-Amwal (Abu Ubaid, 224H / 838 M)
3.       Kitab Risalat al-Iktisab wa al-Wara’ (Abdullah al-Harith, 857M)
4.       Kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah (al-Mawardi, 972M)
5.       Kitab al-Zari’ah fi Makarim al-Shariah (al-Raghib al-Asfahani, 1108M)
6.       Kitab Ihya’ Ulumuddin (al-Ghazali, 1058-1111M)
7.       Kitab al-Isharah fi Mahasin al-Tijara (al-Dimashqi, 1175M)
8.       Kitab al-Hisbah fi al-Islam (Ibn Thaimiyyah, 1263-1328M)
9.       Kitab al-Muqaddimah (Ibn Khaldun, 1332-1406M)

Peralihan pemerintahan daripada Khilafah Abbasiah kepada Turki Uthmaniyyah telah menyaksikan kemerosotan perkembangan ilmu ketika itu, terutamanya berkenaan ekonomi Islam. Penulisan pada ketika itu lebih bersifat informatif dan instruktif berbanding bersifat inovatif dan kreatif sebagaimana penulisan yang dihasilkan pada zaman Abbasiah.

Selepas daripada keruntuhan sistem khilafah pada 1924 secara rasminya, pelbagai pihak muncul bagi merawat semula kefahaman umat Islam bahawa Islam merupakan suatu cara hidup, bukan terhad kepada ritual keagamaan semata-mata. Ketika itu lahirnya gerakan Islam seperti Ikhwan Muslimin di Mesir dan Jamaat Islami di Pakistan. Abu A’la al-Maududi; pengasas Jamaat Islami telah mengarang buku “Sistem Ekonomi Islam” (1941) bagi menjelaskan semula kepada masyarakat muslim yang ketika itu hanya mengenali ideologi ekonomi liberal dan sosialis supaya mereka dapat melihat gambaran sebenar ekonomi berasaskan Islam.

Abad ke-20 menyaksikan kebangkitan semula perbincangan berkenaan ekonomi Islam. Anwar Iqbal Qureshi telah menjelaskan teori berkenaan ekonomi islam yang bebas riba  melalui penulisannya yang bertajuk “Islam and the Theory of Interest” (1945). Lanjutan daripada penulisan ini, instrumen kewangan berasaskan perkongsian seperti “mudharabah” dan “musharakah” menjadi perbincangan utama oleh ahli ekonomi Islam bagi tujuan menubuhkan sistem perbankan yang patuh syariah.

Seterusnya, teori ini dikembangkan lagi oleh Muhammad Uzair dan Muhammad Nejatullah Siddiqi melalui penulisan; “Interestless Banking: Will It Be Success?” dan “Banking Without Interest”.

Ekonomi Islam mula diberikan perhatian secara meluas dan diiktiraf sebagai suatu disiplin ilmu yang baru selepas daripada Konferens Antarabangsa Ekonomi Islam yang diadakan di Mekah pada tahun 1976. Konferens ini menghimpukan 180 tokoh daripada pelbagai latar belakang seperti ahli ekonomi, ulama’ dan pengurus bank daripada seluruh dunia. Perbincangan yang dibuat meliputi berkenaan konsep dan  methodologi, penghasilan dan kepenggunaan, peranan pemerintah, insurans menurut Islam, bank bebas riba, pembangunan ekonomi menurut Islam, zakat, polisi fiskal dan kerjasama ekonomi antara negara Islam.

Hasil daripada konvesyen pada tahun 1976, Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi Islam (ICRIE) telah ditubuhkan di bawah Universiti King Abdul Aziz, Jeddah. Pada tahun 1981, Institusi Kajian & Latihan Islam (IRTI) pula telah ditubuhkan oleh Islamic Development Bank (IDB). Institusi ini mula beroperasi pada tahun 1983.

Pada hari ini, kajian dan penyelidikan berkenaan ekonomi Islam semakin berkembang. Akan tetapi, diperakui bahawa fokus perbincangan berkenaan ekonomi Islam sudah disempitkan kepada skop kewangan islam semata-mata.




Konsep Dan Prinsip Ekonomi Islam

1. Konsep Tauhid; meletakkan keyakinan bahawa seluruh alam ini merupakan ciptaanNya dan pemilik mutlak kepada segala yang ada adalah Allah swt.

2. Konsep Khalifah; di dalam al-Quran, Allah telah menjelaskan bahawa kedudukan manusia di bumi adalah sebagai khalifah. Posisi selaku khalifah  ini adalah untuk membangunkan hasil bumi dan kehidupan sosial berdasarkan konsep pemegang amanah (trusteeship); daripada tuhan kepada hamba. Justeru itu, sebarang aktiviti perekonomian yang dilaksanakan di muka bumi ini tidak sewajarnya melangkaui garis panduan yang telah ditentukan oleh Allah swt.

3. Konsep Amanah; manusia diberikan ruang dalam membuat keputusan dan bertindak selagi mana ianya masih di dalam lingkungan yang dibenarkan syara’. Akan tetapi, manusia juga tidak terkecuali daripada keinginan dan ruang untuk memilih jalan kehidupan; samada baik atau sebaliknya. Setiap pemilihan keputusan dan tindakan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

4. Prinsip Kesederhanaan; Islam menganjurkan kesederhanaan di dalam kehidupan. Begitu juga di dalam pengurusan kewangan dan perekonomian seperti mana yang dinyatakan di dalam surah al-A’raf, ayat 31 ; “Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang bagus pada setiap masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berlebihan.”

5. Prinsip Kecekapan; kecekapan di sini merujuk kepada memaksimakan kecekapan pengurusan dana selari dengan konsep yang telah dinyatakan di atas (Konsep Tauhid, Khalifah dan Amanah). Islam juga menegah manusia daripada sifat tabzir (Pembaziran) dan israf (Berlebih-lebihan dalam penggunaan). Prinsip ini mendokong kepada inovasi dan pembangunan utiliti yang lebih berkesan.

5. Prinsip Keadilan Sosial; Islam memperjuangkan keadilan dan kebajikan, Islam juga tidak menafikan kewujudan perbezaan status ekonomi di dalam sesebuah masyarakat seperti mana yang dinyatakan di dalam surah an-Nahl, ayat ke 71; “Dan Allah telah melebihkan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain dalam hal rezeki, tetapi orang yang telah dilebihkan itu tidak mahu memberikan rezekinya kepada para hamba sahaya yang mereka miliki, sehingga mereka dapat merasakan rezeki itu. Mengapa mereka mengingkari nikmat Allah?”

Pembangunan Dan Penghasilan

Faktor penghasilan (factors of production) adalah elemen perlu bagi suatu proses penghasilan produk. Secara asasnya, terdapat tiga faktor bagi penghasilan di dalam ekonomi Islam:

1.       Hasil bumi
2.       Buruh
3.       Modal

Hasil bumi
Di dalam al-Quran menjelaskan bahawa hasil bumi ini dikurniakan oleh Allah swt kepada manusia untuk digunakan bagi menjalani kehidupan dan sebagai tanda kebesaran Allah swt selaku pencipta. Islam menggalakkan manusia untuk memakmurkan muka bumi sepertimana yang dinyatakan di dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim; “ Tiadalah bagi seorang muslim yang menanam suatu tanaman, atau menanam suatu pohon, lalu sebahagian dari hasilnya dimakan oleh burung atau manusia atau binatang ternak, kecuali hal tersebut merupakan  sedekah baginya.”

Meskipun penggunaan hasil bumi bagi memenuhi keperluan manusia itu dituntut, ianya seharusnya berada di dalam lingkungan pemeliharaan dan pemuliharaan keseimbangan alam sekitar, sepertimana yang dinyatakan di dalam surah al-Qasas, ayat 77; “ Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu untuk negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari dunia, dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang melakukan kerosakan.”

Buruh
Islam sangat menitikberatkan kepentingan bekerja dan berusaha, perihal ini dapat dilihat melalui sirah nabi SAW dan para sahabatnya menjalani kehidupan dan berusaha mencari rezeki melalui pelbagai pekerjaan. Kehidupan pengabdian melalui ritual keagamaan secara sepenuhnya sepertimana kehidupan para sami sehingga mengabaikan pekerjaan adalah tidak digalakkan di dalam Islam. Dirakamkan di dalam sebuah hadis Nabi SAW; “Bukanlah orang yang paling baik darimu itu yang meninggalkan dunianya kerana akhiratnya, dan tidak pula yang meninggalkan akhiratnya kerana dunianya. Kerana dunia itu penyampaian kepada akhirat dan janganlah kamu menjadi beban atas manusia.”

Islam juga telah menggariskan panduan berkenaan tanggungjawab tuan kepada para pekerjanya sebagaimana pesanan Nabi SAW kepada Abu Dzar; “Mereka itu (pekerja) sebenarnya saudara-saudaramu dan penolong-penolong kamu, Allah telah menjadikan mereka itu terpaksa tunduk dibawah perintahmu. Oleh itu sesiapa yang ada saudaranya di bawah kekuasaannya maka hendaklah memberi makan dan memberi pakaian daripada apa yang dia pakai. Janganlah kamu membebani mereka dengan tugasan yang sangat berat. Bahkan apabila kamu menyuru mereka melaksanakan sesuatu pekerjaan makan hendaklah kamu menolong mereka.”

Penetapan gaji minimum yang mencukupi bagi menampung keperluan asasi kehidupan, had masa bekerja yang bersesuaian dan penyediaan ruang pekerjaan yang bersesuaian dan selamat merupakan antara peranan yang perlu dilaksanakan oleh penggaji selari dengan tuntutan agama Islam.

Islam juga amat menekankan kesungguhan di dalam bekerja, hal ini dapat dilihat sepertimana di dalam dua hadis nabi SAW; “ Sebaik-baik pekerjaan ialah usahanya seorang pekerja jika ia berbuat dengan tekun.” dan “Siapa bekerja keras hingga lelah dari kerjanya, maka ia terampuni dosanya kerananya.”

Modal
Modal digunakan untuk menghasilkan komoditi yang baharu. Di dalam Islam, bagi pengurusan modal, adalah dilarang mengenakan bunga terhadap pinjaman atau dikenali sebagai riba. Manfaat melalui pengharaman riba adalah untuk meninggikan prinsip keadilan, menggalakkan usaha kerja keras dan tidak bermudahan mengambil kesempatan terhadap golongan miskin yang memerlukan bantuan kewangan.


Pengagihan Pendapatan

Islam tidak menuntut kepada keserataan di dalam pendapatan, sebaliknya Islam mengiktiraf kekayaan yang diperoleh melalui usaha dan kerja keras. Tidak menjadi suatu kesalahan untuk menjadi kaya melalui usaha yang dibenarkan syara’ dan tidak pula menjadi suatu kemestian kemiskinan itu merupakan tiket ke syurga. Islam menuntut agar setiap manusia berusaha dan tidak bermalasan dalam bertindak.

Disamping Islam menggalakkan usaha dan persaingan yang sihat, Islam tidak mengabaikan nasib golongan yang sedia daif dan hidup di dalam kemiskinan. Islam mempunyai karekternya yang tersendiri di dalam pengagihan kekayaan dan pendapatan. Terdapat empat cara:

1.       Sedekah; Islam menganjurkan amalan bersedekah sepertimana yang disebutkan di dalam al-Quran; “Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang akan baik, akan dilipatgandakan (balasannya) bagi mereka, dan mereka akan mendapat pahala yang mulia.”

2.       Zakat; kutipan dana zakat mempunyai ciri-ciri tersendiri dan mempunyai sasaran penerima yang lebih khusus berbanding zakat.

3.       Perwarisan harta (Faraidh); Islam telah menggariskan panduan bagi perwarisan harta kepada waris keluarga supaya keadilan terjamin.

4.       Wakaf


Konsep Pemilikan Harta

Di dalam Islam, hak pemilikan harta adalah berdasarkan prinsip pemilikan sebagai pemegang amanah (Ownership by trusteeship). Terdapat dua jenis pemilikan:

1.       Pemilikan swasta
Islam mengiktiraf pemilikan harta peribadi dan meraikan fitrah manusia yang cenderung kepada harta. Islam juga memelihara hak manusia terhadap harta yang dimiliki sebagaimana digariskan di dalam Islam seperti hukuman potong tangan kepada mereka yang mencuri, begitu juga sepertimana yang dirakamkan di dalam sepotong hadis nabi SAW di dalam sahih muslim yang menyatakan bahawa mereka yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya adalah mati syahid.

Walaubagaimanapun, pemilikan swasta tidak boleh menyebabkan berlakunya ketidakadilan di dalam suatu komuniti seperti wujudnya monopoli keperluan asasi kehidupan. 

2.       Pemilikan awam
Secara umumnya, perkara yang perlu diletakkan dibawah pemilikan awam adalah perkara-perkara yang merupakan sumber asli bumi seperti sumber air dan perkara yang merupakan keperluan asasi kehidupan manusia. Akan tetapi, Islam tidaklah dilihat melarang sepenuhnya untuk manusia memiliki sumber asli sebagai pemilikan peribadi sebagaimana jika dilihat pada kehidupan masyarakat muslim yang terdahulu, ada yang memiliki telaga air melalui usahanya sendiri dan menjual bekalan air kepada komuniti sekitarnya.

Di dalam konsep pemilikan harta di dalam Islam, sebarang tindakan penyalahgunaan harta dengan sewenang-wenangnya adalah tidak dibenarkan, kerana hanya Allah swt merupakan pemilik tunggal kepada seluruh ciptaannya. Sebarang penyalahgunaan mahupun tindakan keterlaluan dalam menguruskan harta sehingga boleh menjejaskan komuniti sekitar membolehkan pemerintah untuk mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan tersebut.

Kerajaan juga berperanan untuk memastikan pasaran bebas dan stabil, disamping membantu golongan yang lemah untuk mempunyai kekuatan sendiri. Kerajaan juga perlu memastikan keperluan asasi kehidupan tidak dieksploitasi.

Peranan Pemerintah

Pemerintah mempunyai peranan di dalam memastikan pasaran dapat berfungsi dengan baik berdasarkan konsep permintaan-pembekalan (demand-supply) tanpa mempengaruhi pasaran melalui mekanisme penetapan harga. Ini berdasarkan tindakan nabi SAW yang tidak mahu menetapkan harga barangan di pasar setelah diadukan kepada baginda.

Begitu juga apabila dilihat kepada pentadbiran Saidina Umar al-Khattab, apabila berlakunya masalah kekurangan bekalan sehingga menyebabkan harga barangan meningkat naik pada tahun 639, beliau tidak menetapkan harga barangan tetapi beliau telah mengarahkan gabernor di Mesir untuk menghantar bekalan kepada Madinah supaya bekalan mencukupi seterusnya harga barangan kembali terkawal.

Akan tetapi, menurut Ibnu Taimiyah, pemerintah boleh masuk campur dan melakukan penetapan dan kawalan harga sekiranya pasaran ketika itu bermasalah dan tidak stabil.

Pemerintah juga perlu memastikan pembeli dan penjual memperoleh maklumat yang benar dan boleh dipercayai. Perkara ini boleh dicapai melalui penguatkuasaan akta mahupun badan kerajaan (Hisbah) yang berkaitan untuk memastikan pasaran tiada kesamaran.

Sebarang aktiviti monopoli (ihtikar) di dalam pasaran adalah ditegah dan merupakan tanggungjawab kerajaan bagi memastikan persaingan sihat dan risiko eksploitasi harga dapat dielakkan. Hal ini dijelaskan pada hadis nabi SAW yang diriwayatkan oleh Muslim; “Barangsiapa menimbun barang (monopoli), maka ia berdosa.”

Hala Tuju Ekonomi Islam

Menurut El-Ashker di dalam bukunya; “Islamic Economics: A Short History”, beliau menjelaskan bahawa tiga lapangan utama yang perlu diberi perhatian bagi merancakkan lagi pengembangan ilmu ekonomi Islam:

1.       Konsep
2.       Penilaian yang jujur terhadap pengamalan sistem ekonomi Islam hari ini.
3.       Perlu diusahakan lebih banyak kajian lapangan dan pembuktian empirikal.

Ilumuwan Islam perlu keluar daripada kepompong perbincangan ekonomi Islam yang hanya seputar kewangan semata-mata. Di dalam makalah “Islamic Economics, What Went Wrong” karangan Monzer Kahf, beliau menjelaskan kepincangan yang ada pada perbincangan ekonomi Islam hari ini adalah terlalu menumpukan pada cabang instrumen kewangan dan perbankan sahaja sehingga mengabaikan struktur ekonomi itu sendiri. Persoalan berkenaan pencukaian, pengurusan dana kerajaan, perlindungan hak peribadi daripada campur tangan kerajaan dan hak golongan miskin terhadap dana dan pemilikan awam sunyi daripada menjadi fokus topik perbincangan. Rujukan yang ada hanyalah karangan daripada tokoh ilmuwan islam pada 600 tahun yang lalu.

Manakala di dalam penulisan Kahf yang lain, iaitu ; “What Is Islamic Economy” yang telah memenangi anugerah IDB pada tahun 1990 menjelaskan bahawa antara peranan yang perlu digalas bagi memastikan ekonomi Islam menjadi suatu disiplin ilmu yang lebih komprehensif adalah dengan menjelaskan dengan lanjut dan terperinci mikroekonomi berdasarkan matlamat yang perlu dicapai makroekonomi.

Penutup

Suara-suara yang menyatakan bahawa al-Quran dan as-Sunnah tidak dapat memberikan solusi kepada permasalahan sistem ekonomi hari ini adalah berpunca daripada kegagalan di dalam memahami peranan sebenar sumber asas agama ini. Al-Quran dan hadis nabi tidaklah bertujuan khusus untuk menyediakan jawapan secara terperinci kepada setiap isu ekonomi yang dihadapi oleh komuniti dunia pada hari ini, tetapi pada kedua-duanya itu mengandungi prinsip-prinsip penting sebagai asas kepada sebuah struktur ekonomi yang jauh lebih baik.






Rujukan:
Al-Quran
Ahmed el-Ashker & Rodney Wilson; Islamic Economics: A Short History
Nagaoka Shinsuke; Critical Overview of The History of Islamic Economics: Formation, Transformation and New Horizons.
Monzer Kahf; Islamic Economics, What Went Wrong?
Monzer Kahf; What Is Islamic Economics?
M. Umer Chapra; Islam and the Economic Challenge

Monday, August 25, 2014

Boikot: Antara Realiti dan Kontroversi


Semenjak krisis antara Palestin-Israel kembali meruncing, perbincangan berkenaan boikot menjadi salah satu isu yang giat dipolemik dan diperkatakan; samada adakah ianya benar berkesan untuk memberikan tekanan kepada negara haram Israel atau sebenarnya hanya akan menzalimi perusahaan perniagaan yang tidak terkait dengan kezaliman di Gaza?

Sebelum kita pergi lebih lanjut, sebaiknya kita melihat terlebih dahulu perbincangan di kalangan ulama’ berkenaan boikot secara ringkas; adakah ianya dibolehkan atau sebaliknya. Pada permulaan, kita perlu memahami terlebih dahulu hukum asal jual beli antara muslim dan orang yahudi (atau syarikat dimiliki orang yahudi). Menjalankan aktiviti jual beli barangan dan perkhidmatan dengan orang yahudi asal hukumnya adalah harus, ianya disandarkan kepada tindakan nabi Muhammad SAW membeli makanan daripada orang yahudi yang dirakamkan di dalam hadith riwayat Bukhari. Begitu juga Allah menghalalkan memakan daging sembelihan ahli kitab dan turut sama dibolehkan untuk mengahwini mereka, maka apatah lagi berurus niaga dengan mereka (selagi mana menepati syarat jual beli di dalam Islam).


Bagaimana pula tindakan memboikot barang-barangan yang dihasilkan oleh syarikat yang jelas sumbangannya kepada Israel? Dalam konteks ini, kita telusuri semula sirah Nabi Muhammad SAW ketika mana Nabi pernah bertindak memulau perkampungan Yahudi Bani Nadzir bahkan menebang pohon-pohon kurma milik mereka (sumber ekonomi mereka) berikutan ancaman yang dizahirkan oleh mereka untuk memerangi umat Islam. Begitu juga jika dilihat pada tindakan pemulauan yang dibuat terhadap yahudi Bani Quraidzah yang telah mengkhianati umat Islam di dalam peperangan Ahzab. Tetapi adakah di sini poin penilaiannya adalah apabila ianya datang daripada Yahudi, maka perlu diperangi dan diboikot? Tidak. Tetapi ianya merujuk kepada wujudnya sifat memerangi terhadap umat Islam dan tekanan ekonomi melalui tindakan boikot terhadap yang memerangi itu menjadi suatu jalan jihad untuk menggesa pengembalian semula hak yang dirampas.

Berkenaan persoalan adakah ianya menjadi wajib untuk berboikot dan haram untuk membeli barangan yang disenaraikan sebagai barangan boikot, di sini terdapat perbezaan antara Fatwa dan Qadha’ (arahan pemerintah), yang mana sifat Fatwa adalah ghairu mulzim dan Qadha’ bersifat mulzim. Justeru itu, boikot akan menjadi wajib apabila telah diperintahkan oleh ‘Ulil Amri (jika wujud khilafah) atau tertakluk kepada kerajaan umat Islam di negara masing-masing (bagi tempoh ketiadaan khilafah). Selagi ianya bukan arahan daripada pemerintah, boikot masih berada di dalam lingkungan ‘digalakkan’.

Berikutan beberapa situasi terpencil yang mempamerkan perilaku pendokong usaha boikot yang keterlaluan seperti bertindak memusnahkan harta pemilikan syarikat atau melakukan pemaksaan secara keras terhadap pilihan individu lain adalah dilarang dan perlu dihentikan. Begitu juga dalam perlaksanaan boikot; memerlukan pemerhatian yang teliti terhadap maklumat dan latar belakang syarikat yang diboikot. Kerana hukum asal berurus niaga dengan Yahudi adalah harus, sebarang sangkaan dan khabar angin yang tidak dapat disahkan ketulenan faktanya tidak boleh dijadikan sandaran untuk memasukkan sesebuah syarikat ke dalam senarai boikot. Ini berdasarkan satu kaedah fiqh yang mafhumnya; “ Keyakinan tidak akan diketepikan hanya kerana suatu sangkaan.” (Al-Majmu, al-Nawawi)

Sejarah Tindakan Boikot Terhadap Israel

Pemboikotan terhadap produk dan sebarang perkhidmatan yang datang daripada yahudi zionis atau negara haram Israel telah bermula sebelum penubuhan Israel itu sendiri. Berikutan penentangan daripada negara Arab sebagai respon kepada peningkatan bilangan penempatan dan kemasukan Yahudi semasa tanah Palestin di bawah pentadbiran British, Liga Arab telah membuat suatu ketetapan agar anggotanya perlu melaksanakan pemboikotan terhadap aktiviti perekonomian yahudi bermula pada tahun 1945.

Selepas deklarasi penubuhan negara haram Israel pada 14 Mei 1948, tindakan boikot pada peringkat Liga Arab diperkemaskan lagi melalui perluasan skop sasaran boikot. Ianya dibahagikan kepada tiga peringkat; peringkat pertama: larangan terhadap sebarang urusniaga antara rakyat negara anggota dengan Israel,  peringkat kedua: larangan terhadap rakyat negara anggota berurusniaga dengan entiti perniagaan yang memberikan sumbangan kepada Israel dan peringkat ketiga: larangan menjalinkan hubungan perekonomian antara negara anggota dengan Israel dan entiti perniagaan yang memberikan sumbangan kepada Israel.

Walaupun inisiatif yang sangat baik telah digerakkan oleh Liga Arab, tetapi tidak kesemua anggotanya mematuhi ketetapan tersebut. Mesir menjadi negara pertama menghentikan tindakan boikot terhadap Israel berikutan perjanjian antara Mesir-Israel pada tahun 1979, seterusnya diikuti dengan Palestin pada tahun 1993 (Perjanjian Oslo) dan Jordan pada tahun 1994.

Bermula daripada 1980-an, pemboikotan hanya tertumpu kepada peringkat yang pertama (rakyat negara anggota – Israel) sahaja. Tindakan boikot terhadap perniagaan yang membantu Israel (peringkat kedua) dan daripada kerajaan negara anggota kepada Israel (peringkat ketiga) telah secara beransur-ansur berkurangan.

Selepas tahun 1996, negara-negara teluk (Oman, Saudi, Qatar, Bahrain, Kuwait dan UAE) pula menghentikan tindakan boikot terhadap negara haram Israel. Keputusan yang diambil ini adalah kerana mereka berpandangan bahawa kestabilan dan keamanan rantau arab akan kembali pulih jika hubungan antara negara Arab-Israel dipulihkan. Desakan daripada Amerika Syarikat juga menjadi salah satu faktor tindakan ini diambil oleh negara-negara teluk ketika itu.

Aktiviti boikot juga berlaku dikalangan penduduk Palestin itu sendiri. Semasa tercetusnya Intifadha yang pertama (1987), rakyat Arab-Palestin yang berada di tanah Palestin ketika itu melancarkan penentangan melalui tekanan terhadap ekonomi pentadbiran Israel yang memerintah mereka (belum wujud pembahagian dua negara) melalui demonstrasi, menghentikan pembayaran cukai, mogok lapar, pemboikotan produk dan perkhidmatan dan penutupan premis-premis perniagaan sebagai tanda protes.

Titik mula gerakan boikot secara besar-besaran dan lebih tersusun adalah selepas Intifadha kedua (2000). Pada tahun 9 Julai 2005, telah dijalankan sebuah kempen yang diberi nama BDS Campaign (Boycott, Divestmen & Sanction) yang disertai oleh 171 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kempen BDS ini menggesa tiga tuntutan yang perlu dipenuhi oleh Israel sebagai syarat untuk menghentikan aktiviti boikot:
  1.  Menghentikan penjajahan tanah Arab dan meruntuhkan tembok pemisah yang memisahkan Tebing Barat.
  2. Mengiktiraf hak penduduk Israel yang berbangsa Arab-Palestin, dan
  3.   Mengiktiraf hak perlarian daripada tanah Palestin untuk kembali ke tanah asalnya sepertimana yang telah digariskan di dalam Resolusi PBB 194.

Tambahan, boikot pada hari ini tidak lagi hanya melibatkan menghentikan jual beli produk dan perkhidmatan. Tetapi ianya turut sama melibatkan penarikan pengiktirafan terhadap sebarang aktiviti dan program anjuran Israel; melalui boikot akademik dan budaya.

Sejauh Mana Implikasi Kepada Israel?

Bagi menilai keberkesanan boikot, seharusnya kita melihat kepada kesannya terhadap status ekonomi Israel dan sejauh manakah ianya mempengaruhi pendirian Israel di dalam proses perjanjian damai dan tindakan ketenteraan.

Pendapatan negara haram Israel sejumlah besarnya adalah daripada aktiviti eksport. Sebarang gangguan dan sekatan pada capaian pasaran luarnya, secara sedikit sebanyak akan mengganggu gugat pendapatan negaranya. Apabila, gerakan boikot pada hari ini berterusan dan semakin mendapat sambutan, kesan terhadap Israel semakin ketara.

Kegusaran Israel terhadap implikasi gerakan boikot ini juga terzahir melalui kenyataan yang dikeluarkan pada Jun 2014 oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mengklasifikasikan Kempen BDS ini sebagai ancaman yang terancang kepada Israel. Begitu juga jika dilihat kepada kenyataan daripada barisan kabinet menteri Israel juga menggambarkan kerisauan terhadap kesan boikot terhadap masa depan ekonomi negara mereka. Yair Lapid (Menteri Kewangan Israel) mengakui bahawa gerakan boikot yang dijalankan seluruh dunia ini akan memberikan kesan kepada ekonomi mereka. Menurut Washington Post, jumlah nilaian eksport daripada Israel telah menurun sebanyak 14% setelah kebanyakan rangkaian pasaraya di Eropah telah memboikot barangan Israel.

Ketakutan untuk diboikot ini bukan sahaja hinggap pada Israel dan syarikat yang dimiliki oleh Yahudi, bahkan turut sama terkena tempiasnya kepada perusahaan perniagaan lain sepertimana British Department of Trade and Investment telah menasihatkan kepada ahli perniagaan British agar tidak menjalankan hubungan perniagaan dengan penempatan Yahudi yang melepasi Green Line (garis persempadanan Palestine-Israel), dikhuatiri akan turut sama menerima nasib diboikot.

Penurunan jumlah pendapatan, sokongan politik dan gesaan negara luar temasuk badan-badan korporat kepada Israel secara tidak langsung mempengaruhi percaturannya di dalam mengendalikan konfliknya dengan Palestin. Tindakan ketenteraan tidak lagi menjadi suatu langkah yang selamat dan popular, sebalinya setiap operasi ketentaraan yang dilancarkan itu membawa implikasi terhadap ekonomi negaranya secara tidak langsung melalui Kempen BDS yang semakin berkembang dan bertambah pendokongnya. Kecanggihan teknologi dan peningkatan kadar capaian maklumat melalui media sosial merancakkan lagi usaha menekan Israel.

Hala Tuju & Peranan Kita

1. Meneruskan usaha boikot secara berterusan.

Antara sifat yang perlu ada di dalam beramal adalah istiqamah; berterusan bukan bermusim. Boikot boleh dilaksanakan mengikut kemampuan kita. Adalah sebaiknya untuk kita mengenalpasti terlebih dahulu syarikat-syarikat yang jelas menyumbang sumbangan kepada Israel dan menghentikan pembelian produk daripada syarikat tersebut.

Seterusnya, bagi mengangkat suara kita agar lebih didengari adalah dengan menyatakan kekesalan dan ketidaksetujuan kepada pasaraya yang membekalkan banyak produk yang termasuk di dalam senarai boikot dengan melalui kiriman surat bantahan kepada pentadbiran pasaraya. Nyatakan di dalam surat tersebut bahawa kita telah berhenti membeli barangan-barangan tersebut.

2. Penglibatan di dalam projek pembangunan ekonomi rakyat Palestin.

Terdapat banyak projek pembangunan semula ekonomi yang dijalankan di Gaza terutamanya oleh badan kemanusiaan seperti MAPIM. Projek yang bersifat mengupayakan rakyat di Palestin agar mampu mengurangkan kebergantungan terhadap pembekalan daripada Israel adalah sangat digalakkan. Jumlah nilaian eksport barangan Israel ke Palestin (Gaza dan Tebing Barat) pada tahun 2011 adalah sekitar USD 6 billion. Sekiranya projek-projek ini dapat diteruskan dan digiatkan dengan lebih baik, pengurangan kebergantungan terhadap Israel secara tidak langsung akan mengurangkan saiz pasaran eksport Israel di Palestin.

3. Menyediakan alternatif pekerjaan dan produk

Di samping meneruskan usaha boikot, kita tidak menafikan bahawa akan ada pekerja tempatan yang terjejas status sumber pendapatan apabila syarikatnya diboikot. Sewajarnya usaha boikot perlu seiring dengan kesedaran perlunya mewujudkan peluang pekerjaan alternatif kepada mereka yang terkesan dengan tindakan boikot ini.

Begitu juga di dalam isu penawaran pilihan produk dan perkhidmatan kepada pengguna. Usaha boikot yang tidak disertakan cadangan produk gantian maka usaha ini tidak akan bertahan lama. Pengguna akan merasakan kesempitan dan tidak mahu meneruskan kempen boikot ini. Justeru, ianya menjadi satu cabaran buat usahawan tempatan muslim untuk menyediakan alternatif dari aspek peluang pekerjaan dan pemilihan produk. Bagi menggerakkan usaha ini secara terancang, perlunya digerakkan di bawah sebuah kesatuan usahawan muslim atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan.

4. Meneruskan advokasi

Desakan kepada pemimpin-pemimpin Islam dan dunia perlu digiatkan dengan lebih lantang. Melalui usaha boikot itu sendiri telah berjaya mengubah pendirian pelbagai pihak terhadap Israel, gerak kerja ini perlu berterusan dan terancang. Penerangan isu dan usaha menghidupkan kesedaran di kalangan masyakarat dunia perlu diteruskan agar tekanan terhadap Israel meningkat (embargo senjata, menjayakan semula boikot peringkat kedua dan ketiga dan membawa Israel ke muka pengadilan) supaya hak rakyat Palestin dikembalikan semula.

Penutup

Krisis yang berlaku pada umat Islam amat memerlukan kesatuan daripada negara-negara Islam. Beberapa kali di dalam garis masa penjajahan Palestin oleh Yahudi Zionis menunjukkan bahawa perpecahan; ketiadaan kesatuan di dalam tindakan oleh negara-negara Islam akhirnya hanyalah memberikan manfaaat kepada musuh sahaja.

Peperangan Arab-Israel 1948 yang tercetus selepas deklarasi penubuhan negara haram Israel tidak berjaya membebaskan Palestin walaupun peperangan tersebut melibatkan lima buah negara Arab menentang satu negara musuh. Bukan sahaja hanya satu sahaja negara, bahkan negara yang kecil dan baru sahaja tertubuh. Mengapa hal ini berlaku? Kerana ketiadaan kesatuan pada tindakan ketenteraan dan perbezaan hasrat oleh setiap pemerintah negara Arab ketika itu. Situasi ini hanyalah bagai mengulangi sejarah kelemahan tentera Salib ketika mereka ditewaskan oleh Salahuddin al-Ayubi di dalam misi membebaskan kembali al-Aqsa.

Kepincangan yang sama berulang sekali lagi sepertimana boleh dilihat bagaimana usaha boikot yang cuba dilaksanakan oleh Liga Arab itu sendiri tidak bergerak selangkah dan sederap. Sedangkan melalui tekanan yang berterusan dengan boikot yang terancang daripada setiap negara Arab yang berada di sekeliling Israel itu mampu untuk meletakkan Israel pada posisi yang lebih lemah daripada hari ini. Akan tetapi, perkara sebaliknya yang berlaku. Bahana apabila tiada kesatuan dalam bertindak oleh negara-negara Islam.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Tel Aviv terhadap apakah impak boikot terhadap sektor automotif Israel; sekiranya gerakan usaha boikot pada tahun 1980 -1990 berterusan (pada tempoh tersebut tindakan boikot mula berkurangan), diunjurkan bahawa saiz sektor automotif akan berkurangan sebanyak 12% dan harga bagi setiap kenderaan akan meningkat sebanyak USD 790 per kenderaan berikutan pengurangan pembekalan kenderaan di pasaran. Kajian di atas sebagai bukti bahawa boikot itu memberikan kesan terhadap Israel, jika tidak dalam tempoh terdekat ianya akan memberikan kesan jangka masa panjang. Justeru itu, kita tidak seharusnya merasakan lemah semangat mahupun melihat seolah-olah usaha boikot ini tidak mampu menggugat kedudukan Israel.

Akhir tinta, usaha membebaskan kembali al-Aqsa ke pangkuan umat Islam tidak boleh diambil remeh. Sikap ambil mudah dan memperlihatkan tindak laku kita seolah-olah hanya meletakkan tanggungjawab tersebut pada bahu-bahu penduduk Palestin semata-mata adalah sangat menyedihkan.

 Jika dahulu Salahuddin al-Ayubi berjaya membebaskan al-Aqsa 88 tahun selepas perampasan itu berlaku, kenapa kita merasakan lemah semangat dan tidak yakin pada usaha-usaha yang sedang giat dijalankan pada hari ini bagi mencapai pembebasan semula al-Aqsa? Boleh jadi ianya tampak kecil impaknya pada hari ini, tetapi berupaya mencorak sejarah gemilang pada hari mendatang. Kini sudah 66 tahun bumi Palestin dijajah, kenapa tidak kita cuba menanam suatu motivasi di dalam diri kita; “Mungkinkah aku Salahuddin al-Ayubi kedua?”. Usah patah semangat dengan berlalunya tempoh yang panjang.