Monday, August 25, 2014

Boikot: Antara Realiti dan Kontroversi


Semenjak krisis antara Palestin-Israel kembali meruncing, perbincangan berkenaan boikot menjadi salah satu isu yang giat dipolemik dan diperkatakan; samada adakah ianya benar berkesan untuk memberikan tekanan kepada negara haram Israel atau sebenarnya hanya akan menzalimi perusahaan perniagaan yang tidak terkait dengan kezaliman di Gaza?

Sebelum kita pergi lebih lanjut, sebaiknya kita melihat terlebih dahulu perbincangan di kalangan ulama’ berkenaan boikot secara ringkas; adakah ianya dibolehkan atau sebaliknya. Pada permulaan, kita perlu memahami terlebih dahulu hukum asal jual beli antara muslim dan orang yahudi (atau syarikat dimiliki orang yahudi). Menjalankan aktiviti jual beli barangan dan perkhidmatan dengan orang yahudi asal hukumnya adalah harus, ianya disandarkan kepada tindakan nabi Muhammad SAW membeli makanan daripada orang yahudi yang dirakamkan di dalam hadith riwayat Bukhari. Begitu juga Allah menghalalkan memakan daging sembelihan ahli kitab dan turut sama dibolehkan untuk mengahwini mereka, maka apatah lagi berurus niaga dengan mereka (selagi mana menepati syarat jual beli di dalam Islam).


Bagaimana pula tindakan memboikot barang-barangan yang dihasilkan oleh syarikat yang jelas sumbangannya kepada Israel? Dalam konteks ini, kita telusuri semula sirah Nabi Muhammad SAW ketika mana Nabi pernah bertindak memulau perkampungan Yahudi Bani Nadzir bahkan menebang pohon-pohon kurma milik mereka (sumber ekonomi mereka) berikutan ancaman yang dizahirkan oleh mereka untuk memerangi umat Islam. Begitu juga jika dilihat pada tindakan pemulauan yang dibuat terhadap yahudi Bani Quraidzah yang telah mengkhianati umat Islam di dalam peperangan Ahzab. Tetapi adakah di sini poin penilaiannya adalah apabila ianya datang daripada Yahudi, maka perlu diperangi dan diboikot? Tidak. Tetapi ianya merujuk kepada wujudnya sifat memerangi terhadap umat Islam dan tekanan ekonomi melalui tindakan boikot terhadap yang memerangi itu menjadi suatu jalan jihad untuk menggesa pengembalian semula hak yang dirampas.

Berkenaan persoalan adakah ianya menjadi wajib untuk berboikot dan haram untuk membeli barangan yang disenaraikan sebagai barangan boikot, di sini terdapat perbezaan antara Fatwa dan Qadha’ (arahan pemerintah), yang mana sifat Fatwa adalah ghairu mulzim dan Qadha’ bersifat mulzim. Justeru itu, boikot akan menjadi wajib apabila telah diperintahkan oleh ‘Ulil Amri (jika wujud khilafah) atau tertakluk kepada kerajaan umat Islam di negara masing-masing (bagi tempoh ketiadaan khilafah). Selagi ianya bukan arahan daripada pemerintah, boikot masih berada di dalam lingkungan ‘digalakkan’.

Berikutan beberapa situasi terpencil yang mempamerkan perilaku pendokong usaha boikot yang keterlaluan seperti bertindak memusnahkan harta pemilikan syarikat atau melakukan pemaksaan secara keras terhadap pilihan individu lain adalah dilarang dan perlu dihentikan. Begitu juga dalam perlaksanaan boikot; memerlukan pemerhatian yang teliti terhadap maklumat dan latar belakang syarikat yang diboikot. Kerana hukum asal berurus niaga dengan Yahudi adalah harus, sebarang sangkaan dan khabar angin yang tidak dapat disahkan ketulenan faktanya tidak boleh dijadikan sandaran untuk memasukkan sesebuah syarikat ke dalam senarai boikot. Ini berdasarkan satu kaedah fiqh yang mafhumnya; “ Keyakinan tidak akan diketepikan hanya kerana suatu sangkaan.” (Al-Majmu, al-Nawawi)

Sejarah Tindakan Boikot Terhadap Israel

Pemboikotan terhadap produk dan sebarang perkhidmatan yang datang daripada yahudi zionis atau negara haram Israel telah bermula sebelum penubuhan Israel itu sendiri. Berikutan penentangan daripada negara Arab sebagai respon kepada peningkatan bilangan penempatan dan kemasukan Yahudi semasa tanah Palestin di bawah pentadbiran British, Liga Arab telah membuat suatu ketetapan agar anggotanya perlu melaksanakan pemboikotan terhadap aktiviti perekonomian yahudi bermula pada tahun 1945.

Selepas deklarasi penubuhan negara haram Israel pada 14 Mei 1948, tindakan boikot pada peringkat Liga Arab diperkemaskan lagi melalui perluasan skop sasaran boikot. Ianya dibahagikan kepada tiga peringkat; peringkat pertama: larangan terhadap sebarang urusniaga antara rakyat negara anggota dengan Israel,  peringkat kedua: larangan terhadap rakyat negara anggota berurusniaga dengan entiti perniagaan yang memberikan sumbangan kepada Israel dan peringkat ketiga: larangan menjalinkan hubungan perekonomian antara negara anggota dengan Israel dan entiti perniagaan yang memberikan sumbangan kepada Israel.

Walaupun inisiatif yang sangat baik telah digerakkan oleh Liga Arab, tetapi tidak kesemua anggotanya mematuhi ketetapan tersebut. Mesir menjadi negara pertama menghentikan tindakan boikot terhadap Israel berikutan perjanjian antara Mesir-Israel pada tahun 1979, seterusnya diikuti dengan Palestin pada tahun 1993 (Perjanjian Oslo) dan Jordan pada tahun 1994.

Bermula daripada 1980-an, pemboikotan hanya tertumpu kepada peringkat yang pertama (rakyat negara anggota – Israel) sahaja. Tindakan boikot terhadap perniagaan yang membantu Israel (peringkat kedua) dan daripada kerajaan negara anggota kepada Israel (peringkat ketiga) telah secara beransur-ansur berkurangan.

Selepas tahun 1996, negara-negara teluk (Oman, Saudi, Qatar, Bahrain, Kuwait dan UAE) pula menghentikan tindakan boikot terhadap negara haram Israel. Keputusan yang diambil ini adalah kerana mereka berpandangan bahawa kestabilan dan keamanan rantau arab akan kembali pulih jika hubungan antara negara Arab-Israel dipulihkan. Desakan daripada Amerika Syarikat juga menjadi salah satu faktor tindakan ini diambil oleh negara-negara teluk ketika itu.

Aktiviti boikot juga berlaku dikalangan penduduk Palestin itu sendiri. Semasa tercetusnya Intifadha yang pertama (1987), rakyat Arab-Palestin yang berada di tanah Palestin ketika itu melancarkan penentangan melalui tekanan terhadap ekonomi pentadbiran Israel yang memerintah mereka (belum wujud pembahagian dua negara) melalui demonstrasi, menghentikan pembayaran cukai, mogok lapar, pemboikotan produk dan perkhidmatan dan penutupan premis-premis perniagaan sebagai tanda protes.

Titik mula gerakan boikot secara besar-besaran dan lebih tersusun adalah selepas Intifadha kedua (2000). Pada tahun 9 Julai 2005, telah dijalankan sebuah kempen yang diberi nama BDS Campaign (Boycott, Divestmen & Sanction) yang disertai oleh 171 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kempen BDS ini menggesa tiga tuntutan yang perlu dipenuhi oleh Israel sebagai syarat untuk menghentikan aktiviti boikot:
  1.  Menghentikan penjajahan tanah Arab dan meruntuhkan tembok pemisah yang memisahkan Tebing Barat.
  2. Mengiktiraf hak penduduk Israel yang berbangsa Arab-Palestin, dan
  3.   Mengiktiraf hak perlarian daripada tanah Palestin untuk kembali ke tanah asalnya sepertimana yang telah digariskan di dalam Resolusi PBB 194.

Tambahan, boikot pada hari ini tidak lagi hanya melibatkan menghentikan jual beli produk dan perkhidmatan. Tetapi ianya turut sama melibatkan penarikan pengiktirafan terhadap sebarang aktiviti dan program anjuran Israel; melalui boikot akademik dan budaya.

Sejauh Mana Implikasi Kepada Israel?

Bagi menilai keberkesanan boikot, seharusnya kita melihat kepada kesannya terhadap status ekonomi Israel dan sejauh manakah ianya mempengaruhi pendirian Israel di dalam proses perjanjian damai dan tindakan ketenteraan.

Pendapatan negara haram Israel sejumlah besarnya adalah daripada aktiviti eksport. Sebarang gangguan dan sekatan pada capaian pasaran luarnya, secara sedikit sebanyak akan mengganggu gugat pendapatan negaranya. Apabila, gerakan boikot pada hari ini berterusan dan semakin mendapat sambutan, kesan terhadap Israel semakin ketara.

Kegusaran Israel terhadap implikasi gerakan boikot ini juga terzahir melalui kenyataan yang dikeluarkan pada Jun 2014 oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mengklasifikasikan Kempen BDS ini sebagai ancaman yang terancang kepada Israel. Begitu juga jika dilihat kepada kenyataan daripada barisan kabinet menteri Israel juga menggambarkan kerisauan terhadap kesan boikot terhadap masa depan ekonomi negara mereka. Yair Lapid (Menteri Kewangan Israel) mengakui bahawa gerakan boikot yang dijalankan seluruh dunia ini akan memberikan kesan kepada ekonomi mereka. Menurut Washington Post, jumlah nilaian eksport daripada Israel telah menurun sebanyak 14% setelah kebanyakan rangkaian pasaraya di Eropah telah memboikot barangan Israel.

Ketakutan untuk diboikot ini bukan sahaja hinggap pada Israel dan syarikat yang dimiliki oleh Yahudi, bahkan turut sama terkena tempiasnya kepada perusahaan perniagaan lain sepertimana British Department of Trade and Investment telah menasihatkan kepada ahli perniagaan British agar tidak menjalankan hubungan perniagaan dengan penempatan Yahudi yang melepasi Green Line (garis persempadanan Palestine-Israel), dikhuatiri akan turut sama menerima nasib diboikot.

Penurunan jumlah pendapatan, sokongan politik dan gesaan negara luar temasuk badan-badan korporat kepada Israel secara tidak langsung mempengaruhi percaturannya di dalam mengendalikan konfliknya dengan Palestin. Tindakan ketenteraan tidak lagi menjadi suatu langkah yang selamat dan popular, sebalinya setiap operasi ketentaraan yang dilancarkan itu membawa implikasi terhadap ekonomi negaranya secara tidak langsung melalui Kempen BDS yang semakin berkembang dan bertambah pendokongnya. Kecanggihan teknologi dan peningkatan kadar capaian maklumat melalui media sosial merancakkan lagi usaha menekan Israel.

Hala Tuju & Peranan Kita

1. Meneruskan usaha boikot secara berterusan.

Antara sifat yang perlu ada di dalam beramal adalah istiqamah; berterusan bukan bermusim. Boikot boleh dilaksanakan mengikut kemampuan kita. Adalah sebaiknya untuk kita mengenalpasti terlebih dahulu syarikat-syarikat yang jelas menyumbang sumbangan kepada Israel dan menghentikan pembelian produk daripada syarikat tersebut.

Seterusnya, bagi mengangkat suara kita agar lebih didengari adalah dengan menyatakan kekesalan dan ketidaksetujuan kepada pasaraya yang membekalkan banyak produk yang termasuk di dalam senarai boikot dengan melalui kiriman surat bantahan kepada pentadbiran pasaraya. Nyatakan di dalam surat tersebut bahawa kita telah berhenti membeli barangan-barangan tersebut.

2. Penglibatan di dalam projek pembangunan ekonomi rakyat Palestin.

Terdapat banyak projek pembangunan semula ekonomi yang dijalankan di Gaza terutamanya oleh badan kemanusiaan seperti MAPIM. Projek yang bersifat mengupayakan rakyat di Palestin agar mampu mengurangkan kebergantungan terhadap pembekalan daripada Israel adalah sangat digalakkan. Jumlah nilaian eksport barangan Israel ke Palestin (Gaza dan Tebing Barat) pada tahun 2011 adalah sekitar USD 6 billion. Sekiranya projek-projek ini dapat diteruskan dan digiatkan dengan lebih baik, pengurangan kebergantungan terhadap Israel secara tidak langsung akan mengurangkan saiz pasaran eksport Israel di Palestin.

3. Menyediakan alternatif pekerjaan dan produk

Di samping meneruskan usaha boikot, kita tidak menafikan bahawa akan ada pekerja tempatan yang terjejas status sumber pendapatan apabila syarikatnya diboikot. Sewajarnya usaha boikot perlu seiring dengan kesedaran perlunya mewujudkan peluang pekerjaan alternatif kepada mereka yang terkesan dengan tindakan boikot ini.

Begitu juga di dalam isu penawaran pilihan produk dan perkhidmatan kepada pengguna. Usaha boikot yang tidak disertakan cadangan produk gantian maka usaha ini tidak akan bertahan lama. Pengguna akan merasakan kesempitan dan tidak mahu meneruskan kempen boikot ini. Justeru, ianya menjadi satu cabaran buat usahawan tempatan muslim untuk menyediakan alternatif dari aspek peluang pekerjaan dan pemilihan produk. Bagi menggerakkan usaha ini secara terancang, perlunya digerakkan di bawah sebuah kesatuan usahawan muslim atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan.

4. Meneruskan advokasi

Desakan kepada pemimpin-pemimpin Islam dan dunia perlu digiatkan dengan lebih lantang. Melalui usaha boikot itu sendiri telah berjaya mengubah pendirian pelbagai pihak terhadap Israel, gerak kerja ini perlu berterusan dan terancang. Penerangan isu dan usaha menghidupkan kesedaran di kalangan masyakarat dunia perlu diteruskan agar tekanan terhadap Israel meningkat (embargo senjata, menjayakan semula boikot peringkat kedua dan ketiga dan membawa Israel ke muka pengadilan) supaya hak rakyat Palestin dikembalikan semula.

Penutup

Krisis yang berlaku pada umat Islam amat memerlukan kesatuan daripada negara-negara Islam. Beberapa kali di dalam garis masa penjajahan Palestin oleh Yahudi Zionis menunjukkan bahawa perpecahan; ketiadaan kesatuan di dalam tindakan oleh negara-negara Islam akhirnya hanyalah memberikan manfaaat kepada musuh sahaja.

Peperangan Arab-Israel 1948 yang tercetus selepas deklarasi penubuhan negara haram Israel tidak berjaya membebaskan Palestin walaupun peperangan tersebut melibatkan lima buah negara Arab menentang satu negara musuh. Bukan sahaja hanya satu sahaja negara, bahkan negara yang kecil dan baru sahaja tertubuh. Mengapa hal ini berlaku? Kerana ketiadaan kesatuan pada tindakan ketenteraan dan perbezaan hasrat oleh setiap pemerintah negara Arab ketika itu. Situasi ini hanyalah bagai mengulangi sejarah kelemahan tentera Salib ketika mereka ditewaskan oleh Salahuddin al-Ayubi di dalam misi membebaskan kembali al-Aqsa.

Kepincangan yang sama berulang sekali lagi sepertimana boleh dilihat bagaimana usaha boikot yang cuba dilaksanakan oleh Liga Arab itu sendiri tidak bergerak selangkah dan sederap. Sedangkan melalui tekanan yang berterusan dengan boikot yang terancang daripada setiap negara Arab yang berada di sekeliling Israel itu mampu untuk meletakkan Israel pada posisi yang lebih lemah daripada hari ini. Akan tetapi, perkara sebaliknya yang berlaku. Bahana apabila tiada kesatuan dalam bertindak oleh negara-negara Islam.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Tel Aviv terhadap apakah impak boikot terhadap sektor automotif Israel; sekiranya gerakan usaha boikot pada tahun 1980 -1990 berterusan (pada tempoh tersebut tindakan boikot mula berkurangan), diunjurkan bahawa saiz sektor automotif akan berkurangan sebanyak 12% dan harga bagi setiap kenderaan akan meningkat sebanyak USD 790 per kenderaan berikutan pengurangan pembekalan kenderaan di pasaran. Kajian di atas sebagai bukti bahawa boikot itu memberikan kesan terhadap Israel, jika tidak dalam tempoh terdekat ianya akan memberikan kesan jangka masa panjang. Justeru itu, kita tidak seharusnya merasakan lemah semangat mahupun melihat seolah-olah usaha boikot ini tidak mampu menggugat kedudukan Israel.

Akhir tinta, usaha membebaskan kembali al-Aqsa ke pangkuan umat Islam tidak boleh diambil remeh. Sikap ambil mudah dan memperlihatkan tindak laku kita seolah-olah hanya meletakkan tanggungjawab tersebut pada bahu-bahu penduduk Palestin semata-mata adalah sangat menyedihkan.

 Jika dahulu Salahuddin al-Ayubi berjaya membebaskan al-Aqsa 88 tahun selepas perampasan itu berlaku, kenapa kita merasakan lemah semangat dan tidak yakin pada usaha-usaha yang sedang giat dijalankan pada hari ini bagi mencapai pembebasan semula al-Aqsa? Boleh jadi ianya tampak kecil impaknya pada hari ini, tetapi berupaya mencorak sejarah gemilang pada hari mendatang. Kini sudah 66 tahun bumi Palestin dijajah, kenapa tidak kita cuba menanam suatu motivasi di dalam diri kita; “Mungkinkah aku Salahuddin al-Ayubi kedua?”. Usah patah semangat dengan berlalunya tempoh yang panjang.

No comments:

Post a Comment