Pendahuluan
Islam telah bertapak di Tanah Melayu
semenjak kurun ke-12 lagi. Terdapat juga sebahagian pandangan yang menyatakan
bahawa agama Islam telah diterima oleh penduduk Tanah Melayu lebih awal
daripada pandangan yang pertama iaitu seawal kurun ke-8. Kedatangan agama Islam
telah mengubah kehidupan bermasyarakat penduduk di Tanah Melayu ketika itu,
termasuklah pada aspek perundangan. Kegemilangan Islam di Tanah Melayu suatu
ketika dahulu dapat dilihat semasa zaman pemerintahan Sultan Mansor Shah di
Melaka (1459-1477M).
Catatan sejarah telah membuktikan
bahawa undang-undang Islam telah dijadikan sumber utama perundangan pada ketika
zaman Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511). Mengikut Dr. Van Ronkel, antara
teks yang terpenting dalam pengkanunan
hukum Islam ialah Hukum Kanun Melaka. Selain daripada itu, terdapat juga
Kitab Undang-undang Sultan Melaka dan Undang-undang Melaka yang mengandungi
hukuman terhadap kesalahan seperti hudud dan qisas. Turut sama di dalamnya mengandungi
prosedur dan adad al-Qadhi.
Penulisan
ini akan menerangkan berkenaan sejarah dan pengenalan ringkas:
1. Kedudukan Mahkamah Syariah
2. Pengurusan Zakat dan Waqaf
3. Perlaksanaan Hukum Faraidh
4. Pertikaian di dalam Isu Hak Penjagaan
Anak (Hadhanah)
KEDUDUKAN MAHKAMAH SYARIAH DI DALAM
SEJARAH
Semasa zaman Kesultanan Melayu
Melaka (1400-1511), Sultan bertindak selaku kuasa legislatif, eksekutif dan
judisiari. Mahkamah Balai terletak di bawah Sultan dan menggunakan hukum Islam
melalui undang-undang yang telah dinyatakan di atas. Sepanjang dan selepas
daripada penjajahan daripada Portugis dan Belanda (1511-1800), struktur dan
kedudukan mahkamah dan kuasa Sultan
tidak mengalami sebarang perubahan.
Campur tangan British dalam
pentadbiran di Tanah Melayu pada kurun ke-19 menjadi antara faktor awal
kedudukan perundangan dan kehakiman Islam pada ketika itu mula tergugat.
Rentetan daripada Perjanjian Pangkor (1874) yang menetapkan lantikan Residen
British sebagai penasihat Sultan sehinggalah membawa kepada pemakaian undang-undang
lazim British di Tanah Melayu melalui Enakmen Undang-undang Sivil di Negeri-negeri
Melayu Bersekutu (1937) dan diluaskan penggunaannya ke negeri-negeri lain pada
tahun 1951 yang seterusnya telah digantikan dengan Ordinan Undang-undang Sivil
1956. Penggunaan undang-undang sivil di Tanah Melayu bagi perbicaraan kesalahan
berkaitan jenayah dan kesalahan am telah secara tidak langsung menyempitkan
aplikasi hukum dan undang-undang Islam menjadi seolah-olah hanya terhad di
dalam lingkungan kesalahan individu dan keluarga sahaja. Kesannya, pengamalan
ini telah mempengaruhi pembentukan peruntukan perlembagaan berkenaan pembahagian bidangkuasa perihal jenayah
sepertimana yang kita dapat lihat pada hari ini.
Ordinan Mahkamah 1948 telah
ditubuhkan selepas daripada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu (1 Februari
1948), lanjutan daripada ordinan ini, Mahkamah Qadhi (Syariah) dan Mahkamah Penghulu
menjadi sebahagian daripada Mahkamah Persekutuan. Kedudukan Mahkamah Syariah
berada di kedudukan terbawah sekali selepas Mahkamah Majistret Kelas Kedua.
Selepas daripada Akta Mahkamah
Rendah 1948 menggantikan Ordinan Mahkamah 1948 yang dimansuhkan, Mahkamah
Syariah telah dikeluarkan daripada Mahkamah Persekutuan dan diletakkan di bawah
penguatkuasaan negeri. Mahkamah Syariah ketika itu kedudukannya sebaris dengan
Jabatan Agama Islam Negeri dan Mufti,
kondisi ini telah menimbulkan konflik dan pertikaian terhadap kewibawaan
Mahkamah Syariah yang seharusnya menjadi institusi yang bebas dan merdeka.
Tahun 1980-an merupakan suatu tempoh
yang penting di dalam sejarah perundangan Islam di Malaysia. Bermula dengan
usaha pemisahan Mahkamah Syariah daripada Majlis Agama Negeri seterusnya
Mahkamah Syariah telah diklasifikasikan kepada tiga; Mahkamah Rendah, Mahkamah
Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Pada tahun 1984, pindaan telah dibuat terhadap Akta
Mahkamah Syariah 1965 bagi meningkatkan bidangkuasa yang diperuntukkan sepertimana yang kita
sedia maklum pada hari ini sebagai Akta 365 (3 tahun penjara, 6 kali sebatan
dan RM 5000 denda). Seterusnya pada tahun 1988, satu pindaan telah dibuat ke
atas Perlembagaan Persekutuan lanjutan daripada cadangan yang dipelopori oleh
Prof. Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim bagi menangani isu campur tangan yang
ketara daripada Mahkamah Sivil terhadap kes yang dikendalikan oleh Mahkamah
Syariah. Perenggan 1A yang ditambah pada Perkara 121 tersebut menyatakan bahawa
Mahkamah Sivil tidak mempunyai kuasa terhadap kes yang tertakluk di bawah bidangkuasa
Mahkamah Syariah. Hasilnya, secara tidak langsung kedudukan Mahkamah Syariah
berjaya dinaikkan dan dilihat sebaris dengan Mahkamah Syariah.
Pada tahun 1998, Jabatan Kehakiman
Syariah Malaysia (JKSM) telah ditubuhkan dibawah Jabatan Perdana Menteri
bertujuan untuk menjadi suatu pusat agensi yang menyeragamkan perundangan Islam
di Malaysia. Selain daripada itu, JKSM juga berperanan untuk meningkatkan
prestasi Mahkamah Syariah di setiap negeri. Di bawah JKSM, telah diusahakan
‘Skim Guna Sama” bagi penyelarasan undang-undang islam yang terpakai di negeri-negeri
yang terlibat (Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Wilayah Persekutuan dan Selangor).
Walaubagaimanapun, negeri tidak tertakluk dengan cadangan yang diutarakan
daripada JKSM berikutan urusan agama merupakan bidangkuasa negeri. Meskipun begitu,
melalui keselarasan yang diusahakan oleh JKSM telah sedikit sebanyak membantu dalam
menangani permasalahan yang disebabkan oleh perbezaan undang-undang yang digunapakai
di setiap Negeri.
Sejarah
Pengurusan Zakat Dan Wakaf
Setelah kedatangan Islam ke Tanah
Melayu, dipercayai bahawa kutipan zakat ada dilaksanakan. Akan tetapi kurang
dan sangat sukar untuk menemui catatan mahupun rekod berkenaan aktiviti pengutipan
dan pengagihan zakat pada ketika itu.
Menurut Prof. Emeritus Tan Sri Ahmad
Ibrahim, undang-undang dan peraturan zakat telah diperkenalkan semenjak
daripada zaman penjajah lagi. Kelantan merupakan negeri pertama yang mengadakan
peraturan zakat melalui Notis Zakat Kelantan yang bertarikh 1907. Seterusnya
tindakan ini turut diikuti oleh negeri-negeri yang lain sebagaimana di Perlis
pada tahun 1930 dan Kedah pada tahun 1936.
Di Malaysia, institusi yang menguruskan
urusan zakat ditubuhkan melalui antara salah satu daripada empat cara:
1. Penubuhan melalui Enakmen Zakat.
(seperti Jabatan Zakat Negeri Kedah)
2. Penubuhan melalui Akta atau
Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri. (seperti Lembaga Zakat Selangor)
3. Penubuhan melalui Akta atau
Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri dengan tujuan bagi urusan
kutipan sahaja. (seperti PPZ-MAIWP)
4. Penubuhan dibawah Majlis Agama
Islam Negeri melalui jabatan atau unit baitulmal atau pusat zakatnya yang
tersendiri. (seperti Majlis Agama Islam Johor)
Pengurusan zakat di Malaysia
berbeza-beza mengikut negeri masing-masing. Terdapat institusi zakat yang menguruskan
kutipan dan pengagihan sepertimana Selangor, Sabah dan Pulau Pinang. Ada pula
yang hanya menguruskan kutipan, manakala pengagihannya diuruskan oleh Majlis Agama
Islam Negeri seperti Pahang, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan. Ada pula
kutipan dan pengagihan zakat negeri tersebut sepenuhnya diuruskan oleh Majlis Agama
Islam Negeri itu sendiri seperti Sarawak, Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah,
Perak, Melaka dan Johor.
Sebelum tahun 1990-an, kutipan zakat
negeri-negeri di Malaysia ketika itu sangat rendah disebabkan oleh beberapa
faktor. Antaranya adalah seperti penumpuan kutipan zakat hanya pada zakat
fitrah dan zakat daripada penghasilan padi sahaja sehingga mengabaikan kutipan
daripada sektor swasta, perniagaan dan zakat terhadap pendapatan. Kutipan pada
ketika itu juga bersifat bermusim, iaitu hanya pada bulan Ramadhan dan pada
musim menuai. Pengurusan pentadbiran institusi zakat ketika itu juga tidak
bersistematik dan bebanan tugas dipundakkan ke atas ‘amil kerana turut
berperanan terhadap estet, wakaf dan segala yang berkaitan dengan baitulmal.
Selepas daripada 1990-an, pengurusan
zakat di Malaysia semakin baik dan menunjukkan peningkatan yang ketara. Ianya
bermula daripada pengamalan urusan secara korporat oleh Pusat Pungutan
Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pada Januari 1991. Transformasi
pengkorporatan ini bertujuan bagi menyediakan pegawai, pejabat dan kaunter yang
berasingan daripada Majlis Agama Negeri, seterusnya menyediakan sistem bekerja
korporat yang tidak terlalu terikat dengan pelbagai birokrasi. Kesannya, galakan
terhadap inovasi, kreativiti dan produktiviti itu meningkat. Perubahan yang
dipelopori oleh PPZ-MAIWP ini seterusnya disusuli oleh Lembaga Zakat Selangor
(1994), Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (1994), Pusat Kutipan Zakat Pahang
(1995), Pusat Zakat Negeri Sembilan (1998) dan Pusat Zakat Melaka (2001).
Walaupun pengurusan zakat telah
semakin baik, tetapi keberkesanan institusi zakat itu dinilai pada
keberhasilannya dalam mengupayakan golongan fakir dan miskin sehingga berjaya
membebaskan diri daripada belengu kemiskinan.
Manakala, berkaitan dengan pengurusan
harta wakaf di Malaysia, ianya ditadbir dan diuruskan oleh Majlis Agama Islam
Negeri (MAIN) sebagai Pemegang Amanah Tunggal sepertimana yang dinyatakan di
dalam enakmen negeri masing-masing. Walaupun begitu, tidak bermakna semua tanah
wakaf adalah menjadi milik mutlak MAIN. Dalam proses membuat keputusan, MAIN
berhak untuk membuat perjanjian, membeli, mengambil, memegang dan memiliki
harta sama ada harta alih atau tak alih untuk menukar, memindah dan membangun
segala harta yang terserah milik kepada MAIN mengikut mana-mana peraturan yang
tersedia ada menurut hukum syarak.
Peruntukan wakaf di dalam
enakmen-enakmen negeri yang kebanyakannya hanya bersifat aspek pentadbiran dan
prosedur ringkas tentang pewakafan; tidak ditekankan berkenaan aspek substantif
kecuali pada beberapa buah negeri sahaja yang mempunyai enakmen khusus tentang
wakaf seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Bagi meningkatkan lagi kualiti pengurusan
harta wakaf di negara ini, Kerajaan Persekutuan telah menubuhkan Jabatan Wakaf,
Zakat dan Haji (JWZH) atau turut dikenali sebagai JAWHAR yang ditubuhkan pada
tahun 2004 semasa zaman pentadbiran Dato’ Seri Hj. Abdullah Ahmad Badawi.
Perlaksanaan Hukum Faraid
Sebelum Perang Dunia Kedua,
pentadbiran harta pusaka orang Islam di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu
(Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah dan Perlis) diletakkan di bawah tanggungjawab
Jabatan Agama Islam atau Mahkamah Syariah negeri masing-masing. Tetapi selepas
itu pentadbiran pusaka adalah dikendalikan di peringkat Persekutuan. Ini adalah
kerana urusan pembahagian pusaka atau perwarisan berwasiat dan tidak berwasiat
serta urusan mengeluarkan surat kuasa tadbir diletakkan di bawah Senarai 1,
Jadual ke-9, Senarai Persekutuan.
Walaupun urusan harta pusaka orang
Islam diuruskan oleh undang-undang sivil, ianya masih menggunakan hukum syarak,
iaitu Hukum Faraid. Menurut Seksyen 12 (7) Akta Pusaka Kecil (Pembahagian)
1955, pembahagian harta pusaka si mati hendaklah menggunakan undang-undang yang
terpakai padanya. Bermakna, bagi pengurusan harta orang mati hendaklah menggunakan
hukum Islam.
Seksyen 12 (7):
“Pemungut hendaklah menentukan,
dalam apa cara yang paling sesuai, undang-undang yang terpakai kepada penurunan
harta pusaka si mati, dan hendaklah memutuskan siapa mengikut undang-undang itu
adala benefisiari-benefisiari dan kadar syer dan kepentingan masing-masing.”
Di dalam Seksyen 19 (1) (a) pula
menetapkan bahawa sebarang perkaitan dengan undang-undang Islam maka hendaklah
dirujuk kepada pihak berkuasa negeri. Justeru itu, persoalan yang timbul
berkenaan pembahagian harta pusaka seperti sah taraf anak dan penentuan nasab
hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa agama di negeri masing-masing.
Terdapat empat institusi yang menguruskan
pembahagian harta pusaka:
1. Amanah Raya Berhad (pusaka
ringkas)
Mengendalikan harta alih sahaja dan
nilai tidak melebihi RM 2,000,000.
2. Seksyen Pembahagian Pusaka /
Pejabat Tanah (pusaka kecil)
Di peringkat negeri dikenali sebagai
Unit Pembahagian Pusaka. Mengendalikan harta tak alih sahaja (tanah) atau harta
tak alih & harta alih, nilainya tidak melebihi RM 2,000,000 dan tidak
berwasiat mengikut Akta Wasiat 1959. Undang-undang yang digunakan adalah Akta
Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.
3. Mahkamah Tinggi (pusaka besar)
Mengendalikan harta tak alih (tanah)
atau harta alih yang nilainya melebihi RM 2,000,000, berwasiat (bagi bukan
Islam walaupun nilainya bawah RM 2,000,000). Turut mengendalikan kes-kes rayuan
di bawah Seksyen 29, Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Undang-undang
yang digunakan adalah Akta Probet Dan Pentadbiran 1959.
4. Mahkamah Syariah
Menentukan waris dan bahagian setiap
waris dengan mengeluarkan “Sijil Faraid”. Turut mempunyai bidangkuasa dalam hal
berkaitan wasiat, hibah, wakaf, sah taraf anak, perkahwinan, harta sepencarian
dan nasab; semua ini mempunyai kaitan
rapat dan dapat mempengaruhi keputusan pembahagian harta pusaka.
Kebiasaannya, permasalahan yang akan
timbul di dalam isu pembahagian harta pusaka ini adalah seperti berikut:
1. Kekeliruan terhadap bidangkuasa.
Kecelaruan timbul kerana terdapat
empat institusi yang terlibat dalam urusan pembahagian harta pusaka. Sebagai
contoh, jika dilakukan penilaian harta dan mendapati bahawa peninggalan si mati
tersebut melebihi RM 2,000,000 setelah dirujuk di Unit Pembahagian Pusaka,
permohonan itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Sivil. Waris akan diminta
sekali lagi untuk membuat permohonan baru mengikut kaedah mahkamah.
2. Kekangan statut.
Sehingga ke hari ini masih belum ada
satu status khusus yang boleh dijadikan panduan bagi membahagikan harta pusaka
orang Islam. Pegawai Pembahagian Pusaka hanya merujuk kepada kitab faraidh
disamping menghadiri kursus dan pembelajaran secara tidak formal. Situasi ini
berbeza di Mesir yang mempunyai statutnya yang khusus berkenaan pembahagian
pusaka yang dikenali sebagai Qanun
al-Mawarith 1943. Justeru itu bagi urusan penentuan pembahagian melalui “Sijil
Faraid”, hakim di Mahkamah Syariah akan terdedah kepada perbezaan pendapat di
kalangan mazhab di dalam isu perwarisan mengikut kaedah ‘Rad’, perwarisan oleh
waris ‘Dzhawi al-Arham’, dan kaedah pembahagian ‘Muqasamah’.
3. Tiada keselarasan undang-undang.
Terdapat
beberapa perbezaan di antara negeri.
Sebagai contoh, hanya tiga buah negeri sahaja yang mempunyai enakmen wasiat
iaitu Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan. Masalah timbul apabila terdapat
peruntukan yang berada di dalam enakmen tersebut tidak terdapat di dalam hukum
wasiat menurut Mazhab Syafie. Maka, Sijil Faraid yang dikeluarkan oleh negeri
tersebut tidak boleh digunakan di negeri yang tidak mempunyai enakmen tersebut.
Isu ketidakselarasan juga timbul
berkenaan tempoh anggapan kematian (mafqud). Unit Pembahagian Pusaka hanya
menerima anggapan kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi mengikut
Seksyen 108 Akta Keterangan 1950 (disemak 1971). Akta ini memperuntukkan bahawa
tempoh hilang yang boleh dikira sebagai anggapan kematian adalah selama tujuh
tahun. Manakala di dalam Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan pula
memperuntukkan selama empat tahun. Perbezaan ini telah menimbulkan kerumitan
terhadap isteri waris, kerana anggapan kematian yang dikeluarkan oleh Hakim
Mahkamah Syariah hanya boleh digunakan untuk memperolehi kebenaran berkahwin
lain tetapi tidak pada pembahagian harta.
Pertikaian Di Dalam Isu Hak Penjagaan
Anak (Hadhanah)
Seringkali konflik pertembungan
bidangkuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil pada hari ini adalah
berkenaan isu hak penjagaan anak antara ibu bapa yang bercerai disebabkan salah
seorang memasuki Islam. Meskipun Perkara 121 (1)(a) telah menjelaskan bahawa
Mahkamah Persekutuan tidak boleh masuk campur bidangkuasa Mahkamah Syariah,
tetapi ianya masih menjadi pertikaian dan masih menimbulkan kekeliruan.
Telah berlaku banyak kes, antaranya
adalah seperti:
1. Kes Indira VS Muhd Redhuan (K
Patmanathan) pada tahun 2009.
2. Kes Subashini VS Muhammad Shafi
(Saravanan) pada tahun 2007
3. Nur Adryana Qestina (Audrey
Christina) VS S. Gopal pada tahun 2007.
Isu yang terbaru adalah yang terjadi pada awal
tahun yang lalu, iaitu perebutan antara Izwan Abdullah (N. Viran) dan S.Deepa.
Konflik perebutan hak penjagaan anak ini
kebiasaannya timbul berikutan beberapa faktor seperti:
1. Akta Pembaharuan (Kahwin dan
Cerai) 1976
2. Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961
3. Perkara 121 (1)(a)
4. Penentuan Agama Anak
Perkahwinan bukan Islam didaftarkan
di bawah Akta Pembaharuan (Kahwin dan Cerai) 1976 atau turut sama dikenali sebagai
Law and Reform (Marriage and Divorce) Act 1976 (LRA). Melalui akta ini, pasangan
bukan Islam boleh berkahwin dan hanya boleh bercerai jika salah satu pihak
menuntutnya atau perkahwinan tersebut dibubarkan oleh arahan mahkamah.
Manakala, pasangan bukan Islam pula
ditadbir urusan perkahwinannya menurut Enakmen Keluarga Islam di negeri masing-masing.
Menurut undang-undang, pemelukan agama
Islam oleh salah seorang pasangan bukan Islam secara sendirinya tidak
menyebabkan perkahwinan tersebut terbubar kecuali ianya disahkan oleh Mahkamah
Sivil. Permasalahan timbul apabila di dalam Akta 1976 memperuntukkan pada
Seksyen 51 bahawa:
“Apabila salah seorang kepada
perkahwinan itu memeluk agama Islam, pihak yang satu lagi yang tidak memeluk
agama Islam boleh memohon petisyen perceraian. Dengan syarat bahawa tiada
petisyen boleh dibuat di bawah Seksyen ini sebelum tempoh tiga bulan tamat dari
tarikh pemelukan tersebut.”
Peruntukan di atas tidak terpakai
kepada pihak yang beragama Islam. Bermakna, Seksyen 51 hanya memberi hak kepada
pihak yang bukan beragama Islam sahaja untuk memfail petisyen perceraian di
Mahkamah. Sekiranya tiada petisyen dibuat, maka status perkahwinan bagi pasangan
yang muslim itu akan tergantung kerana menurut undang-undang perkahwinannya
belum terbatal. Kebiasaannya situasi ini berlaku pada pasangan yang tidak
memeluk Islam itu sengaja membalas dendam mahupun bimbang hak penjagaan anak
akan berpindah kepada pasangan yang muslim tersebut apabila perceraian
disahkan.
Sekiranya kes dibicarakan di
Mahkamah Sivil, undang-undang yang akan digunakan adalah Akta Penjagaan
Kanak-Kanak 1961 yang bertentangan dengan Enakmen Keluarga Islam Negeri dan
hukum syara’ dalam menetapkan hak penjagaan anak seperti memberikan keutamaan
penjagaan anak bawah umur kepada bapa berbanding ibu dan tidak mengambil kira
faktor agama sebagai penentu hak penjagaan.
Pertikaian di manakah sewajarnya kes
ini dibicarakan juga sering menjadi perbahasan utama; sama ada kes sebegini
perlu di dengarkan di Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil. Bagi mereka yang
berpandangan bahawa perlu dibicarakan di Mahkamah Sivil adalah kerana
perkahwinan pasangan ini asalnya didaftarkan di bawah undang-undang sivil (Akta
1976), maka sewajarnya dikendalikan oleh Mahkamah Sivil. Manakala, bagi mereka
yang berpandangan sebaliknya pula melihat bahawa ianya melibatkan urusan Islam,
maka ianya tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah dan tidak boleh diganggu
oleh Mahkamah Sivil berdasarkan Perkara 121 (1)(a).
Berkenaan penentuan agama anak,
menurut pandangan Mazhab Syafie, Hambali dan Hanafi; agama kanak-kanak yang
asalnya bukan beragama Islam akan dikira beragama Islam tidak kira sama ada
hanya salah seorang sahaja daripada ibu bapanya yang memeluk Islam. Di
Malaysia, wujud pertikaian sama ada kanak-kanak di bawah 18 tahun bukan beragama
Islam boleh memeluk agama Islam atau tidak tanpa persetujuan kedua ibu bapanya.
Perkara 12 (4) di dalam Perlembagaan
Persekutuan memperuntukkan bahawa:
“Bagi maksud Fasal (3), agama bagi
seseorang yang berumur kurang daripada lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh
ibu bapa atau penjaganya.”
Jika dirujuk semula perlembagaan
versi bahasa inggeris, perkataan ibu bapa yang digunakan di situ adalah “parent”
yang membawa maksud ibu atau bapa, bukan “parents” yang membawa maksud
ibu dan bapa. Di sini menjadi titik perbezaan di dalam menafsirkan perlembagaan,
bagi mereka yang mendokong pandangan yang menyatakan bahawa hanya memerlukan
salah seorang daripada ibu atau bapa, mereka akan bersetuju pada penetapan agama
kanak-kanak oleh salah seorang ibu bapanya sahaja. Manakala, bagi mereka yang
tidak bersetuju, mereka menggunakan hujah bahawa di dalam Perkara 160 dalam
tafsiran “his” (dia: lelaki) meliputi jua “her” (dia: perempuan),
maka mereka berpandangan bahawa begitu juga “parent” hendaklah juga
difahami secara jamak iaitu “parents”.
Penutup
Diharapkan
melalui penulisan ini akan memudahkan pembaca untuk memahami kondisi semasa bagi perlaksanaan syariat Islam di Malaysia pada hari ini.
Melalui penelitian terhadap sejarah dan perkembangan terkini, maka kita selaku
generasi baharu yang bakal mencorakkan hala tuju negara akan dapat memahami
dengan lebih baik apakah yang perlu dilaksanakan bagi membentuk Malaysia dengan
acuan Islam secara sepenuhnya.
[RUJUKAN]
1. Perlembagaan Persekutuan
2. The Islamic Legal System in
Malaysia; Farid S.Shuaib
3. A Comparative Study of Waqf
Management in Malaysia; Zuraidah Mohamed Isa, Norhidayah Ali & Rabitah
Harun.
4. Isu-Isu Pembahagian Harta Pusaka
Orang Islam Dalam Konteks Perundangan Malaysia; Tuan Haji Wan Abdul Halim bin
Wan Harun.
5. Mengembalikan Fungsi Sebenar
Islam Dalam Perlembagaan Malaysia; Nik Muhammad Nasri bin Nik Malek.
6. Penentuan Agama dan Hak Penjagaan
Kanak-Kanak Menurut Undang-Undang Islam; Prof. Madya Dr. Mohamed Azam bin
Mohamed Adil
7. Zakat Institution in Malaysia:
Problem and Issues; Azman Ab Rahman, Mohammad Haji Alias & Syed Mohd Najib
Syed Omar.
8. Zakat Management in Malaysia:
Challenges & Prospects; Mohamed Izam Mohamed Yusof
9. Pentadbiran dan Pengurusan Tanah
Wakaf di Malaysia; drafendi.blogspot