Wednesday, January 28, 2015

Penurunan Nilai Mata Wang Ringgit: Apa Yang Kita Perlu Tahu?

Fenomena kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (MYR) berbanding Dollar Amerika Syarikat (USD) secara berterusan semenjak nilai tinggi terakhirnya pada bulan Ogos 2014 (3.1463) telah menimbulkan keresahan kepada ramai pihak. Ringgit telah mengalami kejatuhan drastik dalam tempoh dua hari dengan kejatuhan sebanyak 2.4% pada tarikh 1 Disember 2014 (3.3465 menjadi 3.4300). Penurunan nilai Ringit ini merupakan yang terteruk berbanding semasa krisis ekonomi Asia 1997 sebelum ini. Semasa penulisan ini sedang dibuat, kadar tukaran nilai Ringgit berbanding Dollar adalah 3.6231 (28 Januari 2013). 

Pelbagai persoalan timbul sebagai reaksi kepada situasi ini. Apakah yang menjadi punca penyusutan nilai matawang negara kita berbanding USD? Adakah ianya memberikan impak negatif kepada kehidupan kita? Adakah krisis ini berpanjangan?

Penulisan ini akan membantu pembaca untuk memahami faktor yang menjadi pemain utama disebalik kenaikan/penurunan matawang dunia, kesannya kepada kesihatan ekonomi negara dan bagaimanakah jalan terbaik untuk kita menghadapinya pada kapasiti sebagai seorang mahasiswa.

Sejarah Penggunaan Wang Kertas

Sebelum kita memasuki perbincangan ini dengan lebih mendalam, sebaiknya kita telusuri sejarah penggunaan wang kertas terlebih dahulu.

Kita biasa menggambarkan bahawa wang yang digunakan oleh masyarakat silam adalah syiling emas mahupun perak sebagaimana yang sering disajikan di dalam filem dan penulisan klasik. Begitu juga jika kita mengamati sirah Nabi Muhammad s.a.w mahupun al-Quran dan himpunan hadith, kita tidak akan terlepas daripada membaca berkenaan penggunaan dinar (emas) dan dirham (perak) di dalam urus niaga ketika zaman tersebut. Persoalannya disini, bilakah bermulanya penggunaan wang kertas?

Penggunaan emas dan perak telah digunakan secara meluas dan diterima pakai sebagai mata wang hampir di seluruh dunia berikutan nilai yang tersimpan di dalam logam berharga itu sendiri. Ibn Khaldun di dalam Muqaddimah turut menukilkan berkenaan penggunaan emas dan perak sebagai medium perantaraan jual beli dan penyimpan nilai usaha dan kekayaan manusia:

“Allah telah menciptakan dua jenis logam, iaitu emas dan perak sebagai ukuran nilai bagi semua pengumpulan modal. Penduduk dunia menganggapnya sebagai harta dan kekayaan. Meskipun apabila berada dalam keadaan-keadaan tertentu, barang-barang lain dikehendaki, ia tidak lain daripada mencapai tujuan yang pada matlamatnya adalah untuk memperoleh emas dan perak. Semua barangan lain terdedah kepada turun naik harga pasaran, sementara emas dan perak adalah terkecuali. Emas dan perak menjadi dasar keuntungan, harta dan kekayaan.”

Walaubagaimanapun, emas dan perak mempunyai kelemahan yang ketara iaitu kesukaran untuk membawanya di dalam kuantiti yang banyak dan wujud kebimbangan terhadap jaminan sekuritinya semasa di dalam perjalanan yang jauh. Perkembangan ekonomi dan aktiviti perdagangan yang menuntut kepada penggunaan wang dalam nilai yang besar telah membawa kepada inovasi penciptaan wang kertas. Pada permulaan penggunaannya, ‘wang kertas’ tersebut tidak dikira sebagai mata wang. Ianya hanya sebagai dokumen bukti atau resit bagi mewakili nilai emas atau perak yang dimiliki oleh pendeposit. ‘Wang kertas’ dihasilkan oleh individu atau institusi yang diamanahkan untuk menjaga emas dan perak tersebut.

Penggunaan wang kertas mula dikesan pengamalannya di China pada seawal abad ke-7 masihi. Manakala, negara barat pula mula menggunakannya sekitar 1000 tahun selepasnya dan penghasilan wang kertas di dunia Islam pula hanya bermula pada tahun 1850 semasa pentadbiran Khilafah Turki Uthmaniyyah.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, masyarakat dunia umumnya menerima emas dan perak sebagai duit. Penggunaan  wang kertas pada mula pengenalannya tidaklah sepenuhnya menenggelamkan peranan emas dan perak. Wang kertas hanya mewakili simpanan emas atau perak dan boleh dituntut di bank dengan menukarkannya. Ketika itu, nilaian mata wang diikat dengan emas (gold-standard).

Akan tetapi, peredaran masa telah membawa kepada dominasi penggunaan wang kertas berbanding syiling emas atau perak itu sendiri. Keyakinan pengguna terhadap keupayaan saling-tukaran wang kertas dengan emas atau perak telah dikhianati oleh bank apabila penghasilan duit kertas telah melebihi simpanan emas sepertimana yang pernah terjadi pada tahun 1759 di England.

England merupakan antara negara pertama yang meleraikan ikatan mata wangnya daripada emas pada tahun 1931 lanjutan daripada krisis ekonomi yang melanda dunia barat (Great Depression). Pada tahun 1944, konferens Bretton Wood dianjurkan sebagai medium perbincangan untuk mengstrukturkan semula polisi kewangan dunia pasca perang dunia kedua. Hasilnya, mata wang dollar kemudiannya secara tidak langsung telah memainkan peranan sebagai mata wang dunia. Semua mata wang telah diikat dengan dollar, manakala dollar pula diikat kepada emas dengan kadar nilai 1 dollar bersamaan 35 oz emas.

Percetakan dollar yang melangkaui nilai rizab emas yang dimiliki oleh Amerika Syarikat (AS) pasca perang Vietnam telah mendorong AS untuk mengakhiri ikatan mata wangnya dengan emas secara persetujuan sehala (uni-lateral) pada tahun 1971. Sejak daripada itu, mata wang di seluruh dunia tidak lagi didokong nilai komoditi berharga. Tindakan presiden Nixon pada tahun 1971 itu telah membuka lebaran sejarah yang baharu di dalam sejarah pengamalan kewangan global iaitu dengan bermulanya zaman penggunaan wang fiat. Dinamakan fiat kerana  merujuk kepada sifat wang itu yang tidak disandarkan nilainya pada apa-apa komoditi melainkan hanya anggapan semata-mata.

Sejak nilai mata wang telah diapungkan nilainya bergantung kepada kondisi pasaran, ianya mudah terdedah kepada risiko spekulasi dan ketidakstabilan. Perlaksanaan sistem Fractional Reserve yang menjadi asas kepada penghasilan wang kertas pula telah membawa implikasi yang lebih teruk apabila ianya menjadi faktor utama kepada inflasi.

Kenapa Nilai Mata Wang Sesebuah Negara Jatuh/Meningkat?

Untuk memahami punca jatuh naik (appreciate/depreciate) sesuatu nilai mata wang, sewajarnya kita memahami terlebih dahulu konsep permintaan-pembekalan (demand-supply).

Mata wang diniagakan dalam pasaran tukaran mata wang asing (Foreign Exchange Market) dan turun naik nilainya bergantung pada tahap permintaan dan jumlahnya yang berada di dalam pasaran. Secara asasnya, semakin tinggi permintaan terhadap sesuatu mata wang, maka nilainya akan meningkat. Manakala, jika pemintaan terhadap sesuatu mata wang menurun atau ramai menjualnya sehingga berlaku lebihan di dalam pasaran, maka nilainya akan jatuh.

Apakah yang menyebabkan berlakunya peningkatan dan penurunan permintaan?

Faktor peningkatan:

1.       Perkembangan sektor eksport
Untuk mengimport barangan daripada sesebuah negara, perlu menggunakan mata wang negara tersebut. Negara yang produknya kompetitif di dalam persaingan eksport, nilai mata wangnya kukuh kerana permintaan terhadap mata wangnya tinggi.

2.       Kadar bunga (interest) tinggi
Kadar bunga yang tinggi yang ditetapkan oleh bank negara menjadi tarikan kepada pelabur asing untuk menyimpan di dalam negara tersebut. Secara tidak langsung akan mengembangkan permintaan terhadap mata wangnya.

3.       Peningkatan permintaan di dalam pasaran tukaran mata wang asing
Apabila sesuatu mata wang dijangka nilainya akan meningkat, biasanya akan membawa kepada pembelian mata wang negara tersebut oleh pemain pasaran dan seterusnya melonjakkan nilainya.

4.       Kemasukan pelabur asing
Negara yang dilihat menjadi destinasi yang menarik untuk perlaburan, akan membawa kemasukan pelabur luar ke dalam negara (capital inflow). Mereka perlu membeli mata wang negara tersebut untuk terlibat di dalam perlaburan di negara tersebut.

5.       Campur tangan bank negara
Terdapat negara yang sengaja merendahkan mata wangnya seperti yang dilakukan oleh China. Bank pusatnya akan membeli bon terbitan AS supaya mata wangnya akan menjadi lebih rendah daripada dollar. Tindakan ini dibuat supaya barangan lokalnya mampu kekal lebih murah dan mampu mengekalkan momentum persaingan di dalam pasaran eksport.

6.       Kadar pengangguran rendah dan peningkatan pendapatan rakyat
Kadar pengangguran yang rendah dan tahap pendapatan rakyat yang tinggi meningkatkan permintaan wang di dalam pasaran domestik seterusnya meningkatkan nilai mata wang negara tersebut.

Faktor penurunan:

1.       Kadar bunga yang rendah
Kadar bunga yang rendah akan mengurangkan tarikan yang ada untuk pelabur luar menyimpan di dalam sesuatu negara.

2.       Peningkatan inflasi
Inflasi yang tinggi akan mengurangkan kuasa beli yang dimiliki oleh pengguna di dalam sesebuah negara, seterusnya merencatkan pertumbuhan ekonomi negara. Kesannya, ekonomi negara tersebut di nilai sebagai lemah dan tidak stabil oleh pelabur asing.

3.       Aktiviti spekulator
Tindakan spekulator di dalam pasaran tukaran mata wang asing menjual mata wang sesebuah negara dalam jumlah yang besar berupaya menyebabkan kekacauan dan ketakutan di kalangan pasaran saham.

4.       Campur tangan kerajaan
Sepertimana yang pernah dilakukan oleh AS  melalui tindakan Quantitative Easing. AS membeli bon terbitan negaranya sendiri dan secara tidak langsung mengwujudkan impresi permintaan yang tinggi terhadap dollar.


Faktor Kejatuhan Nilai Ringgit

Setelah kita memahami punca naik dan turunnya mata wang sesebuah negara, kita akan lebih mudah untuk mengenal pasti punca penguncupan nilai mata wang negara kita.

1.       Penurunan ketara harga minyak dunia
Mutakhir ini, harga minyak menah dunia telah mencatatkan sejarah apabila mencecah serendah 48 USD/setong pada 19 Januari yang lalu. Penurunan harga hampir 50% daripada harga tahun lalu yang setinggi USD100-115/setong telah menjejaskan pendapatan Malaysia yang merupakan negara pengeksport minyak mentah.

Penghasilan minyak dunia yang meningkat disebabkan oleh kemajuan teknologi AS yang berupaya menghasilkan shale oil dan kelembapan ekonomi yang dialami oleh negara penyumbang utama ekonomi dunia seperti China dan Jepun telah mengurangkan permintaan terhadap minyak seterusnya menjadi faktor kejatuhan harga minyak dunia.

Keputusan Organisasi Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) yang diwakili oleh Saudi di dalam kenyataan media sebelum ini bahawa mereka tidak akan mengurangkan penghasilan minyak  untuk mengembalikan semula harga asal minyak telah memberikan ramalan bahawa harga minyak mentah akan kekal pada kadar yang rendah.

30% daripada pendapatan Malaysia adalah datang daripada sektor minyak. Di dalam Bajet 2015, diunjurkan bahawa sektor ini bakal menyumbang sejumlah RM 82 billion atau 11.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Akan tetapi apabila berlaku kejatuhan harga minyak dunia secara drastik sebegini, Malaysia dijangka akan mengalami kehilangan pendapatan sebanyak RM 25 billion. Kelompongan pada pendapatan negara ini tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh lebihan yang dinikmati melalui penghapusan subsidi petrol sebanyak RM 18 billion.

Kebimbangan timbul terhadap status Imbangan Akaun Semasa negara (trade account/current account). Akaun semasa adalah jumlah baki perdagangan (jumlah eksport – jumlah import barangan dan perkhidmatan). Penguncupan lebihan pada akaun semasa (import lebih daripada eksport) akan menunjukkan marginal surplus yang makin mengecil. Dibimbangi sekiranya pendapatan melalui aktiviti eksport minyak mentah kita terjejas akan membawa kepada defisit pada akaun semasa seterusnya menjerumuskan Malaysia ke dalam masalah deficit berkembar (twin-deficit).

Ketidakstabilan ini mengurangkan keyakinan dan tarikan terhadap pelabur luar.

2.       Polisi dan urustadbir kewangan kerajaan
Sebelum daripada berlakunya kejatuhan harga minyak mentah dunia, ramai penganalisa ekonomi sudah menjangkakan akan berlaku penurunan nilai mata wang Ringgit Malaysia kerana polisi kewangan yang dilihat tidak fleksibel dan kurang mesra pelabur berbanding negara membangun yang menjadi pesaing kepada Malaysia seperti Indonesia dan India.

Malaysia kini dilihat sebagai prospek yang berisiko kepada pelabur; takat hutang awam yang tinggi, peningkatan hutang asing dan penguncupan marginal lebihan akaun semasa telah menjadi antara faktornya.

Pegangan hutang oleh pelabur asing mewakili 45% daripada hutang negara telah meletakkan negara Malaysia berada di dalam posisi yang membimbangkan. Ini berbeza dengan Indonesia yang hanya mempunyai 32.5% sahaja hutangnya daripada luar, begitu juga India dengan hanya serendah 2 %.

3.       Kekukuhan dollar Amerika Syarikat (USD)
Semenjak daripada tahun lepas, AS telah meningkatkan kadar faedahnya. Menyebabkan berlakunya kemasukan modal (capital inflow) ke dalam negaranya seterusnya mengukuhkan kedudukan USD itu sendiri.


Apakah Langkah Yang Diambil Oleh Kerajaan?

Perdana Menteri kita, Y.A.B Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah mengumumkan kondisi semasa ekonomi Malaysia dan tindakan susulan kerajaan dalam menghadapi kemelut ekonomi ini. Sikap positif dan optimis yang ditunjukkan oleh beliau dalam menanggapi isu ini adalah sesuatu yang saya anggapkan adalah untuk mengelak timbulnya kebimbangan yang melampau di kalangan rakyat dan juga untuk mengelakkan daripada berlakunya krisis keyakinan terhadap kendalian kerajaan. Sikap ini penting supaya, rakyat akan sederap langkah dengan yakin bersama kerajaan dalam mengembleng kudrat memulihkan ekonomi negara kita.

Untuk memudahkan pemahaman pembaca, suka untuk saya rumuskan pelan tindakan kerajaan kepada beberapa isi:

1.       Mengembangkan pasaran eksport dan perlancongan
Nilai mata wang yang rendah telah membuka peluang kepada negara kita untuk bersaing di dalam pasaran eksport kerana produk kita menjadi lebih murah berbanding negara yang stabil nilai mata wangnya. Kerajaan telah menyusun beberapa tindakan untuk memastikan perolehan daripada eksport meningkat seterusnya memastikan Imbangan Akaun Semasa kita sentiasa positif.

Antaranya seperti membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) untuk menerokai pasaran luar dengan mempromosikannya kepada 46 buah negara. Begitu juga meningkatkan kualiti dan capaian tahan logistik dan pengangkutan bagi tujuan perdagangan.

Kerajaan juga, bagi merancakkan kemasukan modal daripada luar telah menyusun beberapa pelan untuk mempromosi sektor perlancongan negara kita. Antaranya seperti menghapuskan caj permohonan visa kepada pelancong luar.

2.       Mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import
Barangan import akan menjadi lebih mahal di kala kejatuhan nilai mata wang negara seperti sekarang. Kebergantungan yang tinggi kepada barangan import akan membawa kepada inflasi dan membawa kepada risiko defisit –bekembar.

Justeru, kerajaan telah menyusun beberapa tindakan seperti mempromosi secara aktif perkhidmatan gantian-import seperti perkhidmatan perkapalan, pelabuhan, pendidikan dan profesional. Begitu juga menggalakkan pembelian barangan tempatan di kalangan rakyat dan meningkatkan kekerapan dan memanjangkan tempoh jualan mega di seluruh Malaysia.

3.       Meneruskan pengstrukturan semula pendapatan dan mengkaji perbelanjaan negara
Bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap negara, kerajaan komited untuk mengukuhkan kestabilan ekonomi negara melalui mempelbagaikan sumber kewangan dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dengan meneruskan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang dijadualkan bermula pada 1 April 2015 ini.

Kerajaan juga akan menghentikan sementara Program Latihan Khidmat Negara yang akan membawa kepada penjimatan sebanyak RM 400 juta. Seterusnya, mensasarkan penjimatan sebanyak RM 1.6 billion melalui mengoptimumkan pengurangan perbelanjaan ke atas bekalan dan perkhidmatan, penganjuran majlis dan mesyuarat serta perkhidmatan profesional.

Kerajaan juga akan mengkaji semula pemberian dan geran kepada Badan Berkanun Persekutuan, GLC serta Tabung Amanah Kerajaan, terutamanya yang mempunyai aliran pendapatan yang konsisten dan rizab yang tinggi. Langkah ini dijangka memberi penjimatan sebanyak 3.2 bilion ringgit. Kerajaan juga akan menjadualkan semula pembelian aset tidak kritikal terutamanya peralatan pejabat, perisian dan kenderaan yang mampu memberi penjimatan sebanyak 300 juta ringgit

Kerajaan tidak mengambil tindakan menghentikan projek mega dan memotong kebanyakan perbelanjaan (austerity) dan menggalakkan rakyat berbelanja melalui penganjuran jualan mega dilihat adalah untuk memastikan kitaran ekonomi terus berjalan dan mengelakkan kelembapan ekonomi disebabkan oleh perlahannya kitaran duit dalam negara.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga tidak mengambil keputusan untuk meningkatkan kadar bunganya seperti mana negara yang lain kerana ianya akan membebankan rakyat. Persoalan yang paling utama perlu diamati dan dijawab di dalam menanggapi isu kejatuhan mata wang ini adalah, “Adakah perlu untuk naikkan semula nilai mata wang atau fokus kepada kestabilan ekonomi?”.

Alternatif: Ekonomi Islam?

Akhir tinta, saya percaya ramai yang ingin mengetahui apakah jawapan di sebalik kekalutan dan kekusutan yang ditimbulkan oleh sistem ekonomi konvensional ini. Jika ditanya pada saya, saya sentiasa optimis bahawa jawapannya adalah dengan kembali kepada Islam.

Jika kita renungi semula sejarah peradaban manusia, kita akan mendapati kerosakan sistem ekonomi pada hari ini adalah berpunca daripada tangan-tangan manusia yang melepaskan diri daripada kerangka wahyu. Sebagai contoh, kita lihat pada sistem kewangan itu sendiri. Bermula daripada peperangan sesama sendiri yang memaksa negara-negara mencetak lebih banyak wang sehingga terpaksa meleraikan ikatan nilai mata wangnya dengan emas. Seterusnya, pengamalan sistem penghasilan wang (Fractional Reserve System) yang berasaskan kepada riba dan sifat matawang tanpa sokongan sebarang komoditi, telah membawa kita ke dunia yang tidak henti dengan sindrom inflasi. Semua ini terjadi kerana kita membelakangi panduan yang digariskan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Walaubagaimanapun, kita perlu menerima hakikat bahawa kita sudah berada di dalam krisis ini. Sebaiknya bagi kita yang mendokong penerapan nafas Islam dalam segenap kehidupan termasuk di dalam urusan kenegaraan dan urus tadbir ekonomi hendaklah memikirkan jalan keluar dan alternative kepada permasalahan yang dihadapi sekarang.

Adakah kita perlu memperjuangkan sistem Full-reserve sepertimana yang diperjuangkan oleh ahli ekonomi daripada sekolah aliran Austria? Adakah kita perlu mengikat kembali wang kertas dengan komoditi yang bernilai? Bagaimana pula caranya untuk mengembangkan kredit dan apakah regulasi yang kita akan guna pakai?

Ingin saya tinggalkan kepada kalian banyak lagi persoalan, tetapi cukuplah sekadar yang diatas dahulu sebagai permulaan.

Penutup

Kejatuhan nilai Ringgit Malaysia memberikan kesan yang ketara kepada kita selaku mahasiswa yang menuntut di luar negara. Jumlah wang saku yang dilihat mengecil, bebanan untuk membayar yuran pengajian semakin memberat, simpanan menggunakan ringgit menyusut kuasa belinya dan pelbagai lagi yang dirasai oleh kita di sini.

Pesanan saya, jika kita mempunyai masalah kewangan disebabkan oleh sumber pendapatan yang tidak menentu, laksanakanlah tiga perkara:

1.       Berniaga
Di Mesir, pasarannya sangat luas untuk diterokai peluang meraih pendapatan. Jumlah pelajar yang mencecah ribuan orang memberi makna bahawa terdapat berbagai keperluan dan kehendak yang wujud. Sama ada terhadap barangan mahupun perkhidmatan.

Saya sering memberitahu rakan saya bahawa “kemalasan orang adalah peluang untuk kita.” Maka manfaatkanlah kemahiran dan pengetahuan yang kalian miliki. Tetapi pastikan bahawa pekerjaan tersebut selari dengan syariat dan tidak sehingga menganggu pelajaran.

2.       Melabur
Jika tidak mampu berniaga kerana kesuntukan masa, maka melaburlah dengan wang yang anda ada. Anda boleh membantu rakan yang ingin berniaga tetapi tidak mempunyai modal melalui konsep Mudharabah, atau anda boleh bekerja bersama-sama dengan berkongsi modal melalui konsep Musyarakah.

Ingat, jangan terperangkap di dalam janji manis skim cepat kaya.

3.       Berjimat dan memulakan simpanan
Setelah memperolehi wang, berjimatlah. Pastikan anda tahu kemana setiap sen yang anda belanjakan. Kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. Sentiasa amati perkembangan nilai mata wang, tukarkan simpanan anda ke mata wang yang lebih kukuh atau aset yang dijangka dapat mengekalkan nilainya setelah peredaran masa.


Sekian.

Friday, November 7, 2014

Perkembangan Ekonomi Malaysia: Penilaian Hari Ini

Keutuhan ekonomi sesebuah negara memainkan peranan yang sangat penting dalam menjamin kestabilan dan kekuatan negara tersebut. Negara yang mempunyai kekuatan ekonomi tidak mudah ditekan oleh kuasa luar dan berupaya menjaga keperluan rakyatnya.

Kesaksamaan pembangunan ekonomi terbukti menjadi salah satu tunjang kepada perpaduan rakyat. Ketidakadilan di dalam pengagihan berisiko untuk menimbulkan kekacauan di dalam sesebuah masyarakat sepertimana yang berlaku pada tragedi 13 Mei 1969.

Dahulu kita bertungkus lumus dalam membangunkan ekonomi selepas berjaya mendapatkan semula hak mentadbir sendiri tanah air kita. Melalui Rancangan Malaya Pertama, Rancangan Malaya Kedua dan Rancangan Malaysia Pertama kita telah berjaya mengalihkan kebergantungan penuh kita daripada ekonomi berasaskan eksport getah dan bijih timah semata-mata. Hari ini kita sedia maklum, bahawa kita mempunyai sumber pendapatan yang pelbagai hasil daripada penubuhan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) pada tahun 1974 dan kejayaan perindustrian yang digiatkan di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir. Tetapi amat dikesali pada hari ini apabila hasil mahsul bumi Malaysia ini bagai tidak dapat dirasai oleh rakyat kebanyakan. Kekayaan negara seakan berada di dalam kitaran kelompok minoriti elit.

Penulisan ini akan membawa pembaca mengenali dengan lebih dekat sejarah dan latar belakang ekonomi negara kita bermula zaman penjajahan sehinggalah ke hari ini agar kita jelas di manakah tahap pencapaian tanah air kita seterusnya mengenal pasti apakah kesilapan, kelemahan dan kekuatan yang kita miliki untuk dimanfaatkan untuk masa depan negara yang lebih cerah.

1. Latar Belakang Ekonomi Malaysia

Sebelum kedatangan penjajah ke Tanah Melayu, penduduk rata-rata mengamalkan ekonomi sara diri dan hanya menumpukan kepada keperluan hidup keluarga masing-masing. Turut sama dicatatkan bahawa terdapat juga mereka yang melibatkan diri di dalam urusan perdagangan.

Semasa Penjajahan

Kemasukan tenaga buruh yang dibawa masuk daripada negara China dan India ke Tanah Melayu bagi memenuhi kepentingan ekonomi penjajah telah mengubah landskap sosioekonomi masyarakat ketika itu. Amalan ‘Pecah dan Perintah’ daripada penjajah British telah menggalakkan perkembangan masyarakat yang tidak seimbang disebabkan perbezaan aktiviti perekonomian dan penempatan berdasarkan kaum.

Pasca Kemerdekaan (1956-1970)

Selepas daripada kemerdekaan, Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) di bawah pentadbiran Tunku Abdul Rahman telah merangka rancangan pembangunan ekonomi secara bertempoh bagi setiap lima tahun yang dikenali sebagai Rancangan Malaya (Selepas Rancangan Malaya Kedua ianya dikenali Rancangan Malaysia). Dalam tempoh ini, tumpuan kerajaan adalah pada pembangunan sektor luar bandar dan mempelbagaikan sumber negara.

Pada fasa ini telah ditubuhkan Majlis Amanah Rakyat (transformasi daripada RIDA) pada tahun 1965 dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Negara kita juga mula menerokai peluang sumber ekonomi yang baharu melalui pengeluaran minyak sawit. FELDA telah membuka penempatan sulung bagi perusahaan ladang sawit pada tahun 1961.

Kesan amalan ‘Pecah dan Perintah’ yang digunakan oleh penjajah British dalam mentadbir penduduk Tanah Melayu sebelum kemerdekaan tetap dapat dirasai impaknya meskipun negara ini telah mengecapi kemerdekaan. Bancian penduduk telah dijalankan pada tahun 1970, didapati bahawa 49.3% daripada semua keluarga di Semenanjung Malaysia berada di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK). Sejumlah 86% daripada keluarga miskin tersebut berada di kawasan luar bandar, majoritinya adalah kaum Melayu dan Bumiputera.

Walaupun ekonomi negara ketika itu berkembang dengan pesat pada purata tahunan 6 peratus, terdapat kekurangan penekanan dalam aspek pengagihan seterusnya menghasilkan ketidakseimbangan di antara kumpulan etnik dengan memberi kesan negatif sosial dalam bentuk rusuhan kaum pada tahun 1969.  

Dasar Ekonomi Baru (1970-1990)

Rentetan daripada peristiwa berdarah 13 Mei 1969, negara Malaysia di bawah pentadbiran Tun Razak (1970-1976) telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971 baru mengatasi ketempangan yang wujud pada sosioekonomi masyarakat ketika itu.

Perangkaan DEB dan penyertaan kerajaan secara aktif di dalam ekonomi melalui penubuhan FELDA, FAMA, PERNAS, UDA dan PNB adalah mencontohi pendekatan negara yang bertunjangkan ideologi sosiolisme-komunisme. Semasa Tun Razak masih belajar di UK, beliau aktif di dalam Parti Buruh di sana yang beraliran kiri, tidak hairan pembawaan pentadbirannya sebagai perdana menteri menggunakan pendekatan yang cenderung ke arah sosialisme.

DEB mensasarkan dua strategi utama:

1. Mengurangkan kemiskinan tegar tanpa mengira bangsa melalui kenaikan taraf pendapatan dan memperbanyakkan peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia.
2. Untuk menyusun semula masyarakat bagi memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi agar mengurangkan dan seterusnya menghapuskan identifikasi kaum dengan fungsi ekonomi.

Perlaksanaan DEB telah menunjukkan hasil yang positif berdasarkan pengurangan kadar isi rumah yang berada di bawah taraf kemiskinan daripada 49.3% (1970) kepada 16.5% (1990). DEB juga berjaya menstrukturkan semula pemilikan ekuiti korporat yang sebelum ini dimiliki lebih daripada dua per tiga oleh warga asing manakala Bumiputera hanya memiliki 2% sahaja pada tahun 1970 kepada pemilikan Bumiputera bertambah kepada 20.4% dan pegangan warga asing mengecil sehingga 25.1% pada tahun 1990.

Ekonomi Tun Dr. Mahathir (1981-2003)

Tun Dr. Mahathir mengambilalih pemerintahan pada tahun 1981 semasa iklim ekonomi negara berada di dalam keadaan yang tidak baik. Beberapa perkembangan ekonomi antarabangsa memberikan kesan kepada negara terutama sekali kemelesetan ekonomi antarabangsa dan kejatuhan harga komoditi utama ketika itu.

Tempoh pentadbiran kendaliannya yang menjangkau sehingga 22 tahun ini menyaksikan pelbagai perubahan dasar dan pembawaan ekonomi negara. Antaranya ialah:

1. Dasar Pandang Ke Timur
2. Dasar Pertanian Negara (1984)
3. Dasar Buruh
4. Dasar 70 Juta Penduduk
5. Perindustrian Berat
6. Pensyarikatan Malaysia
7. Dasar Penswastaan
8. Wawasan 2020

Walaupun pembaharuan yang dibawa oleh Tun Dr. Mahathir kelihatan gah dan membawa nafas baru kepada perekonomian negara kita, di sebalik perangkaan dan perlaksanaan dasar ekonomi ini tidaklah berjalan dengan baik seperti mana yang diharapkan.

Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan tidak mampu berkekalan lama apabila tentangan daripada rakyat yang tidak bersetuju disebabkan oleh keutamaan yang diberikan kepada firma daripada Jepun sepertimana di dalam projek pembinaan Dayabumi berbanding firma tempatan. Meskipun pada awalnya, Tun mengharapkan dasar ini menjadi asas kepada penerapan etika kerja daripada Jepun dan usaha kerjasama yang menguntungkan antara perusahaan dua negara ini. Tetapi selepas pilihanraya 1986, Tun secara beransur-ansur tidak lagi mencanangkan dasar ini apabila nyata lebih banyak kerugian yang perlu ditampung.

Begitu juga pengenalan perindustrian berat yang dipelopori oleh Tun semenjak beliau memegang Kementerian Perdagangan dan Industri pada akhir 1970-an lagi melalui penubuhan Heavy Industries Corporation of Malaysia (HICOM). Pemilihan industri yang tidak tepat berikutan industry sedia ada telah menghadapi persaingan hebat pada peringkat antarabangsa, seterusnya melibatkan banyak perlindungan untuk menjamin kelansungan perindustrian tersebut dan pemilihan industri yang tidak mempunyai kaitan penting dengan keseluruhan ekonomi nasional telah menjerumuskan negara ke tahap kerugian yang mencecah berbillion ringgit seperti mana di dalam kes PERWAJA.

Krisis Ekonomi 1997

Pada bulan tahun 1997, mata wang Thailand (baht) mengalami serangan spekulasi secara besar-besaran menyebabkan kejatuhan nilai mata wangnya secara mendadak (separuh nilai asal). Kesan daripada krisis yang bermula di Thailand ini telah memberikan impak kepada ekonomi negara jiran yang berada di sekitarnya.

Tun Dr. Mahathir menggambarkan bahawa kejatuhan nilai ringgit adalah disebabkan oleh serangan spekulatif terhadap mata wang negara Asia Timur. Walaubagaimanapun, laporan kajian yang dikeluarkan oleh IMF pada tahun 1998 mengakui bahawa kejatuhan mata wang baht adalah disebabkan spekulatif tetapi tidak pada mata wang negara lain.

Faktor lain yang membawa kepada lanjutan krisis ini adalah penarikan pelaburan asing secara besar-besaran kerana ketakutan yang timbul terhadap krisis ini sendiri kerana menyangka kawasan serantau ini serupa dan sepadu (dari segi bidang perdangan dan perlaburan).

Nilai ringgit juga jatuh disebabkan oleh kelantangan Tun Mahathir ketika itu yang menempelak George Soros dan menyatakan bahawa terdapat konspirasi jahat Barat yang ingin melemahkan ekonomi negara Asia Timur. Kenyataan lantang Mahathir ini telah memburukkan lagi kenyakinan pelabur dan keadaab serantau sehinggi ditegur oleh pemimpin negara lain di rantau ini.

Tindak balas kerajaan di dalam menghadapi krisis ini adalah melalui kawalan modal. Ketika itu timbul perbezaan pandangan dalam menanggapi kemelut ekonomi yang melanda ketika itu di antara kem Mahathir dan Daim yang menubuhkan Majlis Tindakan  Ekonomi Nasional (MTEN) dengan kem Anwar Ibrahim yang mengendalikan Kementerian Kewangan. 


2. Tahap Pencapaian Ekonomi Negara Hari Ini

Jika dahulu negara kita bergantung harap kepada perolehan daripada penghasilan bijih timah dan getah yang pernah meliputi 40 peratus KDNK negara. Hari ini kita boleh berbangga dengan kepelbagaian sumber pendapatan yang kita ada.

Walaubagaimanapun, kebanggaan terhadap perkembangan ekonomi hari ini tidak sewajarnya melekakan kita terhadap keperluan untuk meneliti semula hala tuju dan prestasi sebenar ekonomi Malaysia. Suatu masa dahulu kita pernah tergolong di dalam kelompok negara yang diberikan gelaran ‘Harimau Asia’ (Singapura, Taiwan dan Korea Selatan) berikutan pencapaian ekonomi yang sangat baik. Tetapi adakah pada hari ini tahap pencapaian negara kita setara tiga ‘harimau’ yang pernah dahulunya ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’?

Negara kita telah berjaya mengurangkan insiden kemiskinan daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 1.7 peratus pada tahun 2012. Kita merasa gembira dengan kejayaan ini, tetapi adakah angka ini menggambarkan realiti sebenar jumlah rakyat marhaen yang terhimpit dengan kesesakan bebanan hidup?

Pada tahun 2008 yang lalu, satu penilaian telah dilakukan oleh Suruhanjaya Pertumbuhan Bank Dunia dan meletakkan negara Malaysia di antara 13 buah negara yang berjaya mencapai kelestarian pertumbuhan besar pasca Perang Dunia Kedua. Walaubagaimanapun, daripada jumlah tersebut hanya 6 buah negara sahaja yang berjaya mencapai status negara berpendapatan tinggi. Manakala Malaysia kini telah dikategorikan sebagai negara yang berada di dalam perangkap pendapatan pertengahan (middle-income trap).

Pada hari ini kita dapat melihat dengan jelas bahawa kerajaan sangat bersungguh-sungguh dalam memastikan hasrat untuk menjadi salah sebuah negara berpendapat tinggi tercapai. Pada tahun 2010 kerajaan telah melancarkan Model Ekonomi Baru (MEB) yang meletakkan misi umumnya adalah untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan sasaran pendapatan tinggi antara 15 ribu sehingga 20 ribu dolar Amerika.

Terbaru, kita diberitakan khabar ‘gembira’ bahawa purata pendapatan isi rumah di Malaysia telah mencecah RM 5,900. Khabar ini dicanangkan seolah-olah rata-rata rakyat sudah mempunyai pendapatan yang mencukupi dan selesa untuk menampung kos hidup hari ini. Ironisnya, kerajaan pusat sendiri mengatakan bahawa program BR1M meliputi 80 peratus isi rumah di Malaysia, kita sedia mengetahui bahawa syarat kelayakan penerimaan BR1M adalah jumlah pendapatan isi rumah kurang daripada RM 3,000 sebulan.

Pada suku pertama dan kedua 2014, pertumbuhan ekonomi Malaysia mencatatkan kadar 6.3 peratus. Satu perkembangan yang baik berbanding tahun sebelumnya. Meskipun begitu, seakan tiada peningkatan kualiti hidup pada masyarakat terbanyak di sebalik angka yang dibanggakan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib ini. Bahkan, penarikan subsidi melalui Program Rasionalisasi Subsidi telah menyaksikan kenaikan harga makanan rentetan peningkatan kos domestik yang disebabkan oleh pelarasan harga minyak dan tarif elektrik telah menekan kehidupan rakyat kebanyakan.

Situasi ini boleh dijelaskan sekiranya kita mengerti bahawa pertumbuhan ekonomi negara kita tidak selari dengan kesaksamaan pengagihan kekayaan negara. Menurut laporan daripada kerajaan, hanya 31 peratus daripada KDNK merangkumi pampasan pekerja, selebihnya adalah keuntungan korporat dan pendapatan kerajaan. Jika dibandingkan dengan negara ‘Harimau-harimau Asia’ yang dahulunya kita pernah bermain pada padang yang sama, peratusan pampasan pekerja kita adalah yang terendah. Singapura sebanyak 41.1 peratus, Korea sebanyak 43.7 peratus dan Taiwan pula sebanyak 46.2 peratus.

Begitu juga jika kita tinjau laporan KDNK negeri, kita akan mendapati bahawa taburan pembangunan di Malaysia adalah sangat tidak seimbang. Sebagai contoh KDNK per kapita Wilayah Persekutuan adalah sebanyak RM 80,000 tetapi di negeri-negeri lain hanyalah separuh daripada jumlah tersebut. Jurang perbezaan pendapatan antara negeri sangat ketara. Tidak hairan jika pertumbuhan ekonomi yang diwar-warkan oleh kerajaan seakan tiada erti buat rakyat melihatkan ketidakadilan dalam pengagihan pembangunan di Malaysia.

Lanjutan daripada purata peningkatan inflasi sebanyak 3.3 peratus, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus pada Julai 2014 yang lalu. Tindakan ini diambil sebagai langkah awal untuk mengurangkan risiko ketidakseimbangan ekonomi dan kewangan disebabkan oleh jangkaan kadar inflasi kekal melebihi purata jangka panjang.

Kesan perubahan pada OPR akan dirasai orang ramai melalui Kadar Pinjaman Asas / Kadar Pembiayaan Asas (BLR/BFR). Bank-bank lain akan menyusuli tindakan BNM dengan menaikkan BLR/BFR masing-masing daripada 6.60 peratus kepada 6.85 peratus. Kadar yang baharu ini akan dijadikan asas bagi pengiraan kadar pembiayaan perumahan, pembiayaan perniagaan dan pembiayaan peribadi yang diambil berasaskan kadar berubah, dan juga asas bagi menetapkan kadar baru bagi pembiayaan kereta dan pembiayaan berkadar tetap.

Situasi ini akan membawa kepada peningkatan kos perniagaan dan kos membeli hartanah atau aset lain menerusi pinjaman, seterusnya mengurangkan permintaan terhadap kebanyakan aset yang telah naik harganya ke tahap di mana ianya tidak lagi mampu dimiliki oleh kebanyakan orang.

Seperkara lagi yang membimbangkan rakyat adalah tabiat berbelanja kerajaan yang sangat boros dan tidak terkawal. Semenjak daripada Bajet 1998 sehinggalah Bajet 2015 adalah merupakan bajet defisit. Jawapan yang diberikan oleh Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2009 di dalam satu wawancara menjelaskan bahawa perbelanjaan lebih ini adalah untuk mengembalikan kenyakinan pelabur bagi menampung kehilangan pelaburan daripada sektor swasta. Walaubagaimanapun, sehingga ke tahun hadapan, meskipun rasionalisasi subsidi telah dilaksanakan berserta peningkatan di dalam pendapatan daripada cukai yang dikenakan ke atas PETRONAS tetap kerajaan terus boros berbelanja dan tidak berlaku bajet yang berimbang.



3. Hubungkait Antara Ekonomi Negara dengan Rakyat

Pertumbuhan dan penguncupan ekonomi negara memberikan kesan kepada kehidupan rakyat. Sama ada secara langsung melalui kenaan cukai dan penetapan gaji minimum, ataupun secara tidak langsung melalui peningkatan kos sara hidup  rentetan daripada pengurangan bantuan kerajaan dalam bentuk insentif atau subsidi dan kenaikan harga barang.

Ekonomi negara juga memainkan peranan penting bagi menggalakkan perkembangan tahap pendidikan dan kesihatan rakyat melalui penetapan dasar kerajaan. Pembasmian kemiskinan melalui penyediaan peluang pekerjaan dan proses pengagihan semula kekayaan yang tersusun juga merupakan peranan pemerintah yang perlu dimainkan pada sesebuah negara.

Kemampanan ekonomi negara menjamin kehidupan rakyat yang sejahtera. Kemunduran tahap ekonomi atau kegagalan mekanisme regulasi sesebuah negara  di dalam menjaga kestabilan pasaran dan hak kebajikan rakyat akan memberikan kesan kepada keupayaan rakyat di dalam memenuhi keperluan hidup seperti pemilikan perumahan dan pengangkutan.



4. Bagaimanakah Rakyat Mampu Mempengaruhi Polisi Ekonomi?

·         Amalan Demokrasi Terpimpin
·         Penyaluran Pandangan dan Cadangan
·         Memperanankan Kesatuan Sekerja
·         Menzahirkan Desakan dan Bantahan
·         Advokasi Isu Melalui Rencana dan Wacana Ilmiah



5. Penutup

Kejayaan dan kesilapan yang pernah dilakukan sewajarnya menjadi suatu panduan buat generasi terkemudian dalam mengorak langkah agar kelangsungan kemakmuran negara ini terus dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakt secara adil dan berhemah.

Pendekatan kerajaan pimpinan DS Najib pada hari ini yang tidak populis dan sangat berisiko pada nasib hayat politik parti pemerintah menggambarkan bahawa negara kita sekarang ini sudah berada di persimpangan; sama ada perlu meneruskan langkah-langkah kehancuran atau berpatah balik sambil mengakui kesilapan pendirian dan pembawaan kerajaan dalam mengendalikan ekonomi negara.



Rujukan

1. Jadual 6 - Insiden Kemiskinan Mengikut Etnik, Strata dan Negeri, Malaysia (1970-2012)
2. Laporan Ekonomi 2014/2015 :Prestasi Ekonomi dan Prospek
3. Laporan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), Keluaran Negara Kasar & Pendapatan Per Kapita. (Sejarah [1970-2011])
4. Jomo K.S “Warisan Ekonomi Mahathir”
5. Dr. Mahani Zainal Abidin “Pembangunan Keseimbangan Dengan Dasar Ekonomi Baru Di Malaysia”
6. Noor Amin Ahmad, Institut Kajian Dasar “Ekonomi Pasaran Sosial: Alternatif Untuk Malaysia”
7. www.pmo. gov.my “Dasar Ekonomi Baru”
8. pmr.penerangan.gov.my
9. www.epu.gov.my



Saturday, October 11, 2014

Belanjawan 2015, GST & Cukai Alternatif

PM telah mengumumkan bahawa senarai barangan yang tidak dikenakan GST telah dikemaskini dan berlaku pertambahan jenis barangan. Terima kasih, satu langkah yang baik.
Tetapi, masih mengharapkan selain daripada pelebaran senarai barangan tersebut, turut mengimpikan semoga di peringkat kerajaan akan mengusahakan perangkaan mekanisme pelepasan cukai GST untuk golongan fakir miskin. Bukankah kerajaan memiliki maklumat rakyat yang berpendapatan rendah melalui pengkalan data yg digunakan untuk BR1M? Penggunaan Mykad sebagai kad imbas bagi proses pengecualian cukai mungkin sesuatu yang boleh direalisasikan. Mungkin.
Setidak-tidaknya, perlaksanaan GST ini walaupun bersifat kenaan terhadap pembelian tanpa mengira status pendapatan pengguna pada awalnya, kita akan dapat mengecualikan golongan yang tidak dibolehkan untuk dikenakan cukai terhadap mereka iaitu fakir dan miskin melalui mekanisme tersebut.
Walaupun begitu, meskipun wujudnya mekanisme tersebut, implementasi GST pada tempoh sekarang dalam keadaan penguatkuasaan 'hisbah' daripada kerajaan kelihatan longgar dan bermusim menimbulkan keraguan samada benarkah rakyat berpendapatan rendah tidak akan terjejas melalui kesan rantaian daripada peniaga yang mengambil kesempatan rentetan daripada perlaksanaan GST ini.
Disamping kita berterusan mendesak tolak GST, advokasi agar kerajaan melebarkan senarai barangan yg dikecualikan cukai terutama daripada keperluan asasi perlu juga diteruskan. Begitu juga gesaan agar kawalan harga daripada tindakan peniaga yang mengambil kesempatan dan usaha mewujudkan mekanisme pengecualian cukai kepada fakir miskin jangan dilupakan. Tidak dapat semua, jangan tinggal semua.
Satu perkara yang menarik berkenaan dgn isu GST juga adalah pada cadangan yang diutarakan oleh Pakatan Rakyat. Mereka mencadangkan dua cukai alternatif buat GST;iaitu Capital Gain Tax (CGT) yang dikenakan terhadap keuntungan dan Cukai Warisan Harta yang dikenakan terhadap harta perwarisan.
Dinyatakan sebelum ini bahawa kenaan GST hukumnya adalah haram kerana sifatnya yang meliputi semua pengguna termasuk golongan fakir dan miskin. Bagaimana pula dengan Cukai Warisan Harta? Bolehkah dikenakan cukai terhadap harta peninggalan yang telah ditentukan kaedah pengagihannya oleh syara'?

Thursday, October 9, 2014

RM 6500 Masih Belum Cukup

Awalnya seakan tidak percaya membaca berita yang menyatakan bahawa DS Shahidan Kassim membuat perbandingan gaji ahli Parlimen Malaysia lebih rendah daripada gaji MP daripada Cambodia dan Uganda sebagai penguat hujah perlunya kenaikan gaji MP.
Setelah melihat sendiri rakaman video ucapan tersebut, timbul rasa kecewa dan sedikit geli hati dengan penjelasan yang digunapakai.
Tidak bolehkah menteri kita apabila memberikan suatu penjelasan, gunakan hujah yang sewajarnya, lebih berpadanan dan mendidik rakyat bagi memahami situasi sebenar.
Penggunaan kaedah perbandingan antara negara mendahului penjelasan rasional dan penerangan asas pada suatu tindakan. Daripada isu GST, harga minyak dan yang selainnya.
Dulu saya diajar; kalau org lain makan tahi, adakah kita juga perlu makan tahi? Maaf sedikit kasar, cuma tak mahu tukar matan asal. Cara membanding-bandingkan ini tidak dinafikan perlu untuk cermin kondisi negara dengan negara yang lain. Tetapi tindakan kerajaan tidaklah seharusnya kelihatan maju dan undurnya kerana ikut negara lain.
Harapan saya, kalau jadi kenaikan gaji ini yang akan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2015 jumaat ini, semoga 222 MP yang ada dapat berfikir dengan lebih cerdas dalam memikirkan mekanisme bagi mengurangkan beban rakyat. Kalian sendiri sedar gaji RM 6500 yang belum dicampur elaun itu sendiri tidak cukup, apatah lagi derita yang dirasai oleh rata-rata rakyat Malaysia yang berpendapatan bawah RM 5000.
Di saat rakyat gelisah dengan kenaikan harga RON95 dan tarikh implementasi GST yang makin hampir; MP kerajaan dan oposisi boleh bersepakat naik gaji sama sendiri sebab 'rendahnya daripada Uganda' dan 'selalu ikat perut'. Jika 2012 dahulu, proposal yang sama ditolak oleh Pakatan Rakyat, tapi 2014 masing-masing dah tak tahan ikat perut.
Rakyat sampat ikat tali usus kot.
p/s: Kenapa tidak ditambah peruntukan kepada parlimen dan dun untuk kegunaan khidmat pada rakyat? Kenapa perlu salur dlm kantung MP dahulu atas alasan rakyat minta bermacam perkara direct pada MP?

Sunday, October 5, 2014

Menyoroti Sejarah Perlaksanaan Syariat Islam Di Malaysia Menurut Perspektif Undang-Undang.


Pendahuluan

Islam telah bertapak di Tanah Melayu semenjak kurun ke-12 lagi. Terdapat juga sebahagian pandangan yang menyatakan bahawa agama Islam telah diterima oleh penduduk Tanah Melayu lebih awal daripada pandangan yang pertama iaitu seawal kurun ke-8. Kedatangan agama Islam telah mengubah kehidupan bermasyarakat penduduk di Tanah Melayu ketika itu, termasuklah pada aspek perundangan. Kegemilangan Islam di Tanah Melayu suatu ketika dahulu dapat dilihat semasa zaman pemerintahan Sultan Mansor Shah di Melaka (1459-1477M).

Catatan sejarah telah membuktikan bahawa undang-undang Islam telah dijadikan sumber utama perundangan pada ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511). Mengikut Dr. Van Ronkel, antara teks yang terpenting dalam pengkanunan  hukum Islam ialah Hukum Kanun Melaka. Selain daripada itu, terdapat juga Kitab Undang-undang Sultan Melaka dan Undang-undang Melaka yang mengandungi hukuman terhadap kesalahan seperti hudud dan qisas. Turut sama di dalamnya mengandungi prosedur dan adad al-Qadhi.

Penulisan ini akan menerangkan berkenaan sejarah dan pengenalan ringkas:
1. Kedudukan Mahkamah Syariah
2. Pengurusan Zakat dan Waqaf
3. Perlaksanaan Hukum Faraidh
4. Pertikaian di dalam Isu Hak Penjagaan Anak (Hadhanah)

KEDUDUKAN MAHKAMAH SYARIAH DI DALAM SEJARAH

Semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511), Sultan bertindak selaku kuasa legislatif, eksekutif dan judisiari. Mahkamah Balai terletak di bawah Sultan dan menggunakan hukum Islam melalui undang-undang yang telah dinyatakan di atas. Sepanjang dan selepas daripada penjajahan daripada Portugis dan Belanda (1511-1800), struktur dan kedudukan mahkamah dan kuasa  Sultan tidak mengalami sebarang perubahan.

Campur tangan British dalam pentadbiran di Tanah Melayu pada kurun ke-19 menjadi antara faktor awal kedudukan perundangan dan kehakiman Islam pada ketika itu mula tergugat. Rentetan daripada Perjanjian Pangkor (1874) yang menetapkan lantikan Residen British sebagai penasihat Sultan sehinggalah membawa kepada pemakaian undang-undang lazim British di Tanah Melayu melalui Enakmen Undang-undang Sivil di Negeri-negeri Melayu Bersekutu (1937) dan diluaskan penggunaannya ke negeri-negeri lain pada tahun 1951 yang seterusnya telah digantikan dengan Ordinan Undang-undang Sivil 1956. Penggunaan undang-undang sivil di Tanah Melayu bagi perbicaraan kesalahan berkaitan jenayah dan kesalahan am telah secara tidak langsung menyempitkan aplikasi hukum dan undang-undang Islam menjadi seolah-olah hanya terhad di dalam lingkungan kesalahan individu dan keluarga sahaja. Kesannya, pengamalan ini telah mempengaruhi pembentukan peruntukan perlembagaan berkenaan  pembahagian bidangkuasa perihal jenayah sepertimana yang kita dapat lihat pada hari ini.

Ordinan Mahkamah 1948 telah ditubuhkan selepas daripada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu (1 Februari 1948), lanjutan daripada ordinan ini, Mahkamah Qadhi (Syariah) dan Mahkamah Penghulu menjadi sebahagian daripada Mahkamah Persekutuan. Kedudukan Mahkamah Syariah berada di kedudukan terbawah sekali selepas Mahkamah Majistret Kelas Kedua.

Selepas daripada Akta Mahkamah Rendah 1948 menggantikan Ordinan Mahkamah 1948 yang dimansuhkan, Mahkamah Syariah telah dikeluarkan daripada Mahkamah Persekutuan dan diletakkan di bawah penguatkuasaan negeri. Mahkamah Syariah ketika itu kedudukannya sebaris dengan Jabatan Agama Islam Negeri  dan Mufti, kondisi ini telah menimbulkan konflik dan pertikaian terhadap kewibawaan Mahkamah Syariah yang seharusnya menjadi institusi yang bebas dan merdeka.

Tahun 1980-an merupakan suatu tempoh yang penting di dalam sejarah perundangan Islam di Malaysia. Bermula dengan usaha pemisahan Mahkamah Syariah daripada Majlis Agama Negeri seterusnya Mahkamah Syariah telah diklasifikasikan kepada tiga; Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Pada tahun 1984, pindaan telah dibuat terhadap Akta Mahkamah Syariah 1965 bagi meningkatkan bidangkuasa  yang diperuntukkan sepertimana yang kita sedia maklum pada hari ini sebagai Akta 365 (3 tahun penjara, 6 kali sebatan dan RM 5000 denda). Seterusnya pada tahun 1988, satu pindaan telah dibuat ke atas Perlembagaan Persekutuan lanjutan daripada cadangan yang dipelopori oleh Prof. Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim bagi menangani isu campur tangan yang ketara daripada Mahkamah Sivil terhadap kes yang dikendalikan oleh Mahkamah Syariah. Perenggan 1A yang ditambah pada Perkara 121 tersebut menyatakan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai kuasa terhadap kes yang tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Hasilnya, secara tidak langsung kedudukan Mahkamah Syariah berjaya dinaikkan dan dilihat sebaris dengan Mahkamah Syariah.

Pada tahun 1998, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah ditubuhkan dibawah Jabatan Perdana Menteri bertujuan untuk menjadi suatu pusat agensi yang menyeragamkan perundangan Islam di Malaysia. Selain daripada itu, JKSM juga berperanan untuk meningkatkan prestasi Mahkamah Syariah di setiap negeri. Di bawah JKSM, telah diusahakan ‘Skim Guna Sama” bagi penyelarasan undang-undang islam yang terpakai di negeri-negeri yang terlibat (Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Wilayah Persekutuan dan Selangor). Walaubagaimanapun, negeri tidak tertakluk dengan cadangan yang diutarakan daripada JKSM berikutan urusan agama merupakan bidangkuasa negeri. Meskipun begitu, melalui keselarasan yang diusahakan oleh JKSM telah sedikit sebanyak membantu dalam menangani permasalahan yang disebabkan oleh perbezaan undang-undang yang digunapakai di setiap Negeri.

Sejarah Pengurusan Zakat Dan Wakaf

Setelah kedatangan Islam ke Tanah Melayu, dipercayai bahawa kutipan zakat ada dilaksanakan. Akan tetapi kurang dan sangat sukar untuk menemui catatan mahupun rekod berkenaan aktiviti pengutipan dan pengagihan zakat pada ketika itu.

Menurut Prof. Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim, undang-undang dan peraturan zakat telah diperkenalkan semenjak daripada zaman penjajah lagi. Kelantan merupakan negeri pertama yang mengadakan peraturan zakat melalui Notis Zakat Kelantan yang bertarikh 1907. Seterusnya tindakan ini turut diikuti oleh negeri-negeri yang lain sebagaimana di Perlis pada tahun 1930 dan Kedah pada tahun 1936.

Di Malaysia, institusi yang menguruskan urusan zakat ditubuhkan melalui antara salah satu daripada empat cara:

1. Penubuhan melalui Enakmen Zakat. (seperti Jabatan Zakat Negeri Kedah)
2. Penubuhan melalui Akta atau Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri. (seperti Lembaga Zakat Selangor)
3. Penubuhan melalui Akta atau Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri dengan tujuan bagi urusan kutipan sahaja. (seperti PPZ-MAIWP)
4. Penubuhan dibawah Majlis Agama Islam Negeri melalui jabatan atau unit baitulmal atau pusat zakatnya yang tersendiri. (seperti Majlis Agama Islam Johor)

Pengurusan zakat di Malaysia berbeza-beza mengikut negeri masing-masing. Terdapat institusi zakat yang menguruskan kutipan dan pengagihan sepertimana Selangor, Sabah dan Pulau Pinang. Ada pula yang hanya menguruskan kutipan, manakala pengagihannya diuruskan oleh Majlis Agama Islam Negeri seperti Pahang, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan. Ada pula kutipan dan pengagihan zakat negeri tersebut sepenuhnya diuruskan oleh Majlis Agama Islam Negeri itu sendiri seperti Sarawak, Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah, Perak, Melaka dan Johor.

Sebelum tahun 1990-an, kutipan zakat negeri-negeri di Malaysia ketika itu sangat rendah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya adalah seperti penumpuan kutipan zakat hanya pada zakat fitrah dan zakat daripada penghasilan padi sahaja sehingga mengabaikan kutipan daripada sektor swasta, perniagaan dan zakat terhadap pendapatan. Kutipan pada ketika itu juga bersifat bermusim, iaitu hanya pada bulan Ramadhan dan pada musim menuai. Pengurusan pentadbiran institusi zakat ketika itu juga tidak bersistematik dan bebanan tugas dipundakkan ke atas ‘amil kerana turut berperanan terhadap estet, wakaf dan segala yang berkaitan dengan baitulmal.

Selepas daripada 1990-an, pengurusan zakat di Malaysia semakin baik dan menunjukkan peningkatan yang ketara. Ianya bermula daripada pengamalan urusan secara korporat oleh Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pada Januari 1991. Transformasi pengkorporatan ini bertujuan bagi menyediakan pegawai, pejabat dan kaunter yang berasingan daripada Majlis Agama Negeri, seterusnya menyediakan sistem bekerja korporat yang tidak terlalu terikat dengan pelbagai birokrasi. Kesannya, galakan terhadap inovasi, kreativiti dan produktiviti itu meningkat. Perubahan yang dipelopori oleh PPZ-MAIWP ini seterusnya disusuli oleh Lembaga Zakat Selangor (1994), Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (1994), Pusat Kutipan Zakat Pahang (1995), Pusat Zakat Negeri Sembilan (1998) dan Pusat Zakat Melaka (2001).

Walaupun pengurusan zakat telah semakin baik, tetapi keberkesanan institusi zakat itu dinilai pada keberhasilannya dalam mengupayakan golongan fakir dan miskin sehingga berjaya membebaskan diri daripada belengu kemiskinan.

Manakala, berkaitan dengan pengurusan harta wakaf di Malaysia, ianya ditadbir dan diuruskan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagai Pemegang Amanah Tunggal sepertimana yang dinyatakan di dalam enakmen negeri masing-masing. Walaupun begitu, tidak bermakna semua tanah wakaf adalah menjadi milik mutlak MAIN. Dalam proses membuat keputusan, MAIN berhak untuk membuat perjanjian, membeli, mengambil, memegang dan memiliki harta sama ada harta alih atau tak alih untuk menukar, memindah dan membangun segala harta yang terserah milik kepada MAIN mengikut mana-mana peraturan yang tersedia ada menurut hukum syarak. 

Peruntukan wakaf di dalam enakmen-enakmen negeri yang kebanyakannya hanya bersifat aspek pentadbiran dan prosedur ringkas tentang pewakafan; tidak ditekankan berkenaan aspek substantif kecuali pada beberapa buah negeri sahaja yang mempunyai enakmen khusus tentang wakaf seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Bagi meningkatkan lagi kualiti pengurusan harta wakaf di negara ini, Kerajaan Persekutuan telah menubuhkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JWZH) atau turut dikenali sebagai JAWHAR yang ditubuhkan pada tahun 2004 semasa zaman pentadbiran Dato’ Seri Hj. Abdullah Ahmad Badawi.



Perlaksanaan Hukum Faraid

Sebelum Perang Dunia Kedua, pentadbiran harta pusaka orang Islam di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah dan Perlis) diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Agama Islam atau Mahkamah Syariah negeri masing-masing. Tetapi selepas itu pentadbiran pusaka adalah dikendalikan di peringkat Persekutuan. Ini adalah kerana urusan pembahagian pusaka atau perwarisan berwasiat dan tidak berwasiat serta urusan mengeluarkan surat kuasa tadbir diletakkan di bawah Senarai 1, Jadual ke-9, Senarai Persekutuan.

Walaupun urusan harta pusaka orang Islam diuruskan oleh undang-undang sivil, ianya masih menggunakan hukum syarak, iaitu Hukum Faraid. Menurut Seksyen 12 (7) Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, pembahagian harta pusaka si mati hendaklah menggunakan undang-undang yang terpakai padanya. Bermakna, bagi pengurusan harta orang mati hendaklah menggunakan hukum Islam.

Seksyen 12 (7):
“Pemungut hendaklah menentukan, dalam apa cara yang paling sesuai, undang-undang yang terpakai kepada penurunan harta pusaka si mati, dan hendaklah memutuskan siapa mengikut undang-undang itu adala benefisiari-benefisiari dan kadar syer dan kepentingan masing-masing.”

Di dalam Seksyen 19 (1) (a) pula menetapkan bahawa sebarang perkaitan dengan undang-undang Islam maka hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa negeri. Justeru itu, persoalan yang timbul berkenaan pembahagian harta pusaka seperti sah taraf anak dan penentuan nasab hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa agama di negeri masing-masing.

Terdapat empat institusi yang menguruskan pembahagian harta pusaka:

1. Amanah Raya Berhad (pusaka ringkas)
Mengendalikan harta alih sahaja dan nilai tidak melebihi RM 2,000,000.

2. Seksyen Pembahagian Pusaka / Pejabat Tanah (pusaka kecil)
Di peringkat negeri dikenali sebagai Unit Pembahagian Pusaka. Mengendalikan harta tak alih sahaja (tanah) atau harta tak alih & harta alih, nilainya tidak melebihi RM 2,000,000 dan tidak berwasiat mengikut Akta Wasiat 1959. Undang-undang yang digunakan adalah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.

3. Mahkamah Tinggi (pusaka besar)
Mengendalikan harta tak alih (tanah) atau harta alih yang nilainya melebihi RM 2,000,000, berwasiat (bagi bukan Islam walaupun nilainya bawah RM 2,000,000). Turut mengendalikan kes-kes rayuan di bawah Seksyen 29, Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Undang-undang yang digunakan adalah Akta Probet Dan Pentadbiran 1959.

4. Mahkamah Syariah
Menentukan waris dan bahagian setiap waris dengan mengeluarkan “Sijil Faraid”. Turut mempunyai bidangkuasa dalam hal berkaitan wasiat, hibah, wakaf, sah taraf anak, perkahwinan, harta sepencarian dan nasab; semua ini mempunyai  kaitan rapat dan dapat mempengaruhi keputusan pembahagian harta pusaka.

Kebiasaannya, permasalahan yang akan timbul di dalam isu pembahagian harta pusaka ini adalah seperti berikut:

1. Kekeliruan terhadap bidangkuasa.

Kecelaruan timbul kerana terdapat empat institusi yang terlibat dalam urusan pembahagian harta pusaka. Sebagai contoh, jika dilakukan penilaian harta dan mendapati bahawa peninggalan si mati tersebut melebihi RM 2,000,000 setelah dirujuk di Unit Pembahagian Pusaka, permohonan itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Sivil. Waris akan diminta sekali lagi untuk membuat permohonan baru mengikut kaedah mahkamah.

2. Kekangan statut.

Sehingga ke hari ini masih belum ada satu status khusus yang boleh dijadikan panduan bagi membahagikan harta pusaka orang Islam. Pegawai Pembahagian Pusaka hanya merujuk kepada kitab faraidh disamping menghadiri kursus dan pembelajaran secara tidak formal. Situasi ini berbeza di Mesir yang mempunyai statutnya yang khusus berkenaan pembahagian pusaka yang dikenali sebagai  Qanun al-Mawarith 1943. Justeru itu bagi urusan penentuan pembahagian melalui “Sijil Faraid”, hakim di Mahkamah Syariah akan terdedah kepada perbezaan pendapat di kalangan mazhab di dalam isu perwarisan mengikut kaedah ‘Rad’, perwarisan oleh waris ‘Dzhawi al-Arham’, dan kaedah pembahagian ‘Muqasamah’.

3. Tiada keselarasan undang-undang.

Terdapat beberapa perbezaan di antara negeri. Sebagai contoh, hanya tiga buah negeri sahaja yang mempunyai enakmen wasiat iaitu Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan. Masalah timbul apabila terdapat peruntukan yang berada di dalam enakmen tersebut tidak terdapat di dalam hukum wasiat menurut Mazhab Syafie. Maka, Sijil Faraid yang dikeluarkan oleh negeri tersebut tidak boleh digunakan di negeri yang tidak mempunyai enakmen tersebut.

Isu ketidakselarasan juga timbul berkenaan tempoh anggapan kematian (mafqud). Unit Pembahagian Pusaka hanya menerima anggapan kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 108 Akta Keterangan 1950 (disemak 1971). Akta ini memperuntukkan bahawa tempoh hilang yang boleh dikira sebagai anggapan kematian adalah selama tujuh tahun. Manakala di dalam Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan pula memperuntukkan selama empat tahun. Perbezaan ini telah menimbulkan kerumitan terhadap isteri waris, kerana anggapan kematian yang dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Syariah hanya boleh digunakan untuk memperolehi kebenaran berkahwin lain tetapi tidak pada pembahagian harta.

Pertikaian Di Dalam Isu Hak Penjagaan Anak (Hadhanah)

Seringkali konflik pertembungan bidangkuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil pada hari ini adalah berkenaan isu hak penjagaan anak antara ibu bapa yang bercerai disebabkan salah seorang memasuki Islam. Meskipun Perkara 121 (1)(a) telah menjelaskan bahawa Mahkamah Persekutuan tidak boleh masuk campur bidangkuasa Mahkamah Syariah, tetapi ianya masih menjadi pertikaian dan masih menimbulkan kekeliruan.

Telah berlaku banyak kes, antaranya adalah seperti:

1. Kes Indira VS Muhd Redhuan (K Patmanathan) pada tahun 2009.
2. Kes Subashini VS Muhammad Shafi (Saravanan) pada tahun 2007
3. Nur Adryana Qestina (Audrey Christina) VS S. Gopal pada tahun 2007.

 Isu yang terbaru adalah yang terjadi pada awal tahun yang lalu, iaitu perebutan antara Izwan Abdullah (N. Viran) dan S.Deepa.

 Konflik perebutan hak penjagaan anak ini kebiasaannya timbul berikutan beberapa faktor seperti:

1. Akta Pembaharuan (Kahwin dan Cerai) 1976
2. Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961
3. Perkara 121 (1)(a)
4. Penentuan Agama Anak

Perkahwinan bukan Islam didaftarkan di bawah Akta Pembaharuan (Kahwin dan Cerai) 1976 atau turut sama dikenali sebagai Law and Reform (Marriage and Divorce) Act 1976 (LRA). Melalui akta ini, pasangan bukan Islam boleh berkahwin dan hanya boleh bercerai jika salah satu pihak menuntutnya atau perkahwinan tersebut dibubarkan oleh arahan mahkamah.

Manakala, pasangan bukan Islam pula ditadbir urusan perkahwinannya menurut Enakmen Keluarga Islam di negeri masing-masing.

Menurut undang-undang, pemelukan agama Islam oleh salah seorang pasangan bukan Islam secara sendirinya tidak menyebabkan perkahwinan tersebut terbubar kecuali ianya disahkan oleh Mahkamah Sivil. Permasalahan timbul apabila di dalam Akta 1976 memperuntukkan pada Seksyen 51 bahawa:

“Apabila salah seorang kepada perkahwinan itu memeluk agama Islam, pihak yang satu lagi yang tidak memeluk agama Islam boleh memohon petisyen perceraian. Dengan syarat bahawa tiada petisyen boleh dibuat di bawah Seksyen ini sebelum tempoh tiga bulan tamat dari tarikh pemelukan tersebut.”

Peruntukan di atas tidak terpakai kepada pihak yang beragama Islam. Bermakna, Seksyen 51 hanya memberi hak kepada pihak yang bukan beragama Islam sahaja untuk memfail petisyen perceraian di Mahkamah. Sekiranya tiada petisyen dibuat, maka status perkahwinan bagi pasangan yang muslim itu akan tergantung kerana menurut undang-undang perkahwinannya belum terbatal. Kebiasaannya situasi ini berlaku pada pasangan yang tidak memeluk Islam itu sengaja membalas dendam mahupun bimbang hak penjagaan anak akan berpindah kepada pasangan yang muslim tersebut apabila perceraian disahkan.

Sekiranya kes dibicarakan di Mahkamah Sivil, undang-undang yang akan digunakan adalah Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 yang bertentangan dengan Enakmen Keluarga Islam Negeri dan hukum syara’ dalam menetapkan hak penjagaan anak seperti memberikan keutamaan penjagaan anak bawah umur kepada bapa berbanding ibu dan tidak mengambil kira faktor agama sebagai penentu hak penjagaan.

Pertikaian di manakah sewajarnya kes ini dibicarakan juga sering menjadi perbahasan utama; sama ada kes sebegini perlu di dengarkan di Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil. Bagi mereka yang berpandangan bahawa perlu dibicarakan di Mahkamah Sivil adalah kerana perkahwinan pasangan ini asalnya didaftarkan di bawah undang-undang sivil (Akta 1976), maka sewajarnya dikendalikan oleh Mahkamah Sivil. Manakala, bagi mereka yang berpandangan sebaliknya pula melihat bahawa ianya melibatkan urusan Islam, maka ianya tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah dan tidak boleh diganggu oleh Mahkamah Sivil berdasarkan Perkara 121 (1)(a).

Berkenaan penentuan agama anak, menurut pandangan Mazhab Syafie, Hambali dan Hanafi; agama kanak-kanak yang asalnya bukan beragama Islam akan dikira beragama Islam tidak kira sama ada hanya salah seorang sahaja daripada ibu bapanya yang memeluk Islam. Di Malaysia, wujud pertikaian sama ada kanak-kanak di bawah 18 tahun bukan beragama Islam boleh memeluk agama Islam atau tidak tanpa persetujuan kedua ibu bapanya.

Perkara 12 (4) di dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa:

“Bagi maksud Fasal (3), agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.”

Jika dirujuk semula perlembagaan versi bahasa inggeris, perkataan ibu bapa yang digunakan di situ adalah “parent” yang membawa maksud ibu atau bapa, bukan “parents” yang membawa maksud ibu dan bapa. Di sini menjadi titik perbezaan di dalam menafsirkan perlembagaan, bagi mereka yang mendokong pandangan yang menyatakan bahawa hanya memerlukan salah seorang daripada ibu atau bapa, mereka akan bersetuju pada penetapan agama kanak-kanak oleh salah seorang ibu bapanya sahaja. Manakala, bagi mereka yang tidak bersetuju, mereka menggunakan hujah bahawa di dalam Perkara 160 dalam tafsiran “his” (dia: lelaki) meliputi jua “her” (dia: perempuan), maka mereka berpandangan bahawa begitu juga “parent” hendaklah juga difahami secara jamak iaitu “parents”.

Penutup

Diharapkan melalui penulisan ini akan memudahkan pembaca untuk memahami kondisi semasa bagi perlaksanaan syariat Islam di Malaysia pada hari ini. Melalui penelitian terhadap sejarah dan perkembangan terkini, maka kita selaku generasi baharu yang bakal mencorakkan hala tuju negara akan dapat memahami dengan lebih baik apakah yang perlu dilaksanakan bagi membentuk Malaysia dengan acuan Islam secara sepenuhnya.




[RUJUKAN]
1. Perlembagaan Persekutuan
2. The Islamic Legal System in Malaysia; Farid S.Shuaib
3. A Comparative Study of Waqf Management in Malaysia; Zuraidah Mohamed Isa, Norhidayah Ali & Rabitah Harun.
4. Isu-Isu Pembahagian Harta Pusaka Orang Islam Dalam Konteks Perundangan Malaysia; Tuan Haji Wan Abdul Halim bin Wan Harun.
5. Mengembalikan Fungsi Sebenar Islam Dalam Perlembagaan Malaysia; Nik Muhammad Nasri bin Nik Malek.
6. Penentuan Agama dan Hak Penjagaan Kanak-Kanak Menurut Undang-Undang Islam; Prof. Madya Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil
7. Zakat Institution in Malaysia: Problem and Issues; Azman Ab Rahman, Mohammad Haji Alias & Syed Mohd Najib Syed Omar.
8. Zakat Management in Malaysia: Challenges & Prospects; Mohamed Izam Mohamed Yusof

9. Pentadbiran dan Pengurusan Tanah Wakaf di Malaysia; drafendi.blogspot