Jika
dibuat pengiraan, MP Muslim hanyalah berjumlah seramai 137 orang (101
BN, 36 PR). Dalam 36 orang muslim daripada PR, hanya 21 orang daripada
PAS dan dalam 101 orang muslim daripada BN hanya 88 orang daripada UMNO.
Untuk meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan 2/3 (148
orang) daripada seluruh MP. Manakala, bagi meluluskan RUU selain
daripada pindaan Perlembagaan, cukup sekadar majoriti mudah (112 orang).
Ada dua pandangan untuk merealisasikan kelulusan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan:-
1) Perlu pinda perlembagaan dan Akta Mahkamah Syariah 1965. Kerana
bercanggah dengan Perkara 8 dan berlaku pertindihan bidangkuasa dengan
penal code yang berada di bawah senarai persekutuan jadual sembilan.
Maka memerlukan 2/3 undi.
2) Hanya perlu pinda Akta Mahkamah
Syariah 1965 sahaja dengan mengubah had hukuman yang diletakkan pada
pindaan 1988 (365: 3 tahun penjara, 6 kali sebatan dan RM 5,000 denda).
Pandangan ini berhujahkan bahawa hanya perlu penafsiran yang tepat pada
Perkara 3 (1), ungkapan 'Hukum Syarak' pada perenggan pertama senarai
negeri jadual sembilan dan turut sama menggunakan Perkara 76 (a). Maka
memerlukan 112 undi.
Jika benar pandangan kedua boleh
digunakan. Memerlukan kesatuan daripada semua MP Muslim untuk mengundi,
tidak memadai jika hanya UMNO dan PAS sahaja yang menyokong.
Tetapi sekiranya pandangan pertama yang digunapakai, maka kita memerlukan tambahan MP daripada non muslim untuk menyokong sama.
Melihatkan pada gaya undian di Parlimen yang hanya mengikut pendirian
Parti seperti dalam isu GST yang lepas dan kenyataan rasmi dan tidak
rasmi parti-parti selain PAS. Tampak sukar untuk mencapai bilangan undi
walaupun dengan hanya majoriti mudah.
Apa-apa pun, kita gunakan
kesempatan ini untuk menjernihkan pandangan masyarakat berkenaan hudud.
Tak dapat semua, jangan tinggal semua.
Wednesday, April 30, 2014
Monday, April 28, 2014
Perlembagaan Menjamin Hak Kebebasan Beragama
Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan ada menyatakan bahawa setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.Selama ini bila dilihat pada Perkara 11, sering dirujuk pada golongan minoriti, agama anutan selain daripada Islam. Adakah Islam terkeluar daripada tafsiran 'Agama yg berhak dianuti dan diamalkan' di dalam perlembagaan?
Tidak. Malah Islam mempunyai keistimewaan di dalam Perlembagaan apabila disebutkan dalam Perkara 3, 8, 11, 12, 121, 150 dan kedudukan Yang Dipertuan Agong dalam urusan hal ehwal agama Islam.
Maka, kenapa apabila hasrat rakyat di Kelantan yang diwakili oleh DUN Negeri Kelantan untuk melaksanakan Perundangan Islam bagi melengkapkan pengamalan agama Islam secara menyeluruh telah mendapat tentangan banyak pihak?
Mereka menggunakan hujah bahawa perlaksanaan hudud itu bertentangan dengan Perlembagaan, sehingga timbul kenyataan dripada Ketua Pemuda MCA bahawa akan menghalang PAS daripada membawa private bill tersebut dengan benteng manusia sekiranya PAS tetap ingin mengusulkan di Dewan Rakyat. Sedangkan, tindakan mereka inilah yang bertentangan dengan Perlembagaan.
PAS bukan ingin melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah secara illegal dan membelakangi prinsip demokrasi dan perlembagaan. Tetapi PAS menyatakan hasratnya melalui jalan yg sah. Bukankah memang antara tugas Parlimen untuk membincangkan berkenaan dasar dan penggubalan undang-undang?
Bahkan, Perkara 159 dan 161(e) adalah berkenaan pemindaan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Menunjukkan bahawa Perlembagaan itu boleh dipinda. Adakah tindakan PAS untuk mengusulkan RUU yang sekiranya ada keperluan pemindaan perlembagaan adalah bercanggah dengan Perlembagaan? Tidak.
Perlembagaan bukanlah tidak pernah dipinda, malah telah berpuluh kali dipinda.
Kenyataan bahawa Perlembagaan Persekutuan itu sendiri mencerminkan bahawa Negara Malaysia adalah sebuah negara sekular adalah tafsiran terburu-buru dan tidak boleh dijadikan alasan hudud tidak boleh dilaksanakan.
Meskipun pengamalan sebelum ini yang menggunapakai tafsiran Islam sebagai agama persekutuan ini hanyalah bersifat upacara dan istiadat bukan ad-deen atau cara hidup. Tetapi, adakah ini bermakna tafsiran ini rigid, tidak boleh berubah?
Tidak. Saya cenderung pada pandangan saudara Hanipa Maidin, Pengerusi Lajnah (Biro) Undang-undang PAS dalam isu berkaitan penafsiran Agama Islam sebagai Agama Persekutuan.
(Boleh baca disini: http://bm.harakahdaily.net/
Saya kembalikan semula persoalan pada anda, adakah salah Kelantan ingin melaksanakan hudud?
Bukankah kita menjunjung prinsip demokrasi? Jika YA, ketahuilah bahawa rakyat Kelantan telah memberikan mandat melalui DUN kelantan sejak sekian lama. Hormatilah permintaan mereka.
Thursday, April 24, 2014
Peluang Dakwah Disebalik Cabaran Hudud
[Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993]
2 April yang lalu, MB Kelantan mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan mengusulkan RUU persendirian ke Parlimen untuk mendapatkan kelulusan bagi membolehkan perlaksanaan hukuman hudud di Kelantan.
Melihatkan kelainan pada kesediaan UMNO dan ketegasan PAS di dalam usaha untuk membolehkan undang-undang ini dapat dilaksanakan telah membawa tahap perbincangan dan penilaian terhadap isu ini ke tahap yang baru.
Penelitian pada lambakan artikel yang menyentuh berkenaan isu ini jelas menunjukkan bahawa majoriti masyarakat Malaysia masih tidak memahami akan hudud itu sendiri.
Bukan sahaja pada yang menolak, bahkan pada kalangan mereka yang mendokong idea perlaksanaan hudud ini.
Penjelasan atau jawapan mudah seperti:
"Kalau tak buat salah, kenapa perlu takut dengan hudud."
"Nanti kamu akan faham dan nampak keindahan perlaksanaannya."
"Kamu sendiri yang tidak faham."
Jawapan mudah dan tergantung sudah tidak mencukupi dan tidak relevan pada hari ini. Tetapi apakan daya, bagaikan tugas penerangan ini terpundak pada layman kerana agamawan itu membisu. Sudah pasti sukar untuk penerangan yang baik dapat dibuat.
Institusi keagamaan dan intelektual agamawan perlu tampil menjelaskan dan berperanan. Media juga perlu telus, tidak hanya semata-mata menampilkan kritikan terhadap usaha Kelantan dalam perlaksanaan undang-undang.
Penjelasan dan pendidikan berkenaan hudud perlu telus dan berpaksi pada kaedah perlaksanaanya dalam zaman hari ini. Penerangan juga hendaklah tidak hanya tertumpu pada masyarakat muslim, tetapi perlu dipanjangkan kepada rakan-rakan non-muslim juga.
Kenyataan bahawa non-muslim tidak akan terlibat dengan hukuman hudud tidak cukup bagi mereka dan tidak boleh dijadikan hujah untuk kita bermudah-mudahan dan sambil lewa dalam penerangan terhadap mereka, kerana walaupun RUU ini boleh diluluskan dengan hanya meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 yang hanya memerlukan majoriti mudah (112 undian), tetapi perlaksanaan yang hanya dikenakan pada orang Islam akan menjadikannya tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 8 (Kesemarataan) di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak membolehkan sebarang perbezaan dan diskriminasi kenaan undang-undang berlaku. Ini menyebabkan masyarakat non-muslim tidak menerima penyataan bahawa non-muslim tidak terlibat sama. Kerana ini, mereka turut sama menentang dan berbicara berkenaan hudud.
Hudud dianggap kejam, barbaric dan undang-undang kuno. Model yang ada dijalankan di beberapa negara luar gagal membawakan maksud sebenar perlaksanaan Hudud. Justeru itu, dikala ramai yang ingin tahu, ini adalah peluang baik untuk kita menyampaikan penerangan yang benar pada yang tersalah faham sebelum ini.
Pendokong usaha perlaksanaan hudud perlu keluar daripada kepompong selesa mereka selama ini. Timeline Facebooknya yang hanya penuh dengan rakan-rakan yang menyokong hudud tidak mencerminkan kehendak masyarakat terhadap penerangan jitu berkenaan implementasi hukuman hudud di Malaysia. Belum dilihat pada lingkungan kehidupan kita sendiri yang berkisar berkenaan rakan yang sefikrah dan sama ideologi dengan kita. Akhirnya kita rasa selesa dan beranggapan semuanya akan berjalan dengan baik tanpa perlu berbuat sesuatu.
Jika agamawan ramai menyepi dengan fakta yang mencerahkan, saya khuatir usaha media yang menyerang perlaksanaan hudud akan menang. Doktrin salah akan terus tertanam pada pemikiran masyarakat yang akan lebih menyukarkan pemahaman terhadap Islam pada aspek perundangan secara khususnya dan imej Islam itu sendiri secara amnya.
Semoga Allah redha.
2 April yang lalu, MB Kelantan mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan mengusulkan RUU persendirian ke Parlimen untuk mendapatkan kelulusan bagi membolehkan perlaksanaan hukuman hudud di Kelantan.
Melihatkan kelainan pada kesediaan UMNO dan ketegasan PAS di dalam usaha untuk membolehkan undang-undang ini dapat dilaksanakan telah membawa tahap perbincangan dan penilaian terhadap isu ini ke tahap yang baru.
Penelitian pada lambakan artikel yang menyentuh berkenaan isu ini jelas menunjukkan bahawa majoriti masyarakat Malaysia masih tidak memahami akan hudud itu sendiri.
Bukan sahaja pada yang menolak, bahkan pada kalangan mereka yang mendokong idea perlaksanaan hudud ini.
Penjelasan atau jawapan mudah seperti:
"Kalau tak buat salah, kenapa perlu takut dengan hudud."
"Nanti kamu akan faham dan nampak keindahan perlaksanaannya."
"Kamu sendiri yang tidak faham."
Jawapan mudah dan tergantung sudah tidak mencukupi dan tidak relevan pada hari ini. Tetapi apakan daya, bagaikan tugas penerangan ini terpundak pada layman kerana agamawan itu membisu. Sudah pasti sukar untuk penerangan yang baik dapat dibuat.
Institusi keagamaan dan intelektual agamawan perlu tampil menjelaskan dan berperanan. Media juga perlu telus, tidak hanya semata-mata menampilkan kritikan terhadap usaha Kelantan dalam perlaksanaan undang-undang.
Penjelasan dan pendidikan berkenaan hudud perlu telus dan berpaksi pada kaedah perlaksanaanya dalam zaman hari ini. Penerangan juga hendaklah tidak hanya tertumpu pada masyarakat muslim, tetapi perlu dipanjangkan kepada rakan-rakan non-muslim juga.
Kenyataan bahawa non-muslim tidak akan terlibat dengan hukuman hudud tidak cukup bagi mereka dan tidak boleh dijadikan hujah untuk kita bermudah-mudahan dan sambil lewa dalam penerangan terhadap mereka, kerana walaupun RUU ini boleh diluluskan dengan hanya meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 yang hanya memerlukan majoriti mudah (112 undian), tetapi perlaksanaan yang hanya dikenakan pada orang Islam akan menjadikannya tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 8 (Kesemarataan) di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak membolehkan sebarang perbezaan dan diskriminasi kenaan undang-undang berlaku. Ini menyebabkan masyarakat non-muslim tidak menerima penyataan bahawa non-muslim tidak terlibat sama. Kerana ini, mereka turut sama menentang dan berbicara berkenaan hudud.
Hudud dianggap kejam, barbaric dan undang-undang kuno. Model yang ada dijalankan di beberapa negara luar gagal membawakan maksud sebenar perlaksanaan Hudud. Justeru itu, dikala ramai yang ingin tahu, ini adalah peluang baik untuk kita menyampaikan penerangan yang benar pada yang tersalah faham sebelum ini.
Pendokong usaha perlaksanaan hudud perlu keluar daripada kepompong selesa mereka selama ini. Timeline Facebooknya yang hanya penuh dengan rakan-rakan yang menyokong hudud tidak mencerminkan kehendak masyarakat terhadap penerangan jitu berkenaan implementasi hukuman hudud di Malaysia. Belum dilihat pada lingkungan kehidupan kita sendiri yang berkisar berkenaan rakan yang sefikrah dan sama ideologi dengan kita. Akhirnya kita rasa selesa dan beranggapan semuanya akan berjalan dengan baik tanpa perlu berbuat sesuatu.
Jika agamawan ramai menyepi dengan fakta yang mencerahkan, saya khuatir usaha media yang menyerang perlaksanaan hudud akan menang. Doktrin salah akan terus tertanam pada pemikiran masyarakat yang akan lebih menyukarkan pemahaman terhadap Islam pada aspek perundangan secara khususnya dan imej Islam itu sendiri secara amnya.
Semoga Allah redha.
Saturday, January 11, 2014
GST: Haram?
Saya mengikuti dan sentiasa cuba memahami dengan lebih baik isu berkenaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan sedia ada.
Melalui
pembacaan dan pemerhatian, saya tertarik dengan cara yang dibawa oleh Parti
Islam Se-Malaysia (PAS) di dalam isu GST. PAS membawa pendekatan yang berbeza
di dalam hal ini. Mereka menyentuh isu ini daripada perspektif agama dan
membawakan pandangan yang mengatakan perlaksanaan GST pada waktu sekarang
adalah tidak dibenarkan dan zalim perlaksanaannya berdasarkan hujah-hujah berikut;- Cukai hanya boleh dikenakan kepada golongan kaya sahaja. Tetapi GST dikenakan pada semua jenis barang kecuali yang telah dinyatakan pengecualiannya dan kesan berantainya akan tetap memberikan impak kepada golongan miskin.
- Cukai sepatutnya hanya bersifat sementara, hanya boleh dikutip apabila wujudnya keperluan (maslahat). Tidak boleh diwujudkan semata-mata untuk meningkatkan pendapatan negara.
- Cukai hanya boleh diambil sekiranya baitulmal (khazanah negara) tidak mencukupi.
Hujahan di
atas adalah yang saya simpulkan melalui penelitian saya pada pandangan-pandangan
yang dibawa oleh tokoh pimpinan PAS itu sendiri seperti Dato’ Seri Tuan Guru
Haji Abdul Hadi (Presiden), Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man (Naib Presiden)
dan Ustaz Zaharudin Muhammad pada penulisan mahupun pengucapan mereka.
Di dalam
penulisan saya kali ini, saya akan rungkaikan beberapa persoalan yang pernah
sama bermain di minda saya dan saya harap penulisan saya ini dapat membantu
meningkatkan kefahaman pembaca dalam menilai perlaksanaan GST di Malaysia menurut
pandangan syara’.
Antaranya adalah:
- Barangan asasi telah dikenakan kadar sifar (zero rated), bermakna tiada cukai dikenakan padanya. Kenapa masih dikatakan cukai ini menekan golongan bawahan?
- Cukai Jualan sedia ada sekarang 10% ditambah dengan Cukai Perkhidmatan 6% (berbeza-beza kadar mengikut jenis barangan) adalah lebih tinggi berbanding kadar GST yang akan menggantikannya. Tidakkah harga akan turun?
- Sebanyak 160 negara telah menggunakan mekanisme pencukaian GST dan tiada yang berpatah balik, bukankah ini menunjukkan bahawa sistem pencukaian ini baik?
- Pengenalan cukai GST hanyalah menggantikan cukai SST, bukan cukai tambahan. Ianya lebih sekadar untuk memperbaiki sistem pencukaian sedia ada.
- Pendapatan negara tidak mencukupi. Bukankah di dalam pandangan ulama Islam ada mengatakan bahawa cukai boleh diambil sekiranya duit yang ada pada kewangan negara tidak mencukupi?
- Kalau GST haram, kenapa kalian tak menentang perlaksanaan cukai SST yang dah sekian lama diguna pakai. Tak ke lebih kurang sama?
- Perlaksanaan GST akan diimbangi dengan pemberian BR1M, pengurangan cukai pendapatan dan berbagai lagi kemudahan, bukankah kerajaan prihatin?
- Bukankah di dalam mekanisme GST, hanya pengguna sahaja yang akan dikenakan cukai? Pengilang, pengedar, pemborong mahupun penjual akan mengutip semula cukai kenaan pada bekalan (input tax) daripada kerajaan, bukankah ini akan menjadikan harga lebih murah kerana cukai tidak lagi termasuk di dalam kos?
- Cukai ini hanya dikenakan kepada orang kaya, kerana hanya kaya sahaja banyak membeli barangan mewah.
- Bukankah cukai ini hanya dikenakan pada mana-mana perniagaan yang memiliki pulangan tahunan melebihi RM 500,000 setahun sahaja, ini bermakna hanya syarikat yang besar dan kaya dan barangan berjenama sahaja yang akan dikenakan cukai?
Banyak kan
persoalannya?
Kerana
menurut sebuah laporan kaji selidik, 60% daripada rakyat Malaysia masih tidak
memahami sistem perlaksanaan GST, samada yang menyokong mahupun yang menentang.
Kalau
dahulu, saya seakan bersetuju pada perlaksanaan GST kerana melihatkan mekanisme
GST yang lebih baik berbanding SST.
Tetapi,
setelah saya berjaya mendapatkan senarai penuh barangan yang dikenakan Cukai
Jualan dan Cukai Perkhidmatan sedia ada dan barangan yang akan dikenakan Cukai
Barangan dan Perkhidmatan (GST), maka terjawablah persoalan terakhir yang
berada di fikiran saya mengenai GST. (Rujukan pada 1. Model Cukai Barang dan
Perkhidmatan, lampiran 9, Bajet 2014. 2. Warta Kerajaan Persekutuan, Perintah
Cukai Jualan (Kadar Cukai No. 2) 2012. 3. Senarai Perkhidmatan Bercukai dan
Tidak Bercukai)
Rentetan daripada itu, saya mengambil peluang untuk menulis untuk menguatkan tiga hujahan yang saya nyatakan di atas.
Pengenalan
ringkas GST
Sebelum saya
teruskan, saya akan jelaskan secara ringkas:
- Cukai kenaan pada bekalan (Input Tax)
- Kadar Standard (Standard rated)
- Kadar Sifar (Zero-rated)
- Dikecualikan cukai (Exempted tax)
Sebagai
contoh:
Kilang kasut
memerlukan elektrik, getah, kain dan sebagainya untuk penghasilan kasut.
Kesemua barangan tersebut diperolehi oleh pengilang pada harga yang sudah
dikenakan padanya cukai GST (Input Tax).
Andai kata
kos operasinya adalah RM 100,000 dan RM 6,000 daripadanya itu adalah daripada cukai yang telah dikenakan pada bekalan, maka pengilang tersebut boleh menuntut kembali daripada Jabatan Kastam Malaysia RM 6,000 tersebut. Hasilnya, kos pembuatan akan menjadi lebih rendah.
Di bawah
sistem pencukaian GST, terdapat tiga kategori barangan dan perkhidmatan yang
boleh dikenakan cukai (taxable):
- Standard rated: Dikenakan kadar standard (6%) dan cukai yang dikenakan kepada bekalan (input tax) boleh dituntut semula kecuali pengguna.
- Zero-rated: Dikenakan kadar sifar (0%) dan cukai yang dikenakan kepada bekalan (input tax) boleh dituntut semula kecuali pengguna (pada pengguna tiada cukai, kerana 0%).
- Exempted tax: Dikecualikan daripada GST. Bermaksud, tidak dikenakan cukai. Tetapi, cukai yang dikenakan pada bekalan TIDAK boleh dituntut.
Sekiranya
penjelasan ini masih tidak jelas, boleh rujuk laman web rasmi GST (gst.customs.
gov.my).
Untuk
penulisan berkaitan latar belakang GST secara umum anda boleh membacanya di
artikel “GST vs SST” di blog saya.(Pendapat saya sewaktu penulisan artikel
tersebut dengan hari ini adalah berbeza, maka mungkin ada kelainan sedikit pada
pandangan yang dikemukakan)
Sekurang-kurangnya
anda akan lebih mudah memahami penulisan ini jika dapat memahaminya secara ringkas.
Baik. Kita teruskan.
Hujah
Pertama: GST turut sama dikenakan pada orang miskin.
Saya pasti
ada yang tidak bersetuju.
Bagi yang
mendakwa bahawa GST tidak akan dikenakan kepada golongan berpendapatan rendah
hanya kerana barangan asasi dan perkhidmatan seperti kesihatan dan pendidikan telah
dikecualikan cukai, maka anda silap.
Andaian ini
wujud kerana ramai tidak tahu bahawa di dalam Cukai Jualan (SST) juga terdapat barangan yang
dikecualikan, malah lebih banyak daripada yang telah disenaraikan untuk GST. Manakala, Cukai Perkhidmatan (SST) pula hanyalah melibatkan beberapa jenis pekhidmatan
sahaja tidak seperti GST yang meliputi semua jenis perkhidmatan KECUALI yang telah disenaraikan sebagai terkecuali daripada kenaan cukai.
Justeru itu, bagaimana mungkin hujah seperti “ 10% + 6% (SST) lebih tinggi daripada 6% (GST)” boleh digunakan untuk menunjukkan kadar GST lebih ringan berbanding daripada SST? Sedangkan senarai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai itu sendiri terdapat perbezaan.
Justeru itu, bagaimana mungkin hujah seperti “ 10% + 6% (SST) lebih tinggi daripada 6% (GST)” boleh digunakan untuk menunjukkan kadar GST lebih ringan berbanding daripada SST? Sedangkan senarai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai itu sendiri terdapat perbezaan.
Saya bersetuju bahawa penurunan harga barangan asasi boleh berlaku kerana kos pembuatan akan berkurangan melalui tuntutan semula Cukai kenaan (Input Tax). Tetapi, adakah semudah itu?
Kerana barangan
yang telah diletakkan di bawah kategori kadar-sifar (zero-rated) hanyalah
barangan berupa makanan asasi dan beberapa item lain seperti elektrik di bawah
penggunaan 200 unit pertama, pembekalan air dan beberapa perkhidmatan lain.
Bagaimana
pula dengan pengangkutan awam, perumahan dan barangan keperluan harian yang lain?
Pengangkutan
awam dan perumahan adalah termasuk di dalam kategori “Dikecualikan Cukai" (Exempted Tax).
Bermakna, ianya tidak akan mengenakan cukai kepada pengguna. Tetapi, segala
cukai yang dikenakan pada bekalan tidak boleh dituntut semula. Ini bermakna, kos akan meningkat untuk menyerap cukai yang telah dikenakan ke atas bekalan. Kesannya, ia akan mempengaruhi harga barangan yang lain termasuk barangan keperluan asasi.
Pengenalan GST juga akan melibatkan penambahan kos operasi sesebuah perniagaan. Untuk memastikan pematuhan perlaksanaan
GST itu berjalan dengan baik memerlukan penyediaan komputer, buku resit khas,
perlantikan dan latihan akauntan dan sebagainya akan meningkatkan kos
perniagaan. Kenaikan harga akan berlaku bagi menampung kos penyediaan dan penyelenggaran tersebut.
Selain daripada itu, tahap
kecekapan dan keberkesanan pihak berkuasa di dalam mengawal harga juga masih diragui walaupun
mempunyai Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan 2011. Sebagaimana yang berlaku
pada siri-siri kenaikan harga barangan sebelum ini yang tidak pernah diikuti semula dengan
penurunan harga, meskipun faktor kenaikan harga itu telah berjaya diatasi.
Justeru, tiada
jaminan yang boleh diberikan bahawa tiada peniaga akan mengambil kesempatan
untuk menaikkan harga walaupun mereka tiada kaitan dengan GST.
Tambahan pula, GST dikenakan pada pelbagai barangan dan perkhidmatan, ianya pasti akan mempengaruhi gaya hidup setiap
orang. Maka tidak mustahil akan ada peniaga atau pemberi khidmat mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan atau
perkhidmatannya supaya dapat memastikan kehidupannya dapat berjalan dengan baik seperti sediakala. Kesan rantaian yang dibawa oleh GST adalah
sangat besar.
Sekiranya kalian masih ragu-ragu, izinkan saya bertanya. Apakah rasionalnya bagi
kerajaan untuk mengumumkan pemberian BR1M dan penurunan kadar cukai pendapatan yang akan
berkuatkuasa setelah perlaksanaan GST?
Bukankah di
sini menunjukkan bahawa kerajaan mengakui bahawa GST akan menyebabkan kenaikan
harga dan memberikan kesan kepada rakyat? Saya tinggalkan anda dengan
persoalan ini.
Tindakan menurunkan kadar cukai pendapatan hanya memberikan
manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi. Sedangkan mereka hanya berjumlah 15% daripada keseluruhan golongan pekerja yang ada di Malaysia pada hari ini. Kelihatan seperti kerajaan sedang mengalihkan beban cukai tersebut kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah dengan menggunakan alasan samarata dan keadilan.
Singapura sebagai comtoh, mengambil pendekatan mengurangkan cukai
pendapatan individu selepas perlaksanaan GST adalah kerana 70% daripada
pekerjanya adalah pembayar cukai pendapatan. Bermakna; majoriti rakyatnya
berpendapatan tinggi. Tindakan pengurangan cukai pendapatan tersebut di Singapura adalah wajar kerana dapat
mengimbangi semula kesan cukai kepada kuasa membeli.
Tetapi apa
yang dilakukan oleh Malaysia adalah aneh, kerajaan melaksanakan pengurangan cukai
pendapatan dengan beralasan supaya kenaan cukai lebih saksama. Menurut mereka, sistem pencukaian pada hari ini tidak adil kerana hanya
dikenakan pada sebahagian kecil golongan pekerja sahaja di Malaysia.
Perkara ini
adalah bertentangan dengan konsep adil di dalam Islam. Adil bermaksud meletakkan
sesuatu pada tempatnya. Bukan bermaksud setiap manusia perlu menerima dengan kadar yang
sama.
Saya bawakan kepada pembaca, persoalan yang kedua. Di
dalam ucapan Bajet 2014, Perdana Menteri kita ada menyebut bahawa waktu sekarang
adalah masa yang terbaik untuk menjalankan sistem pencukaian GST kerana kadar inflasi negara sedang berada
pada kadar yang rendah (2%). Tidakkah kata-kata ini mencerminkan bahawa perlaksanaan GST akan memberikan kesan kepada kadar inflasi negara?
Selain itu, saya juga musykil mengapakah kerajaan tidak menggunakan unjuran inflasi pada 2015 sebagai hujah? Memandangkan GST akan dilaksanakan pada April 2015 kelak dan saya berpandangan bahawa kadar inflasi kita pasti sangat berbeza pada tahun 2015 berikutan beberapa siri kenaikan harga barang dan perkhidmatan selepas daripada rasionalisasi subsidi dibuat.
Ada yang turut berpendapat bahawa rakyat berpendapatan rendah dan sederhana tidak perlu bimbang kerana tidak semua perniagaan akan berdaftar dengan GST. Maka, kata mereka industri kecil dan desa yang sinonim dengan rakyat kebanyakan tidak akan terjejas.
Realitinya, walaupun perniagaan yang mendapat perolehan tahunan kurang daripada RM 500,000 ke bawah tidak perlu mendaftar GST. Ini tidak bermakna industri kecil tidak menerima kesan daripada implementasi GST kelak.
Disebabkan mereka tidak berdaftar di bawah GST, pemilik kedai-kedai runcit, gerai kecil di kampung tidak boleh menuntut kembali kredit cukai kenaan pada bekalan (kredit tax input). Mereka akan terpaksa meningkatkan harga barangannya untuk mengimbangi kos barangan yang telah dikenakan cukai GST padanya. Rakyat berpendapatan rendah yang bergantung pada industri kecil ini dalam memperolehi barangan asasi dan sebagainya akan menerima kesannya.
Kesan yang diterima oleh golongan berpendapatan rendah bukan sahaja dilihat pada harga barangan asasi, tetapi seluruh aspek kehidupan yang lain seperti pendidikan, penempatan, pengangkutan dan kesihatan. Cukai yang menekan golongan miskin adalah tidak dibenarkan dalam Islam.
Konklusinya, berdasarkan apa yang telah saya nyatakan di atas, maka jelas menunjukkan bahawa GST tidak wajar dilaksanakan kerana turut sama dikenakan pada golongan berpendapatan rendah.
Hujah
Kedua: Cukai perlu bersifat sementara. Diwujudkan berdasarkan keperluan sahaja.
Di sini ada
dua pandangan. Ada yang mengatakan GST hanyalah bertujuan untuk memperbaiki
sistem pencukaian sahaja. Pandangan yang
kedua pula, cukai GST diperkenalkan untuk mengurangkan defisit negara dan akan menjadi
salah satu sumber pendapatan negara yang lebih stabil.
Meskipun
pandangan pertama itu benar. Saya lebih cenderung untuk memilih pandangan kedua berdasarkan kepada beberapa
jawapan yang telah diberikan oleh wakil kerajaan apabila ditanya berhubung isu GST.
Adakah salah untuk kerajaan memperkenalkan GST supaya dapat menampung kos operasi pentadbiran kerajaan?
Tidak salah sekiranya telah memenuhi syarat-syaratnya. Ustaz Zaharudin Muhammad melalui
penulisannya di dalam artikel “GST menurut perspektif Islam” ada menyimpulkan
syarat-syarat pencukaian menurut pandangan daripada Imam Juwaini, Imam Ghazali dan lain-lain;
- Negara mestilah berpegang teguh dengan ajaran Islam. Dalam erti kata lain, negara mestilah menjalankan sistem ekonomi Islam termasuk sistem percukaian Islam sepenuhnya seperti zakat sebagai sistem cukai utama Negara.
- Hajat kepada percukaian hendaklah benar-benar berlaku.
- Baitul Mal benar-benar telah kekeringan sehingga tidak dapat memenuhi hajat dan keperluan rakyat.
- Meminimakan seboleh mungkin tekanan terhadap individu rakyat dengan cara-cara yang selain cukai. Oleh itu, sebelum mengutip cukai daripada rakyat, kerajaan disarankan supaya mengutip sumbangan ikhlas serta menggalakkan rakyat memberikan derma dalam menyelesaikan sesuatu keperluan sebelum cukai dikenakan.
- Kutipan cukai hendaklah diputuskan hasil perbincangan golongan fuqaha dan profesional berkait dengan isu tertentu.
- Cukai hendaklah dikenakan ke atas orang-orang yang kaya sahaja dan ia langsung tidak harus dikenakan ke atas orang-orang miskin.
- Cukai hendaklah dalam bentuk sementara. Ia akan terhapus dengan hilangnya hajat dan keperluan. Cukai tidak boleh dikenakan secara berterusan dan dijadikan pendapatan utama berbanding zakat.
- Wajib meraikan keadilan di dalam perwartaannya dan pemungutannya. Maka kadarnya hendaklah sekadar keperluan. Keperluan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengutip cukai lebih daripada rakyat.
Bagi item
nombor 2 dan 3, saya berpandangan bahawa keperluan kepada pencukaian itu ada kerana:
- Kos bagi pembangunan negara dan pembayaran tetap telah dikira dan dianggarkan perbelanjaan setiap tahun melalui perangkaan bajet tahunan. Ini membuktikan wujudnya keperluan (maslahat) pencukaian tersebut.
- Pendapatan negara yang diperolehi daripada Petronas melalui pembayaran dividen tetap dan cukai adalah sekitar RM 70 billion. Hanya membentuk 1/4 daripada dana yang diperlukan untuk menggerakkan bajet tahun 2014. Walaupun dicampur hasil bumi dan perlaburan lain seperti pinjaman dan penggunaan aset kerajaan. Kita hanya akan memperolehi separuh sahaja jumlah dana yang diperlukan.
- Kutipan zakat hanya berjumlah sekitar RM 1.5-2 billion sahaja seluruh Malaysia dan zakat hanya boleh digunakan kepada asnaf-asnaf yang telah ditentukan.
Tetapi, Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun telah menunjukkan bahawa seringkali pengiraan anggaran belanjawan tidak tepat dan boros. Maka, adakah melalui bajet yang telah dirangka itu telah mencerminkan keperluan dana yang sebenar Negara?
Kerana itu, pelbagai pihak menuntut kerajaan agar lebih telus dan berhemah dalam perbelanjaan sebelum tergesa-gesa menambah sumber pendapatan negara. Saban tahun pendapatan negara sentiasa tidak mencukupi jika dibandingkan dengan perbelanjaan. Maka dimanakah silapnya?
Persoalan saya pada pembaca, benarkah pencukaian di Malaysia hari ini berdasarkan keperluan (maslahat) sebenar atau semata-mata menampung ketirisan yang wujud?
Kerana itu, pelbagai pihak menuntut kerajaan agar lebih telus dan berhemah dalam perbelanjaan sebelum tergesa-gesa menambah sumber pendapatan negara. Saban tahun pendapatan negara sentiasa tidak mencukupi jika dibandingkan dengan perbelanjaan. Maka dimanakah silapnya?
Persoalan saya pada pembaca, benarkah pencukaian di Malaysia hari ini berdasarkan keperluan (maslahat) sebenar atau semata-mata menampung ketirisan yang wujud?
Hujah
Ketiga: Cukai tidak boleh diambil sekiranya baitulmal masih mencukupi.
Penasihat Kastam Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Zaleha Hamzah, pernah berkata bahawa sistem pencukaian GST akan dapat memperbaiki kelemahan yang ada pada sistem pencukaian sedia. Menurut beliau, cukai jualan sedia ada hanya berjaya mengutip 70% daripada nilai sebenar yang seharusnya dapat dikutip. Tetapi melalui sistem GST, kerajaan akan dapat mengutip sehingga 90% daripada jumlah sebenar kerana sistemnya yang lebih efisien.
Menurut
Senator Datuk Chin Su Phin pula, kerajaan akan dapat meningkatkan pendapatan negara
sehingga 20 ke 30 billion negara. Kenyataan ini dikukuhkan lagi dengan
kenyataan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr
Mohd Irwan Serigar. Beliau menyatakan bahawa, GST dijangka membolehkan kerajaan
memperoleh pendapatan bersih RM3.87 bilion untuk 2015 dan RM9 bilion pada 2016
selepas ditolak semua inisiatif yang diberikan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M) serta potongan cukai individu dan korporat.
Melalui
kenyataan ini jelas menunjukkan GST adalah untuk meningkatkan pendapatan negara,
bukan sekadar pembaikian sistem. Lebih malang apabila ada yang mengatakan dengan
perlaksanaan GST akan berjaya mengurangkan kadar hutang isi rumah kerana akan
menjadikan rakyat lebih berhemat dalam berbelanja. Apakah ini?
Melalui pengiraan
kasar pada Laporan Audit dan jenis projek yang tidak memulangkan faedah kepada
rakyat adalah berjumlah sekitar RM 20 – 28 billion wang
tiris setiap tahun. Belum dikira perbelanjaan tidak munasabah melalui
perlantikan duta khas bertaraf menteri dan penasihat khas.
Ini
bermakna, melalui penstrukturan semula perbelanjaan negara kepada yang lebih
berhemah, ianya dilihat dapat memberikan pulangan yang sama banyak seperti mana
melalui perlaksanaan GST. Maka mengapa kerajaan tidak terlebih dahulu
menunjukkan usaha yang lebih serius di dalam menangani ketirisan 'pembelajaan tidak perlu' berbanding terus meletakkan bebannya pada rakyat?
Saya pulangkan soalan ini kepada anda. Adakah benar Baitul Mal (Perbendaharaan) Negara tidak mencukupi?
Penutup
Penulisan
ini hanyalah bertujuan untuk menyediakan maklumat untuk dijadikan sandaran
kepada hujah yang berpandangan bahawa perlaksanaan GST di Malaysia pada konteks hari ini
adalah tidak wajar.
Jika pembaca
ingin membaca pandangan yang dibawa oleh PAS, anda boleh membacanya pada laman
web PAS itu sendiri.
Saya menulis
maklumat sokongan ini adalah kerana saya percaya bahawa kita selaku orang Islam
tidak seharusnya memisahkan antara urusan dunia dan akhirat. Maka sewajarnya apabila
sesuatu isu timbul, kita perlu melihatnya melalui persepektif agama terlebih
dahulu. Kerana itu dalam penulisan kali ini saya memetik pandangan daripada
PAS, bukanlah kerana ingin mewujudkan sentimen kepartian. Tidak sama sekali. Tetapi kerana PAS itu sendiri adalah gerakan Islam yang terlibat secara aktif di dalam politik (siyasah) dan tidak salah untuk merujuk mereka di dalam perkara berkaitan kenegaraan.
1. Diakui bahawa sistem
pencukaian GST adalah lebih baik daripada sistem pencukaian sedia ada. GST berupaya mengatasi masalah pertindihan cukai, pengelakan cukai
dan sebagainya. GST lebih cekap jika dibandingkan dengan model
pencukaian yang lain. Tetapi ianya hanya bermaksud lebih cekap melakukan
kutipan wang. Tidak membawa maksud ianya memberikan manfaat lebih banyak
kepada rakyat. Sekiranya kerajaan hari ini berterusan dengan sikap boros sedia
ada, seakan tiada erti pendapatan baru yang diperolehi kerana akan lenyap dek keborosan
dan akhirnya dana baru perlu dicari bagi menampung sikap buruk pemimpin.
Kerana itu
Islam telah menggariskan beberapa panduan di dalam perihal pengutipan cukai.
Tidak boleh sewenang-wenangnya diguna pakai tanpa punyai asbab yang perlu.
Saya teringin
sangat untuk mengikuti perbincangan atau menemui penulisan yang membawa perbincangan topik berikut:
- Cadangan penstrukturan semula GST menurut perspektif Islam.
- Struktur cukai alternatif yang patuh syariah dan cekap.
- Mekanisme untuk mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah terhadap pencukaian.
Pandangan saya,
sistem GST adalah sistem yang baik dari sudut perlaksanaannya. Mungkinkah terdapat ruang penambahbaikan pada sistem tersebut untuk menjadikannya patuh syariah?
Mungkin boleh diusahakan melalui perluasan skop barangan kadar-sifar, pengurangan kadar cukai dan diwujudkan mekanisme pengecualian cukai bagi asnaf miskin dan fakir.
Mungkin boleh diusahakan melalui perluasan skop barangan kadar-sifar, pengurangan kadar cukai dan diwujudkan mekanisme pengecualian cukai bagi asnaf miskin dan fakir.
Atau, jika
SST ini terlalu banyak kelemahan, mengapa tidak diteruskan usaha pembaikian?
Saturday, December 28, 2013
Ilmu Asas Pertolongan Cemas (First Aid)
Ilmu Asas Pertolongan Cemas (First
Aid)
Pertolongan cemas atau lebih
dikenali sebagai first aid sangat membantu di dalam situasi genting.
Walaupun pengamalannya biasanya berdasarkan logik dan common sense,
tetapi seringkali ianya sangat membantu di dalam pelbagai situasi kecemasan.
Menggunakan rawatan asas berdasarkan ilmu pertolongan cemas barangkali sudah
mencukupi bagi sebahagian kes kecederaan, manakala pada sebahagian situasi yang
lain ianya menjadi asbab nyawa mangsa berjaya diselamatkan.
Cuaca politik Mesir semakin mendung
dan masih tidak kembali cerah. Demonstrasi terus dijalankan dengan giat
daripada kalangan mahasiswa Mesir. Ana berpandangan, seharusnya mahasiswa
Malaysia didedahkan dengan ilmu dan kemahiran pertolongan cemas supaya dapat digunakan
andai diperlukan suatu masa nanti (na’udzubillah min dzalik).
Ana tidak bercadang untuk menulis
semua yang berkaitan dengan pertolongan cemas, ana hanya akan memilih beberapa
sahaja berdasarkan keperluan situasi dan ana akan menggunakan bahasa yang mudah
difahami kerana artikel ini adalah untuk rujukan pembaca yang tidak mempunyai
asas ilmu perubatan.
In sha Allah ana akan sentuh
berkenaan:
1) Cardiopulmonary
resuscitation (CPR)
2) Recovery Position
3) Patah tulang (Fracture)
4) Pendarahan (Bleeding)
-Minor
-Major (Tikaman dan tembakan)
5) Pengsan
6) Melecur (Burn)
Langkah Pertama
Apabila berhadapan dengan situasi yang
terdapat mangsa mengalami kecederaan. Perlu dipastikan dahulu kawasan di sekeliling
anda dan mangsa tersebut selamat dan tiada ancaman lain sebelum anda mendekati
mangsa tersebut.
Kenal pasti permasalahan yang
dihadapi oleh mangsa, jika kecederaan yang dialami oleh mangsa adalah berat dan
serius, sila hubungi dengan segera nombor kecemasan (123: Ambulan Mesir, 122:
Polis Mesir, 180: Bomba Mesir dan nombor pihak berkaitan (Kedutaan/ pegawai negeri/
Lajnah Kebajikan PMRAM atau PERUBATAN/ YDP BKAN/ Ketua Hisbah atau JAKSI) bagi
memohon bantuan rawatan lanjut. Sekiranya mangsa dilihat tidak bermaya atau
tidak sedarkan diri, periksa pernafasan mangsa.
Anda boleh memeriksa pernafasan mangsa
melalui cara:
1) Mengesan hembusan angin daripada
saluran penafasan dengan mendekatkan pipi anda.
2) Melihat pergerakan dada.
Sekiranya pesakit itu tidak sedarkan
diri dan tidak bernafas, lakukan CPR kepadanya.
Cara-cara melakukan CPR
1) Mulakan dengan Bismillah
2) Pastikan tiada sebarang perkara
yang menghalang saluran pernafasan mangsa (longgarkan butang baju, buang benda
yang terdapat di dalam mulut *sekiranya ada)
3) Letakkan kedua-dua tapak tangan
anda di bahagian tengah dada mangsa (antara dua dada). Tekan dada mangsa
sedalam 5 cm dengan kadar tetap (dua tekanan dada pada satu saat). Prinsip asas
bagi tekanan dada adalah “Push Hard, Push Fast”.
4) Selepas mengenakan 30 kali
tekanan pada dada (chest compressions), lakukan bantuan pernafasan mulut
ke mulut sebanyak dua kali. (sekiranya anda tidak selesa untuk melakukannya,
anda boleh memilih untuk tidak melakukannya dan terus dengan melakukan chest
compressions)
- Dongakkan kepala mangsa dengan menggunakan dua jari anda pada dagu mangsa
(elakkan menekan pada leher mangsa)
- Picit hidung mangsa dan pastikan saluran pernafasannya melalui hidung
telah ditutup rapi.
- Letakkan mulut anda pada mulut mangsa dan lakukan hembusan. Pastikan
dada mangsa bergerak naik apabila hembusan dilakukan.
-Lakukan sebanyak dua kali hembusan.
5) Sekiranya mangsa masih tidak
bernafas, teruskan dengan 30 chest compressions dan 2 rescue breaths
sehingga mereka sudah boleh bernafas atau bantuan tiba.
6) Jika mangsa sudah boleh bernafas,
posisikan mangsa di dalam keadaan recovery position supaya mangsa dapat
bernafas dengan mudah dan baik.
Recovery Position?
Sekiranya mangsa yang anda temui
sedang menghadapi permasalahan di dalam pernafasan, badannya lemah akibat sukar
bernafas atau mampu bernafas tetapi tidak sedarkan diri, maka sila posisikan
tubuh badan mangsa ke Recovery Position.
Ana tak pasti apakah istilahnya di
dalam Bahasa Malaysia.
Recovery Position penting bagi memastikan saluran
pernafasan mangsa sentiasa terbuka dan mangsa dapat melakukan pernafasan dengan
lebih mudah.
Terdapat pelbagai bentuk dan kaedah Recovery
Position yang digunakan di seluruh dunia, tetapi semua kaedah tersebut
menepati dan memenuhi 6 asas penting ini:
1) Mangsa perlulah
berada dalam keadaan mengiring.
2) Posisi mangsa
perlulah stabil.
3) Perlu hilangkan
sebarang gangguan atau tekanan kepada dada.
4) Kaedah tersebut
perlulah mudah untuk memusingkan badan mangsa daripada posisi terlentang kepada
posisi mengiring mahupun sebaliknya.
5) Mudah untuk
melakukan pemerhatian pada saluran penafasan mangsa.
6) Posisi itu
sendiri tidak membawa kepada kecederaan tambahan mangsa.
Cara-cara Meletakkan Mangsa Pada Recovery
Position:
1) Mulakan dengan Bismillah.
2) Pastikan anda berada di sebelah
kiri mangsa yang sedang terlentang.
3) Posisikan tangan kiri mangsa pada
lantai di sisi kepala mangsa dalam keadaan dilipat sikunya pada 90 darjah.
4)
Ambil tangan kanan mangsa dan silangkan tangan kanannya di hadapan wajah
mangsa. Temukan belakang telapak tangan kanan mangsa dengan
pipi kirinya.
5) Lipat kaki kanan mangsa dan mengiringkan
tubuh mangsa ke arah anda dengan menarik pada kaki mangsa. (mangsa sepatutnya
lebih mudah digerakkan dengan cara ini)
6) Stabilkan posisi mangsa yang
sudah kini dalam posisi mengiring.
7) Dongakkan kepalanya dan pastikan
mangsa dapat bernafas dengan selesa.
Patah Tulang (Bone Fracture).
Sekiranya mangsa yang anda temui mengalami
kepatahan tulang, sila hubungi nombor kecemasan dengan segera sekiranya:
1) Pendarahan serius.
2) Kesakitan dirasai walaupun dengan
sentuhan yang lembut.
3) Sendi kelihatan tidak normal.
4) Tulang tertusuk keluar.
5) Tulang yang disyaki patah adalah
di leher, kepala atau tulang belakang.
6) Tulang yang disyaki patah adalah
di pinggang.
Sila pastikan anda tidak menggerakkan
tubuh badan mangsa kecuali sekiranya perlu. Ini adalah untuk mengelakkan
sebarang kecederan tambahan.
Apa yang anda boleh lakukan:
1) Hentikan pendarahan (sekiranya
ada), tekan luka mangsa dengan kain yang bersih sekadar untuk hentikan
pendarahan. Jangan terlalu kuat.
2) Tidak menggerakkan kawasan
yang cedera. Pastikan kawasan cedera tersebut dalam keadaan yang stabil dan
tidak terlalu banyak pergerakan berlaku. Sekiranya anda terlatih atau mengetahui
cara-cara untuk membuat dan memakaikan anduh, maka pakaikan kepada mangsa.
3) Gunakan pek ais. Jangan gunakan
ais secara langsung pada kulit mangsa. Balutkan dengan kain. Tekap pada kawasan
cedera untuk kurangkan bengkak dan kesakitan.
4) Sekiranya mangsa seakan lemah
semangat, bernafas pendek dan cepat. Sila baringkan mangsa dan tinggikan
sedikit kaki mangsa (sekiranya boleh).
Pendarahan (Bleeding)
Seringkali semasa pertembungan
antara pihak keselamatan dan demonstran akan berlaku kecederan berdarah. Samada
pendarahan yang minor seperti luka kecil dan calar mahupun pendarahan yang
major atau serius seperti luka tikaman dan tembakan.
Sekiranya luka yang dihadapi oleh
mangsa adalah kecil dan tidak serius, anda boleh ikuti langkah-langkah ini:
1) Mulakan dengan Bismillah.
2) Basuh dan bersihkan tangan anda
terlebih dahulu.
3) Gunakan sarung tangan atau lapik
tangan anda dengan sebarang plastik atau kain.
4) Bersihkan luka mangsa, sekiranya
terdapat kekotoran, dengan air mengalir. Keringkan luka mangsa dengan kain yang
bersih. Letakkan anggota badan yang luka tersebut lebih tinggi daripada paras
jantung (Heart Level) *Sekiranya boleh.
5) Sapukan iodine.
6) Tutup luka mangsa dengan dressing
atau plaster. (ikut kesesuaian)
Jika mangsa menghadapi masalah
pendarahan yang serius dan kritikal, anda hendaklah hubungi nombor kecemasan
dengan segera dan ikuti langkah-langkah ini:
1) Mulakan dengan Bismillah.
2) Gunakan sarung tangan atau lapik
tangan anda dengan sebarang plastik atau kain.
3) Tekan kawasan luka dengan kain
untuk hentikan pendarahan berterusan.
4) Baringkan mangsa.
5) Sekiranya pendarahan berlaku pada
anggota badan seperti tangan dan kaki, anda boleh tinggikan anggota badan yang
berkenaan lebih tinggi daripada paras jantung. Sila pastikan mangsa terlebih
dahulu tidak disyaki menghadapi kepatahan tulang.
6) Balut luka mangsa, tetapi jangan
terlalu ketat. Sekiranya darah menembusi balutan ini, tambah balutan baru di
atas balutan yang pertama. Tetapi jika darah tetap menembusi, buka semula
ikatan dan ulang semula proses balutan menggunakan kain baru.
Terdapat situasi di mana mangsa
ditikam atau badannya tertusuk dahan pokok atau sebagainya yang mengakibatkan
objek tersebut melekat pada tubuh mereka dan pendarahan pada masa yang sama.
Sekiranya mangsa yang anda temui menghadapi
kecederaan seperti ini, Sila pastikan anda:
1) Mulakan dengan Bismillah.
2) Hubungi nombor kecemasan.
3) Biarkan objek yang tertusuk
tersebut. Jangan cuba cabut atau menggerakkannya. Stabilkan kedudukan objek itu
dan pastikan objek tersebut tidak terdedah pada sebarang pergerakan.
4) Tekan dengan sederhana sekitar
kawasan tusukan untuk menghentikan pendarahan.
5) Balut kawasan luka tanpa mengeluarkan
objek tersebut.
Di dalam kes kecederaan yang serius
disebabkan oleh tembakan, maka anda perlu seharusnya membawa mangsa dengan
pantas ke pusat rawatan yang paling hampir.
Kebiasaannya tembakan yang mengenai
kepala membawa kepada maut serta merta. Tetapi sekiranya masih mempunyai
harapan, pastikan kepala mangsa dalam keadaan tegak dan lebih tinggi daripada
paras dada dan segera ke hospital.
Sekiranya tembakan tersebut mengenai
muka ataupun leher. Tekan kawasan luka untuk menghentikan pendarahan, tetapi
sila pastikan anda tidak menyebabkan mangsa sukar untuk bernafas. Bagi luka yang
berada di leher, elakkan daripada tertekan pada carotid artery sehingga
menyebabkan darah tidak sampai ke kepala.
Bagi luka tembakan di tangan dan
kaki, sekiranya darah tidak berhenti mengalir setelah anda menekannya, anda
boleh hentikan pendarahan tersebut dengan mengenakan tekanan di pangkal lengan
atau kaki melalui ikatan.
Ana tidak akan menerangkan cara
pertolongan cemas untuk mereka yang ditembak di dada mahupun badan, kerana
ianya agak rumit untuk dijelaskan melalui penulisan. Disini ana sertakan pautan
video untuk rujukan.
Pertolongan cemas hanya untuk tempoh
yang sementara sahaja. Mangsa hendaklah dibawa ke hospital dengan segera.
Sebarang kelewatan hanya akan menyebabkan mangsa semakin kehilangan darah dan
boleh membawa kepada maut.
Pengsan (faint)
Suasana yang cemas dan merimaskan
kadangkala menyebabkan sebahagian mangsa pengsan. Sekiranya anda berhadapan dengan
situasi ini, anda perlu baringkan mangsa pada lantai dan tinggikan kaki mangsa
menggunakan kerusi atau apa-apa sahaja objek yang bersesuaian.
Biarkan mangsa berada di dalam
posisi tersebut sehingga 10-15 minit.
Berikan jus buah atau manisan pada
mangsa sejurus sahaja mangsa kembali sedar.
Sekiranya muka dan bibir mangsa
kebiruan, mempunyai degupan jantung yang sangat perlahan dan mempunyai masalah
dalam pernafasan, sila bawa mangsa dengan segera ke hospital yang berdekatan.
Luka Melecur (Burns)
Sebelum kita mengetahui jenis
rawatan asas bagi luka melecur, kita perlu mengenali jenis-jenis luka melecur
terlebih dahulu.
Luka melecur kebiasaannya akan terbahagi
kepada dua:
1) Kecederaan Minor (Luka melecur
tahap pertama dan kedua)
2) Kecederaan Major (Sebahagian luka
melecur tahap kedua dan luka melecur tahap ketiga)
Kecederaan minor biasanya adalah
luka yang kecil saiznya dan hanya melibatkan lapisan kulit pertama dan yang
kedua sahaja.
Langkah-langkah yang perlu diambil:
1) Letakkan kawasan melecur di bawah
aliran air bersuhu sederhana. Sekiranya tiada air yang mengalir (paip dan sebagainya),
rendamkan kawasan kulit yang melecur itu atau memadai menekap kulit yang
melecur tersebut dengan kain yang telah dibasahkan dengan air sejuk. Lakukannya
di dalam tempoh 10-15 minit atau sehingga kesakitan beransur hilang.
2) Tutup atau balut kawasan kulit
yang melecur dengan kain yang bersih. Jangan guna kain yang boleh melekat dengan
luka mangsa.
Kecederaan minor atau ringan ini
biasanya akan pulih dengan sendirinya tanpa perlu melalui rawatan lanjut.
Tetapi, sekiranya terjadi jangkitan kuman pada bahagian yang luka, sila bawa
mangsa ke hospital.
![]() |
| blister |
Sekiranya anda berhadapan dengan mangsa
yang mempunyai kecederaan melecur major atau serius, sila hubungi nombor
kecemasan dengan segera atau membawa mangsa tersebut ke hospital untuk mendapat
rawatan segera.
Anda dinasihatkan agar tidak menanggalkan
pakaian mangsa dan jangan merendamkan kawasan kulit yang melecur ke dalam air.
Tingkatkan Tawakal dan Usaha
Perkongsian daripada ana ini
tidaklah bertujuan untuk meningkatkan rasa cemas atau sengaja menyatakan bahawa
kita sedang berada di dalam bahaya. Tetapi ana menulis supaya boleh dijadikan
rujukan andai kata sesuatu yang tidak baik berlaku pada rakan kita.
Setidak-tidaknya, ilmu ini akan
menjadi tambah nilai yang berguna buat diri kita.
Marilah kita perbanyakkan doa dan
perbaiki diri kita.
Tahun ini merupakan tahun yang sangat
unik, di mana kita sedang membulatkan tawakal kita pada Allah swt bukan hanya
terhadap keputusan peperiksaan kita setelah kita menaruhkan segala usaha yang
ada. Tetapi kita turut sama meletakkan tawakal kita terhadap jiwa dan nyawa
kita setiap kali kaki kita melangkah keluar daripada rumah.
Teruskan usaha kita mengejar
kejayaan.
Inilah kelebihan kita, mahasiswa
Malaysia di Mesir. Kita cekal walaupun berhadapan pelbagai cabaran.
Moga Allah terima segala usaha kita.
Subscribe to:
Posts (Atom)

