Thursday, July 13, 2017

The Key to Medicine and a Guide for Students (Miftāh al-tibb wa minhāj al tullāb)




Kelmarin baru sahaja menerima buku karangan Ibn Hindu yang ditempah. Pada awalnya sengaja mahu membelek isi kandungannya, tidak lagi berhasrat untuk mula membacanya kerana sedang dalam pembacaan buku Avicenna's Medicine. Tetapi, oleh kerana penyusunan isi dan cara penerangan oleh pengarang dan penterjemah yang amat menarik dan mudah, membuatkan saya tidak boleh berhenti untuk terus membaca. Sedari semalam, telah selesai bacaan keatasnya.

Buku & Pengarang

The Key to Medicine and a Guide for Students (Nama asal; Miftāh al-tibb wa minhāj al tullāb) dikarang oleh Abū al-Faraj Álī ibn al-Husayn ibn Hindū (w. 1036/423H) dan diterjemahkan oleh Dr. Aida Tibi. Buku ini telah dipilih oleh The Center for Muslim Contribution to Civilisation untuk dimasukkan ke dalam koleksi projek penterjemahan Karya Agung dari Peradaban Islam (Great Books of Islamic Civilisation) yang turut sama menterjemahkan kitab klasik seperti The Ordinance of Government karangan Imam Mawardi.

Buku setebal 139 mukasurat ini membahagikan isi kandungannya kepada 10 bab:

Bab 1, Dalam menggalakkan penglibatan dalam pekerjaan secara umumnya dan dalam bidang perubatan secara khususnya.

Bab 2, Mengenai kepentingan pekerjaan dalam bidang perubatan.

Bab 3, Definisi perubatan

Bab 4, Mengenai kemuliaan ilmu perubatan

Bab 5, Mengenai cabang-cabang ilmu perubatan

Bab 6, Mengenai perbezaan mazhab-mazhab cara fikir dalam dunia perubatan.

Bab 7, Bagaimana ilmu perubatan berkembang.

Bab 8, Mengenai lapangan ilmu yang dikehendaki untuk dikuasai bagi menyempurnakan kemahiran merawat.

Bab 9, Mengenai kaedah untuk mendidik pelajar perubatan dan senarai buku dalam bidang ini.

Bab 10, Terma dan definisinya dalam perubatan.

Bab 1 - 3

Pada permulaan bab, pengarang menekankan kepentingan untuk seseorang manusia itu melengkapkan diri dengan kemahiran yang membolehkannya bekerja. Supaya sebuah masyarakat itu dapat berfungsi dengan baik. Beliau juga menjelaskan bahawa setiap pekerjaan adalah sama penting, diumpamakan bandar sebagai satu tubuh badan, yang ada padanya jantung dan kuku. Keduanya diperlukan tubuh, jadi jangan mengeluh sekiranya tidak dapat bekerja di posisi-posisi yang tinggi.

Selepas itu, beliau menegakkan hujah bagi menolak dakwaan golongan yang mengecilkan peranan ilmu perubatan dan pekerjaan sebagai perawat. Disebutkan sebab-sebab kepada kemunculan golongan ini seperti berikut:

1. Kecenderungan seseorang itu untuk bermalasan dan tidak bekerja.

2. Kecemburuan seseorang terhadap orang yang bekerja.

3. Berpandangan tubuh badan mampu merawati dirinya sendiri, dan tindakan berubat melalui doktor adalah menyalahi kehendak Tuhan.

4. Beranggapan ilmu perubatan adalah terlalu kompleks untuk difahami oleh manusia.

5. Berandaian bahawa jika benar ilmu perubatan itu wujud, nescaya semua pesakit yg dirawat oleh para doktor itu sembuh.

Bagi menjawab golongan sebegini, Ibn Hindu memulakan dengan penerangan mengenai aturan Alam yang telah ditetapkan oleh Allah, dan ilmu perubatan itu terhasil daripada memerhati kesan terhasil antara isi Alam dengan tubuh badan. Seperti meminum air barli mampu menyejukkan badan yang panas.

Mereka yang mengatakan berubat itu menyalahi kehendak Tuhan, nescaya makan dan minum itu seharusnya terlarang juga untuk menghilangkan lapar dan dahaga.

Ibn Hindu turut membawakan sebuah kisah yang menarik mengenai salah faham aturan Alam. Diceritakan daripada seorang tua dari Isfahān: Seorang pemikat ular telah datang ke Isfahān bersama seekor ular yang sangat berbisa dan bahaya. Akan tetapi menjadi jinak melalui kemahiran yg dimiliki pemikat ular tersebut. Tiba seorang Sufi meminta untuk diserahkan ular tersebut kepadanya, katanya ingin dibuktikan kehebatan Qur'ān dengan menjinakkan ular melalui bacaannya. Pemikat ular enggan, tetapi Sufi tersebut berterusan mendesak. Akhirnya pemikat ular akur, demi memastikan dirinya tidak dipersalahkan andai berlaku sesuatu yang tidak diingini, beliau memanggil orang ramai disekeliling agar menjadi saksi kepada permintaan Sufi tersebut. Setelah diserahkan ular tersebut, Sufi itu telah membalik-balikkan ular sambil membaca ayat Qur'ān. Malangnya, dia kemudiannya telah digigit dan jatuh mati.

Kisah ini menarik kerana membuktikan bahawa kegagalan untuk mengenalpasti kemampuan diri yang sebenar dan mengenal kedudukan ahli dalam suatu lapangan ilmu ini telah wujud lama. Berasal daripada ketidakmampuan dalam memahami bagaimanakah Alam itu berfungsi dan tidak mengerti pengertian tawakal serta ikhtiyar yang sebenar.

Apabila disebutkan bahawa ilmu perubatan itu adalah mustahil mampu digapai akal, Ibn Hindu mendakwa golongan yang berkata ini telah merendahkan nilai akal yang dikurniakan oleh Tuhan kepada manusia. Begitu juga mereka yang melecehkan keberkesanan dan keperluan mempelajari perubatan kerana adanya pesakit yg mati selepas dirawat. Beliau bertanya, adakah petani yang setelah berusaha keras bercucuk tanam tetapi
tanamannya tidak menjadi kerana kemarau teruk, maka petani tersebut wajar dipersalahkan dan ilmu pertanian itu tidak boleh diterima?

Bab 3 - 5

Tugas merawat adalah tugas yang mulia, kerana ianya berurusan dengan subjek yang mulia, manusia. Dipetik dari Galen dalam "Promoting the Art of Medicine" - Perubatan adalah perkerjaan yang termulia sekali.

Dinyatakan bahawa bidang perubatan ini terbahagi kepada dua:

1. Teori, dan teori pula terbahagi kepada tiga:

a. Ilmu asas Alam (elemen, sifat keadaan, bendalir, organ, fakulti dan tindakannya)
b. Ilmu mengenai sebab-sebab penyakit
c. Mengenali gejala-petanda penyakit

2. Amali, dan amali terbahagi kepada dua:

a. Pengekalan kesihatan
b. Mengembalikan kesihatan

Pengekalan kesihatan dapat dilakukan melalui tiga cara:

1. Mengekalkan keadaan sihat.
2. Mengelakkan sebab-sebab yang boleh mendatangkan penyakit.
3. Merawati ketidakstabilan tubuh yang melemah.

Manakala, usaha pengembalian kesihatan pula boleh dicapai melalui:

1. regim nutrisi, senaman etc.
2. penyelaran, pembetulan kedudukan tulang etc.

Ibn Sina dalam menghuraikan mengenai pembahagian perubatan kepada dua lapangan, teori dan praktikal ini telah menegaskan bahawa realitinya kedua-duanya ada padanya teori. Yg pertama, ianya mengenai asas ilmu perubatan. Yang kedua, adalah ilmu mengenai pengamalan rawatan.

Bab 6-7

Jika pada hari ini telah terdapatnya pelbagai aliran sekolah perubatan, seperti perubatan moden, tradisional, homeopathy dan sebagainya. Pada zaman pengarang turut terdapat beberapa aliran fikir perubatan yang berbeza-beza. Dinyatakan di dalam buku ada tiga:

1. Dogmatist
2. Empiricist
3. Methodist

Dogmatist mengutamakan penggunaan logik berbanding dapatan pengalaman yang lalu dalam merawat pesakit. Manakala Empiricist menggunapakai pengalaman serta lebih mengutamakan kesan sesuatu rawatan kepada tubuh pesakit hingga tidak menghiraukan punca-asal suatu penyakit. Manakala, methodist pula beranggapan mengklasifikasikan penyakit kepada nama-nama tertentu adalah tidak berguna, kerana penyakit terlalu banyak. Mereka meringkaskan konsep perubatan seringkas yang boleh dengan membuat kesimpulan bahawa penyakit terjadi kerana tiga perkara: berkurangan penyingkiran (al-istimsāk), berlebihan penyingkiran (al-istirsāl) atau kedua-duanya sekali.

Ibn Hindu menegakkan kebenaran dogmatist dengan menyatakan kesalahan-kesalahan yang terdapat pada empiricist dan methodist.

Oleh kerana empiricist mengabaikan asas perubatan dalam mengenal punca penyakit terlebih dahulu serta tidak menilik keadaan sifat pesakit sebelum merawat, mereka akan cenderung terdedah kepada kesilapan. Kerana mereka akan lebih menumpukan perhatian pada petanda-petanda sakit yang hanya dikenalnya sebelum itu sahaja dan cuba meniru kaedah rawatan yang sama pernah berjaya. Sedangkan kita pada hari ini amat tahu, berapa banyak penyakit yang berkongsi gejala dan petanda yang sama, tetapi tidak boleh dirawat dengan ubat yang serupa.

Berkenaan golongan methodist pula, Ibn Hindu menjelaskan kesilapan mereka yang terlalu meremehkan ilmu perubatan sehingga tidak mampu menguasai perbezaan-perbezaan keadaan pesakit menurut umur, lokaliti dan sifat tubuh mereka. Diberikan contoh, bahawa dogmatist tidak akan melakukan prosedur pembuangan darah pada kanak-kanak dan orang tua kerana keadaan diri mereka yang tidak mengizinkan. Tetapi golongan methodist tidak mengetahuinya.

Teringat kepada satu berita yang pernah menjadi kecoh jadi bualan dahulu, berkenaan seorang ayah membekam bayinya yang masih kecil. Biarpun telah diberikan penjelasan oleh pakar perubatan, tetap ayah tersebut mempertahankan apa yang dia lakukan. Kerana ianya tidak bersalahan dengan apa yang dia pelajari. Kerana itulah, disebutkan oleh Ibn Hindu agar kita kenal aliran sekolah perubatan yang menyimpang terlebih dahulu agar
 tidak bercampur aduk kebatilan dengan kebenaran.

Hal ini benar. Sebagaimana pada harini, oleh kerana lambakan maklumat yang disumbatkan pada massa menyebabkan kita boleh melihat adanya pelajar perubatan bahkan mereka yang sudah menjadi pegawai perubatan itu sendiri belum mampu membezakan dakwaan perubatan mana yang benar, yang mana pula hanya pseduosains. Malah ada pula yang menjadi promoternya pula pada masyarakat.

Dalam menjelaskan bagaimanakah ilmu perubatan berkembang dalam bab ke 7, Ibn Hindu menyatakan ianya melalui dua jalan:

1. Ketidaksengajaan.

Seperti dalam sebuah kisah klasik Yunani, sekumpulan kanak-kanak lelaki yang merentasi sebuah padang sambil memetik biji laurel dan memakannya. Kemudiannya salah seorang dari mereka telah dipatuk ular, akan tetapi telah terselamat. Rentetan daripada itu, didapati biji laurel mampu menjadi antidot kepada bisa ular.

2. Dengan sengaja

Perawat mencuba makanan mahupun ubatan satu persatu, dari satu masa ke masa yang lain pada tubuh badan yang berbeza untuk memerhatikan kesannya.

Begitu juga ada yang mendapat ilham melalui mimpi atau pemerhatian ke atas Alam. Sebagaimana diperhatikan burung yang meminum air laut untuk melawaskan perut, maka digunakan air garam sebagai julap.

Ilmu perubatan adalah ilmu yang teramat luas dan tidak mampu digapai secara sempurna hanya dengan pengalaman satu zaman sahaja. Ditulis oleh Hippocrates pada permulaan bukunya, The Aphorisms: "Life is short, the art is long, and time is fleeting". Hippocrates menggalakkan penulisan mengenai perubatan kerana usia seseorang itu terlalu singkat untuk menguasainya. Catitan penemuan yang didapati oleh seseorang itu amat berguna dalam membantu memperkembangkan kefahaman umat manusia mengenai ilmu kesihatan ini.

Bab 8-10

Di dalam bab 8, Ibn Hindu menerangkan beberapa pengetahuan yang turut perlu dikuasai oleh seorang perawat untuk menyempurnakan kemahirannya.

Pertamanya adalah sains asas berkenaan Alam. Akan tetapi ditegaskan, tidak perlulah untuk seorang perawat itu menyelidikinya sebagaimana seorang ahli falsafah mempersoalkannya.

Sikap ini senada dengan Ibn Sina dalam kitab Qanunnya yang berulangkali menjelaskan sebagai perawat tidak perlu untuk memasuki perbahasan mengenai elemen (tanah, angin, air, api) sedalamnya kerana ianya bukan lapangan mereka.

Pengetahuan kedua yang perlu turut diketahui adalah ilmu astrologi. Kerana pada pandangan mereka, terdapat penyakit-penyakit yang mempunyai keterikatan dengan pergerakan bulan dan matahari.

Begitu juga mengenai muzik kerana terdapat hubungan antara muzik dan kesihatan sebagaimana dijelaskan oleh Theon dari Iskandariah. Walaubagaimanapun, tidaklah bermaksud seorang doktor itulah yang perlu memainkan alat muzik. Dia boleh memanggil pemuzik untuk bermain muzik untuk rawatan yang diperlukan. Sebagaimana penunggang kuda tidaklah dia yang membuat pelana, tetapi ada orang lain yang akan memahiri dan membuatnya.

Jika diamati bagaimana Ibn Hindu dan Ibn Sina memberikan panduan kepada perawat dalam jalan mereka menjadi mahir. Mereka amat menekankan agar seorang perawat itu tidak bertindak menenggelamkan diri mereka dalam perbahasan yg bukan merupakan lapangan pengetahuan mereka. Biarpun kita sedia maklum, mereka berdua ini adalah seorang yang mahir dalam pelbagai bidang (polymath). Ini merupakan suatu nasihat buat ramainya pelajar perubatan yang melarikan tumpuannya dari menelaah ilmu perubatan dengan tekun kepada ilmu-ilmu lain dengan alasan ianya juga perlu dalam praktis kelak. Sehingga tanpa sedar terabai ilmu mengubat yang lebih utama itu.

Selain itu, dinyatakan bahawa seorang perawat itu perlulah mempelajari agama, etika dan juga logik.

Bab ke 9, dijelaskan tatacara seorang pelajar perubatan memasuki dunia perubatan.

Terdapat tiga panduan:

1. Bermula mempelajari sesuatu yang tanpa adanya ia, ianya tidak wujud. Sebagaimana dipelajari kewujudan dan sifat empat elemen sebelum mempelajari bendalir dalam tubuh (akhlāt).

2. Mempelajari sesuatu yang terlebih mulia berbanding satu yang lain. Seperti mendahulukan pembelajaran ke atas organ utama berbading organ yang bersifat pelengkap.

3. Mulakan dengan yang paling mudah dan lebih senang diingati pelajar dahulu.

Disebutkan oleh guru Ibn Hindu kepadanya, bahawa terdapat 16 buah buku yang menjadi panduan pembelajaran perubatan. Turutannya seperti berikut:

1. Kitāb al-Firaq (Mazhab dalam Perubatan) karangan Galen.

2. Kitāb al-Sinā'a al saghīra (Kitab Kecil Perubatan)

3. Kitāb al-Nabd (Mengenai Nadi)

4. Kitāb Jālīnūs ilā Ighlūqun (Dari Galen kepada Glaucon)

5. Kitab Istaqisāt 'alā ra'y Buqrāt (Mengenai Elemen Menurut Hippocrates)

6. Kitāb al-Mizāj (Mengenai Keadaan Tubuh)

7. Kitāb al-Quwā al-Tab'iyya (Potensi Alami)

8. Kitāb al-Tashrīh (Mengenai Anatomi Badan)

9. Kitāb al-'Ilal wa al-A'rād (Mengenai Penyakit & Tanda-tandanya)

10.Kitāb al-Nabd al-Kabir (Buku Besar Mengenai Nadi)

11. Kitāb Mawādi' al-ālima (Mengenai Bahagian Yang Terkesan)

12. Kitāb al-Buhrān (Mengenai Krisis)

13. Kitāb Ayyām āl-Burhān (Mengenai Hari-hari Krisis)

14. Kitāb al-Hummayāt (Mengenai Demam)

15. Kitāb al-Bur (Mengenai Kaedah Perawatan)

16. Kitāb Tadbir al-Sihha (Mengenai Menguruskan Pengekalan Kesihatan)

16 kitab ini digunakan oleh ilmuwan perubatan daripada Iskandariah sebagai asas untuk memahami perubatan.

Menurut Ibn Hindu, aturan buku tersebut dibuat sedemikian adalah kerana buku yang pertama diperlukan untuk membersihkan fahaman pelajar daripada pengetahuan perubatan yang palsu sebelum memulakan pengajian. Seterusnya, diteruskan dengan buku-buku yang kecil seperti buku kedua hingga keempat sebagai tinjauan awal agar pelajar dapat gambaran apakah yang akan ditempuhinya kelak.

Aturan buku yang seterusnya adalah sebagaimana yang dijelaskan dalam kaedah yg pertama sebelum ini.

Bab 10

Bab yang terakhir ini merupakan bab yang terpanjang sekali. Memuatkan terminologi yang digunakan dalam perubatan supaya memudahkan pembacaan lanjut pelajar-pelajar.

Melalui pemerhatian terhadap nama-nama penyakit yang tercatat, maka tahulah kita apakah penyakit-penyakit yang sudah dikenalpasti kewujudannya pada zaman tersebut.

"Blood & Guts: A Short History Of Medicine"



Buku ini merupakan olahan daripada siri-siri syarahan oleh salah seorang historian perubatan; Roy Porter (meninggal: 2002) yang pernah berkhidmat di Wellcome Trust Centre for History of Medicine, University College London.

Buku kecil ini setebal 199 mukasurat dan memuatkan 8 bab:

1. Disease
2. Doctors
3. The Body
4. The Laboratory
5. Therapies
6. Surgery
7. The Hospital
8. Medicine in Modern Society

...

Ulasan awal

Pertamanya, tajuk buku ini tidaklah menggambarkan isi kandungannya dengan tepat. Kerana buku ini lebih bertujuan menjelaskan sejarah ringkas perubatan Barat (sebagaimana yang dinyatakan oleh penulis sendiri dalam prakata), bukanlah sejarah perubatan dunia keseluruhannya sebagaimana yang cuba dilakukan dalam karangan utamanya; The Greatest Benefit For Mankind: Medical History of Humanity.

Jadi, bagi mereka yang mengharapkan bacaan yang dapat menghidangkan maklumat berkenaan aliran perubatan tradisi, ini bukan bukunya.

Keduannya, buku ini sangat banyak menumpukan kepada pencapaian yang digapai oleh dunia penyelidikan Barat pasca kurun ke-19. Sebagaimana kita rata-ratanya maklum bahawa memang berlaku kelompongan yang besar antara zaman Galen sehinggalah era Paracelsus untuk menceritakan mengenai perubatan Barat.

Ketiganya, saya tidaklah berapa menyetujui untuk melabelkan ilmu perubatan yang dipelajari serta diamalkan hari ini dengan gelaran perubatan Barat. Biarpun kebanyakan pencapaian dalam perubatan hari ini bermula di Barat, tetapi sumbangan berterusan dalam membentuk kefahaman manusia terhadap ilmu perubatan adalah dari pelbagai benua dan budaya. Perubatan adalah satu aliran, ia hanya satu. Tiada Barat, tiada Timur.

Keempat, saya lebih menyenangi cara penulis dalam pembahagian bab dalam buku ini. Berbanding kebanyakan pengarang buku sejarah perubatan yang lebih gemar menyusun bab ke bab menurut susunan kronologi masa, Porter menyusunnya menurut tema-tema tertentu yang dianggap asas dalam perkembangan perubatan. Jadi kita tidak begitu mudah celaru dalam melihat rantaian pencapaian dalam tema-tema yang berbeza dalam sumbangannya terhadap ilmu perubatan.

Kelima, penulis turut menyediakan di bahagian akhir bukunya senarai buku-buku yang boleh dirujuki pembaca jika ingin melanjutkan bacaan lebih mendalam dalam sejarah perubatan. Ini sangat baik dan membantu.

...

Bab 1: Disease

Penulis memberikan tinjauan ringkas terhadap sejarah evolusi manusia semenjak mulanya keberadaannya di dunia (menurut pandangan mereka).

Bukanlah fokusnya terhadap teori evolusi tersebut, tetapi ingin ditekankan mengenai perubahan cara manusia kendalikan diri mereka seiring dengan perkembangan populasi antara mereka.

Semasa bilangan manusia masih dalam kuantiti yang sedikit, penyakit berjangkit tidak menjadi ancaman kepada mereka. Kerana bilangan yang ada tidak cukup ramai untuk memungkinkan komuniti tersebut berisiko dengan tularan penyakit.

Kehidupan nomad, sentiasa berpindah randah juga menjadi salah satu faktornya. Kadar masa yang sebentar menempati sesuatu kawasan tidaklah memadai untuk mencemari kawasan tersebut. Selain daripada ketika itu juga, ternakan haiwan belum menjadi amalan. Justeru terhindar daripada kuman yang berasal dari binatang ternak kemudiannya seperti TB, small pox yang berasal dari lembu, dan rhinovirus yang diperoleh dari kuda.

Tatkala manusia mula memilih untuk bermaustatin di satu-satu kawasan. Mereka mula beranak pinak menjadi ramai, seterusnya secara tidak langsung telah membuka risiko kepada penularan penyakit. Pencemaran kawasan yang diduduki juga menarik serangga perosak yang menjadi perumah kepada penyakit yang berbagai. Begitu juga keperluan untuk mendapatkan makanan melalui ternakan dan pertanian telah membawa kepada penyakit-penyakit yang berpindah dari binatang. Pengambilan nutrisi yang terlalu bergantung pada pertanian juga telah menyebabkan mereka terdedah pada malnutrisi seperti marasmus, kwashiokor dan pellagra.

Terdedah kepada penyakit-penyakit baru, merupakan suatu bencana buat manusia. Kerana tubuh tidak pernah mengenali ancaman yang hadir, dan seringkali berakhir dengan kematian. Mereka yang terselamat kemudiannya telah beransur-beransur melahirkan generasi yang lebih kuat melawani penyakit yang pernah menjadi suatu kepayahan buat nenek moyang mereka. Sebagaimana dianggap terdapat perkaitan antara tingginya insiden sickle cell di kalangan kaum Afrika kerana tubuh mereka beradaptasi untuk berhadapan dengan penyakit malaria yang mengganas di sana.

Selepas penulis menjelaskan bagaimana penyakit mula dikenali dalam dunia manusia, Porter seterusnya membawakan beberapa rakaman sejarah penularan wabak yang amat menakutkan pada generasi terdahulu.

Wabak Athens (430 SM)
Wabak Antonine (165-180)
Wabak Justinian (540)
Black Death (circa 1300)

Kesemua kejadian wabak ini terjadi sangat berkait dengan beberapa faktor:

1.Perdagangan
2. Perluasan kuasa
3. Peningkatan populasi

Begitu juga yang dapat dilihat pada penerokaan Dunia Baru (New World) oleh Columbus telah memindahkan penyakit swine flu, small pox ke tanah yang mereka terokai. Begitu juga mereka turut membawa pulang penyakit malaria dan yellow fever ke tanah asal mereka sejurus pulang.

Tatkala kemajuan semakin dikecapi, manusia mula terdedah dengan penyakit yang berbagai selain daripada yang boleh berjangkit, begitu juga yang bersifat kronik dan tidak berjangkit seperti gout dan penyakit koronari.

Bab ini saya anggap akan jadi lebih sempurna jika diterangkan bersama antara dua aliran fahaman berkenaan kaedah penularan penyakit; antara 'miasmatic' dengan 'contagionist'. Begitu juga penumpuan penyakit lebih kepada penyakit berjangkit, tidak kepada penerangan mengenai fahaman empat humor (diceritakan di bab kedua).

...

Bab 2: Doctors

Hanya menyentuh sedikit berkenaan pengamal perubatan dari peradaban selain Barat seperti Mesir (Imhotep) dan Mesopotomia (bârû, âshipu dan âsû) sebelum meneruskan penerangan panjang mengenai Asklepios, Hippocrates dan Galen.

Di Greek, perawat terawal yang dikenali adalah Asklepious yang kemudiannya telah dianggap sebagai anak kepada tuhan Apollo. Sering digambarkan bersama tongkat dan ular yang kemudiannya menjadi simbolik lazim kepada lapangan perubatan (caduceus sign). Kaedah perawatan ketika itu dipenuhi dengan mitos ketuhanan yunani. Mereka melaksanakan rawatan di kuil yang dibina dengan meletakkan pengharapan Asklepius akan menyembuhkan pesakit.

Sehingga tahun 200 SM, setiap bandar (polis)  telah terbina banyak kuil dengan tujuan yang sama, tertutamanya di tempat kelahiran Hippocrates (Bapa Perubatan Barat - 460-377 SM); Pulau Cos.

Biarpun begitu, Hippocrates tidak meneruskan legasi fahaman sedemikian dalam merawat pesakitnya. Beliau telah menyingkirkan unsur mistikal dari dunia perubatan dan menumpukan pada kaedah alami dalam merawati tubuh. Untuk menjelaskan sifat tubuh manusia, beliau membina teori empat humor (akhlat / bendalir) yang menjadi asas kepada lapangan perubatan hampir dua ribu tahun lamanya.

Tamadun Yunani amat menghormati tubuh manusia selaku microcosm kepada alam yang lebih besar, mereka tidak melakukan pembedahan ke atas tubuh manusia. Oleh kerana itu, pengetahuan mereka amat terbatas mengenai anatomi manusia.

Hippocrates sering lebih dikenali dengan akur-janji yang disandarkan kepasanya; Hippocratic Oath.

Intipati janji yang paling utama adalah untuk tidak melakukan mudarat (primum non nocere).

500 tahun kemudiannya, lahir seorang lagi tokoh perubatan yang penting dalam dunia perubatan di Pergamon (terletak di Turki hari ini). Galen yang mengaut pengalaman merawat di empayar Romawi dengan penuh bangga berkata:

"I alone, who have revealed true path of medicine ... He (Hippocrates) prepared the way, but i have made it passable"

Hadirnya dua tokoh ini ke dunia perubatan telah mengukuhkan perkembangan perubatan yang berasaskan pembuktian dan pengalaman. Jauh dari unsur mistikal dan pengharapan pada perkara ghaib.

Pasca kedatangan agama kristian ke Rom telah merubah suasana ini kemudiannya. Lapangan perubatan dilihat mencabar agama, "ubi tre physici, due athei" (pada setiap tiga orang pengamal perubatan, terdapat padanya dua atheis). Amalan perubatan dan pewarisan ilmunya kemudian hanyalah berlegar sekitar komuniti gereja semata-mata. Amalan pengharapan pada Tuhan sebagaimana di kuil-kuil Asklepius kembali dihidupkan.

Lapangan perubatan seterusnya diteruskan perkembangannya oleh peradaban Islam sehinggalah dunia Eropah berjaya melepaskan diri daripada gelapnya kejahilan mereka.

Kebangkitan semula dunia Barat dalam mengetuai lapangan perubatan bermula di Itali, di bawah kendalian pusat pengajian Salerno. Para pelajar di sana menuntut selama 7 tahun sebelum dibenarkan untuk berkhidmat selaku perawat.

Setelah bilangan doktor semakin meningkat, pergerakan mereka diaturkan oleh persatuan-persatuan yang melindungi dan memantau mereka.

Disebabkan pilihan rawatan yang benar-benar efektif pada ketika itu sangat terhad, para doktor punyai dua pilihan ketika berhadap pesakit: samada mengikut jalan Hippocrates yang lebih kepada memantau serta menasihati bentuk diet dan pergerakan badan, memberikan kata-kata ransangan serta perhatian dengan teliti kepada pesakit. Ataupun mengikuti langkah Galen yang lebih heroic dengan merangsang muntah mahupun menyingkirkan darah (bloodletting). Biarpun begitu, pesakit biasanya mempunyai pendirian tersendiri dalam memilih jenis rawatan yang baginya lebih efektif untuk dirinya.

Hampir keseluruhan pharmacopeia ketika dahulu adalah sia-sia dan tidak mampu menyembuhkan. Keberkesanan yang dirasai samada dipengerahui efek placebo atau limitasi keseriusan kebanyakan sakit yang baik dengan sendirinya.

Sebagaimana petikan kata-kata Oliver Wendell Holmes Sr. pada tahun 1860:

"... I firmly believe that if the whole materia medica [medical drugs], as now used, could be sunk to the bottom of the sea, it would be all the better for mankind,—and all the worse for the fishes. "

Walaubagaimanapun, terdapat juga beberapa ubatan yang digunakan terdahulu terbukti berkesan seperti quinine, opium, colchicine, digitalis dan amyl nitrate.

Kelompongan pada keberkesanan terapi rawatan zaman itu telah melahirkan fahaman therapetic nihilism yang menganggap bahawa kita hanya mampu mengenali penyakit, tetapi tidak akan mampu merawatnya.

Rentetan daripada itu, perawat ketika zaman dahulu lebih menumpukan kemahiran diagnosis dan prognosis berbanding perawatan. Demi memberikan rasa kesenangan dalam diri pesakit, para doktor memahirkan diri dengan sikap, kemahiran berkomunikasi, empati yang baik. Bedside manner dianggap antara kompenen yang utama dalam rawatan ketika dulu.

Skil pemeriksaan pesakit untuk diagnosis telah diperhalusi selain dari penciptaan alat bantu seperti stethoscope, thermometer dan sphygmamometer banyak membantu dalam mengkelaskan penyakit dan menambah kenyakinan pesakit.

Biarpun begitu, sehingga kurun ke-19, keberkesanan kaedah-kaedah rawatan masih menghampakan. Ini menjelaskan fenomena penggunaan opium yang berleluasa demi mengurangkan kesakitan yang dirasai.

Pasca zaman Pasteur, Koch, Ehrlich dan Flemming, umat manusia seakan telah menenui jalannya untuk memenangi perperangan dengan penyakit. Penemuan pelbagai ubat-ubatan yang benar-benar berkesan telah mengubah cara kebanyakan perawat berinteraksi dengan pesakit. Seni memenangi hati pesakit semakin memudar. Muncul advokasi yang menggesa-mengingatkan kepada seluruh pengamal perubatan agar tidak lupa hakikat bahawa pesakit itu adalah manusia dan kita sedang merawati manusia bukan penyakit semata.

Sebagaimana kata-kata Sir William Gull; "Never forget that it is not pneumonia, but a pneumonic man who is your patient."

Begitu juga kata-kata William Osler; "The good physician treat the disease, but the great physician treat the patient."

Jika semasa hangatnya iklim therapeutic nihilism telah menjadi punca kepada kemunculan aliran perubatan seperti homeopathy dan hydropathy. Pasca therapeutic revolution pula telah menyaksikan kembalinya subur kemunculan perubatan 'alternatif' seiring dengan peningkatan birokrasi dan pemisahan jabatan-jabatan bidang dalam perubatan. Seakan sedikit merapuh sifat manusiawi dalam perawatan apabila para doktor terlalu sibuk, terlalu khusus dengan kerja sendiri dan terlalu tumpu pada penyakit. Pesakit mencari alternatif yang mampu menawarkan kelegaan dan penghargaan kepada diri biarpun tidak berkesan.

...

Bab 3: The Body

Pemahaman manusia terhadap tubuh badannya semakin lama semakin mendalam pengetahuannya.

Jika dahulu agak terbatas untuk meneliti organ dalam badan kerana amalan membedah tubuh dilarang kerana menghormati kemuliaan tubuh insan, hari ini telah kita berjaya mengenal pasti dengan lebih jelas setiap struktur dan fungsi organ di dalam badan kita.

Galen menganggap isi badan manusia sama strukturnya dengan haiwan, disebabkan itu terdapat beberapa kesalahan dalam pandangan klasik mengenai organ seperti menganggap hati mempunyai lima bahagian (lobe) dan jantung hanya mempunyai tiga ruangan.

Pembedahan tubuh yang dibuat secara terbuka untuk pendidikan awam pertama kali dilakukan pada tahun 1315 di Bologna oleh Mondino de Luzzi. Penulisan beliau mengenai anatomi tubuh badan; Anotomia Mundini telah menjadi teks pengajaran kemudiaannya. Pembedahan pada zaman tersebut dibuat hanya ke atas penjenayah dan di buat pada musim sejuk untuk melambatkan proses pereputan.

Bermula kurun ke-16, lahir satu persatu anatomist yang hebat dari Universiti Padua. Bermula dari kemunculan Andreus Vesalius, lahir pada tahun 1514. Karya agungnya; de fabrica corporis humani telah memuatkan deskripsi yang tepat dan jelas berkenaan organ dalam badan. Sekaligus menolak beberapa dogma klasik yang berakar dari fahaman Galen. Biarpun tidak semudah itu masyarakat menerima fakta terbaru, tetapi tindakan Vesalius menjadi pemula kepada iklim inquiri yang baharu dalam berhadapan dogma-dogma lampau.

Seterusnya, muridnya Gabrielle Follopio (1561) telah menemui saluran yang menyambungkan rahim dengan ovari (kemudiannya diberikan nama fallopian tube). Akan tetapi fungsi tiub itu belum dapat dikenalpasti. Perihal ini menjelaskan bahawa mengenalpasti struktur tubuh lebih mudah berbanding memahami fisiologi badan. Ia mengambil masa.

William Harvey, lahir pada tahun 1603 pula telah membetulkan pegangan silam mengenai peredaran darah yang menganggap darah tidak beredar dalam satu pusingan lengkap.

Penemuan demi penemuan di dalam bidang anatomi dan fisiologi berterusan menjelang tahun 1700, tetapi pencapaian di dalam perawatan masih menghampakan.

Selepas era pencerahan, perbincangan mengenai tubuh dan roh telah mengambil tempat. Herman Boerhaave (1668-1738) mengatakan bahawa rahsia mengenai kehidupan hendaklah diserahkan kepada pendeta, lapangan perubatan hanya perlu berurusan dengan persoalan 'bagaimana' bukan 'mengapa' dalam menggali persoalan-persoalan kehidupan.

Pada kurun ke-17 juga telah menyaksikan pengenalan kepada ilmu pathologi yang dirintis oleh Giovanni Battista Morgagni (1682-1771). Penulisannya mengenai hal ini diberikan nama judul; de sedibus et causis morborum (mengenai lokasi dan sebab penyakit). Beliau mengenalpasti perubahan-perubahan yang berlaku pada tisu organ-organ tertentu menurut jenis-jenis penyakit.

...

The Laboratory

Permulaan kepada siri-siri penemuan dalam sains perubatan serta penciptaan alat bantu diagnosis sering dikaitkan dengan penciptaan Stethoscope oleh Rene Laennec (1781-1826) pada tahun 1816. Beliau dengan menggunakan alat berukuran panjang 9 inci (tidak sama rekaannya seperti mana yang dikenali hari ini) tersebut telah mengenalpasti jenis-jenis bunyi pernafasan dan penyakit yang menyebabkannya. Sehinggalah penemuan mesin x-ray pada tahun 1895, stethoscope menjadi alatan yang penting dalam amalan perubatan.

Pierre Louis dari Perancis pula telah menyusun kaedah yang sistematik untuk melakukan ujian klinikal. Begitu juga beliau menjelaskan kepentingan meneliti petanda (sign) penyakit lebih penting berbanding gejala (simptom) yang dirasai pesakit. Hospital di Perancis yang besar dan lebih teratur pengurusannya memungkinkan kelahiran suasana kajian secara teliti dibuat terhadap pelbagai jenis penyakit secara teratur.

Di Jerman pula melalui institut kajian Liebig telah mengusahakan kajian ke atas proses metabolisme badan dengan meneliti apakah yang memasuki tubuh dan apa pula bahan kumuh yang disingkirkan kemudiannya.

Selepas penambahbaikan dilakukan ke atas mikroskop pada tahun 1830, Theoder Schwann telah meneruskan kajian ke atas sel badan berbanding hanya sel tumbuhan oleh Hooke. Pemahaman dan penelitian terhadap struktur sel telah membuka teori baru berkenaan punca penyakit. Jika Pasteur mendapati wujudnya kuman (faktor luar) yang menyebabkan penyakit, Rudolf Virchow pula menyatakan punca penyakit datangnya dari perubahan fungsi dalam sel.

Louis Pasteur (1822-1895) telah menemukan teori mengenai kuman (germ theory) dengan membukti kewujudannya melalui eksperimen terhadap pereputan makanan. Melalui teori ini telah menjawab pertikaian panjang antara golongan miasmatic (penyakit tersebar dari udara yang tidak baik) dengan contagionist (penyakit merebak dari individu yang berjangkit). Teori ini membukti ada mikroorganisme yang menjadi penyebab terjadinya penyakit tertentu, dan dunia perubatan hendaklah mencari jalan untuk menewaskan hidupan kecil tersebut.

Teori Pasteur diperkukuhkan lagi oleh Robert Koch dari Berlin yang amat dikenali sumbangannya melalui Koch postulate. Beliau memudahkan saintis seterusnya membuat kajian dan kesimpulan dalam menentukan apakah organisme tertentu yang menyebabkan penyakit tertentu pada pesakit.

Tentunya penemuan Pasteur dan Koch ini amat membantu kepada dunia Barat yang ketika itu sangat penuh dengan cita-cita politik dan ekonomi. Kerana mereka berhadapan cabaran penyakit tropikal di negara-negara yang dijajah seperti malaria dan scistosomiasis. Kerana untuk berhadapan masalah, perlulah dikenalpasti puncanya.

Lapangan pengetahuan mengenai nutrisi juga semakin meluas seiring perkembangan teknologi dan fasiliti kajian. Bermula pada tahun 1747, di dapati tentera yang berlayar di lautan seringkali menghidapi penyakit scurvy. James Lind telah membuat ujikaji kepada pelayar-pelayar yang menghadapi masalah ini dengan memberikan makanan-makanan tertentu. Didapati pemberian buah-buahan citrus mampu mengatasi penyakit ini, justeru bekalan buahan ini telah dijadikan kemestian untuk belayar. Pada tahun 1928, barulah dapat dikenal pasti bahan aktif yang bertanggungjawab mengelak berlakunya scurvy iaitu vitamin C.

...

Bab 5: Therapies

Setelah sekian lama pengetahuan mengenai ubatan dan rawatan ketinggalan berbanding pengetahuan perubatan selainnya,  kurun ke-19 menyaksikan permulaan kegemilangannya.

Semuanya bermula setelahmana telah wujudnya pengkajian makmal yang teratur seterusnya membuka bidang baharu; sains bioperubatan menjadi pemangkin kepada keberjayaan ini.

Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, rata-rata ramuan ubat yang terdapat dalam pharmacopoeia zaman sebelum ini adalah tidak berkesan dan berguna. Perlulah juga dijelaskan bahawa peranan ubatan ketika dahulu tidaklah memainkan peranan utama sebagaimana hari ini. Dahulu, akan lebih diutamakan pada regulasi diet, persekitaran serta teknik bloodletting dan merangsang muntah. Kebanyakan ramuan ubatan yang diatur adalah berdasarkan fahaman empat humor, diadun dan diberikan untuk menyeimbangkan apa yang telah kekurangan dalam badan.

Bermula kurun ke-19, institusi penyelidikan dan firma ubatan berkerjasama dalam penghasilan ubatan secara sistematik untuk memudahkan capaian pada pengguna serta dilihat terdapatnya potensi untuk meraih keuntungan.

Pada kurun ke-19, institusi penyelidikan dan firma ubatan berkerjasama dalam penghasilan ubatan secara sistematik untuk memudahkan capaian pada pengguna serta dilihat terdapatnya potensi untuk meraih keuntungan. Bermula dengan penghasilan opium untuk melegakan kesakitan yang dirasai.

Paul Ehrlich (1854-1915) berusaha menjadi bahan kimia yang mampu menyelesaikan penyakit tertentu. Beliau terinspirasi dengan sistem imun tubuh yang bersifat spesifik kepada kuman tertentu. Maka, impian beliau untuk mencari bahan kimia yang mampu bersifat sedemikian (spesifik) serta dalam masa yang sama tidak membahayakan tubuh pesakit. Pada tahun 1907 setelah cubaan demi cubaan, sehingga lebih 600 arsenik telah diuji, akhirnya beliau menemui salvarsan yang mampu membunuh Treponema pallidum, penyebab kepada Syphilis.

Kejayaan Ehrlich telah diteruskan oleh Gerhard Domagk dari Jerman dengan penemuan keberkesanan Protonsil untuk mengubati penyakit yang disebabkan oleh bakteria streptococcus. Kemudiannya telah dikenalpasti bahan aktif yang bertanggungjawab di dalam protonsil tersebut adalah sulphanilamide.

Penemuan penicillin secara tidak sengaja oleh Alexander Flemming pada tahun 1938 juga sangat bernilai kepada dunia perubatan. Satu persatu keajaiban yang ditemui ini telah menaikkan lagi motivasi  para pengkaji bahawa impian tokoh silam, Thomas Syndenham yang mengimpikan setiap penyakit akan terdapatnya ubatan yang khusus hampir menjadi kenyataan.

Dituruti penemuan streptomycin (untuk TB) pada tahun 1944 oleh dan acyclovir (antiviral) pada tahun 1970 telah menjadikan dunia perubatan lebih dinyakini. Tiada lagi iklim therapeutic nihilism dirasai.

Biarpun begitu, dunia farmakeutikal tidak hanya yang indah semata. Beberapa kesilapan turut dirakam sejarah. Sebagaimana penggunaan Thalidomide telah dihentikan pada tahun 1961 kerana didapati menyebabkan kecacatan pada bayi dalam kandungan. Begitu juga oestrogen DES yang pada digunakan untuk mengelakkan keguguran telah didapati meningkatkan risiko berlakunya kanser vagina.

...

Bab 6: Surgery

Pengamatan terhadap tulang temulang nenek moyang dahulu mendapati teknik menebuk tengkorak kepala (trepanning) telah menjadi amalan semenjak tahun 5000 SM lagi. Dianggap berkesan dalam menyahkeluar roh jahat yang menyebabkan kesakitan tubuh.

Teknik manipulasi membetulkan kedudukan tulang juga telah sedia dikenalpasti tamadun terdahulu. Begitu juga teknik penyelaran yang amat terkenal dalam perubatan Arab.

Mereka telah mengenalpasti keperluan memotong anggota kaki yang gangrene, tetapi kemampuan mereka terhad. Kerana kebiasaanya pesakit yang dipotong kakinya akan mati kerana kehilangan darah berlebihan. Bagaimanapun, pengalaman serta zaman mematangkan pengetahuan. Penggunaan teknik mengikat saluran darah (ligature) yang diperkenalkan oleh Ambroise Pare (lahir 1510) berserta penggunaan tourniquet oleh Jean-Louis Petit telah memungkinkan amputasi dilakukan dengan selamat.

"He who wishes to be a surgeon should go to war"
-Hippocrates-

Ramai tokoh-tokoh pakar bedah lahir dari medan perang. Antaranya Ambroise Pare, John Woodall dan Richard Wiseman (digelar bapa pembedahan Inggeris).

Dahulunya bidang pembedahan dianggap picisan dan bukan sebahagian dari tanggungjawab doktor. Praktis pembedahan diserahkan kepada golongan yang berpelajaran rendah, orang yang sama sebagai tukang gunting, pencabut gigi, dia jugalah sebagai tukang bedah.

Tetapi perlu difahami limitasi pembedahan zaman terdahulu. Operasi yang dilakukan hanyalah kecil-kecilan dan tidak melibatkan bahagian tubuh yang utama. Antara sebabnya adalah belum ditemui bius yang berkesan.

Antara khidmat yang paling banyak ditawarkan oleh golongan ini adalah pembuangan darah (bloodletting) dan berbekam.

Mereka juga tidak dilatih melalui laluan akademik sebagaimana para doktor lalui, tetapi dilatih melalui bimbingan mentor.

Bidang perbidanan juga telah melalui perubahan ketara. Daripada hanya eksklusif dikendalikan oleh kaum wanita, kemudiannya mula dimasuki pekerjaan ini oleh para doktor lelaki.

Bermula kurun ke-18, setelah mana ilmu anatomi mendapat tempat, bidang pembedahan juga tidak lagi dianggap remeh dan tidak penting untuk dipelajari para doktor.

Sekolah perubatan di Universiti Edinburgh merupakan antara institusi pengajian yang paling menyerlah dalam bidang ini.

Walaubagaimanapun, peningkatan populariti bidang ini menemui masalah baru, iaitu kekurangan bekalan badan yang boleh dibedah. Situasi ini lebih diburukkan apabila ada yang ingin meraih keuntungan dengan menjadi pencuri mayat untuk dijual. Lebih dahsyat sebagaimana dalam kes William Burke dan William Hare, mereka membunuh mangsa untuk dijual tubuhnya.

Ada dua faktor yang memangkin penemuan-penemuan baharu dalam bidang pembedahan: penggunaan ubat bius bermula 1842 dan penemuan antiseptik oleh Joseph Lister pada tahun 1865.

Evolusi dalam penggunaan ubat bius sentiasa memberikan manfaat kepada perubatan. Bermula penggunaan ether yang dipelopori okeh William E. Clarke kemudiannya bertukar kepada chloroform yang lebih selamat pada tahun 1847 oleh James Young Simpson.

Isu agama sentiasa ada bersama di dalam pembentukan sejarah perubatan. Pada awalnya, ubat bius dilarang penggunaannya semasa proses bersalin, kerana dianggap Bible melarangnya. Tetapi setelahmana Ratu Victoria sendiri menggunakannya pada tahun 1853, ia sedikit sebanyak merubah persepsi awal masyarakat kristian.

Sebelum dipelopori penggunaan antiseptik, kematian akibat pembedahan dan perbidanan adalah tinggi. Sebagaimana yang didapati oleh Ignaz Semmelweis yang berkhidmat di Hospital Vienna. Kadar kematian ibu bersalin yang diuruskan doktor lebih tinggi berbanding yang diuruskan oleh bidan. Setelah dicermati, dikesan ianya berpunca dari pencemaran bilik bedah akibat penglibatan para doktor dalam kes-kes kesakitan yang lain jenis, berbanding bidan yang hanya menumpukan pada kes bersalin semata. Setelah ditetapkan peraturan agar membasuh tangan dan peralatan bedah terlebih dahulu sebelum operasi dengan solusi limau yang diklorinkan, barulah berlaku penurunan kadar kematian di klinik yang dikendalikan para doktor.

Kegemilangan bidang ini lebih terserlah tatkala menjelang kurun ke-20. Satu persatu ciptaan teknologi baharu yang menjadi alat bantu dalam menjadikan operasi pembedahan lebih selamat dan berkesan. Bermula dengan x-ray ditemukan pada tahun 1895, ECG pertama pada sekitar awal 1900, seterusnya ciptaan CT scan dan MRI pada 1972.

...

Bab 7: The Hospital

Jika hari ini perubatan dan hospital sangat sinonim bersama. Tetapi sejarah perubatan telah lama bermula secara bersendiri tanpa mula wujudnya hospital.

Institusi hospital di Barat mula dibina dan diuruskan secara sendirian oleh kumpulan-kumpulan agama sebagai medium untuk berbakti. Saiz dan kapasitinya kecil. Seringkali menjadi tempat perteduhan golongan fakir miskin kerana lazimnya si kaya hanya mendapatkan rawatan di rumah sendiri. Hospital juga bukanlah bermula sebagai pusat tumpuan untuk penyembuhan, lebih kepada perlindungan kepada mereka yang kesakitan dan disisihkan.

Di belahan dunia Islam terdapat beberapa pembinaan hospital (bimaristan) yang jauh lebih terkehadapan fungsi dan peranan berbanding dunia Barat ketika zaman gelap mereka.

Ada jenis hospital yang dibina secara khusus untuk sejenis penyakit, sebagaimana leprosaria untuk menempatkan pesakit kusta (leprosy). Menjelang tahun 1225, terdapat lebih 19,000 leprosaria di Eropah. Tatkala telah berkalu penurunan pada kadar insiden penyakit kusta, binaan yang sama telah digunakan untuk menempatkan pesakit penyakit berjangkit untuk mengelakkan penularan berlaku.

Turun naik yang berlaku terhadap politik dan gereja memainkan peranan yang penting terhadap fungsi hospital. Pemansuhan institusi-institusi keagamaan selepas reformasi edwardian dan henrician, turut terkesan sama hospital yang dibina telah ditutup. Tetapi di negara-negara katholik dan protestan tidak berlaku kejadian sebegini.

Pada kurun ke-17 telah dibina banyak hospital di serata Eropah. Tetapi masih tidak didanai dan dikendalikan secara berpusat oleh kerajaan sebagaimana yang didapati hari ini.

Walaubagaimanapun fungsinya hanyalah sekitar pengendalian sakit-sakit ringan. Peranan hospital dalam menguruskan penyakit berjangkit masih terhad, tidak mampu berbuat apa-apa, bahkan menjadi dengan mudah menjadi lubuk penularan penyakit kerana ketika itu masih belum dikenali dengan jelas kewujudan kuman dan antiseptik.

Kerana itu perdebatan wujud di kalangan pemerhati apakah bentuk model hospital yang lebih baik untuk menangani kelemahan sedia ada. Sebagaimana tokoh jururawat; Florence Nightingale menyarankan agar hospital di bina di perkampungan untuk udara yang lebih baik.

Selepas 1800, hospital mula memainkan peranan sebagai medium terbaik untuk para doktor menjalankan kajian di sana. Penglibatan aktif komuniti doktor yang semakin terdedah dengan penemuan terbaharu mengenai ilmu perubatan telah mengubah gaya kerja di hospital.

Menjelang 1880, hospital mula dilengkapi bilik pembedahan yang lengkap peralatan serta nyahkuman. Seterusnya satu persatu produk teknologi perubatan ditempatkan di hospital seperti mesin ECG (saiznya besar pada ciptaan awalnya), peti besi (iron lung) untuk pesakit polio pada tahun 1930 dan mesin dialisis (1940).

Peningkatan keupayaan yang ada pada hospital telah meningkatkan prestij institusi ini di mata masyarakat. Jika dahulu dianggap sebagai binaan yang penuh dengan penyakit dan berbahaya, ianya kini telah menjadi institusi yang menjanjikan harapan dan penyembuhan.

Tetapi setiap peningkatan kelengkapan  hospital ini tidak datang percuma. Kos pengendalian hospital telah meningkat naik dan hampir memakan suku daripada kek perbelanjaan negara (kurun ke 20 menyaksikan hospital-hospital yang sedia dibina dimiliknegarakan dan dipusatkan pengendaliannya).

...

Bab 8: Medicine in Modern Society

Bab terakhir ini mengajak pembaca merenung kembali apakah yang telah berubah pada cara pandang kita terhadap perubatan dan kesihatan.

Dakwaan institusi kesihatan lebih didorong dengan pengejaran keuntungan melebihi keperluan pesakit tidak henti dingomel masyarakat hari ini. Biarpun ramai perawat yang berterusan berkhidmat dengan ikhlas dan mengorbankan kepentingan diri yang berbagai, masih dikatakan sentuhan peribadi antara perawat-pesakit itu telah hilang.

Inovasi di dalam bidang ini juga tidak lagi berlaku di luar makmal berteknologi tinggi. Seakan tidak mampu berfikir sendiri melainkan yang hanya dikeluarkan dari kajian makmal.

Perbincangan mengenai perubatan juga sudah tidak lagi terhad hanya pada skop biologi semata, tetapi kini lebih banyak diperbincangkan dari sudut sosial dan politik. Usaha banyak digiatkan dalam pembentukan polisi kesihatan awam, insurans dan pencegahan penyakit melalui regulasi persekitaran.

Bab ini turut menceritakan bagaimana pertikaian mengenai insurans kesihatan di US. Selain itu, diterangkan juga jurang antara GP dan Konsultan di UK. Tetapi saya tak berhajat untuk muatkan perkongsiannya di sini.

...

Setelah menghabiskan bacaan ke atas buku ini, dibandingkan dengan buku Short History of Medicine karangan Mark Jackson lebih saya gemari. Bahasanya mudah dan terus pada isi, memuatkan peristiwa-peristiwa penting denga lebih teratur serta tidak hanya mengecilkan skop kepada dunia Barat semata. Begitu juga, buku Jackson tidak terlalu mengsaratkan penulisannya dengan memetik sumbagan ramai tokoh-tokoh sehingga seakan terlalu banyak maklumat untuk dihadam pembaca.

Bagi saya, buku Porter ini  tidaklah sesuai untuk pemula, kerana banyak konsep, terma serta peristiwa yang diringkaskan perinciannya. Agak sukar untuk mereka yang baru pertama kali menjenguk sejarah perubatan untuk memahaminya.

Saturday, July 1, 2017

Generasi Mee Segera

Semasa umur masih dalam belasan tahun, saya pernah terfikir mengapakah di akhir zaman kelak, dikatakan ilmu itu diangkat melalui kematian ulama? Sedangkan kitab-kitab makin mudah diperolehi dan dihimpunkan.

Kemudiannya, saya beransur memahami apabila melihat sikap yg menular dalam kalangan generasi hari ini.

Kita ini mudah mengalah dan gemarkan yang cepat dan ringkas sahaja. Mengelak daripada pembacaan yang panjang, mudah membuat kesimpulan hanya melalui tajuk berita semata. Dahulu penulisan blog, kini seringkas cicipan twitter dan kilasan instagram.Penghuraian semakin mengecil dan melebarnya ruang tafsiran peribadi menurut sukatan akal tersendiri.

Walaupun hari ini amat mudah untuk memperolehi dan mendapatkan akses terhadap koleksi penulisan yang berbagai, malangnya, sangat sedikit yang ingin mengambil manfaat daripadanya. Walau ada yang gemar membaca, terlalu sedikit yang bacaannya membawa kepada ilmu yang bermanfaat kepada diri dan masyarakat. Tidak kurang juga yang membaca teks daripada pelbagai lapangan ilmu, tetapi tidak mendasar dan fokusnya mencapah; yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran. Amat sayang sekali.

Lapisan anak muda hari ini bolehlah diistilahkan sebagai generasi mee segera; ingin segera rasa kenyang, mudah dan sedikit kos penyediaannya. Tetapi tidak berkhasiat untuk tubuh badan dan hanya menipu diri kononya telah diisi perut yang kelaparan. Hakikatnya hanya disumbat air yg berperisa rencah buat-buatan.

Catatan Buat Anakku: Detik-Detik Kelahiran

Catatan buat anakku: Demi Kelahiranmu Sayang

Umi membesarkanmu dengan penuh kasih sayang dan keprihatinan walaupun tanpa abi di sisi sejak usiamu mencecah 5 bulan dalam kandungan. Gembira bukan kepalang apabila umi dapat tahu abi dapat pulang awal sebulan untuk temannya bersalinkan sayang.

Anakku sayang, seronok ye berada dalam rahim umi? Sampai tibanya umur 41 minggu masih tidak mahu tunjukkan tanda-tanda mahu keluar? Umi abi rindu nak tatap wajah sayang.

Maka, umi abi pun buat keputusan mengikut nasihat doktor untuk melalui teknik cetusan proses bersalin (induction of labour). Katanya kena hadir ke hospital pada 5 Mei, hari Jumaat. Kami pun datang awal pagi, pukul 9 pagi lagi kami sudah daftar sayang. Disebabkan sayang umi abi ni kuat dan sihat keadaannya, tidaklah umi  diutamakan dalam menerima bilik wad. Tambahan lagi wad rata-ratanya penuh. Alhamdulillah setelah menunggu sehingga jam 11 malam, umi dipanggil dan dimasukkan ke dalam wad. Ada rezeki kekosongan di wad kelas dua. Abi pun mulakan malam pertama di ruangan menunggu bersama para suami yang lain.

Abi jumpa ramai kawan. Benarlah bersikap ramah dan membuat rakan benar-benar menyebabkan kita mampu merasai sama kegembiraan para suami yang lain tatkala mereka telah selamat menerima cahaya mata. Setidaknya rasa gusar dan gelisah menanti nasib umi dan sayang tidaklah begitu mengganggu fikiran abi. Abi jumpa macam-macam ragam dan keadaan manusia sayang. Seronok lihat mereka seronok.

Esoknya, umi dijadualkan untuk menerima prostin pada sebelah petang. Kesian umi, sakit sangat. Ada org, dos pertama tak rasa apa-apa. Tapi untuk umi, sakit sangat. Merah muka umi menahan sakit. Kawan-kawan pesan, "Ilman, kau kena kuat dpn isteri kau." Abi cubalah untuk tahan dari tumpahnya air mata. Siapa sanggup tengok isteri sakit. Lebih merisaukan apabila tamatnya waktu melawat. Kesian umi.

Malamnya, sebab umi tak tahan dgn kesakitannya, umi tidur setelah disuntik ubat penahan sakit. Esoknya, abi cuba buat-buat kuat apabila bertemu dgn umi. Masuk kali ketiga umi terima prostin; sebelah pagi dan petang. Kesian umi sakit. Doktor akan periksa setiap 6 jam, abi pun menantilah dgn penuh kerisauan pada sebelah malam nak tahu apa keputusan terkini pemeriksaan bukaan. Jam 9.30 malam, umi mesej abi beritahu masih 1cm. Ya Allah..basah mata abi tak mampu tahan kenangkan kesakitan yg umi rasai, secara fizikalnya dan emosinya. Abi terus keluar dari bilik ruangan menunggu, menangis sepuas-puasnya di luar. Rasa x mampu dah nak pura-pura senyum dan gembira bersama dengan suami-suami yang lain. Mereka datang sejam dua, terus keluar dengan muka kegembiraan. Paling lama pun hanyalah seharian semalaman menunggu.

Kami sangka umi hanya akan melalui tiga kali induce sahaja, dan akan diputuskan untuk melalui pembedahan caeserian selepas itu. Jangkaan kami silap, pagi hari isnin setelah cek bukaan sekali dimasukkan prostin kali keempat, tanpa dimaklumkan management plan kepada umi. Kesian umi, sudahlah hari Ahad hanya mampu makan dua tiga suap nasi sahaja sebab tak mampu menahan sakit seharian. Pagi-pagi esoknya, tak sempat nak sarapan, terus dimasukkan prostin kali keempat. Allah..seksanya sakit umi. Abi setiap pagi akan balik ke rumah sebentar untuk mandi dan solat, masa abi dpt berita tersebut, abi masih dlm perjalanan untuk ke hospital. Sekali lagi meruntun rasa hati, luruh deras air mata. Kesiannya isteriku.

Abi naik atas pkul 7.30 pagi nak naik wad, dgn harapan dapat masuk bagi sarapan dan suapkan sikit makanan. Tapi tiada siapa mendengar abi tekan-tekan loceng luar wad, abi faham bukan waktu melawat, jadi abi turunlah ke bawah semula dgn berderai air mata.

Tengah kesedihan seorg diri, terjumpa seorang abang yg abi berkenalan semasa menunggu isteri bersalin. Dia tenangkan abi dan bawa ajak minum teh di kafe. Abi menangis ceritakan kekesalan abi dengan tindakan doktor yang tak kongsikan pada pesakit apa pelan tindakan susulan pada ibu mengandung dan mengapa tidak minta izin terlebih dahulu sebelum dimasukkan dos kali keempat. Akhirnya, abi dan abang tersebut bersama-sama salurkan aduan mengikut laluan yang sewajarnya. Kami brjumpa dengan pegawai perhubungan luar, kemudiannya dibawa bertemu dengan matron yang bertugas. Setelah itu, dibawa mendapatkan penjelasan daripada seorang doktor yang bertugas pada pagi tersebut. Alhamdulillah, tidak susah menyampaikan aduan melalui saluran rasmi.

Abi betul-betul rasa tak kuat sangat dah waktu tu. Bersyukur pada Allah, didatangkan kepada abi seorang demi seorang suami-suami yang abi buat rakan di bilik menunggu berjumpa abi. Seorang-seorang bagi semangat dan berkongsi kekuatan. Indahnya rasa persahabatan biarpun hanya kenal seketika. Benarlah, bersikap ramah tidak akan pernah merugikan sesiapa. Petang itu, ada seorang rakan yang anaknya dilahirkan secara pembedahan berjumpa dengan abi. Selepas mana abi luahkan keserabutan pada dia, dia dengan tenang beritahu anaknya ada tanda-tanda down syndrome dan dia belum beritahu pada isterinya. Abi tersentak sayang. Lagi-lagi setelah dia sebut pada abi; "Aku selalu ingat dua benda. Pertama, Allah tidak cipta sesuatu sia-sia. Kedua, Allah tidak jadikan suatu keadaan itu tanpa sebab." Entah mengapa, nasihat yang ringkas sedemikian dirasa sangat menyerap ke dalam lubuk hati dan serasa sangat ikhlas sekali dituturkan. Terima kasih ya Allah.

Sepanjang pagi umi sekali lagi tanggung kesakitan. Pada sebelah petang, doktor panggil untuk bertanya apa keputusan kami, adakah teruskan proses cetusan dengan memasukkan drip pitocin atau terus pada caeserean secara elektif. Doktor maklumkan, bukaan sudah melembut dan sudah membuka 2cm. Kami berbincang dan doktor kongsikan yang ada kes 4x prostin seperti ini juga, tetapi berjaya bersalin tanpa perlu caeserean kemudiannya. Beliau tidak boleh beri jaminan, tetapi tidak salah untuk mencuba. Biarpun umi seksa menanggung dua hari kesakitan diinduce, setelah berbincang umi tekadkan untuk meneruskan perjuangan cuba bersalinkan sayang secara normal. Biarpun pada awalnya kami dah bersedia untuk ceaser kerana ciri-ciri yang ada pada umi, ada padanya risiko terjadinya saiz kepala bayi tidak muat memasuki pinggul ibu (cephalopelvic disproportion). Tetapi semua orang mencadangkan untuk mencuba dahulu, supaya kita dapat pastikan benar-benar asumsi tersebut.

Maka malamnya jam 7.45 malam, umi dimasukkan drip pitocin di bilik bersalin. Abi mulanya menunggu sahaja di ruangan suami. Jam 10 malam abi jadi tak sedap hati. Abi segera masuk ke dalam, bertanyakan pada jururawat disana, rupanya abi dah boleh masuk teman umi. Bergegaslah abi ke bilik dimana umi ditempatkan. Ketika abi masuk, umi kelihatan tersangat-sangatlah tak mampu menahan sakit. Abi cuba kuatkan diri, tak mahu menangis depan umi. Selama 12 jam umi berjuang menahan kontraksi sehingga ada ketika doktor menaikkan kadar drip pitocin sehingga 90ml/jam. Bacaan tocogram menunjukkan 199* dan jarang-jarang dibawah 100. Allah..sakitnya isteriku. Merayu-rayu umi minta dihentikan, umi kata umi dah tak larat. Tapi jururawat yang ada tak bagi, doktor suruh cuba sampai 7.45 pagi. Abi sampai bergaduh dengan jururawat sebab nak minta dikurangkan kadar pitocin kepada hanya 45ml/jam sahaja setelah mana dah mencuba sehingga 9 jam, tapi tetap tak dibenarkan. Bukaan terhenti hanya pada 6 cm. Setelah 12 jam berjuang, umi dirujuk kepada pakar dan diarah untuk dihantar ke bilik bedah untuk ceaserian.

Sekali lagi abi tak mampu tahan tangisan. Tak sanggup bila kenangkan banyaknya kesakitan yg perlu dihadapi umi. Tapi umi tenang sahaja. Abi pula yang lebih-lebih. Kuatnya semangat dan jiwa umi.

Alhamdulillah pada jam 10.22 pagi, sayang selamat dilahirkan. Comel sangat. Terima kasih ya Allah kurniakan kepada kami cahaya mata yg amat berharga buat kami ini.

Sayang, tatkala kamu sudah besar nanti, ingatlah catatan ini, janganlah dilupa kesakitan umimu. Tiap kali tibanya hari jadimu, sampaikanlah ucapan tahniah dan terima kasih kepada umi, kerana pada dialah yang perlu disampaikan penghargaan tersebut.

Terima kasih ya Allah..Terima kasih isteriku atas pengorbananmu.

Fahaman Empat Humor (akhlat) dan Tabiat (mizaj) dalam Perubatan

"Mengapa kita tidak lagi memahami tubuh badan melalui fahaman empat bendalir (akhlat / humor)?"

Ini persoalan yang baik jika ingin meleraikan kekusutan dikotomi antara perubatan moden dan klasik. Bagi mendapatkan jawapan, salah satunya adalah dengan cuma memahami perubahan cara pandang mengenai fisiologi tubuh dan pathofisiologi penyakit  pasca kurun ke-18.

Jika kita tinjau New England Journal of Medicine and Surgery keluaran sulung pada tahun 1812. Antara esei yang dimuatkan di dalamnya adalah "Remarks on Angina Pectoris" tulisan John Warren dari Harvard. Kita akan mendapati bahawa sangat jauh berbeza pengetahuan kita mengenai sakit jantung pada hari ini berbanding generasi terdahulu.

Jelas sekali jika dibaca gejala-petanda sakit yang dinyatakan di dalam esei tersebut ianya merujuk kepada penyakit koronari jantung. Tetapi pada zaman tersebut, para doktor masih belum memahami punca kepada sakitnya dada tersebut. Biarpun melalui pembedahan postmortem telah mendapati penebalan pada dinding salur darah koronari pesakit-pesakit ini, tetapi disebabkan limitasi kepada pengetahuan fisiologi tubuh dan penyakit pada zaman tersebut, menyebabkan mereka belum mampu menemui jawapan.

Oleh kerana punca sakit itu sendiri belum dikenalpasti, maka rawatan yang mampu diberikan hanya berteka teki berdasarkan fahaman fisiologi ketika itu.

Terapi mengeluarkan darah (fasdu / bloodletting) dilakukan terhadap pesakit tersebut beberapa kali selain penggunaan beberapa bahan seperti opium, julap (laxative), asfetida dan silver nitrate. Berbanding hari ini rawatan bagi penyakit koronari adalah seperti thrombolytic, antiplatelet, beta blocker, pemasangan stent mahupun melakukan bypass.

Lihat, berbezanya kaedah rawatan itu dipilih bergantung kepada apakah asas kefahaman seseorang perawat itu dalam menjelaskan bagaimanakah tubuh berfungsi. Dari asas kefahaman tersebut, akan berbeza pula pandangan mengenai mengapa penyakit terjadi dan cara mengubatinya.

Mereka yang berpegang pada teori empat humor akan menumpukan perawatan untuk mengembalikan keseimbangan akhlat melalui penyingkiran lebihan bendalir dengan cara seperti berbekam atau memberikan makanan dengan sifat tertentu yang dianggap berkurangan dalam tubuh.

Pesakit yang menerima rawatan oleh penulis esei tersebut kemudiannya telah meninggal setelah serangan sakit jantung yang dialaminya semakin kerap dan lama.

Skeptisme

Pierre Louis yang berkhidmat di La Charite Hospital, Perancis telah melakukan pemerhatian terhadap keberkesanan mengeluarkan darah dalam merawat pneumonia sebagaimana yang sedia diamalkan. Didapati tidak ada beza prognosis pesakit samada melakukan bloodletting atau tidak. Hasil penemuan ini telah sedikit sebanyak menambah keraguan kepada beberapa pegangan fahaman perubatan yang digunakan.

Pertengahan kurun ke-19, semakin ramai tokoh perubatan mula berani mencabar fahaman semasa, dunia perubatan telah terdedah kepada sikap skeptisme yang makin ketara.

Sebagaimana petikan kata-kata Oliver Wendell Holmes Sr. pada tahun 1860:

"... I firmly believe that if the whole materia medica [medical drugs], as now used, could be sunk to the bottom of the sea, it would be all the better for mankind,—and all the worse for the fishes. "

Dapatan Pengetahuan Baharu

Penemuan demi penemuan terbaru dalam  lapangan cell pathology, pathophysiology dan bacteriology telah mengubah cara manusia memahami tubuh badan, penyakit yang dialami serta ubatannya.

Sebagaimana perubahan dari cara fikir terhadap penyakit berjangkit yang dianggap kerana udara kotor (teori miasma) kepada pembuktian kewujudan kuman melalui teori Pasteur dan Koch. Seterusnya usaha Ehrlich dalam mencari 'magic bullet' dalam mengubat penyakit, kemudiannya telah berhasil menemui Salvarsan untuk merawat Syphilis. Dapatan kajian-kajian ini telah mengubah cara kita memahami penyakit sebagai mempunyai cirinya yang khusus dan rawatannya yang tersendiri. Kemudiannya cara reductionist ini telah membuka satu persatu penemuan baharu mengenai penyakit dan ubatan sebagaimana yang kita lihat hari ini.

"Adakah ubatan yang digunakan perawat terdahulu tidak memberikan manfaat dalam merawati penyakit?"

Kemudian, timbul persoalan baharu yang memerlukan penjernihan agar sikap skeptik yang timbul tidak keterlaluan sehingga membakulsampahkan usaha tokoh terdahulu.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Hippocrates dalam The Aphorisms: "Life is short, the art is long and time is fleeting". Ilmu perubatan ini tidak pernah capai kesempurnaan. Teramatlah luas dan mendalam pengetahuan yang perlu digali. Usaha pemahaman mengenai kesihatan yang berlanjutan lama beribu tahun, telah membawa kita kepada tahap pengetahuan yang ada pada hari ini. Tetapi bukan bermakna ianya telah selesai dan lengkap.

Apa yang dirintis dan ditemui terdahulu, tidak pernah sia-sia. Jika terbukti tiada manfaat pada pengubatan, sekurangnya kita tahu apa yang tidak berkesan untuk mengubat.

Kerana, sesuatu ubatan ditemui kemujarabannya bukan hanya melalui faham pathophysiology suatu penyakit sahaja, tetapi banyak juga yang bermula daripada ketidaksengajaan mahupun ulangkali mencuba dari kegagalan demi kegagalan.

Terdapat ubatan harini diperolehi daripada hasil kajian orang terdahulu. Sebagai contoh aspirin (acetylsalicylic acid) yang diketahui fungsinya dalam meredakan demam dan keradangan semenjak zaman Hippocrates lagi. Beliau menyarankan mengunyah kulit kayu willow yang kemudiannya didapati mengandungi salicylate di dalamnya.

Biarpun sains harini dapat membuktikan sesetengah rawatan terdahulu boleh merawat penyakit tertentu, bahkan ada yang diekstrak bahan aktifnya untuk kegunaan ubatan. Perlu difahami, ianya tidaklah bermaksud kembali kepada penggunaan bahan alami yang asal sebagaimana yang digunakan oleh perawat terdahulu itu lebih berkesan, selamat dan lebih baik. Ada sebab bagi setiap struktur bahan aktif yang digunakan itu telah diubahsuai, sebagaimana acetylsalicylic acid lebih selamat dan kurang merengsa saluran permakanan berbanding pengambilan dalam bentuk salicylate. Tambahan pula, kita akan lebih mudah mengenal pasti apakah dosej yang selamat dan berkesan seterusnya membentuk standard bagi penggunaannya secara seragam.

"Jadi mengapa kita perlu belajar sejarah perubatan dan menekuni manuskrip perubatan klasik?"

Untuk menjawab persoalan di atas, kita perlu sedar bahawa therapeutic revolution yang berlaku pada kurun ke-19 itu baru sahaja berlaku dalam tempoh 100-200 tahun lamanya. Masih belum memadai untuk dikaji penulisan klasik daripada sepanjang zaman terdahulu sebelumnya. Ada banyak ubatan tradisi yang masih belum dikaji dan dibuktikan dari pelbagai budaya dan lokaliti.

Ingatkah lagi pada Youyou Tu yang dianugerahkan Nobel Prize pada tahun 2015 kerana berjaya menemui ubatan alternatif bagi rawatan Malaria melalui kajiannya terhadap herba tradisi cina 'qinghaosu' (artemisinin)?

Ini membuktikan bahawa masih banyak yang perlu digali dan pengkaji tidak perlu keterlaluan skeptik kepada perubatan tradisional.

Biarpun begitu usaha menerangkan mitos yang salah, amalan perawatan yang telah terbukti tiada asasnya serta kegiatan mempromosi pseudosains di kalangan masyarakat adalah suatu yang perlu diperhebatkan.

Kerana rata-rata yang membentuk 'perubatan alternatif' hari ini tidak ada asal yang kukuh. Samada mendakwa ianya tradisional (hakikatnya tidak, hanya dakwa dakwi menggunakan logik salah) ataupun mendakwa ianya dari penemuan saintifik terbaru (pseudosains).

Fenomena ini bukan suatu yang baru, semenjak zaman ar-Razi lagi telah wujud golongan sebegini. Zakaria ar-Razi telah menempelak perawat palsu yang menjual ubatan palsu. Ianya berterusan sepanjang zaman sebagaimana pada kurun ke 19 muncul golongan homeopathy, hydropathy dan sebagainya.

Melalui pembacaan sejarah, kita akan lebih mengenal betapa kerdilnya kita berbanding pengetahuan yang sedang cuba diraih demi kesejahteraan manusia ini. Kita akan lebih berlapang dada dan tidak terlalu mendabik dada ilmu perubatan yang ada hari ini adalah terbaik, dan bermudahan menolak segala yang luar dari lingkungan kebiasaan kita.

Ilmu perubatan bukanlah segalanya dalam meningkatkan kesejahteraan dan tahap kualiti hidup manusia. Sebagaimana yang pernah dikemukakan dapatan pemerhatian oleh Thomas Mckeown pada tahun 1962, bahawa penurunan insiden TB telah berlaku sebelum penemuan Streptomycin. Hasil permakanan yang semakin berkualiti, kecekapan pengurusan hasil kumbahan serta pengurusan bandar yang lebih baik telah membantu mengurangkan insiden penyakit. Penemuan ubatan yang mujarab pula membantu pembasmiannya.

Menanggapi Kedudukan Perubatan Tradisional Dengan Lebih Cermat.

Saya tidak menolak perubatan tradisional, bahkan saya sentiasa teruja mengambil tahu intipati perubatan Melayu khususnya.

Tetapi saya menjadi bimbang apabila melihatkan ramainya orang yang tidak mampu mengenal letak duduknya yang sebenar perubatan tradisional dan alternatif sehingga wujudnya persepsi yang tidak tepat dalam menanggapi peranan perubatan konvesional.

1. Ilmu perubatan merupakan pengetahuan yang diperolehi dikit demi dikit sepanjang zaman. Betapa kerdilnya manusia, kita tak mampu menggapai rahsia insan dalam satu-satu zaman semata. Hasil pengalaman serta ujikaji yang berterusan oleh pelbagai tokoh dan budaya dari setiap zaman telah membentuk pengetahuan yang kita kenali hari ini.

2. Yang mana telah berjaya dibuktikan berkesan melalui kaedah pembuktian yang benar dan telah dikenalpasti bagaimanakah mekanisme suatu perawatan itu berfungsi, itulah yang diterima sebagai ilmu perubatan yang shahih.

3. Benar ada fahaman perubatan yang disumbangkan dari sekian-sekian tamadun mahupun budaya tertentu. Tetapi kebenaran mengenai bagaimana fisiologi badan (tubuh beroperasi), pathofisiologi (penyakit terjadi) dan suatu bahan aktif dalam ubatan yang bertanggungjawab dalam  menghasilkan kesan tertentu yang diingini itu hanya satu.

4. Keupayaan yang terhad dalam memahami fungsi tubuh dan bagaimana penyakit terjadi oleh generasi terdahulu menyebabkan ada teori mereka dlm memahami tubuh terdapatnya kesilapan. Mempelajari sejarah evolusi perubatan sangat baik dalam membantu kita memahami perihal ini.

5. Bagi pengetahuan dalam kes-kes yang masih misteri bagi penyakit tertentu, ianya masih terbuka kepada teori-teori. Tetapi hendaklah dibuktikan dengan melalui disiplin ujian yang benar untuk dikatakan ianya teori yang boleh diterima pakai.

6. Kehadiran Islam memang benar telah membentuk paradigma yang baharu dlm dunia perubatan.

a) Mengikiraf kaedah perubatan yang punya pembuktian keberkesanan. Sebagaimana hadis Nabi saw yang menyatakan penyembuhan itu terdapat pada tiga rawatan; madu, bekam dan penyelaran.

Ibn Hajar dalam mensyarahkan hadis ini mengatakan, ianya tidaklah bermaksud rawatan itu hanya tiga ini sahaja. Ianya adalah usul ilaj (prinsip pengubatan).

Madu- perawatan melalui nutrisi yang baik mahupun bahan yang mampu merawat

Bekam- penyingkiran lebihan unsur dalam badan.

Penyelaran- intervensi seperti juga manipulasi tulang dan pembedahan.

Hadis ini juga beri isyarat pada kita bagaimana Islam mengkehadapankan kaedah rawatan yang punyai autoriti yang kuat sebagai benar. Menafikan secara tidak langsung penggunaan tangkal, kepercayaan hari/bulan tertentu sebagai waktu kesialan dsb.

b) Islam mengiktiraf ahli ilmu yang sebenar. Sebagaimana ayat Quran yang mengarahkan kita bertanya pada ahlinya jika kita tidak tahu.

Terzahir di dalam sirah Rasulullah saw, apabila pernah mengarahkan sahabatnya; Ubay b Kaab untuk mendapatkan rawatan daripada Harith ibn Kalada (seorang yahudi yang pernah menuntut di pusat pengajian Jundishapur, Parsi - ilmu perubatan yang berasal dari tradisi Yunani dibawa oleh golongan Nestorian yang dibuang dari Romawi)

c) Menjelaskan hakikat insan yang tidak hanya punyai fizikal semata. Tetapi turut wujudnya roh. Begitu juga alam Ghaib yang punyai interaksi dengan keadaan diri.

7. Walaupun begitu, untuk menyandarkan istilah perubatan Islam kepada beberapa jenis perawatan, bagi saya tidak tepat. Kerana bekam bukan berasal dari Islam, begitu juga penggunaan madu. Telah diamalkan sebelumnya lagi, cuma ianya menjadi istimewa di sisi kita kerana disebut oleh Baginda saw dan begitu juga di dalam al-Quran.

Begitu juga perubatan yang hadir di Baghdad dan munculnya tokoh-tokoh besar seperti ibn sina dan az-zahrawi. Saya lebih cenderung mengistilahkannya dengan panggilan perubatan yunani-arab. Kerana ianya adalah asimilisasi yunani-parsi-ayurveda.

8. Yang kita kenali hari ini dengan dikotomi dalam aliran perubatan sebagai perubatan islam, perubatan melayu, perubatan cina, perubatan barat dsb, adalah kerana masih terdapat pengamal perubatan yang mempelajari pengetahuan perubatan dari zaman tertentu. Sedangkan ilmu perubatan itu sifatnya sentiasa berkembang dan semakin baik pemahaman yang ada. Pengambilan pengetahuan yang dari suatu zaman klasik tanpa mengambil hirau perbincangan dan penolakan teori yang telah berlaku sepanjang zaman adalah suatu kezaliman kepada disiplin ilmu.

9. Perubatan bukanlah seperti ilmu agama yang bersumberkan wahyu. Semakin dekat dengan sumbernya adalah lebih baik dan asli. Perubatan bermula dari ketidaktahuan kepada tahu dan lebih diperhalusi dari masa ke semasa.

10. Biarpun begitu, mempelajari serta menggali khazanah keilmuan perubatan silam bukanlah sia-sia. Kerana tempoh dua ratus tahun selepas therapeutic revolution tidak memadai untuk menelaah semua tradisi perubatan dari semua budaya dan lokaliti. Masih banyak yang boleh ditemui. Sebagaimana pemenang hadiah Nobel pada tahun 2015 yang menemui alternatif ubat kepada malaria dengan mengkaji herba tradisi Cina. Justeru ianya bukan sia-sia, dan perlu diteruskan.

11. Tetapi janganlah pula kajian yang telah dilakukan ke atas kaedah rawatan tradisi untuk mengenalpasti apakah limitasi kegunaan dan apakah pula kontraindikasinya tidak diendahkan. Sebagai contoh jintan hitam (habatussauda), semasa zaman Ibn Qayyim itu sendiri mereka tidak gunakan dalam semua jenis penyakit. Mereka sesuaikan dengan fahaman fisiologi semasa. Begitu juga bekam, bukan semua keadaan menurut fahaman klasik perlukan bekam. Salah faham literalis dalam membaca perubatan klasik terkadang seolah tidak mengendahkan limitasi yang ada dan tidak menyuaikan rawatannya menurut fisiologi serta pathofisiologi yang sebenar. Ini sesuatu yang berbahaya dan kezaliman kepada ilmu.

Mandi Malam Penyebab Kepada Paru-paru Berair?

"Jangan mandi malam, nanti paru-paru berair"

Pesan orang-orang tua.

"Mandi malam tak akan menyebabkan paru-paru berair"

Katanya pula orang-orang muda dengan penjelasan terperinci melalui kacamata perubatan.

Adakah pesanan orang-orang tua ini langsung tiada kebenarannya? Ada 'Ya' dan ada yang 'Tidak'.

...

TIDAK BENAR

1. Liang roma akan terbuka di waktu malam, menyebabkan air terserap masuk dan boleh memasuki ruangan paru-paru.

2. Mandi air sejuk di malam hari menyebabkan bendalir dalam tubuh meruap naik ke dalam paru-paru seterusnya membasahinya.

...

BENAR

1. Paru-paru berair (pleural effusion) boleh terjadi akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Sistem kumbahan dan perpaipan zaman dahulu tidak seperti yang didapati hari ini. Air ditakung di pagi hari dan disimpan di bawah teduhan untuk kegunaan sepanjang hari. Keadaan ini membolehkan berlakunya pencemaran air dengan kuman dan kotoran. Terutamanya air yang telah tersimpan hampir seharian lamanya. Justeru penggunaan air mandi (bukan dari pancuran seperti hari ini dan diperolehi dari sumber air yang belum dirawat) di malam hari (air telah disimpan lama), boleh meningkatkan risiko jangkitan pada paru-paru.

2. Atau mungkin yang dimaksudkan oleh generasi terdahulu sebagai paru-paru berair itu adalah gejala lelah kerana penyakit asma yang dicetus oleh kesejukan. Maka dari pemerhatian rambang begini, telah dibuat kesimpulan umum bahawa mandi malam boleh menyebabkan masalah pada paru-paru.

3. Atau orang terdahulu apabila memberikan pantang larang, ianya hanya dikaitkan dengan sesuatu penyakit/bencana/malapetaka adalah untuk menakut-nakutkan anak-anaknya agar terjaga tingkah laku mereka.

...

Kesimpulannya, rata-rata petua serta pantang larang orang tua kita akan dapat singkapi kebenarannya apabila kita turut membaca bersama kacamata sejarah.

Silap kita apabila menyampaikan petua dari lisan ke lisan, dari satu generasi ke satu generasi tanpa cuba memahami asal-sebab yang menjadi sandaran kepada petua tersebut. Maka ternampaklah seakan nenek moyang kita terlalu dangkal dalam ilmu perubatan, realitinya tidak. Ini berpunca dari diri kita yang hanya pindahkan kata-kata secara literal.

Justeru, mandi malam tidak menyebabkan paru-paru berair, ianya hanya korelasi yang wujud pada zaman dahulu kerana perolehan sumber air tidak terawat serta kaedah simpanan yang boleh membiakkan pathogen dengan berlalunya masa.