Mutakhir ini isu berkenaan perlaksanaan hukuman jenayah syariah kembali
menjadi polemik di kalangan rakyat Malaysia. Jika sebelum ini perbincangannya
hanya berkisar relevensi mahupun hikmah yang terkandung di dalam
perlaksanaannya,pada hari ini hala tuju perbincangan telah melangkah ke satu
peringkat yang baru. Masyarakat mula tertanya-tanya di manakah ruang dan peluang
untuk perlaksanaannya di dalam kerangka perundangan sedia ada untuk menjadi
kenyataan.
Dunia maklumat yang lebih bebas dan terbuka memungkinkan kita melihat
reaksi dan respon yang berbagai dalam menanggapi isu ini. Kedengaran
suara-suara yang mengatakan bahawa perlaksanaan hukuman jenayah syariah adalah ultra
vires atau bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Suara-suara sama ini jugalah yang mencanangkan bahawa Malaysia adalah
Negara Sekular dan agama tidak wajar mencampuri urusan kenegaraan. Justeru itu,
artikel ini akan mengupas berkenaan apakah halangan yang wujud menurut aspek
perundangan dan apakah solusi disebalik cabaran tersebut bagi menjawab
kekeliruan yang timbul.
Artikel ini tidak hanya merujuk kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah
Kelantan (ii) 1993 sahaja, tetapi bersifat umum kepada mana-mana inisiatif
perlaksanaan hukuman jenayah syariah di Malaysia. Hukuman jenayah syariah yang
dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada hukuman Hudud, Qisas, Diyat dan
Takzir.
Pengenalan Ringkas Hudud, Qisas, Diyat dan Takzir.
1. Hudud
Terdapat 6 (atau 7, menurut sebahagian pendapat) kesalahan yang berada
di bawah Hudud. Antaranya adalah; Syurb (minum arak) ,Qazaf (tuduhan
zina) , Zina, Sariqah (mencuri) , Hirabah (merompak), Irtiddah
(murtad) dan bughah (pemberontakkan terhadap kerajaan).
2. Qisas
Kesalahan yang dikenakan hukum balas. Sebagai contoh; membunuh dibalas
dengan dibunuh, mencederakan dibalas dengan dicederakan.Persamaan antara
hukuman Hudud dan Qisas adalah ianya telah ditetapkan oleh Allah swt pada kadar
dan jenis hukumannya. Akan tetapi, Qisas hanya akan dilaksanakan sekiranya
dituntut oleh mangsa mahupun ahli keluarga mangsa.
3. Diyat
Hukuman diyat adalah bersangkutan dengan hukuman Qisas. Melalui hukuman
ini, pesalah perlu membayar ganti rugi kepada waris mangsa diatas kesalahan
terhadap mangsa. Kesalahan yang dikenakan hukuman Diyat adalah seperti;
pembunuhan tidak sengaja dan pembunuhan dengan sengaja tetapi telah dimaafkan
oleh keluarga mangsa daripada dikenakan hukuman Qisas.
4. Takzir
Merupakan hukuman terhadap kesalahan yang tidak ditetapkan kadar dan
jenis hukumannya oleh Allah swt. Tertakluk kepada kebijaksanaan ulil amri atau
pemerintah.
Halangan Perundangan
Meninjau sejarah usaha yang digerakkan bagi merealisasikan perlaksanaan
Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 Kelantan sebagai contoh, menunjukkan bahawa
terdapat berbagai rintangan yang wujud. Bukan sekadar dari sudut perundangan,
malah turut sama melibatkan pengaruh politik, pendidikan dan kefahaman rakyat
dalam isu ini. Akan tetapi, penulisan ini hanya akan membincangkan
halangan-halangan yang ada dari perspektif perundangan sahaja.
Di sini saya simpulkan bahawa terdapat tiga halangan untuk
dibincangkan:
- Perlembagaan Persekutuan
- Akta Mahkamah Syariah 1965 (pindaan 1984)
- Dewan Rakyat (Keinginan Politik)
Perlembagaan Persekutuan
Saya akan nyatakan beberapa pandangan daripada pelbagai pihak yang
menyatakan bahawa hukuman jenayah syariah bertentangan dengan Perlembagaan
Persekutuan secara satu persatu:
1. Jadual Kesembilan
Jadual Kesembilan Perlembagaan
Persekutuan adalah berkenaan senarai perundangan. Terdapat tiga senarai di
dalamnya; Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Ianya
menjelaskan pembahagian bidangkuasa persekutuan dan negeri.
Di dalam Senarai Persekutuan, butiran
keempat menyatakan bahawa undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah dan
pentadbiran keadilan adalah dibawah bidangkuasa persekutuan.
Manakala di dalam Senarai
Negeri, butiran satu pula menjelaskan bahawa:
“Kecuali mengenai Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang
diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama islam, termasuk hukum Syarak
…………kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai
Persekutuan……..tidak mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali
setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan….”
Berdasarkan Jadual Kesembilan, jelas
menunjukkan bahawa kesalahan jenayah seperti membunuh, merompak, mencuri yang
berada di bawah hukuman Hudud dan Qisas adalah di bawah bidangkuasa
persekutuan. Justeru itu, Negeri tidak boleh menggubal sebarang undang-undang
yang bercanggah dengan bidangkuasanya sepertimana yang dinyatakan di dalam Artikel
74 di dalam perlembagaan.
2. Artikel 4 dan Artikel 75
Di dalam Artikel 4 (1) ada
menyatakan bahawa:
“Perlembagaan ini ialah
undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan
selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak
sah setakat ketidakselarasan itu.”
Manakala, di dalam Artikel 75
pula menyebut:
“Jika mana-mana undang-undang
Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang perseketuan, maka
undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan
undang-undang itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.”
Pertindihan bidangkuasa yang
wujud di antara persekutuan dan negeri dalam perlaksanaan hukuman jenayah
syariah memungkinkan untuk perlaksanaannya tidak dapat dilaksanakan secara
keseluruhan.
3. Artikel 7
Artikel ini merujuk kepada larangan
terhadap double jeopardy atau wujudnya potensi bahawa mana-mana
warganegara boleh terdedah kepada perbicaran berulang terhadap kesalahan yang
sama.
Melalui perlaksanaan hukuman
jenayah syariah yang turut sama meliputi jenayah yang terletak dibawah
bidangkuasa negeri dan diadili melalui Kanun Keseksaan seperti kesalahan
mencuri, merompak dan membunuh, akan mendedahkan seseorang warganegara itu
kepada potensi dibicarakan di dua mahkamah yang berbeza; Mahkamah Sivil dan
Mahkamah Syariah pada kesalahan yang sama.
Perkara ini bercanggahan dengan
Artikel 7.
4. Artikel 8
Artikel ini merujuk kepada
kesamarataan. Tidak boleh terdapat sebarang diskriminasi terhadap warganegara
atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana
undang-undang kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh
perlembagaan.
Sebarang kanun hukuman jenayah syariah
yang hanya memperuntukkan kepada orang muslim sahaja adalah bertentangan dengan
prinsip kesamarataan yang terdapat di dalam Artikel 8 ini.
Akta Mahkamah Syariah 1965 (Pindaan 1984)
Akta ini telah memperuntukkan bahawa bidangkuasa Mahkamah Syariah
hanyalah:
1.
Terhadap kesalahan yang
diperuntukkan di dalam Jadual 9, Senarai Negeri sahaja.
2.
Had hukuman hanya sekadar;
3 tahun penjara, RM 5,000 denda dan 6 kali sebatan.
Bidangkuasa Mahkamah Syariah yang diperuntukkan melalui akta ini adalah
sangat rendah dan tidak mempunyai kuasa untuk mengadili kesalahan Hudud dan
Qisas menurut kadar dan jenis hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah swt.
Dewan Rakyat (Keinginan Politik)
Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa hukuman jenayah syariah
memerlukan pindaan Perlembagaan, dan terdapat juga pandangan yang berpegang
bahawa hanya perlu sekadar meminda Akta 355.
Artikel 159 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa sebarang pindaan
terhadap perlembagaan memerlukan undian 2/3 daripada ahli parlimen iaitu
sejumlah 148 undian. Manakala bagi sebarang pindaan akta mahupun sebarang
undang-undang selain perlembagaan hanya memerlukan undian majoriti mudah (112 undian).
Melihat kepada jumlah ahli parlimen muslim di Dewan Rakyat yang hanya
berjumlah 137 orang sahaja, ianya tidak mencukupi untuk memperolehi undian
majoriti 2/3 sekiranya diperlukan pindaan pada perlembagaan.
Sekiranya dipecahkan bilangan ahli parlimen muslim tersebut mengikut
blok oposisi dan kerajaan, maka kita akan mendapati bahawa Barisan Nasional
mempunyai seramai 101 orang dan 36 orang yang berbaki adalah daripada Pakatan
Rakyat. Disini jelas menunjukkan bahawa perlunya kerjasama dan kesepakatan ahli
parlimen muslim di dalam isu ini merentasi sempadan kepartian. Sekiranya tiada
kesatuan di dalam hal ini, maka menjadi kesukaran untuk meluluskan hatta
pindaan akta yang hanya memerlukan undian majoriti mudah.
Berdasarkan kepada tinjauan terhadap kenyataan rasmi mahupun tidak
rasmi pimpinan dan wakil-wakil setiap parti politik, potensi bagi sebarang rang
undang-undang berkenaan hukuman jenayah syariah pada ketika ini dapat
diluluskan adalah sangat tipis.
Bahkan, usaha untuk mendapatkan kelulusan Parlimen menjadi lebih sukar
sekiranya usul pindaan yang dibawa oleh persendirian bukan daripada kerajaan.
Menjadi kelaziman untuk speaker dewan mengutamakan usul yang dibawa oleh
kerajaan terlebih dahulu dan speaker mempunyai keupayaan tidak meluluskan untuk
dibahaskan sekiranya pada pandangannya bahawa usul tersebut bercanggah dengan
Perlembagaan Persekutuan.
Gambaran ini jelas menunjukkan bahawa kita selaku pendokong agama Allah
seharusnya perlu lebih bekerja keras dan tersusun dalam penyampaian penerangan
berkenaan kompenen hukuman jenayah syariah, bukan sekadar kepada masyarakat
muslim, tetapi turut sama kepada golongan bukan islam. Kefahaman mereka perlu
dibina dan salah faham perlu diperbaiki agar sokongan rakyat terhadap
perlaksanaan hukuman ini kukuh tanpa mengira status agama seterusnya menjadi
kuasa desakan kepada setiap ahli parlimen untuk merealisasikan aspirasi dan
mandat daripada rakyat.
Ruang dan Peluang Perlaksanaan Hukuman Jenayah Syariah
Pada penulisan ini saya bawakan tiga pandangan berkenaan jalan-jalan
yang ada bagi membolehkan hukuman jenayah syariah dapat diluluskan dan
dilaksanakan:
1. Pandangan Pertama: Melakukan
pindaan pada perlembagaan dan Akta Mahkamah Syariah.
Pandangan yang pertama ini
merupakan pandangan yang dipegang oleh majoriti pihak. Mereka berpandangan
bahawa perlu dipinda butiran satu pada Senarai Negeri dengan membuang perkataan
“…kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan…”
supaya perihal kesalahan Hudud dan
Qisas yang terdapat di dalam Senarai Persekutuan dapat dijalankan hukumannya
oleh Negeri melalui Mahkamah Syariah.
Kesannya, akan berlaku beberapa
pertindihan antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di dalam beberapa
kesalahan jenayah. Akan tetapi boleh diselesaikan sekiranya:
a.
Sebarang kesalahan yang
melibatkan pesalah muslim terhalang untuk diadili di Mahkamah Sivil dan akan
dibicarakan di Mahkamah Syariah. ATAU
b.
Siasatan akan dimulakan
oleh badan-badan tertentu dan laporan siasatan diserahkan kepada pendakwa raya untuk
ditentukan samada kes tersebut akan diadili di Mahkamah Sivil atau Mahkamah
Syariah sepertimana yang akan digunapakai di Negara Brunei.
Bagi merealisasikan perlaksanaan
hukuman jenayah syariah dengan menggunakan pandangan ini, kita memerlukan
undian sebanyak 148 undian daripada ahli parlimen.
2. Pandangan Kedua: Hanya
perlu melakukan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah sahaja.
Beberapa individu seperti Prof.
Aziz Bari dan Hanipa Maidin berpandangan bahawa tidak memerlukan kepada pindaan
perlembagaan, memadai dengan meminda Akta 355 sahaja dengan meningkatkan had
bidangkuasa Mahkamah Syariah.
Pandangan ini didasari beberapa
hujah:
a.
Tafsiran terhadap agama
Islam selaku agama persekutuan sebagai bersifat upacara (ceremonial)
semata-mata adalah silap dan perlu diberikan tafsiran baru yang bersifat ad-deen
(Islam sebagai suatu cara hidup). Ini adalah kerana tiada tafsiran berkaitan
agama Islam di dalam Artikel 160 yang berkaitan dengan tafsiran perlembagaan
mahupun di dalam Akta Tafsiran 1948. Bahkan, Perlembagaan Persekutuan bersifat sui
juris, bermakna ianya berdiri sendiri tanpa terikat dengan mana-mana
tafsiran mahkamah hatta Mahkamah Agung sekalipun.
Justeru itu, walaupun sebelum ini kita sering merujuk
kepada tafsiran yang digunakan oleh Mahkamah Agung di dalam kes Che Omar Che
Soh yang menyatakan bahawa Islam adalah bersifat upacara semata-mata, ini tidak
bermakna tafsiran baru yang lebih tepat dan berdasarkan al-Quran dan sunnah
tidak boleh dilakukan.
Kesan daripada tafsiran songsang ini telah mewujudkan
gambaran salah bahawa Negara Malaysia adalah Negara Sekular, secara tidak
langsung menimbulkan persepsi bahawa hukuman jenayah syariah tidak mempunyai
tempat di Negara ini.
b.
Agama Islam mempunyai
kedudukan yang istimewa di dalam perlembagaan. Kedudukan agama Islam dilindungi
berdasarkan Artikel 3, 8, 11, 12, 121 dan 150.
Di dalam Artikel 11
yang merujuk kepada kebebasan beragama ada menyatakan bahawa setiap warganegara
berhak menganuti dan mengamalkan agamanya. Adakah perlaksanaan syariat agama Allah
secara menyeluruh meliputi perundangan adalah bersalahan dengan perlembagaan
sekiranya tafsiran Islam sebagai ad-deen bukan lagi ceremonial telah dibuat?
c.
Walaupun di dalam butiran
satu Senarai Negeri telah menyebut dengan khusus satu persatu urusan keagamaan
selepas dinyatakan perkataan “Hukum syarak” . Akan tetapi bagi mereka
yang berpandangan dengan pandangan kedua ini berpendapat bahawa ianya tidak
menjadikan tafsiran “Hukum syarak” menjadi sempit dan khusus.
Kerana menurut Artikel 74 (4) jelas menyatakan bahawa
keluasan ungkapan am di dalam Jadual Kesembilan tidak boleh dihadkan oleh
mana-mana ungkapan khusus. Maka, meskipun selepas ungkapan “Hukum syarak”
telah disusuli dengan perincian seperti undang-undang kekeluargaan, zakat dan
sebagainya, ianya boleh ditafsirkan dengan lebih luas merangkumi Hudud dan
Qisas.
3. Pandangan Ketiga: Melakukan
pindaan terhadap Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Keterangan.
Pandangan yang ketiga merupakan
pandangan yang sangat baik akan tetapi agak terpencil dan kurang diketahui.
Kemungkinan kerana ramai pihak hanya menumpukan perhatian kepada peringkat
Negeri semata-mata.
Menurut pandangan ini, kesalahan
jenayah syariah yang sedia ada di dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) seperti
mencuri, merompak, merogol dan membunuh akan tetap diadili di Mahkamah Sivil.
Akan tetapi pindaan perlu dibuat terhadap Kanun Keseksaan dan Akta Keterangan
bagi menjadikannya patuh syariah.
Sebagai contoh, kesalahan
mencuri yang berada di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan dikenakan hukuman
maksimum penjara 7 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dipinda dengan
menambah had hukuman potong tangan di dalam pilihan hukuman.
Maka, penentuan samada seseorang
pesalah itu akan dikenakan hukuman dibawah takzir atau hudud adalah dibawah
Hakim. Susulan daripada itu,penambahbaikan Mahkamah Sivil seperti mewujudkan Syariah
Bench dan memastikan terdapat hakim yang berkelayakan di dalam ilmu
perundangan jenayah syariah perlu dibuat.
Akta Keterangan juga perlu
dipinda agar cara keterangan dan pembuktian menurut Islam dapat digunapakai di
Mahkamah Sivil.
Kesannya, tidak akan timbul isu
pelanggaran Artikel 7 (2) dan Artikel 8 dalam perlaksanaan hukuman jenayah
syariah. Bukan itu sahaja, malah perlaksanaannya meliputi seluruh Malaysia
bukan sekadar negeri-negeri tertentu sahaja.
Penutup
Polemik hukuman jenayah syariah yang melanda Negara kita telah
menyedarkan kita betapa usaha-usaha dalam memartabatkan syariah Allah di bumi
Malaysia amat mendambakan kesatuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak
daripada pelbagai lapangan kepakaran.
Semoga gerak kerja meninggikan kalimah Allah tidak terhenti hanya pada
isu ini, akan tetapi berterusan merangkumi keseluruhan aspek kehidupan samada
ekonomi, pendidikan, politik dan perundangan.