tok ilman
Pena bernyawa idea, Putus hayat tanpanya
Friday, July 28, 2017
Tayyib al-Ihsān fī Tibb al-Insān
Karya ini siap dikarang pada tahun 1312H / 1894M oleh Shaykh Wan Ahmad ibn Muhammad Zayn ibn Mustafa al-Fatani; seorang ilmuwan Nusantara yang hebat suatu ketika dahulu. Ketika usia beliau baru sahaja enam tahun, telah dibawa menetap di Makkah dan mempelajari pelbagai matan ilmu di sana. Beliau juga pernah berada di Mesir sekitar tujuh tahun sebagai pentashih salah sebuah matba'ah di sana.
Shaykh Wan Ahmad Fatani pernah direkodkan mendapat pendidikan di dalam bidang perubatan daripada Shaykh 'Abd al-Rahim al-Kabuli yang berasal dari Afghanistan sebagaimana yang dinyatakan oleh pengkaji serta perumi kitab ini, iaitu Dr. Mohd Affendi Mohd Shafri.
Kitab ini turut dinamakan di dalam bahasa Melayu dengan judul; "Pembukaan Mata Hati pada Bicara Mengubati".
Cetakan yang ada pada saya ini merupakan terbitan bersama Khazanah Fathaniyah dan Klasika Media, cetakan tahun 2015. Teks jawi ada diterbitkan oleh Khazanah Fathaniyyah, cetakan tahun 2007.
Kandungan buku:
•Kata-kata pengantar
•Pendahuluan
•Latar belakang ringkas Shaykh Ahmad al-Fatani
•Pengenalan
(Isi kitab)
Fasal 1-14 (Bermula dari asas perubatan seperti pengetahuan mengenai akhlat, mizaj, alamat kemudiannya cara merawati penyakit-penyakit disusun bermula dari anggota kepala hingga ke kaki)
...
Ulasan
1. Dari keseluruhan koleksi kitab perubatan Melayu yang saya miliki, buku terbitan Klasika Media adalah yang paling saya gemari. Di antara semua cetakan Klasika Media, inilah kualiti cetakan yang paling terbaik pada pandangan saya. Bermula dari jenis kulit buku, kualiti kertas, penggunaan font dan penyusunan isi kandungannya segalanya terbaik.
2. Sebelum masuk pada teks kitab yang telah dirumikan, Dr. Mohd Affendi telah menitipkan pengenalan kitab yang sangat bermanfaat dan mengujakan.
Beliau bawakan sejarah ringkas asal-usul perubatan sebelum menerangkan keunikan warisan perubatan Melayu.
Paling saya anggap berguna adalah senarai karya yang berkait dengan tema perubatan Melayu samada kitab klasik seperti kitab al-Rahmah fi al-Tibb, Hikayat Nur al-Lisan, fasal ketujuh dalam Bustan a-Salatin, anekdot-anekdot di dalam Sulalat al-Salatin dan Hikayat Acheh. Begitu juga turut diperkenalkan judul-judul buku terdahulu yang pernah menyentuh perihal perubatan Melayu seperti Some Superstitious Beliefs in Malay Medicine, A Curious Kelantan Charm, Malay Poisons and Charm Cures, The Medical Book of Malayan Medicine dan A Dictionary of Malayan Medicine.
Ianya membantu saya untuk mengenalpasti apakah karya yang perlu di cari pada masa akan datang untuk lebih memahami dengan lebih jelas perubatan Melayu.
3. Pada permulaan kitab ini, Shaykh Ahmad Fatani menjelaskan beberapa sebab mengapa beliau memilih untuk mengarang kitab ini:
•Sangat sedikit karya di dalam bidang ini yang boleh dirujuki oleh warga Nusantara pada ketika zaman itu.
•Jika adapun, banyak yang dicemari kaedah perawatan yang disulami unsur khurafat.
•Mereka yang mahir dalam bidang ini bakhil dalam menurunkan pengetahuan yang ada pada mereka kepada generasi kemudian.
•Banyaknya khasiat dari segala hasil bumi di tanah melayu itu tidak diketahui, menyukarkan ramainya orang yang memerlukan untuk tahu dlm bidang ini memanfaatkannya.
4. Penulis juga turut memuatkan harapannya agar:
•Akan ada individu yang terbuka hatinya untuk bersungguh-sungguh mengkaji segala khasiat kayu-kayan serta tumbuh-tumbuhan yang ada di bumi Melayu sebagaimana yang telah dilakukan oleh hukama Yunani dan Arab sebelum ini.
•Raja-raja Melayu (pemerintah) membantu menggemarkan manusia untuk melibatkan diri dalam bidang ini serta membantu mereka.
5. Kitab ini sesuai sebagai pemula kepada mereka yang berminat untuk mengenali asas perubatan (melayu). Ianya tidak memuatkan perbahasan panjang mengenai akhlat, mizaj, nadi dan qarubah.
6. Penulis berusaha memastikan kitabnya mempunyai sandaran sumber yang muktabar. Pembaca akan mendapati bahawa penulis amat cermat dalam menyatakan sumber bagi setiap kaedah rawatan yang dituliskan di dalam kitabnya.
Antara kitab rujukan yang digunakan oleh penulis:
•Tadhkirah Suwaydi & Mukhtasarnya oleh al-Sha'rani
•Qalyubi bi Tasrif
•Al-Rahmah fi al-Tibb wa al-Hikmah
•Tadhkirah al-Dawud al-Antaki
7. Kaedah susunan penyakit menurut anggota badan bermula atas sehingga ke bawah menggunapakai kaedah susunan oleh Suwaydi (merupakan murid kepada Ibn Baytar) dalam kitab Tadhkirahnya. Penulis merangkumkan beberapa kaedah yang boleh didapati dari berbagai kitab bagi merawati setiap penyakit.
8. Terdapat beberapa bahan tertentu yang pembaca akan menemui penggunaannya dalam banyak penyakit, seperti madu, cuka, afyun, daun bilam, merah telur, minyak lembu dan kayu gaharu.
9. Terdapat beberapa rawatan yang menggunakan najis seperti tahi lembu (untuk sakit sendi), air kencing unta dicampur air susu unta (untuk busung perut) dan air kencing manusia.
10. Terdapat juga kaedah rawatan yang agak menarik untuk diteliti perbincangannya menurut kacamata syarak seperti menggantung bahan-bahan tertentu pada leher dan menggunakan tanah dari kubur orang yang mati dibunuh.
Monday, July 24, 2017
"Avicenna Medicine - A New Translation"
Buku setebal 462 mukasurat ini merupakan teks terjemahan kitab Qanun fi al-Tibb jilid pertama, serta turut dimuatkan beberapa syarahan dari tim penulis. Penulisan buku ini diusahakan bersama antara Mones Abu Asab, Hakima Amri dan Marc S. Micozzi.
Tujuan kitab Qanun ini diterjemahkan sekali lagi adalah untuk menampung kelemahan penterjemahan yg dibuat penterjemah sebelum ini seperti Oskar Gunner, Mazhar M. Shah dan Laleh Bakhtiar. Di samping ingin mencuba berikan beberapa penjelasan saintifik untuk memahami konsep-konsep di dalam perubatan unani.
Susunan dalam buku dikekalkan sebagaimana dalam teks asal, cuma terdapat sedikit perbezaan:
• Bab mengenai anatomi badan tidak dimasukkan di dalam buku ini.
•Bab mengenai organ dan fakulti hanya dirumuskan menggunakan pemahaman penulis, tanpa menterjemahkan teks per se.
•Hampir setiap bab akan dimulai terlebih dahulu syarahan dan komentar daripada tim penulis. Samada berbentuk rumusan mahupun cubaan memadankan teori sains terkini dengan apa yang diutarakan oleh Ibn Sina.
Kitab Qanun fi al-Tibb jilid pertama mempunyai 4 bahagian.
Bahagian 1: Definisi Perubatan & Topik Di Dalamnya.
• Elemen asas (Usul)
• Tabiat keadaan diri (Mizaj)
• Bendalir tubuh (Akhlat)
• Organ tubuh
• Fakulti dan tindakan (Quwa wa Af'al)
Bahagian 2: Penyakit, Asbabnya & Petanda Umum Mengenainya.
• Penyakit
• Asbab
• Gejala & Petanda
Dua bahagian pertama ini adalah teori Perubatan menurut Ibn Sina.
Bahagian 3: Kesihatan, Sakit & Kematian
• Membesarkan anak
• Regimen kesihatan untuk dewasa
• Pengurusan kesihatan warga emas
• Pengurusan tubuh yang hilang keseimbangan tabiat
• Peralihan musim dan pengembaraan.
Bahagian 4: Aspek-aspek Dalam Rawatan Untuk Penyakit Yang Umum
• Emesis
• Julap
• Penyingkiran darah (venesection)
• Bekam
• Penggunaan lintah
• Penyelaran
Dua bahagian kedua ini pula teori mengenai praktikal di dalam merawat
...
Ulasan awal
1. Sepanjang marathon menghabiskan buku-buku genre sejarah perubatan ini, paling saya takuti adalah membaca teks perubatan klasik. Kerana saya akan menemui percanggahan cara faham mengenai perubatan sedia ada dengan apa yang dibaca. Perkara ini akan buat saya rasa tak senang, meronta-ronta ingin tahu mengapa dan kenapa perawat tradisional boleh berbuat begini dan begitu. Lebih malang lagi, saya belum bersedia untuk luangkan masa yang lebih panjang untuk telaah dan mencari jawapan di sebalik persoalan-persoalan yang panjang di sebalik pembacaan ini. Kerana saya masih ada komitmen pada pelajaran formal. Membaca teks klasik akan buatkan fikiran saya berakhir dengan kelesuan, kerana sukar untuk memahami dengan laras faham perubatan zaman dahulu.
2. Tim penulis cuba untuk mempertahankan beberapa teori klasik yang dianggap remeh dan tidak diberikan perhatian sewajarnya, iaitu mengenai teori bendalir (humor / akhlat). Begitu juga pemahaman Ibn Sina mengenai haba dan kelembapan yang tim penulis cuba kaitkan dengan proses penghasilan tenaga dalam mitochondria. Tetapi sejujurnya, cubaan ini tidak berapa menjadi dan tidak cuba diperluaskan dalam menjelaskan mengapa dan bagaimana ramuan ubatan serta kaedah rawatan yang disarankan oleh Ibn Sina dalam bahagian ketiga dan keempat mampu berkesan sebagai rawatan.
3. Ada beberapa tohmahan yang dibuat terhadap amalan perubatan harini untuk menampakkan pemahaman dan amalan perubatan unani adalah lebih baik. Seperti berikut:
• "His system of pathology was based on figuring out the causes of illness, not focusing on the symptoms or the end-stage appearance of damaged tissues, as modern allopathic medicine emphasizes" (m/s 2)
-Tidak benar, sedangkan perubatan hari ini menekankan pengenalpastian punca penyakit dengan berpandukan gejala-petanda yang ada.
•"...like we were used to seeing in the middle of the twentieth century? Why are the 'blockbuster' drug of recent decades not the safe, therapeutic breakthrough our parents had to come to trust in?" (m/s 19)
-tim penulis cuba menimbulkan persepsi buruk mengenai ubatan moden dengan kemudiannya menambah "..they damage the mitochondria". Jika kita telusuri sejarah therapeutic revolution, ianya tidaklah selamat seperti yang digambar penulis sehingga amat diyakini oleh generasi mak ayah kita. Bahkan hari ini lebih terkawal keselamatannya dengan polisi serta peraturan yang ada.
• " This contrast with the one-drug fits all paradigm of allopathic pharmacology of the WMS" (m/s 9)
-Tim penulis cuba membezakan kononsnya perubatan unani membahagikan penyakit kepada empat fasa, dan kaedah rawatan bagi setiap fasa adalah berbeza. Dakwanya, kaedah sebegini tidak ada dlm perubatan hari ini yang menggunakan paradigma 'one drug fits all'. Amatlah menyeleweng dakwaan ini, sedangkan di dalam memahami penyakit, kita juga memahami fasa-fasanya seperti dalam penyakit. Dan ubatan yang diberikan juga berbeza. Begitu juga setiap individu akan disesuaikan ubatan yang diterima, samada pada dosej atau kumpulan jenis.
Ada lagi beberapa bahagian lagi cubaan untuk menempel persepsi salah seperti terlalu bergantung pada keputusan makmal sehingga tidak mampu akses kesihatan pesakit yang terkini ketika berhadapan. Begitu juga hanya fokus pada mengawal angka-angka dalam keputusan makmal, tetapi tidak cuba merawati punca penyakit.
Beberapa penyataan-penyataan yang dibuat oleh tim penulis ini sedikit sebanyak menyebabkan saya luntur kepercayaan terhadap keupayaan tim penulis untuk berlaku adil dalam mengkehadapankan perubatan tradisional (atau unani dalam hal ini).
...
Bahagian 1
Ibn Sina mendefinisikan perubatan sebagai ilmu mengenai keadaan tubuh manusia. Apakah yang menjadikan ianya sihat, dan apakah pula yang menyebabkan ia kehilangannya.
Biarpun Galen membahagikan tahap kesihatan tubuh kepada tiga; sihat, tidak sihat dan diantaranya. Tetapi Ibn Sina tidak bersetuju dengannya dan menganggap klasifikasi ketiga itu tidaklah perlu dalam perubatan. Akan tetapi tidaklah Ibn Sina menggugurkan terus teori tersebut daripada bukunya. Dijelaskan klasifikasi ketiga tersebut merujuk kepada orang tua dan mereka yang baru hendak sembuh dari penyakit.
UNSUR. Seperti teks perubatan klasik yang lain, penumpuan pertama dalam buku mereka adalah mengenai asas sains mengenai alam. Dijelaskan mengenai elemen (tim penulis tidak bersetuju penggunaan istilah eleman, lebih cenderung menggunakan istilah asal-usul) yang terdiri daripada tanah (sejuk & kering), air (sejuk & lembap), udara (panas & lembap) dan api (panas & kering).
TABIAT. 4 akhlat (darah, hempedu kuning, hempedu hitam dan dahak) akan membentuk 9 variasi tabiat badan (1 seimbang, 4 tidak seimbang yang ringkas, 4 tidak seimbang yang kompleks).
Ibn Sina berulangkali menekankan bahawa bukan tugas perawat untuk mencari tahu kebenaran disebalik teori unsur dan bendalir ini, kerana ianya tugas ahli sains dan falsafah.
Ibn Sina selanjutnya menjelaskan perbezaan tabiat badan menurut jenis spesies, bangsa dan lokaliti. Dikatakan yang mempunyai tabiat badan paling seimbang adalah mereka yang tinggal di garisan khatulistiwa dan mereka yang tidak tinggal berhampiran laut mahupun gunung-ganang.
Ibn Sina juga menerangkan perbezaan tabiat keadaan setiap organ dalam tubuh yang mempunyai kepanasan, kesejukan, kelembapan dan kekeringan yang tersendiri.
Ibn Sina membahagikan hayat manusia kepada empat:
1. al-Hadathah, kemudian terbahagi kepada empat -
•bayi (sebelum boleh berdiri)
•bayi (setelah boleh berdiri)
•kanak-kanak
•remaja (akil baligh)
2. al-Shabab (sebelum 30 tahun)
3. al-Muktahilin (>30 tahun)
4. al-Shuyoukh (>60 tahun)
Seawal kelahiran, manusia keadaanya lembab dan panas. Semakin meningkat usia, akan menjadi semakin kering dan sejuk.
AKHLAT. Bendalir ini berasal daripada makanan. Selain daripada 4 yang asas ini, Ibn Sina menambah dua lagi bendalir; yang mudah difahami hari ini sebagai intracellular dan extracellular fluid.
Tim penulis ada menjelaskan bahawa 4 humor ini bukanlah berasal sepenuhnya daripada Yunani, kerana teori hempedu hitam datangnya dari tamadun Mesir purba. Diperkenalkan ke Yunani oleh Thales yang mempelajari perubatan di Mesir.
Setiap akhlat mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri dan boleh menjadi rosak atas beberapa sebab.
ORGAN. Ibn Sina jelaskan terdapat tiga jenis organ; yang hanya punyai tindakan (cth: jantung), yang hanya menerima manfaat (cth: paru-paru) dan yang mempunyai keduanya (cth: hati).
FAKULTI. Apa yang dimaksudkan sebagai fakulti adalah keupayaan dan fungsi sesuatu orang itu. Terdapat tiga kumpulan fakulti.
...
Bahagian 2
PENYAKIT. Ibn Sina mendefinisikan sebagai keadaa tubuh yang tidak normal sehingga menggangu fungsi tubuh. Ianya samada disebabkan ketidakseimbangan tabiat atau gangguan pada struktur tubuh.
KELAS. Terdapat dua kelas penyakit; ringkas & kompleks. Ringkas terbahagi kepada tiga:
•Ketidakseimbangan tabiat . Terdapat 16 pembahagian dibawahnya.
•Struktur. Terdapat 4 pembahagian dibawahnya.
•Terputus kesinambungannya.
FASA. Terdapat empat fasa bagi sesuatu penyakit.
1. Permulaan
2. Krisis
3. Mendatar
4. Penyembuhan
NAMA. Penyakit diberikan nama berdasarkan; organ yg terlibat, gejala yang dizahirkan, punca, analogi, individu yang menemuinya, nama tempat ianya berlaku ataupun individu yang berjaya merawatnya.
PUNCA. Terdapat tiga punca penyakit:
1. Keadaan tubuh yang berisiko berpenyakit. (al-Sabiqah)
2. Punca luaran. (al-Badiah)
3. Punca dalaman. (al-Wasilah)
ENAM TUMPUAN. Terdapat enam faktor yang perlu diberikan tumpuan untuk mengekalkan kesihatan mahupun merawat penyakit:
1. Udara
2. Makan & minum
3. Tidur & jaga
4. Pergerakan badan
5. Penghasilan & penyingkiran
6. Aktiviti psikologi
UDARA. Ibn Sina syarah panjang mengenai faktor ini. Dijelaskan bagaimana perubahan musim, perbezaan lokaliti dan arah tiupan angin memberikan kesan kepada kualiti udara. Diterangkan juga ciri-ciri udara yang baik dan berkualiti.
TIDUR. Ianya menguatkan keupayaan tubuh, merehatkan fikiran serta mengekang penyingkiran berlebihan. Tetapi tidur berlebihan akan membawa kepada ketumpulan fikiran, memberatkan kepala dan terdedah kepada penyakit-penyakit sejuk sifatnya.
MAKAN. Terdapat empat darjah kesannya terhadap tubuh:
Darjah pertama - tidak menimbulkan sebarang perubahan pada tubuh. (Melainkan dinaikkan dos)
Darjah kedua - Memberikan kesan pada tubuh tetapi tidak berbahaya.
Darjah ketiga - Mendatangkan kesan bahaya, tetapi tidak sehingga membawa penyakit mahupun kematian.
Darjah keempat - Berbahaya sehingga boleh bawa pada penyakit mahupun kematian.
KELAS MAKANAN; perubatan, khasiat dan racun. Begitu juga dibahagikan menurut keberatan sifatnya; ringan, sederhana mahupun berat.
AIR. Yang terbaik adalah dari mata air yang mengalir deras di atas tanah liat (berbanding batuan) yang terdedah kepada cahaya dan udara yang baik serta alirannya menghala ke utara. Air yang tidak baik kualitinya adalah yang terperuk lama di suatu tempat dan mengalir ke arah barat atau selatan. Untuk membaiki kualiti air dan mengelakkan kembung perut, hendaklah dijerang terlebih dahulu air sebelum diminum.
GEJALA-PETANDA. Ibn Sina menjelaskan hampir 32 gejala penyakit dan sebabnya. Kemudian dihuraikan lebih panjang mengenai petanda yang didapati pada denyutan nadi, air kencing dan tahi.
10 INDIKATOR. Terdapat 10 kaedah untuk menentukan jenis ketidakseimbangan tabiat yang sedang dihadapi oleh pesakit:
1. Melalui sentuhan.
2. Komposisi tubuh pesakit (daging dan lemak)
3. Rambut (kadar tumbuh, warna dan kelebatan)
4. Warna kulit
5. Rupa cita organ
6. Kadar reaksi organ
7. Jaga & tidur
8. Tahap fungsi-fungsi tubuh
9. Keadaan bahan kumuh yang disingkir
10. Tahap fungsi psikologi
NADI. Terdapat 9 ciri perlu diperhatikan:
1. Kadar pengembangan dan pengecutan.
2. Kekuatan
3. Kelajuan
4. Keanjalan
5. Isi padu
6. Suhu
7. Tempoh masa diastole
8. Keseragaman
9. Rentak
AIR KENCING. Sebelum diterima sebagai sampel, hendaklah dipastikan:
1. Diambil seawal pagi
2. Tidak ditinggalkan lama (Majoriti mengatakan tidak melebihi 6 jam, tetapi Ibn Sina menetapkan tidak lebih dari 1 jam)
3. Hasil kencing yang ditahan semalaman
4. Tidak makan dan minum sebelumnya
5. Tidak diambil sebarang bahan yang boleh mengganggu warna kencing
6. Tidak di ambil makanan yang boleh mempengaruhi penyingkiran humor tertentu
7. Pesakit tidak banyak bergerak atau melakukan kerja berat sebelumnya.
ASPEK yang perlu diberikan perhatian:
1. Warna
2. Tekstur
3. Kejernihan
4. Pemendapan
5. Kuantiti
6. Bau
7. Buih
TAHI. Terdapat lima aspek perlu diperhatikan:
1. Kuantiti
2. Tekstur
3. Warna
4. Waktu
5. Keadaan ketika membuang (bunyi etc)
...
Bahagian 3
CABARAN. Terdapat dua cabaran dalam penjagaan kesihatan:
1. Kehilangan kelembapan asal tubuh dari masa ke semasa. (alami)
2. Kerosakan pada kelembapan. (penyakit)
7 LANGKAH.
1. Mengembalikan keseimbangan tubuh
2. Memakan makanan yang baik
3. Menyingkirkan bahan kumuh
4. Memelihara struktur tubuh
5. Menghirup udara yang berkualiti
6. Meningkatkan kualiti persekitaran
7. Meningkatkan latihan yang baik kepada fizikal dan mental
BAYI. Penjagaannya bermula dengan pemotongan tali pusat (4 jari jarak dari pusat). Mandian pertama dengan air dengan sedikit campuran garam. Hidung dan lubung punggung dibersihkan menggunakan jari yang dipotong kukunya. Mata dibersihkan menggunakan kain sutera. Bayi dibedung dengan cermat, yang perlu dikejapkan, dikejapkan, yang perlu dilonggarkan, ianya perlu dilonggarkan. Kepala ditutup. Ketika tidur ditinggikan sedikit kepalanya. Titiskan minyak zaitun dara ke dalam hidung.
SUSU. Bayi disusukan seawal mungkin. Lebih baik diberikan sedikit madu sebelum susuan. Jika ibunya masih tidak berapa segar selepas bersalin, diberikan anaknya kepada ibu susuan. Ibn Sina mensyarahkan panjang ciri-ciri ibu susuan yang baik. Tempoh susuan adalah selama 2 tahun.
PENYAKIT UMUM KANAK-KANAK. Ibn Sina menerangkan kaedah merawat penyakit yang berbagai seperti bengkak gusi, cirit birit, sembelit, sawan, batuk, selsema dan sakit perut.
AKHLAK. Ditekankan selepas kanak-kanak menjejak umur 6 tahun, hendaklah diperkenalkan dengan guru.
KESIHATAN DEWASA. Penjagaan kesihatan dewasa adalah sekitar tiga perkara: senaman, permakanan dan kawalan tidur.
SENAMAN. Aktiviti terbaik untuk mengelakkan pengumpulan humor.
JENIS. Ada ringan (berbuai, berlayar) dan ada yang sederhana (tunggang kuda, main pedang, lontar lembing) dan ada yang berat (berlari). Setiap organ ada senamannya tersendiri dan setiap keadaan individu ada jenis senaman yang bersesuaian.
MASA. Memulakan senaman selepas selesai pencernaan tahap pertama (ada empat tahapan menurut Ibn Sina). Berbahaya melakukan senaman dalam keadaan perut kosong atau baru sahaja makan. Setiap musim ada waktu terbaik yang tersendiri untuk bersenam (panas - pagi, bunga - tengahari, sejuk - petang)
TEMPOH. Bersenam sehingga peluh mulai kelihatan. Berhenti apabila tubuh mula rasa berat.
URUTAN. Terdapat dua fokus; merenggangkan yang tegang dan melembutkan yang keras. Jika sering diurut akan memudahkan penurunan berat badan, jika secara berkala sederhana, akan meningkatkan kesuburan.
MANDI. Jika hendak tambah berat badan, mandi selepas makan. Tetapi hendaklah diambil sakanjabin (untuk tabiat panas) atau ramuan pennyroyal dan lada (untuk tabiat sejuk) sebelum melakukannya. Untuk mengurangkan berat badan pula, bolehlah mandi dalam keadaan lapar. Untuk pengekalan kesihatan, hendaklah mandi selepas selesai pencernaan makanan. Selepas mandi air panas, elakkan minum minuman sejuk.
MAKANAN. Tidak mengambil makanan berciri ubatan seperti sayuran hijau kecuali perlu. Daging kambing muda, gandum yang bersih, manisan mengikut kesesuaian tabiat dan minuman herba yang segar adalah regim diet yang terbaik untuk orang dewasa. Hendaklah makan hanya ketika lapar. Makan makanan bersifat panas semasa musim sejuk, dan sebaliknya. Jangan makan sebelum hidangan makanan sebelumnya belum selesai dicerna. Jika terlebih makan pada suatu hari, hendaklah berpuasa pada esoknya dan dapatkan tidur yang panjang. Jangan makan makanan yang ringan sifatnya jika baru sahaja makan makanan yang berat sifatnya. Hanya minum setelah selesai pencernaan pertama. Sayuran pahit sesuai di musim sejuk, manakala yang tiada rasa sesuai di kala musim panas.
MINUMAN. Terbaik adalah yang sederhana sejuknya dan disejukkan dari luar. Bukan yang datang dari cairan ais, ianya berbahaya. Dilarang minum ketika perut sedang kosong selepas bangun pagi. Ibn Sina kemudiannya panjang mensyarahkan mengenai wain, jenis dan khasiatnya.
TIDUR & JAGA. Tidur yang terbaik adalah selepas cernaan makanan yang pertama dan sederhana tempohnya. Tidur dalam keadaan perut kosong adalah tidak baik, begitu juga tidur dalam keadaan perut penuh. Dilarang berjaga tanpa tidur dalam tempoh yang lama.
KELESUAN. Ibn Sina kemudiannya menjelaskan cara-cara untuk menghilangkan kelesuan dengan menerangkan jenis-jenisnya terlebih dahulu dan apakah rawatannya.
PENJAGAAN ORANG TUA. Mereka memerlukan makanan yang lembap dan sederhana panasnya. Perlu mendapatkan tidur yang panjang dan cukup, serta dipastikan sentiasa dapat dibuang air kencing dgn kerap. Selain itu hendaklah dipakaikan wangi-wangian dan kerap diurut secara sederhana kekuatannnya.
PENJAGAAN MENGIKUT MUSIM.
Musim bunga: lakukan penyingkiran darah (venesection), jauhi makanan yang lembap dan panas, ringkaskan bentuk hidangan dan senaman lebih kuat berbanding semasa musim panas.
Musim panas: Kurangkan makan, minum dan senaman. Gunakan bahan-bahan yang menyejukkan badan. Lakukan rawatan emesis (membersihkan perut melalui muntah). Duduk dalam redup matahari.
Musim luruh: Jauhi bahan makanan yang kering sifatnya. Jauhi perhubungan seks.
Musim sejuk: Banyakkan senaman, makan. Lakukan proses rawatan melalui cetusan muntah.
PESANAN BUAT PENGEMBARA. Biasakan diri dengan makanan yang akan dimakan sepanjang perjalanan. Tambah cuka ke dalam air untuk kurangkan dahaga. Renjis air ros ke muka setiap sejam untuk kesegaran sekiranya perjalanan dalam musim panas.
...
Bahagian 4
RAWATAN boleh dilakukan melalui tiga cara:
1. Permakanan & pengurusan kendiri
2. Ubatan
3. Manipulasi secara manual
MAKAN & SAKIT. Perawat boleh mengarahkan pesakit untuk mengurangkan makan, atau tidak makan agar tubuh badan tidak disibukkan dengan pencernaan. Agar proses penyembuhan lebih lancar.
PRINSIP UBATAN. Terdapat tiga prinsip perlu dijaga dalam menentukan bentuk ubatan yang akan diberikan:
1. Tentukan tabiat ubat (panas, sejuk, lembap dan kering)
2. Dos. Ditentukan berdasarkan darjah ubatan dan beratnya.
3. Waktu pemberian.
Sakit dari organ yang tanpa ruangan di dalamnya dan tiada akses terhadapnya paling memerlukan ubatan paling kuat.
Begitu juga jarak antara perut dan organ yang berpenyakit memainkan peranan dalam menentukan dosej ubatan.
EMESIS. Membersihkan perut melalui cetusan muntah. Tidur yang lena selepas proses emesis adalah petanda badan telah dibersihkan dengan baik. Mereka yang tidak dibenarkan untuk dilakukan rawatan emesis adalah mereka yang mempunyai masalah pada pernafasan. Waktu terbaik untuk rawatan ini adalah pada tengahari semasa musim panas. Selepas proses rawatan, pesakit bolehlah berkumur dan membasuh muka dengan cuka yang cair larutannya.
JULAP. Membersihkan usus melalui cetusan cirit. Pesakit hendaklah mandi beberapa hari sebelum rawatan untuk melembutkan humor yang ingin dibuang. Boleh juga mendapatkan urutan terlebih dahulu untuk melancarkannya. Sekiranya ubatan julap tersebut tidak disukai rasanya oleh pesakit, perawatan boleh menyalutkannya dengan madu. Tidak boleh diberikan makan dan minum sepanjang kesan ubat masih ada. Meminum air barli selepas proses rawatan adalah sangat baik. Tanda perlunya memberhentikan rawatan ini adalah apabila pesakit mula merasa haus.
FASDU (venesection). Menyingkirkan darah melalui luka pada salur darah. Ianya membuang semua jenis humor. Rawatan ini mahupun emesis tidak boleh dilakukan semasa fasa awal penyakit baru berlaku. Apabila pesakit hilang kesedaran, hendaklah rawatan ini dihentikan. Rawatan ini berbahaya dilakukan ketika cuaca sangat sejuk.
BEKAM. Mampu membersihkan tisu sekitar kulit lebih baik berbanding fasdu. Menyingkirkan darah nipis berbanding darah tebal. Berbekam tidak seharusnya dilakukan pada permulaan bulan Hijrah, kerana humor belum terkumpul ketika itu. Berbekam boleh dimulakan selepas seseorang itu mencecah usia dua tahun, dilarang membekam seseorang yang telah berusia 60 tahun ke atas. Hendaklah seseorang yang baru berbekam untuk mendapatkan makanan selepas sejam dari rawatan.
Friday, July 14, 2017
Islamic Medicine - Edward G. Browne
Buku ini mula diterbitkan pada tahun 1921 di Cambridge dengan menggunapakai judul 'Arabian Medicine', bukan 'Islamic Medicine' sebagaimana yang saya miliki ini. Buku di tangan saya ini merupakan cetakan dari rumah penerbitan Goodwork, New Delhi, tahun 2001.
Buku ini merupakan rangkuman 4 siri syarahan Fitzpatrick yang disampaikan oleh seorang orientalis yang mahir dalam sejarah Parsi; Edward G. Browne (1862-1926). Syarahan tersebut dilakukan di Royal College of Physician pada tahun 1919 dan 1920.
...
Ulasan awal
1. Saya telah miliki buku ini lama, tetapi amat terasa sayang kerana lewat memulakan pembacaan ke atasnya. Penguasaan Browne dalam sejarah Parsi berserta kemampuannya menyelidiki secara terus terhadap manuskrip asal perubatan Arab banyak membantu dalam mengukuhkan sisi pandang yang dibawa dalam syarahannya.
2. Kerana limitasi masa yang ada, Browne telah mengehadkan cakupan inti syarahannya hanya seputar dua kurun selepas Zaman Keemasan tamadun Islam (750 - 850M) dan pencapaian yang berlaku di Parsi sahaja. Biarpun begitu, penghuraian dan penerangannya sangat menarik dan membantu dalam memahami sejarah perubatan Arab secara keseluruhannya.
3. Jika dicermati, beliau menjadikan tiga sumber teks sejarah karangan Ibn Usaibiah, al-Qifti dan kitab Fihrist sebagai tunjang syarahannya. Begitu juga beberapa manuskrip asal kitab-kitab perubatan yang beliau pernah berkesempatan menyelidiki sendiri di beberapa tempat seperti Muzium British dan Perpustakaan Bodleain.
4. Browne didapati sedikit sebanyak berpegang dengan pandangan Ullman yang menyatakan bahawa ilmuwan perubatan Arab hanyalah bertindak sebagai penjaga dan pemindah legasi keilmuwan dari Yunani kepada Barat moden. Seakan tiada hasil keilmuwan yang asli daripada ilmuwan Arab. Ini suatu yang mengarut dan tidak boleh diterima. Kerana bukan sahaja dimensi kesihatan itu telah diperkembangluas peranannya dalam masyarakat dengan dorongan dari agama yang menjunjung nilai sosial ini. Tambahan tokoh-tokoh perubatan Arab tidak hanya menterjemah dan mempelajarinya, tetapi turut mengkritik, membetulkan dan menambah komentar tersendiri mereka dalam beberapa hal.
...
I
DEFINISI, Browne memaksudkan perubatan Arab sebagai doktrin perubatan yang tertulis di dalam bahasa Arab biarpun penulisnya bukan berbangsa Arab.
GALAKAN MENGKAJI, kegiatan mengkaji sejarah perubatan (termasuk perubatan Arab) adalah bertitik tolak daripada kecenderungan para ilmuwan menyelidiki asal usul suatu bidang pengetahuan bagi membentuk cara pandang yang lebih jelas.
ZAMAN KEEMASAN (750 - 850M), dikala zaman dinasti Abbasiyah telah berlaku kerancakan ilmu pengetahuan. Bermula daripada 'fasa penyediaan' yang melibatkan penterjemahan karya-karya Yunani ke dalam bahasa Arab (Samada secara terus Yunani - Arab, ataupun secara tidak langsung Yunani - Syriak - Arab). Pada fasa ini melibatkan ramai tokoh bukan Arab dan samada beragama kristian atau majusi, seperti keluarga Bukhtisu, Hunayn ibn Ishak dan anak muridnya serta keluarga Thabit ibn Qurra dari kota Harran.
ARAB & PERUBATAN, pada permulaan kebangkitan tamadun Islam, bangsa Arab tidak diyakini keupayaan mereka dalam perawatan. Sebagaimana dalam kisah Asad Ibn Jani, seorang tabib yang mahir tetapi hanya sedikit pesakit mahu menemui beliau. Asad menjelaskan, ini kerana yang pertama dia adalah seorang Muslim, keduanya dia seorang Arab, namanya orang Arab, panggilannya juga orang Arab dan pakaiannya tidak sama sepertimana tabib-tabib yang datang dari Parsi (Jundishapur).
HARITH IBN KALADA, beliau direkodkan antara individu yang mahir dalam perubatan ketika zaman Nabi Muhammad s.a.w. Beliau seorang Yahudi dan dikatakan pernah menuntut di Jundishapur.
KEKANGAN TRANSLITERASI, penterjemahan karya Yunani berlaku dua cara; secara langsung (Yunani-Arab) mahupun tidak langsung (Yunani-Syriak-Arab). Karya yang diterjemahkan terlebih dahulu ke dalam bahasa Syriak didapati terdapat banyak kesilapan kerana kemiskinan istilah dan kesukaran bahasa tersebut untuk membentuk pengistilahan baru yang mampu membawa maksud yang diingini. Hal ini tidak terjadi pada penterjemahan secara langsung, ini adalah kerana bahasa Arab sangat kaya dengan istilah dan mampu membentuk istilah baru yang berupaya memuatkan maksud yang diingini. Masalah yang berlaku pada terjemahan dari Yunani - Syriak ini turut berlaku semasa penterjemahan karya perubatan dari bahasa Arab-Latin. Sangat banyak kesilapan dan istilah yang hanya dipindahkan sebutannya tanpa mampu membawa maksud sebenar yang diingini.
...
II
PEMBEDAHAN, perubatan Ayurvedic dan Arab sering didakwa tidak mempunyai pengetahuan yang sempurna mengenai anatomi badan kerana larangan agama untuk melakukan pembedahan ke atas manusia. Tetapi ternyata silap, kerana bidang pembedahan telah diangkat naik nilainya oleh al-Zahrawi sedangkan ketika waktu tersebut bidang ini sedang dianggap pekerjaanya remeh temeh di Barat. Begitu juga terdapat rekod dari Ibn Abi Usaibiah bahawa pada tahun 836, khalifah al-Mu'tasim telah mendapatkan sekumpulan monyet dari Nubia yang mempunyai struktur tubuh paling mirip dengan manusia untuk dilakukan ujikaji pembedahan oleh Yuhanna ibn Masawayh.
ALI IBN RABBAN, berkhidmat di bawah khalifah al-Mutawakkil. Pada tahun 850 M telah menghasilkan kitab Firdaus al-Hikmah (manuskripnya terdapat di Muzium British dan Berlin). Penggunaan kalimah 'mutakharij' dalam pengenalan kitabnya untuk merujuk kepada siapa yang perlu membaca buku ini, menggambarkan bahawa telah ada sistem pendidikan perubatan secara formal, setidaknya ujian kelayakan sebagaimana yang direkodkan berlaku pada zaman khalifah al-Muqtadir dibawah seliaan Sinan ibn Thabit.
ABU BAKR MUHAMMAD IBN ZAKARIA AL-RAZI, lahir di Rayy (berdekatan kota Tehran hari ini). Mula memahirkan di dalam seni muzik, sebelum memperdalami ilmu falsafah. Tetapi beliau sering dikritik mengenai tahap penguasaan dan kefahamannya dalam lapangan falsafah. Kemudiannya barulah mula menceburkan diri dalan perubatan. Sangat mahir dalam ilmu dan kemahiran perubatan sehingga dipertanggungjawab untuk mengendalikan bimaristan di Baghdad. Masyhur kisahnya memilih lokasi hospital dengan melihat kualiti daging-daging yang digantung di beberapa tempat pilihan setelah ditinggalkan beberapa waktu. Menghasilkan puluhan kitab perubatan, antara yang masyhur adalah al-Mansuri (penghargaan kepada pemerintah ketika itu) dan al-Hawi (terlalu tebal sehinggakan tidak mampu bertahan kerana sukarnya untuk dimiliki).
ALI IBN ABBAS, pengarang kitab al-Maliki. Menjadi pilihan terbaik untuk pengajian perubatan sehinggalah munculnya kitab Qanun fi at-Tibb karangan Ibn Sina. Biarpun begitu dikatakan oleh sejarawan bahawa kitab al-Maliki adalah lebih baik dari sudut teoritikal, manakala al-Qanun pula terbaik dari sudut praktikaliti.
ABU ALI HUSAIN IBN SINA, mampu menguasai pelbagai lapangan ilmu dengan sangat baik. Mula mempelajari ilmu Perubatan ketika berusia 16 tahun. Dua tahun selepas itu telah dipinta oleh pemerintah (Nuh ibn Mansur) untuk merawati penyakit yang dialami. Dianugerahi pelepasan untuk menggunakan perpustakaan diraja. Hidup dalam perlarian berberapa kali rentetan masalah politik setempat (Ali ibn Makmun - Qabus, Jurjan - Amr Shams Daula).
...
III
ARAB - LATIN, dunia Barat mula menyaksikan penterjemahan karya perubatan dari bahasa Arab ke bahasa Latin telah bermula seawal kurun ke 10/11 lagi. Beberapa tokoh seperti Constantinus Africanus, Gerard dari Cremona san Farj ibn Salim.
BANDINGAN ARAB-BARAT, semasa perubatan Arab telah mulai subur dan menghasilkan sumbangannya yang tersendiri, hal yang sebaliknya yang sedang berlaku di belahan dunia Barat. Rawatan yang dilaksanakan di sana sebagaimana yang diceritakan oleh Browne dalam kisah Usama ibn Munqidh dan kerajaan Frank adalah sangat barbarik dan tidak rasional.
ANEKDOT, hikayat yang diceritakan kepada masyarakat terbanyak tidak pernah lari dari tema kesihatan dan perubatan. Banyak kisah yang menggunakan nama tokoh seperti Ibn Sina dan Al-Razi dengan rawatan yang pelik dan tidakpun ditemui dalam kitab karangan mereka. Dijelaskan bahawa ini mungkin kerana menjadi kebiasaan ceritera klasik di tokok tambah bagi menampakkan kehebatan seseorang tokoh tersebut.
RAWATAN EMOSI, dibawakan beberapa cerita bagaimana Ibn Sina mengenalpasti maasalah sebenar bahawa seseorang itu jatuh cinta melalui perubahan sifat nadi ketika menyebut tempat-tempat yang berkaitan dengan kekasih pesakit tersebut. Begitu juga kisah Ibn Sina dan putera diraja yang mengalami delusi bahawa dirinya adalah lembu yang perlu disembelih. Turut dikongsikan kisah antara Al-Razi dan al-Mansur, bagaimana Al-Razi merawat sakit-sakit sendi amirnya dengan memanipulasi emosi rajanya itu.
KARYA PARSI, Browne mengatakan bahawa karya perubatan dari belahan dunia parsi masih banyak belum dikaji dan diteliti. Tetapi bagaimanapun hendaklah terlebih dahulu usaha pengkajian ke atas karya perubatan Arab digiatkan terlebih dahulu.
MODEN & TIMUR, diceritakan bagaimana setelah ilmu perubatan di dunia Timur membeku pada takat kefahaman klasik Ibn Sina sehingga kurun ke-19, datangnya Barat membawa doktrin perubatan yang baharu yang telah diperkembang jauh berbeza dengan yang masih dipegang oleh masyarakat Timur. Dikatakan pada tahun 1887 semasa lawatannya ke Tehran, mereka disana masih merawat menggunakan perubatan Ibn Sina. Diceritakan juga bagaimana pengenalan perubatan moden ke Mesir melalui Clot Bey pada tahun 1825.
...
IV
KESAL, Browne kesal kerana limitasi masa yang ada beliau tidak mampu menceritakan ramai lagi tokoh dan banyak lagi karya perubatan Arab yang wujud. Seperti yang terdapat di Sepanyol (al-Zahrawi, Ibn Juljul, Ibn Wafid dan Ibn Jazzar). Begitu juga tokoh hebat pada kurun ke-12 seperti Ibn Rushd, Ibn Zuhr, Musa ibn Maimub dan Ibn Baytar.
HISTORIAN, Browne menyenaraikan beberapa tokoh perakam sejarah ilmu perubatan Arab seperti Ibn Usaibiah (Uyunul Anba di Tabaqatil At-Tibba'), Al-Qifti (Tarikhul Hukama'), Ibn Khalikan, Yaqut dan Abul Faraj Gregorius.
SISTEM, Browne mensyarahkan fahaman terhadap Alam dan fisiologi tubuh yang terdiri dari 4 akhlat dan 4 mizaj.
SOALAN, adakah pengkajian terhadap perubatan Arab ini berbaloi? Dan jika ya, maka pada aspek apakah yang perlu ditumpukan? Begitu juga adakah tamadun Islam hanya bertindak sebagai transit atau mereka turut menyumbang nilai tambah pada ilmu perubatan?
KUALITI PENYELIDIK, perlu memahirkan diri dalam bahasa Arab, Yunani, Latin, Syriak dan Parsi. Mempunyai pengetahuan di dalam Perubatan atau setidaknya minat mengenainya. Mempunyai semangat yang tinggi dan pembacaan yang luas.
Thursday, July 13, 2017
Kesihatan & Perubatan Dalam Tradisi Islam: Perubahan & Identiti - Fazlur Rahman
Buku ini merupakan cetakan kali ketiga terbitan DBP. Terjemahan daripada karya asal Prof. Fazlur Rahman, seorang cendekiawan muslim kontemporari. Penterjemahan buku ini dilakukan oleh anak didik penulis asal itu sendiri iaitu Prof. Wan Mohd Nor bersama Shahrul Amar Abdullah.
Buku ini mempunyai 6 bab yang dimuatkan di dalam 212 mukasurat.
Bab 1: Kesejahteraan & Keuzuran Dalam Pandangan Alam Islam
Bab 2: Penilaian Agama Mengenai Perubatan
Bab 3: Ilmu Perubatan Nabi-nabi
Bab 4: Pemeliharaan Kesihatan
Bab 5: Etika Perubatan
Bab 6: Kelahiran
...
Ulasan awal
Saya mengenali Fazlur Rahman melalui perkenalan terhadap karya-karya Prof Wan Mohd Nor. Semasa pembacaan ke atas buku ini kali pertama, hati saya disulami perasaan yang bercampur baur, kerana penulis membawakan sisi sejarah dan beberapa dakwaan yang sedikit sebanyak menggugah kepercayaan tradisi.
Kelihatan penulis mempunyai pandangan yang kritis terhadap lapangan ilmu hadis dengan menyatakan keperluan terhadap kritikan kesejarahan harus dibuat ke atasnya. Berulangkali juga dibawakan beberapa hadis yang kelihatan bertentangan maksudnya dan dijelaskan oleh penulis bahawa ianya mungkin bukan dari Nabi, tetapi kata-kata orang terkemudian.
Saya meragui beberapa matan hadis dan kisah yang dibawa, samada ianya kesilapan penterjemahan atau kesalahan pada peringkat penulis atau saya yang tersilap. Yang pertama pada mukasurat 86, perenggan kedua, ada diceritakan perbezaan kaedah pembahagian tanah rampasan perang oleh Nabi s.a.w dan Umar r.a. Penyusunan perkataan dan penggunaan istilah 'beliau' di situ membawakan bayangan bahawa Umar r.a membahagi-bahagikan tanah di Iraq kepada tentera, sedangkan sebaliknya berlaku. Bahkan kisah ini masyhur.
Yang kedua pada hadis yang menyentuh perihal memberi upah kepada perawat (mukasurat 132, perenggan terakhir). Di dalam buku ini diceritakan sekumpulan sahabat yang mendatangi suatu perkampungan telah disambut dengan mesra dan baik. Sedangkan dalam matan hadis yang seringkali diperdengarkan kepada saya adalah sebaliknya, sekumpulan sahabat tersebut tidak disambut dengan mesra.
Penulis juga banyak menggunapakai kacamata sejarah dan sosiologi dalam penilaian terhadap perubahan-perubahan di dalam amalan Islam. Sebagaimana dia menyatakan permulaan penggunaan cerai talak tiga pada zaman Saidina Umar r.a adalah kerana ramainya tawanan perang perempuan sehingga menyebabkan ada orang Islam yang bermudahan dalam isu talak. Kenyataan ini saya pertama kali dengar dan agak janggal. Begitu juga penyataan bahawa dua orang saksi perempuan menyamai satu orang saksi lelaki adalah kerana perempuan pada zaman tersebut amat jarang terdedah dengan soal ilmu kewangan.
Penulis cuba mengaitkan punca kepesatan/kemunduran iklim pengetahuan dalam kalangan masyarakat Muslim dengan transisi pada cara pandang terhadap iradat Allah dan kebebasan manusia. Sebagaimana wujudnya aliran Muktazilah, Asyairah dan Sufisme.
Walaupun beberapa pandangannya dan cara fahamnya ada yang tidak dipersetujui, tetapi tidaklah sehingga boleh menafikan bahawa buku ini disusun dengan baik dan penceritaan sejarah perubatan dalam bab 4 merupakan antara yang terbaik.
...
Bab 1
Penulis menyatakan Alam ini tercipta melalui rahmat Allah s.w.t dan segala ciptaannya terbina serasi antara satu sama lain sehingga mampu membentuk alam raya (cosmos) bukannya kekacauan (chaos). Dan Alam ini memerintah sendiri (autonomi) tapi tidak berkuasa mutlak (autokrat) kerana tidaklah mencipta dirinya sendiri.
Dalam bab ini penulis cuba bawakan perbincangan mengenai iradat Allah s.w.t dan kebebasan manusia, serta keupayaan akal dan kepercayaan iman. Kerana setelah kita telusuri pembacaan ke bab-bab yang seterusnya, kita akan mendapati bahawa kefahaman yang berbeza-beza di dalam persoalan sebentar tadi membentuk tingkah laku manusia yang tersendiri dalam mendepani isu kesakitan, perawatan dan penyembuhan.
...
Bab 2
Penulis turut berpegang dengan pandangan segolongan ilmuwan yang menyatakan bahawa perubatan yang terkandung dalam hadis-hadis Nabi s.a.w bukanlah wahyu, tetapi hanyalah kebiasaan serta kearifan setempat pada zaman Nabi s.a.w.
Dibawakan petikan tulisan Ibn Khaldun dalam prolegomena-nya yang mendokong pandangan tersebut dengan mengingatkan mengenai peristiwa kacukan pokok kurma yang tidak berjaya setelah mengikuti saranan Nabi s.a.w.
Penulis juga membawakan perbezaan antara hadis ahl sunnah dan syiah dalam soal kesakitan dan bilakah perlunya untuk mendapatkan rawatan. Jika melalui tradisi hadis ahl sunnah, terdapat padanya banyak galakan untuk mendapatkan rawatan. Manakala hadis syiah lebih banyak yang menuntut agar kesakitan itu ditanggung. Begitu juga dalam Syiah terdapat pandangan yang beranggapan ilmu perubatan ini turut merupakan ilmu yang diwahyukan, maka hanya yang melalui autoriti agama sahaja yang sah digunakan.
...
Bab 3
Dalam bab ini, penulis cuba menghuraikan asal dan sifat perubatan Nabi.
Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa penulis berpegang pada pandangan sebagaimana Ibn Khaldun dalam soal samada tibb nabawi merupakan wahyu atau adat, penulis memulakan bab ini dengan menceritakan mengenai kewujudan dua orang tokoh perubatan yang hampir dengan Nabi s.a.w; iaitu Harith ibn Kalada dan anaknya, Nadir.
Kerana dikaitkan bahawa, banyaknya ilmu perubatan yang diketahui Nabi s.a.w adalah daripada hubungan dengan Harith ibn Kalada yang dikatakan pernah menuntut ilmu perubatan dari Jundishapur di Parsi.
Penulis juga menyatakan bahawa tebalnya kitab-kitab tibb nabawi bukanlah kerana banyaknya hadis-hadis perubatan dari baginda Rasulullah s.a.w itu sendiri, tetapi adalah adanya tambahan-tambahan dari pengetahuan perubatan pada ketika zaman penulis kitab-kitab tersebut.
Susulan daripada itu, penulis menimbulkan persoalan, mengapakah para fuqaha dalam agama cuba menulis sesuatu dalam ilmu perubatan dengan tema perubatan kenabian? Terdapat tiga teori yang didatangkan:
1) Ingin menandingi ilmu yang dikatakan berasal dari Galen yang bukan Islam.
2) Usaha para ulama untuk bacaan masyarakat terbanyak dengan menghasilkan kitab ringkas yang mudah faham.
3) Cubaan islamisasi ilmu perubatan.
Teori yang pertama nyata tidak benar, kerana rata-rata kitab tibb nabawi turut memuatkan pandangan-pandangan tokoh perubatan Yunani disamping menggunakan teori Yunani dalam menjelaskan keberkesanan perubatan Nabawi.
Teori yang kedua ada benarnya, kerana kitab tibb nabawi yang ada, kebiasaannya tidak membincangkan teori perubatan secara mendalam dan hanya memuatkan petua-petua untuk kesakitan ringan. Ianya dibuat atas semangat ingin berbakti kepada masyarakat terbanyak.
Teori yang ketiga adalah yang dianggap pandangan terkuat oleh penulis.
...
Bab 4
Bab ini memuatkan sejarah perubatan dan institusi kesihatan yang tercatat dalam tamadun Islam.
Dinyatakan penubuhan hospital-hospital (bimaristan), kebajikan kesihatan terhadap banduan dan orang luar bandar, gaji doktor dan tugasan-tugasan yang terdapat di hospital.
Melalui kewujudan hospital telah memudahkan catatan pemerhatian klinikal yang lebih baik, menjadi pemula kepada banyaknya kitab-kitab tajribat dapat dihasilkan.
Turut diceritakan mengenai ujian kelayakan doktor yang dilakukan oleh Sinan Ibn Thabit atas arahan khalifah ketika itu untuk mengelakkan penipuan doktor-doktor palsu. Begitu juga jabatan Hisbah untuk mengawasi kualiti rawatan para doktor.
Di penghujung bab, dihuraikan mengenai perubatan rohani. Terdapat dua jenis perbahasan, pertama adalah kesembuhan melalui jalan kerohanian. Kedua adalah penyakit yang disebabkan kerohanian. Zakaria al-Razi ada menulis kitab dalam perubatan rohani yang diberikan judul; al-Tibb al-Ruhani.
...
Bab 5
Adab merupakan satu aspek yang penting untuk melengkapi seorang profesional selain daripada kemahiran dalam profesyen itu sendiri. Ishaq ibn Ali al-Ruhavi ada mengarang kitab Adab al-Tabib untuk menerangkan adab-adab sebagai seorang perawat.
Dalam bab ini juga turut diterangkan mengenai kemuliaan insan dan keluarga selaku satu unit sosial.
Akhir bab, penulis memberikan pandangannya dalam beberapa isu bioetika seperti hukum derma organ, manipulasi genetik dan bayi tabung uji.
Saya tertarik pada kenyataan penulis pada perenggan terakhir:
"Sekarang persoalan yang sering ditanya adalah, 'Adakah kematian boleh dielakkan?' Sebelum menjawab, tanyakan soalan ini dahulu, 'Adakah kehidupan tanpa kematian dikehendaki?' "
...
Bab 6
Permulaan bab menerangkan pendirian Islam dalam soal peranan air mani lelaki dan air mani perempuan dalam pembentukan manusia. Kerana pada zaman dahulu, terdapat perbezaan pandangan antara Aristotle dan Galen dalam menyatakan adakah air mani perempuan bersifat pasif atau sebaliknya.
Kemudian dihuraikan panjang mengenai pencegahan kehamilan, adakah dibolehkan atau sebaliknya. Setelah itu dijelaskan pula mengenai keseksualan. Penulis menyinggung beberapa kisah ahli Sufi dalam perihal ini.
Akhir sekali diterangkan mengenai kematian dan persoalan-persoalan seperti adakah akan terus dihisab atau diseksa terlebih dahulu dalam kubur.
...
Buku ini saya anggap akan lebih mudah dihadam sekiranya pembaca telah terlebih dahulu punyai asas dalam sejarah pemikiran Islam dan sejarah ilmu perubatan.
Pembaca mungkin akan merasa agak tidak selesa dengan cara pemahaman yang dibawa oleh penulis berkenaan ahl sunnah dan sufisme. Tetapi jika diamati dengan cermat dan tenang, kita akan menemui asas kepada terbitnya pemahaman sedemikian. Adapun begitu, tidaklah bermaksud kita boleh menyetujui semua yang dikatakan.
Tibb an-Nabawi: as-Suyuti
Buku 'Medicine of the Prophet' ini merupakan cetakan rumah penerbitan Ta-Ha, UK. Disunting hasil terjemahannya dari kitab karangan Imam Suyuti oleh Ahmad Thomson. Buku ini setebal 230 mukasurat.
Kitab asalnya merupakan hasil penulisan Imam Jalaluddin Abdur Rahman as-Suyuti, anak watan Mesir. Dilahirkan di Asyut pada tahun 848 H / 1445 M.
Kitab ini dibahagikan kepada tiga bahagian:
Bahagian 1
1. Teori perubatan
2. Amalan perubatan
3. Prinsip pengubatan
Bahagian 2
4. Mengenai makanan dan ramuan ubatan
5. Dosej ubatan
6. Mengenai penyediaan ramuan ubat
Bahagian 3
7. Mengubati penyakit
...
Ulasan awal
1. Amat banyak kitab yang berkongsi tajuk dan tema yang sama; iaitu perubatan nabi. Selain dari karangan Imam Suyuti, turut terdapatnya karangan daripada Abu Nu'aim (w. 430 H / 1038 M) dan Ibn Qayyim (w. 751 H / 1350 M).
2. Terdapat juga kitab Tibb an-Nabawi yang dikatakan sebagai karangan Imam Dzahabi (w. 1348) mempunyai susunan dan isi kitab yang sama dengan kitab ini. Saya tak pasti sebenarnya kitab yang dibaca ini hakikatnya hasil penulisan Imam Suyuti atau Imam Dzahabi. Mungkin ada pembaca yang tahu, boleh bantu terangkan.
3. Kitab ini disusun dengan sistematik dan kemas. Bermula dari asas ilmu perubatan, materia medica kemudian barulah hal-hal yang berkait dalam soal perawatan.
4. Pengaruh perubatan Yunani jelas terzahir melalui penggunaan faham empat unsur (al-arkan), sembilan tabiat (al-mizaj) dan empat bendalir (al-akhlat) yang membentuk tiga daripada tujuh asas yang membentuk tubuh badan. Begitu juga beberapa kali dipetik kata-kata dari Hippocrates dan memujinya.
5. Hubungjalin dengan tamadun dari benua India juga dapat dilihat daripada beberapa panduan kesihatan yang diambil dari amalan penduduk di sana.
6. Biarpun nama tajuknya menggunakan sandaran kepada Nabi s.a.w, tetapi tidak semua panduan kesihatan dan kaedah rawatannya adalah daripada Nabi s.a.w. Kebanyakannya dari fahaman semasa perubatan ketika zaman penulis.
...
Bahagian 1
Teori perubatan sebagaimana yang dipegang oleh ilmuwan perubatan klasik adalah terdiri daripada 4 pengetahuan:
• Asas pembentukan manusia (unsur, tabiat, bendalir, organ utama, ar-Ruh, keupayaan dan fungsi)
• Perihal keadaan tubuh badan (sihat, tidak sihat, keadaan antara keduanya)
• Sebab-sebab datangnya penyakit (6 faktor: udara, makan & minum, pergerakan & kerehatan, emosi, jaga & tidur, penyingkiran & penyimpanan.
•Mengenali petanda & gejala pada tubuh badan.
Justeru, dalam bab amalan perubatan, disyarahkan kaedah amalannya berdasarkan bagaimana untuk mengendalikan 6 faktor penyebab penyakit.
Manakala dalam bab ketiga, prinsip-prinsip perawatan. Ada dinyatakan kepentingan memberikan perhatian lebih kepada latar belakang pesakit sebelum membuat diagnosis dan rawatan. Begitu juga saranan menggunakan pengubahsuaian pada regim permakanan terlebih dahulu sekiranya itu telah memadai berbanding pemberian ubat-ubatan.
...
Bahagian 2
Bab yang keempat memuatkan senarai herba dan makanan berserta penggunaannya di dalam perubatan. Dibahagikan pengkelasannya kepada dua bentuk ubatan: ubatan ringkas & kompleks atau campuran.
Pada bab kelima, dijelaskan cara menentukan dos yang perlu digunakan. Kaedah klasik menentukan dengan meneliti kekuatan bahan itu dalam memberikan kesan kepada badan dan sejauh mana lokasi organ yang dianggap sedang berpenyakit.
...
Bahagian 3
Pada bab ketujuh ini memuatkan pelbagai hal mengenai perawatan.
1. Tuntutan menggunakan ubatan.
2. Tatacara dan adakah dibolehkan menggunakan perkhidmatan perawat.
3. Kaitan antara proses rawatan dan makanan.
4. Galakan mempelajari ilmu perubatan.
5. Upah perawat.
6. Pemeriksaan ke atas pesakit.
7. Perawatan dibuat dari berlainan jantina
8. Khidmat kepada pesakit
9. Menziarahi pesakit
10. Penggunaan ramuan yang diharamkan syarak
11. Mengubati demam dan jenis-jenisnya.
12. Rawatan rohani
13. Penjelasan ilmu anatomi tubuh
14. Mengenai penyelaran dalam Islam & perubatan
15. al-'Ayn
16. Wabak
17. Kelebihan menjadi pesakit
18. Cacar dan campak
Mengapa Ramai Mudah Percaya Perubatan Palsu?
1. Krisis kepercayaan
Korupsi dan skandal politik pemerintah telah melunturkan kepercayaan orang awam kepada seluruh institusi berautoriti. Manusia tidak lagi percaya pada badan-badan yang menyelia dan mengatur urusan mereka.
JAKIM tidak lagi dipercayai, pejabat Mufti tidak lagi dipercayai, Majlis Agama Negeri tidak lagi dipercayai, Tabung Haji tidak lagi dipercayai. KKM tidak lagi dipercayai. Ini semua adalah kesan rantaian krisis kepercayaan.
Ledakan maklumat tanpa disaring telah melahirkan golongan manusia yang merasa dirinya 'sentiasa tahu' dan 'lebih tahu'. Sikap begini menjadikan kita terlalu melulu membentuk pendirian berdasarkan pengetahuan kita yang bersifat kepermukaan semata itu.
Pola berfikir rakyat Malaysia juga yang rata-ratanya cenderung melakukan generalisasi serta tidak lari dari hanya dua kutub Hitam-Putih (Kalau kau hitam, kau bukan putih) telah menyumbang kepada krisis ini.
Manusia hari ini lebih percaya pada pembacaan dan pemahaman sendiri tanpa menyedari bahawa mereka tidak mencerap pengetahuan yang ingin diraih itu melalui kaedah dan sumber yang benar.
2. Pemahaman maklumat secara literal dan tanpa dipandu bimbingan guru yang benar.
Apabila manusia sudah tidak percaya pada mereka yang 'ahli'nya. Maka mereka mencari alternatif. Rata-ratanya akan berbalik pada teras hidup mereka, sama ada agama atau adat. Kerana ini teras hidup mereka.
Tetapi usaha mencari alternatif itu sering dilakukan tanpa asas ilmu yang kukuh. Hasilnya, pemahaman itu hanya didasari pembacaan secara literal.
Maka muncul label; permakanan sunnah, perubatan Nabi saw, rawatan tradisional dan lain-lain.
Ada yang mendakwa berguru, tetapi dengan hanya berguru tidak mencukupi jika salah memilih gurunya. Ini yang membimbangkan.
3. Iklim ekonomi kapitalis merosakkan pandangan hidup kita
Bebanan kewangan dan suasana ekonomi hari ini menekan ramai orang untuk berbuat sesuatu agar boleh terus hidup dengan kecukupan duit.
Ada yang mempergunakan kejahilan bagi meraih untung daripada kebodohan yang disebarkannya. Dengan meruntuhkan kepercayaan pada pengamal perubatan, mereka mengaut untung melalui jualan produk mereka. Menggunakan dakwa agama dan adat bagi melariskan jualan.
4. Empati yang hilang.
Tidak boleh dinafikan bahawa seiring dengan kemajuan teknologi perubatan, melebarnya jurang antara bidang kepakaran dan meningkatnya tahap birokrasi dalam sektor kesihatan telah sedikit sebanyak menghilangkan sentuhan peribadi manusiawi antara perawat dan pesakit.
Begitu juga kekurangan pada skil komunikasi sebilangan doktor menyukarkan proses konsultasi. Seterusnya menyebabkan kegagalan dalam pematuhan rawatan dan ambilan ubat-ubatan.
Oleh kerana itu, pesakit rasa kehilangan sesuatu dan mereka mencari pihak lain yang mampu menawarkan rasa yang hilang tersebut. Rasa dihargai, rasa dikongsi bersama kerisauan, rasa diberikan perhatian sewajarnya. Pengamal perubatan alternatif mahir dalam aspek ini. Biarpun tidakpun berkesan majoritinya.
Korupsi dan skandal politik pemerintah telah melunturkan kepercayaan orang awam kepada seluruh institusi berautoriti. Manusia tidak lagi percaya pada badan-badan yang menyelia dan mengatur urusan mereka.
JAKIM tidak lagi dipercayai, pejabat Mufti tidak lagi dipercayai, Majlis Agama Negeri tidak lagi dipercayai, Tabung Haji tidak lagi dipercayai. KKM tidak lagi dipercayai. Ini semua adalah kesan rantaian krisis kepercayaan.
Ledakan maklumat tanpa disaring telah melahirkan golongan manusia yang merasa dirinya 'sentiasa tahu' dan 'lebih tahu'. Sikap begini menjadikan kita terlalu melulu membentuk pendirian berdasarkan pengetahuan kita yang bersifat kepermukaan semata itu.
Pola berfikir rakyat Malaysia juga yang rata-ratanya cenderung melakukan generalisasi serta tidak lari dari hanya dua kutub Hitam-Putih (Kalau kau hitam, kau bukan putih) telah menyumbang kepada krisis ini.
Manusia hari ini lebih percaya pada pembacaan dan pemahaman sendiri tanpa menyedari bahawa mereka tidak mencerap pengetahuan yang ingin diraih itu melalui kaedah dan sumber yang benar.
2. Pemahaman maklumat secara literal dan tanpa dipandu bimbingan guru yang benar.
Apabila manusia sudah tidak percaya pada mereka yang 'ahli'nya. Maka mereka mencari alternatif. Rata-ratanya akan berbalik pada teras hidup mereka, sama ada agama atau adat. Kerana ini teras hidup mereka.
Tetapi usaha mencari alternatif itu sering dilakukan tanpa asas ilmu yang kukuh. Hasilnya, pemahaman itu hanya didasari pembacaan secara literal.
Maka muncul label; permakanan sunnah, perubatan Nabi saw, rawatan tradisional dan lain-lain.
Ada yang mendakwa berguru, tetapi dengan hanya berguru tidak mencukupi jika salah memilih gurunya. Ini yang membimbangkan.
3. Iklim ekonomi kapitalis merosakkan pandangan hidup kita
Bebanan kewangan dan suasana ekonomi hari ini menekan ramai orang untuk berbuat sesuatu agar boleh terus hidup dengan kecukupan duit.
Ada yang mempergunakan kejahilan bagi meraih untung daripada kebodohan yang disebarkannya. Dengan meruntuhkan kepercayaan pada pengamal perubatan, mereka mengaut untung melalui jualan produk mereka. Menggunakan dakwa agama dan adat bagi melariskan jualan.
4. Empati yang hilang.
Tidak boleh dinafikan bahawa seiring dengan kemajuan teknologi perubatan, melebarnya jurang antara bidang kepakaran dan meningkatnya tahap birokrasi dalam sektor kesihatan telah sedikit sebanyak menghilangkan sentuhan peribadi manusiawi antara perawat dan pesakit.
Begitu juga kekurangan pada skil komunikasi sebilangan doktor menyukarkan proses konsultasi. Seterusnya menyebabkan kegagalan dalam pematuhan rawatan dan ambilan ubat-ubatan.
Oleh kerana itu, pesakit rasa kehilangan sesuatu dan mereka mencari pihak lain yang mampu menawarkan rasa yang hilang tersebut. Rasa dihargai, rasa dikongsi bersama kerisauan, rasa diberikan perhatian sewajarnya. Pengamal perubatan alternatif mahir dalam aspek ini. Biarpun tidakpun berkesan majoritinya.
Pengenalan Tamadun Islam Dalam Ilmu Perubatan
Buku ini dihasilkan dibawah penyelarasan Prof. Dr. Ismail Saad. Cetakan pertama adalah pada tahun 1985, buku yang berada dalam pemilikan saya ini adalah cetakan kedua pada 1992. Buku terbitan DBP ini tidak lagi dicetaksemula dan hanya boleh didapati daripada sebilangan kolektor buku sahaja.
Setebal 141 mukasurat dan penulisannya dibahagikan kepada 6 pecahan bab:
Bab 1 : Unsur-unsur evolusi ilmu perubatan Islam
Bab 2: Tokoh-tokoh representatif dalam bidang perubatan
Bab 3: Sumbangan Islam dalam perubatan umum
Bab 4: Sumbangan perubatan Islam dalam bidang surgeri
Bab 5: Ciri-ciri sistem perubatan Islam
Bab 6: Kemerosotan perubatan Islam
...
Ulasan awal
1. Dalam pengetahuan saya, tidak banyak buku berbahasa melayu yang menceritakan sejarah perubatan. Ini salah satunya. Malangnya tidak lagi dicetaksemula.
2. Gaya bahasa yang digunakan penulis agak janggal untuk dibaca. Saya agak, mungkin kerana kebanyakan sumber yang digunakan adalah berbahasa inggeris. Cubaan memindahkan maklumat secara literal, menyebabkan ayat-ayat di dalamnya kekok untuk dibaca.
3. Seperti biasa, buku yang menceritakan kegemilangan tamadun Islam seringkali tidak dapat lari dari unsur romantisme dalam penceritaan.
4. Agak sukar nak memahami bagaimanakah teori perubatan dalam tamadun Islam itu berkembang dari masa ke semasa, kerana apabila diceritakan sumbangan perubatan, ianya digeneralisasikan tanpa dinyatakan dengan jelas oleh siapa, dan bila. Seolah teori tersebut datang secara tiba-tiba. Bukan berkembang secara rantaian sumbangan pelbagai tokoh dari latar masa yang panjang.
...
Bab 1
Penulis menjelaskan bahawa mana-mana penyelidik yang ingin menekuni sejarah perubatan di dunia Islam, terpaksa melengkapkan diri dengan kemahiran berbahasa Arab klasik, Yunani, Latin, Parsi, Urdu dan Inggires. Selain daripada keperluan menguasai sejarah tamadun dunia itu sendiri. Kerana rujukan yang ada jika hanya berpandu pada satu-satu bahasa sahaja adalah tidak memuaskan. Masih banyak manuskrip perubatan silam yang belum digali semula manfaatnya berikutan kekangan bahasa.
Penulis memulakan bab ini dengan menerangkan bagaimanakah keadaan ilmu perubatan sebelum ketibaan Islam.
Penyebaran fahaman perubatan Hippocrates ke belahan dunia Timur adalah apabila terdapat pergolakan politik yang mengakibatkan tersingkirnya golongan Nestorius keluar dari Romawi (abad ke-5 M). Mereka menetap sementara di Syria, membawa bersama ilmu perubatan yang diwarisi dari tamadun Yunani. Telah diterjemahkan beberapa karya perubatan Yunani ke dalam bahasa Syria sepanjang keberadaan mereka di sana.
Disebabkan pegangan agama mereka, golongan ini kemudiannya sekali lagi disingkirkan ke Parsi. Di sinilah pemulanya kepada tertubuh Jundishapur yang telah melahirkan tokoh-tokoh perubatan utama seperti keluarga Bukhtishu, Hunain dan Meseweih. (Mereka bertanggungjawab di dalam era penterjemahan karya klasik perubatan kepada tamadun Islam)
Dinyatakan juga oleh sebilangan ahli sejarah bahawa Harith Ibn Kalada yang pernah dirakamkan di dalam hadith Nabi saw untuk merawat salah seorang sahabat baginda juga pernah menuntut ilmu perubatan di Jundishapur.
Tatkala empayar Islam semakin meluas dan menyatukan pelbagai tamadun, perkembangan ilmu juga turut bergerak pesat. Agama yang meraikan orang yang berpengetahuan ini telah melahirkan ramainya pemimpin yang cintakan ilmu. Khalifah Harun al-Rashid setelahmana menewaskan kerajaan Byzantin, beliau telah menuntut diserahkan manuskrip-manuskrip Yunani kepadanya sebagai salah satu syarat tanda kekalahan. Manuskrip ini kemudiannya telah diterjemahkan bagi meraih manfaat yang terkandung di dalamnya. Titik sejarah inilah bermulanya permindahan maklumat dari satu tamadun ke tamadun yang lain.
Ilmuwan dari Jundishapur telah dijemput berkhidmat di Baytul Hikma, Baghdad untuk mengalihbahasa karya asing agar boleh diperkenal di dalam bahasa Arab.
Setelahmana berakhirnya era penyediaan (penterjemahan), muncul ramai tokoh-tokoh pembaharu dalam dunia perubatan dari tamadun Islam. Seperti Zakaria al-Razi (865-925M) dan Ibn Sina (980-1036M).
Biarpun mereka mempelajari karya Hippocrates, Galen dan Dioscorides sebagai pemula kepada ilmu perubatan, tidaklah mereka terbelengu dengan dogma klasik. Suasana ilmu yang sihat yang menyubur dalam tamadun ini telah merancakkan penggalian dan penelitian ke atas kebenaran teori yang dipegang. Tidak sedikit karya yang dihasilkan oleh ilmuwan Islam memberikan kritikan ke atas kesalahan fahaman klasik Yunani.
Dinyatakan bahawa, pasca-ibn sina; seorang penuntut ilmu perubatan akan memulakan pengajian dengan menelaah Aphorism (Hippocrates), Soalan-soalan Perubatab (Hunain), Petunjuk (Al-Razi), Perbendaharaan (Thabit ibn Qurrah) dan Kitab al-Mansur (Al-Razi). Setelah selesai kitab asas ini barulah berpindah kepada mengaji 16 kitab Galen (ada disebutkan dalam status perkongsian buku Ibn Hindu), Kitab al-Hawi (Al-Razi) dan Qanun fi Tibb (Ibn Sina).
Kelahiran ilmuwan perubatan yang hebat tidak berhenti setelah munculnya dua tokoh ulung ini, bahkan lebih ramai.
1. Ali Ibn Isa, Canamusali dan al-Haithan (Alhazen) dalam bidang mata (ophtalmology - karya mereka dirujuk sehingga kurun ke-18)
2. Ibn Nafis mengkritik fahaman anatomi Galen dan Ibn Sina. Mengutarakan teori peredaran darah pulmonari, lebih awal dari Servetus pada abad ke-16.
3. Ibn Juljul, menurunkan syarahannya ke atas Materia Medica Dioscorides. Diteruskan sumbangan di dalam lapangan farmakologi oleh Abul Salt, Al-Ghadiqi dan Ibn al-Baitar.
4. Al-Zahrawi, bapa pembedahan. Kitab al-Tasrif sangat terperinci dan terkehadapan melangkaui zaman.
5. Musa ibn Maimun (Maimonides), doktor peribadi Salahudin al-Ayubi yang berketurunan Yahudi. Menjadi tanda toleransi yang ditunjukkan peradaban Islam awal serta betapa generasi awal amat menghormati ahli Ilmu.
6. Biarpun abad ke-13 berlaku pergolakan politik serta ancaman keamanan, tidak putus kemunculan ilmuwan perubatan seperti: Ibn al-Qifti, Ibn Abu Usaibiah, Ibn Khallakan dan Abu al-Faraj.
....
Bab 2
Bab ini mengkhususkan pengkisahan mengenai tokoh-tokoh penting dalam beberapa zaman.
Zaman penterjemahan (750 - 900M)
1. Jabir ibn Hayyan (721-776M: memberikan sumbangan di dalam bidang kimia)
2. Hunain ibn Ishaq (810-878M: menguasai bahasa Yunani, dilantik menjadi pengarah Baytul Hikmah, menterjemah Materia Medica Dioscorides, Aphorism Hippocrates dan karya-karya Galen, turut menulis risalah mengenai mata.
3. Thabit ibn Qurrah (838-901M: pakar di dalam penterjamahan karya Yunani dan Syriak)
4. Abu Yusof Ibn Ishaq al-Kindi (809-873M: seorang polymath yang mahir dalam perubatan dan juga ubatan. Aplikasi matematik dalam kiraan dos ubatan)
Zaman keemasan (900-1100M)
1. Abu Bakar Muhammad Ibn Zakaria al-Razi (865-925M: anak murid Hunain ibn Ishaq, pertama yang bezakan antara smallpox dan measles, mengarang kitab al-Hawi dan kitab al-Mansur, pengasas perubatan psikosomatik)
2. Abu Qassim Khalaf ibn Abbas al-Zahrawi (936-1013M: Pakar di dalam pembedahan, mengarang kitab al-Tasrif - menjadi rujukan utama barat sehingga abad ke-18)
3. Ishaq ibn Umran
4. Ishaq ibn Sulaiman al-Yahud (855-955M)
5. Abu Ali al-Hassan ibn al-Haytham (960-1039M: menyumbang di dalam bidang mata melalui karya kitab al-Manazir, pertama menemui lensa konveks, mengenalpasti peranan sebenar retina dan kornea)
6. Ali ibn Abbas al-Majusi (m. 944M, dikatakan kitab al-Maliki karangannya lebih baik dari al-Qanun ibn Sina dari segi saintifiknya, akan terapi Qanun lebih baik dari sudut praktikilitinya)
7. Abu Ali Hussain ibn Abdullah ibn Sina (980-1037M: kitabnya al-Qanun fi al-Tibb digunakan sebagai teks perubatan di dunia Islam dan Barat sehingga kurun ke-17)
8. Umar ibn Isa al-Musali (turut dikenali sebagai Canamusali, pakar di dalam bidang mata, telah melakukan rawatan katarak secara sedutan)
Zaman kacau (>1096M)
1. Ibn Zuhr (m. 1161M: Ibn Rusyd menganggap Ibn Zuhr merupakan pengamal perubatan yang terulung selepas Galen)
2. Ibn Rusyd (1126-1198M: lebih dikenali di dalam lapangan falsafah, kitabnya dalam perubatan; al-Kuliyyah diulang cetak di Barat)
3. Ibn al-Quff (1233-1286M: pakar bedah, kitabnya al-'Umdag fi Sina'at al Jurahah)
4. Ibn Khatimah (m. 1386M: dikenali melalui penulisannya mengenai wabak)
Amat sayang sekali kita mampu kenali ramainya tokoh-tokoh silam, tetapi tidak lagi dapat membaca karya-karya mereka pada hari ini.
...
Bab 3
Penulis menerangkan sumbangan tamadun Islam terhadap ilmu perubatan seperti berikut:
1. Oftalmologi
Ilmuwan dari tamadun Islam amat besar sumbangannya terhadap bidang ini. Istilah retina dan katarak itu sendiri berasal dari mereka.
Mereka telah membetulkan fahaman semenjak Hippocrates yang menganggap mata yang memancarkan cahaya, begitu juga menganggap lensa merupakan bahagian penting untuk melihat, bukannya retina.
Glaucoma telah dihuraikan secara perinci di dalam risalah yang membincangkan faktor-faktor sakit kepala.
Bagi merawat katarak, mereka telah mengaplikasikan kaedah sedutan yang dicipta oleh Ammar ibn Ali.
Al-Haytham (Alhazen) telah membetulkan teori silam dengan menyatakan bahawa sebenarnya cahaya yang terpantul dari objek kemudian dicerap oleh mata akan membentuk visual dalam pemikiran. Bukan mata yang menghasilkan cahaya.
Al-Razi pula telah mengenalpasti reaksi pengecilan-pembesaran saiz pupil apabila didedahkan dengan intensiti cahaya yang berbeza. Karya beliau dalam bidang ini adalah Kitab al-'Asyr Maqalat fi al-'Ayn.
Ibn Sina pula merupakan tokoh terawal yang menegaskan bahawa retina adalah struktur yang memainkan peranan terpenting dalam melihat, bukanlah lensa sebagaimana yang dipercayai generasi sebelumnya. Beliau juga menemui perkaitan antara kecederaan di kepala dengan pembesaran saiz pupil.
2. Farmakologi
Terdapat tiga sumbangan penting tamadun Islam terhadap bidang ini:
i) Mengenengahkan kepentingan pemerhatian, kawalan cubaan dan penyimpanan rekod dalam penghasilan ubatan.
ii) Tertubuhnya kedai-kedai untuk penjual ubat (apothecary) dan pusat meramu ubat (dispensary).
iii) Melaksanakan kawalan etika dan undang-undang pemantauan ke atas kualiti ubatan. Ahli kimia yang tidak mengikut formulasi yang telah ditetapkan, akan dikenakan hukuman.
Perubatan di dalam tamadun Islam mempunyai dua jenis ubat: ringkas (mufradat) dan kompleks (murakabat).
3. Perubatan Dalaman (Internal Medicine)
Pelbagai sumbangan telah diberikan oleh para tokoh perubatan Islam. Diabetes dihuraikan dengan baik oleh Ibn Sina. Beliau menjelaskan beberapa gejala yang dihadapi oleh pesakit seperti mudah rasa haus, sering membuang air kencing, selera makan besar, tubuh yang kurus serta kerap terjadinya gangrene. Air kencing pesakit dinyatakan cirinya sebagai berwarna jernih, kerap dan banyak. Apabila didedahkan kepada udara ia lekas kering dan meninggalkan bauan seperti manisan madu.
Perbezaan antara measles dan smallpox juga dapat diperincikan dengan baik oleh Al-Razi.
Al-Razi turut mengenalpasti kaitan antara selsema dan bauan ros. Kemudiannya menjadi pengantar kepada pengetahuan mengenai allergik.
4. Hospital
Sumbangan mengenai pembinaan hospital dalam bab ini diterangkan sangat sedikit biarpun sangat banyak sumbangannya dalam dunia perubatan. (boleh rujuk buku Historia karangan saya untuk mengenali sejarah bimaristan)
...
Bab 4
Barangkali kerana sumbangan ilmuwan perubatan muslim dalam pembedahan adalah yang paling ketara sekali, maka dikhususkan satu bab untuk sumbangan dalam bidang ini sahaja.
Pada permulaan bab ini, penulis cuba menangkis hujah mereka yang mendakwa perubatan Islam mempunyai pengetahuan ilmu yang sedikit mengenai anatomi badan. Mereka mendakwa larangan di dalam agama Islam untuk membedah tubuh manusia menyebabkan ilmuwan Islam tidak memahiri ilmu anatomi. Penulis mengatakan bahawa pada tahun 836M, Khalifah al-Mu'tasim telah mendapatkan beruk-beruk dari Nubia untuk tujuan mengenali anatomi badan.
Abdullatif al-Baghdadi (1161-1231M) pula mengkaji tulang temulang manusia dengan teliti dan membetulkan salah faham yang dibawa oleh Galen seperti tulang rahang terdiri daripada dua tulang.
Pakar bedah yang terkenal dalam tamadun Islam adalah al-Zahrawi (936-1013M) dan Ibn al-Quff (1233-1286M).
Beberapa sumbangan yang signifikan dari tamadun Islam adalah:
1. Penyelaran (cautery)
Harini penyelaran digunakan semasa pembedahan untuk menghentikan pendarahan menggunakan alat diatermi.
2. Prinsip & Kaedah Pembedahan
Kitab al-Tasrif karangan al-Zahrawi memuatkan banyak teknik, jenis alatan pembedahan dan penjagaan luka.
Rata-rata teknik dan alatan pembedahan yang digunakan al-Zahrawi masih lagi digunakan sehingga kurun ke-20.
3. Pembetulan dislokasi dan patah tulang
...
Bab 5
Falsafah asas perubatan Islam menekankan manusia selaku tanda kewujudan (al-insan ramz al-wujud). Manusia merupakan mikrokosmo yang mencerminkan makrokosmo. Manusia juga merupakan dua jalinan yang sebati antara fizikal dan ruhani.
Fisiologi perubatan ketika itu dipengarugihi fahaman empat humor Hippocratea dan empat unsur Empedocles. Kesihatan dianggap berjaya dicapai apabila berlaku keseimbangan antara kesemua humor dan unsur berikut.
Tubuh badan manusia juga dianggap mempunyai keupayaan tersendiri untuk mempertahan serta memulihkan kesihatan dirinya (vis medicatriz naturae). Peranan rawatan hanyalah dianggap untuk membantu potensi tubuh itu merawati dirinya sendiri.
Perubatan dari tamadun Islam adalah hasil adunan antara ilmu perubatan Yunani, Parsi dan India. Amalan dan praktisnya telah disuaikan dengan pandangan Alam Islam, seterusnya membentuk kod etika yang perlu dipatuhi selari dengan syarak. Biarpun pengantar ilmu ini adalah dari Hippocrates dan Galen, tidak boleh dinafikan bahawa perubatan Islam punyai struktur dan konsepnya yang tersendiri.
Jika di Barat proses pembelajaran perubatan secara terus di hospital hanya mula diamalkan secara meluas pada kurun ke-18, tamadun Islam telah lebih dahulu mendepani zaman. Al-Razi telah menyusun sistem hospital sebagai pusat pembelajaran di bimaristan di Rayy dan di Baghdad.
Perlaksanaan audit (hisbah) dalam pelbagai sektor turut tidak terkecuali sektor kesihatan. Salahlaku doktor boleh didakwa di mahkamah, ubatan yang dihasilkan perlu mengikut formulasi yang diluluskan kerajaan dan doktor yang ingin mengamal hendaklah melalui ujian kelayakan terlebih dahulu. Kawalan hisbah juga merangkumi pantauan ke atas kualiti dan kebersihan air minum dan makanan.
...
Bab 6
Bab akhir ini menerangkan faktor-faktor kepada kemerosotan perubatan Islam.
1. Keruntuhan empayar Islam
2. Penjajahan
3. Ketinggalan dalam Pendidikan dan teknologi
...
Sejujurnya saya lebih menyarankan mereka yang berminat untuk mengetahui lanjut mengenai sejarah perubatan dan Islam dalam bahasa Malaysia untuk dapatkan buku Kesihatan & Perubatan dalam Tradisi Islam karangan Fazlur Rahman (terjemahan Prof Wan Mohd Nor). Buku tersebut masih dijual oleh DBP.
Secara umumnya buku ini baik untuk pemula. Tetapi bagi mereka yang tiada latar belakang perubatan, akan mudah keliru dengan penggunaan terma inggeris yang dimelayukan.
Subscribe to:
Posts (Atom)