Wednesday, January 8, 2014

Zakat: Kenapa Masih Ramai Miskin?


Semenjak ramai manusia berbicara dan mengatakan Islam adalah solusi bagi segala permasalahan yang kita alami harini, samada di dalam perihal perundangan, pentadbiran, politik mahupun ekonomi. Saya tertanya, bagaimanakah rupa sistem Islam itu jika dilaksanakan pada hari ini? Apakah perubahan yang perlu dilakukan pada kompartment sedia ada dan bagaimana pula caranya?

Apabila ada pihak mengatakan cukai GST adalah zalim, saya tertanya-tanya, justeru apa pula cadangannya untuk menampung kecelaruan dan kekurangan yang ada pada cukai SST pada hari ini? Bagaimanakah struktur cukai yang dianjurkan oleh Islam yang boleh kita bumikan pada sistem pentadbiran Malaysia harini.

65.6% daripada pendapatan negara adalah daripada cukai iaitu sekitar RM 140 bilion. 14.8% daripadanya adalah daripada hasil cukai tidak langsung seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Kita sering memetik kisah Khalifah Umar Abd Aziz menghapuskan cukai-cukai yang diwujudkan oleh Hajajj. Tetapi kita tidak membicarakan bagaimana kita akan dapat menampung kekurangan angka pendapatan negara setelah kita menghapuskan dan mengubah struktur cukai yang sedia ada.

Saya kira, ramai yang berfikiran sama seperti saya. Bukan tidak yakin pada janji Allah dan sistem Islam, tetapi ingin mengetahui jika sistem itu dikatakan tidak bertepatan dengan Islam, maka apakah yang perlu dilakukan agar bertepatan dengan Islam?

Sedihnya hati, kerana diri ini hidup di zaman yang sangat jauh daripada zaman yang mempraktikkan sistem Islam secara syumul maka tidak semena-mena persoalan yang timbul dalam diri sendiri mengenai perlaksanaan sistem Islam itu menjadi banyak kerana ianya asing pada hari ini. Semoga Allah memudahkan rakan-rakan dan saya dapat memahami dengan lebih faqih terhadap sistem Islam di dalam segala perihal.

Rentetan daripada isu GST, pengurangan subsidi dan beberapa siri kenaikan harga barang mahupun perkhidmatan di Malaysia, saya tertanya, adakah zakat mampu mengurangkan luka yang dirasai oleh rakyat marhaen hari ini?

Definisi Kemiskinan

Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang dipertanggungjawabkan menerajui teras ke-4 NKRA: “Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat Berpendapatan Rendah”, kemiskinan terbahagi kepada dua kategori:

1. Miskin Tegar
·         Pendapatan  bulanan isi rumah kurang daripada Paras Garis Kemiskinan (PGK) Makanan.
·         Sejumlah 8,725 kalori diperlukan setiap hari bagi kegunaan 4.4 orang setiap isi rumah berdasarkan kepada 7 kategori makanan.
·         Berdasarkan maklumat tersebut, Unit Perancang Ekonomi meletakkan PGK Makanan (2009) adalah pada RM 460.00 bagi seisi rumah.

2. Miskin
·         Pendapatan bulanan isi rumah kurang daripada Paras Garis Kemiskinan (PGK) iaitu jumlah minimum bagi sesebuah isi rumah untuk menampung keperluan makanan dan bukan makanan.
·         PGK dikira berdasarkan keperluan setiap isi rumah dan Indeks Harga Pengguna (CPI) mengikut negeri dan strata.
·         Berdasarkan maklumat tersebut, Unit Perancang Ekonomi meletakkan PGK Makanan dan Bukan Makanan (2009) adalah pada kadar RM 760.00 seisi rumah. (RM 830 bagi PGK tahun 2012)

Di atas adalah definisi yang digunakan oleh kerajaan dalam mana-mana perkara yang menyentuh berkenaan kemiskinan.

Bagaimana pula dengan pandangan yang digunakan oleh Pusat Zakat?

Di dalam Islam, di antara lapan asnaf yang dibolehkan untuk menerima bantuan zakat terdapat golongan fakir dan miskin. Ulama berbeza pandangan di dalam menentukan takrifan fakir dan miskin secara tepat, cuma secara umumnya, kedua-dua golongan ini adalah mereka yang tidak berkeupayaan dalam memenuhi kecukupan dirinya.

Bagi Imam Abu Hanifah dan Iman Malik, mereka mendefinisikan orang fakir ialah orang yang memiliki harta tetapi tidak mencukupi keperluannya. Orang miskin pula ialah orang yang tidak memiliki apa-apa.

Manakala bagi definisi Imam Syafie dan juga Hambali, fakir ialah orang yang tidak mempunyai apa-apa harta dan miskin pula ialah orang yang mempunyai harta namun tidak mampu memenuhi kecukupan keperluannya. Bagi umat Islam di Malaysia, kita menerima pakai pendapat Imam Syafie.

Menurut fatwa yang telah diputuskan bersama oleh Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ berkenaan takrifan pada setiap asnaf penerima zakat pada tahun 1987:

1.  Fakir:
·         Pendapatan bulanan di bawah 50% daripada keperluan sara hidup dirinya berserta tanggungan.
·         Atau tidak mempunyai kuasa berusaha/ bekerja/ menanggung kerana tua atau cacat pada badan.
·         Dan sesiapa yang di tanggung baginya oleh bapa, suami, isteri, anak, cucu atau mana-mana orang atau mana-mana badan yang menanggung bagi tanggungannya yang mencukupi maka ia tidak termasuk fakir.

2. Miskin:
·         Pendapatan bulanan melebihi 50% daripada keperluan sara hidup dirinya berserta tanggungan tetapi tidak mencapai 100% kadar minima.
·         Dan sesiapa yang di tanggung baginya oleh bapa, suami, isteri, anak, cucu atau mana-mana orang atau mana-mana badan yang menanggung bagi tanggungannya yang mencukupi maka ia tidak termasuk miskin.

Fatwa Pengurusan Agihan Zakat Selangor tahun 2002, yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor turut sama senada dengan fatwa sedia ada. Bagi institusi zakat yang ada di negara pada hari ini menggunapakai sistem perkiraan had kifayah bagi menentukan keperluan minima sara hidup sesebuah keluarga.

Di sini saya menampilkan contoh kiraan had kifayah bagi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Lembaga Zakat Selangor dengan menggunakan model isi rumah seperti mana yang digunakan oleh Unit Perancang Ekonomi iaitu lima orang seisi rumah (1 suami yang bekerja, 1 isteri tidak bekerja, 3 orang anak yang bersekolah menengah)

Baitulmal MAIWP:
·         Ketua Keluarga (rumah sewa): RM 610
·         Pasangan: RM 170
·         3 orang anak (14-17  tahun): RM 264 X 3: RM 792
·         Jumlah Had Kifayah: RM 1572

Lembaga Zakat Selangor:
·         Ketua Keluarga (rumah sewa): RM 895
·         Pasangan: RM 415
·         3 orang anak (14-17  tahun): RM 185.00 X 3: RM 555
·         Jumlah Had Kifayah: RM 1865

Sekiranya pendapatan ketua keluarga tersebut adalah RM 900/sebulan. Maka menurut kiraan Baitulmal MAIWP, keluarga ini termasuk ke dalam golongan Miskin. Manakala menurut perkiraan Lembaga Zakat Selangor, keluarga ini termasuk ke dalam golongan Fakir.

Tetapi, menurut perkiraan Baitulmal MAIWP, sebarang pemilikan kepada kereta mahupun penerimaan bantuan luar seperti daripada JKM akan dimasukkan ke dalam pendapatan ketua keluarga.

Sebagai contoh, keluarga ini turut sama menerima bantuan RM 200 setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan baru sahaja memiliki kenderaan empat tahun lepas. Maka, pada perkiraan Baitulmal, pendapatan Ketua Keluarga ini adalah sebanyak RM 1600 ( RM 900 + RM 200 daripada JKM + RM 500 bagi pemilikan kenderaan 1-5 tahun). Ini membuatkan keluarga ini tidak lagi tergolong di dalam asnaf miskin.

Kasihan.

Saya masih tidak menjumpai sebarang penjelasan mengapa pemilikan kenderaan menjadi sebahagian daripada pendapatan, sedangkan secara lumrahnya kita perlu membayar ansuran bulanan dan kenderaan itu sendiri saban hari menurun nilai asetnya. Konsep perkiraan had kifayah ini telah mengecilkan skop pengagihan wang zakat pada asnaf Miskin dan Fakir.

Tidak hairan sekiranya proses kristiniasasi mahupun penyebaran dakyah agama lain dapat berkembang dengan baik di kalangan mereka yang mempunyai masalah kewangan. Kerana institusi dakyah mereka tidak lokek membantu dan menghulurkan bantuan kewangan.

Benar. Wang zakat perlu disalurkan pada yang layak sahaja dan ‘amil perlu berhati-hati agar tiada penyelewangan atau salah guna wang zakat melalui penipuan taraf hidup diri oleh pemohon wang zakat. Tetapi mengapa sehingga setiap tahun duit zakat mempunyai lebihan sehingga ratusan juta ringgit? Terlalu “berhati-hati”?

Baiklah. Sekarang kita sudah mengetahui apakah yang ditakrifkan sebagai miskin pada peringkat nasional mahupun yang digunakan oleh institusi zakat. Kita perlu mengetahui definisinya terlebih dahulu supaya kita dapat melihat dengan lebih baik apakah yang sebenarnya berlaku pada hari ini.

Situasi masa kini, kerajaan mengumumkan kadar kemiskinan menurun setiap tahun, pusat zakat pula berbangga pada kutipan zakatnya yang meningkat. Tetapi kita seakan tidak bersetuju. Dilihat masih ramai tersepit.

A ) Definisi Kemiskinan Perlu Dikaji Semula

Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang digunapakai dilihat sangat rendah (RM 830 bagi tahun 2012) dan tidak mencerminkan jumlah sebenar rakyat yang tertindas dengan suasana ekonomi hari ini. Aspek yang digunakan untuk menilai PGK dinasihatkan agar lebih mencerminkan situasi sebenar rakyat.

Laporan kajian yang menggunakan PGK adalah sangat penting kerana ianya akan dijadikan rujukan untuk pembentukan dasar dan tindakan susulan kerajaan. Sekiranya PGK tersebut tidak mencerminkan keadaan sebenar masyarakat di Malaysia, maka ramai yang akan tertindas.

PGK pada hari ini, saya percaya ianya menggunakan kaedah yang diselaraskan oleh Bank Dunia iaitu  USD 2 bagi setiap ahli isi rumah/ sehari sebagai jumlah minimum keperluan harian. Ianya diselaraskan seluruh dunia bagi memperoleh data yang absolute. Ini bermakna ianya tidak semestinya bersesuaian untuk digunakan di negara kita lagi.

Sebagai contoh, pada tahun 1970, 49.3% daripada isi rumah di Malaysia adalah di bawah paras kemiskinan. Pada tahun 2012, hanya 1.7% sahaja dikategorikan sebagai miskin. Ianya mungkin relevan 20-30 tahun dahulu untuk menggunakan kaedah mecari angka absolute poverty kerana jumlah mereka yang sangat miskin adalah sangat ramai. Tetapi pada hari ini, kemiskinan telah berada di dimensi yang berbeza. Ianya tidak sekadar bergantung pada angka pendapatan sahaja.

Berterusan menggunakan PGK yang hanya mewakili absolute poverty akan mengaburi keperluan sebenar negara dalam memastikan rakyatnya benar-benar memperoleh kecukupan asas dalam kehidupan.

Saya berpendapat perkiraan yang digunakan oleh pusat zakat lebih relevan untuk digunakan. Walaupun terdapat beberapa kadar di dalam had kifayah yang saya merasakan perlu lebih tinggi, tetapi saya menaruhkan kepercayaan pada mereka yang bertanggungjawab dalam menyusun kadar had kifayah.

Sewajarnya, bagi pendapat saya, kadar untuk menentukan kemiskinan hendaklah tiada perbezaan yang ketara antara kerajaan dan institusi zakat. Ini adalah supaya proses pembaikpulihan ekonomi masyarakat dan isi rumah yang miskin dapat dijalankan dengan baik oleh kerajaan dan institusi zakat.

Tidaklah nanti ada asnaf miskin yang dikatakan tidak layak menerima bantuan daripada kerajaan seperti daripada JKM hanya kerana pendapatan isi rumahnya melebihi Paras Garis Kemiskinan yang tidak munasabah. Begitu juga tidak seharusnya isi rumah tersebut dinafikan haknya untuk menerima bahagiannya di dalam kutipan zakat hanya kerana bantuan JKM yang diterimanya menyebabkan jumlah pendapatan bulanannya melebihi had kifayah keluarganya.

Lantaran itu, saya bersetuju dengan beberapa pendapat yang meminta agar Malaysia, khususnya Unit Perancang Ekonomi mula menggunakan konsep pengiraan Kemiskinan Relatif (Relative Poor) bagi menggantikan konsep absolute poor yang sebelum ini hanya dijadikan satu-satunya rujukan dalam menentukan kadar kemiskinan.

Perkiraan menggunakan konsep Kemiskinan Relatif adalah dengan mengira jumlah isi rumah yang mempunyai pendapatan di bawah 40% atau 60% jumlah median pendapatan isi rumah seluruh negara. Sebagai contoh:

Penengah(Median) Pendapatan Isi Rumah tahun 2012: RM 3626
·         40% daripada RM 3626 = RM 1450.40
·         Mana-mana pendapatan isi rumah yang berada di bawah RM 1450.40 adalah termasuk di dalam golongan miskin relatif.

Jumlahnya seakan menyerupai kadar yang ditentukan melalui perkiraan had kifayah institusi zakat. Jumlah ini tampak lebih menunjukkan kos keperluan hidup seharian sesebuah isi rumah yang sebenar.

·         RM 1450.40 / 30 hari = RM 48.35
·         Lebih logik RM 48.35 digunakan sehari untuk keperluan minima 5 orang isi rumah dalam aspek keperluan asas.
·         Berbanding dengan PGK yang digunakan: RM 830. Seolah-olah hanya memerlukan RM 27.66 sehari untuk menampung keperluan asas 5 orang isi rumah.
·         Sekiranya sewa rumah adalah RM 94 (PPRT satu bilik), penggunaan minima bagi pengangkutan adalah RM 100 dan perubatan sebanyak RM 50. Maka baki yang tinggal hanyalah sebanyak RM 586. Adakah ini mencukupi untuk makanan, keperluan pendidikan dan pakaian 5 orang isi rumah? Belum dikira bil elektrik dan bil air.
·         Hakikatnya pada hari ini tidak banyak rumah yang disewakan dengan harga RM 100 ke bawah. Faktor kawasan pekerjaan dan akses kemudahan awam menyebabkan golongan berpendapatan rendah terpaksa menyewa rumah lebih RM 250.
·         Menurut Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2012, sebanyak 79% daripada isi rumah yang berada di bawah paras kemiskinan tinggal di rumah yang mempunyai 2 bilik ke atas. Harga sewa rumah 2 bilik (PPRT) adalah RM 124 menurut laman web DBKL.

Melalui kaedah pengiraan kadar kemiskian yang baru seperti ini akan menunjukkan situasi sebenar pendapatan masyarakat hari ini. Kerajaan dan institusi zakat dapat menggerakkan usaha dengan lebih padu berdasarkan maklumat yang lebih tepat dalam menentukan jumlah asnaf.

B) Pengagihan Zakat Perlu Diselaraskan Pada Peringkat Nasional

Pada tahun 2004, Bank Pembangunan Islam (IDB) telah membuat satu kajian bagi membuktikan sama ada dana zakat sesebuah negara itu berupaya untuk mengatasi kemiskinan rakyatnya. Sebanyak 24 buah negara telah digunakan sebagai sampel kajian.

Hasil daripada kajian tersebut menunjukkan bahawa ianya bergantung kepada taraf ekonomi rakyat sesebuah negara tersebut. Bagi negara yang mempunyai pendapatan perkapita yang rendah dan mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi, kutipan zakatnya adalah sangat rendah dan tidak berkeupayaan untuk menampung keperluan semua rakyatnya yang miskin. Maka bagi negara seperti ini, perlaksanaan di dalam pengagihan dana zakat hendaklah dilaksanakan dengan sangat cermat dan bijak, kerana tidak memadai dengan hanya bantuan berbentuk “mencukupkan keperluan”, sebaliknya perlulah bantuan itu berupaya meningkatkan produktiviti penerima zakat seterusnya bukan sahaja mengeluarkan mereka daripada kemiskinan, tetapi turut mampu menjadikan mereka termasuk di dalam golongan pembayar zakat.

Situasi di negara kita pula, kutipan zakat adalah di bawah kendalian Majlis Agama Islam Negeri masing-masing dan agihannya pula hanyalah terhad untuk rakyat di negeri itu sahaja. Apakah yang akan berlaku? Negeri yang mempunyai pembangunan ekonomi yang rancak dan menjadi tumpuan kekayaan negara akan menunjukkan jumlah kutipan zakat yang tinggi setiap tahun berbanding negeri lain. Sehinggakan mempunyai lebihan kumpulan zakat setiap tahun kerana bilangan penerima zakat lebih sedikit daripada kutipan.

Di sini saya sertakan maklumat kutipan zakat tahun 2010 setiap negeri dan peratusan Insiden Kemiskinan Tahun 2009 di negeri tersebut.

1. Kedah.
Kutipan zakat: RM 76, 947, 140
Peratus Insiden Kemiskinan: 5.3%

2. Kelantan
Kutipan zakat: RM 70, 373, 329
Peratus Insiden Kemiskinan: 4.8%

3. Negeri Sembilan
Kutipan zakat: RM 50, 201, 121
Peratus Insiden Kemiskinan: 0.7%

4. Perak
Kutipan zakat: RM 69, 639, 501
Peratus Insiden Kemiskinan: 3.5%

5. Perlis
Kutipan zakat: RM 38, 091,506
Peratus Insiden Kemiskinan: 6.0%

6. Sabah
Kutipan zakat: RM 32, 856, 750
Peratus Insiden Kemiskinan: 19.2%

7. Sarawak
Kutipan zakat: RM 39, 143, 056
Peratus Insiden Kemiskinan: 5.3%

8. Terengganu
Kutipan zakat: RM 76, 447, 878
Peratus Insiden Kemiskinan: 4.0%

9. Pahang
Kutipan zakat: RM 80, 874, 870
Peratus Insiden Kemiskinan: 2.1%

10. Pulau Pinang
Kutipan zakat: RM 53, 239, 133
Peratus Insiden Kemiskinan: 1.2%

11. Selangor
Kutipan zakat: RM 336, 934, 522
Peratus Insiden Kemiskinan: 0.7%

12. W.P.Kuala Lumpur
Kutipan zakat: RM 282, 676, 074
Peratus Insiden Kemiskinan: 0.7%

13. Johor
Kutipan zakat: RM 122, 336, 032
Peratus Insiden Kemiskinan: 1.3%

14. Melaka
Kutipan zakat: RM 34, 011, 770
Peratus Insiden Kemiskinan: 0.5%

Walaupun peratus insiden kemiskinan ini turut sama mewakili kaum bukan muslim, tetapi ianya tetap boleh dijadikan sebagai rujukan kerana peratusan kemiskinan bumiputera adalah yang tertinggi pada tahun 2009 iaitu 5.3% berbanding kaum cina (0.6%) dan kaum india (2.5%).

Jelas dan nyata, negeri yang mempunyai kadar kemiskinan terendah mempunyai kutipan zakat yang tertinggi. Konsep pengagihan yang hanya terhad untuk negeri masing-masing telah menyebabkan kumpulan duit zakat ini hanya berlegar di negeri kaya sahaja.

Dicadangkan agar suatu akta zakat di peringkat nasional digubal bagi membolehkan sebuah institusi zakat peringkat kebangsaan yang menghimpunkan seluruh institusi zakat seluruh negara dapat ditubuhkan. Menurut Dr. Siti Mashitoh, akta ini boleh diberi nama sebagai Akta Zakat Nasional dan peruntukan berkaitan:

a) Penubuhan, keanggotaan dan kuasa Badan Zakat Nasional;
b) Penubuhan Tabung Zakat Nasional dan Akaun al-Faidh;
c) Liabiliti pembayaran zakat korporat dan perniagaan;
d) Agihan zakat perniagaan kepada negeri-negeri lain di Malaysia;
e) Agihan zakat kepada negeri-negeri lain di Malaysia. (Jika negeri kutipan sudah mencukupi);
f) Agihan zakat kepada negara-negara luar di peringkat antarabangsa (Jika negeri/negara kutipan udah mencukupi);
h) Penyelarasan perakaunan zakat harta;
i) Kriteria penentuan had kifayah;
j) Tafsiran dan kriteria penentuan Asnaf;
k) Pelaburan dana zakat;
l) Penerimaan dan penyelarasan dana/geran pemberian kerajaan kepada Majlis Agama Islam Negeri untuk zakat;
m) Penerimaan dan penyelarasan dana sumbangan zakat agensi pemberi bantuan kepada fakir miskin;
n) Penerimaan dan penyelarasan sumbangan badan-badan korporat dan institusi yang mengeluarkan dana zakat kepada fakir miskin dalam merealisasikan tanggungjawab sosial korporat mereka;
o) Dll.

Memandangkan perkara zakat adalah perkara negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan, maka dicadangkan agar Akta Zakat Nasional diwujudkan dibawah Fasal 76(1)(b) dan (c) Perlembagaan Persekutuan, di mana Parlimen adalah dibenarkan menggubal undang-undang yang terletak di bawah Senarai Negeri untuk maksud mengadakan persamaan undang-undang di antara dua buah negeri atau lebih [76 (1)(b)] ataupun apabila diminta sedemikian oleh mana-mana Dewan Negeri [76(1)(c)].

Dengan tertubuhnya Badan Zakat Nasional dan Tabung Zakat Nasional maka pengagihan zakat akan lebih adil dan dilihat dapat merapatkan jurang kemiskinan.

Bagaimana mungkin dikatakan adil bagi negeri selain daripada negeri yang menjadi tumpuan ekonomi seperti Kuala Lumpur dan Selangor apabila kebanyakan syarikat-syarikat yang mengumpulkan hasil pendapatan daripada sumber seluruh negara, tetapi oleh kerana syarikat ini berdaftar di Kuala Lumpur atau Selangor, maka pembayaran zakat perniagaan diberikan kepada PPZ MAIWP atau LZS. Kemudian diterhadkan pula pengagihannya hanya untuk kawasan KL dan Selangor sahaja.

Zakat dilihat tidak akan mampu memberikan impak yang lebih baik apabila konsep yang digunakan pada hari ini diteruskan.

Peranan yang boleh dibawa oleh perlaksanaan zakat yang lebih menyeluruh dan pada tahap yang terbaik seharusnya diambil perhatian oleh pihak pemerintah sebagai antara mekanisme yang boleh digunakan untuk membasmi kemiskinan terutamanya di dalam kalangan bumiputera.

Amat memalukan setelah melalui pelbagai dasar ekonomi yang banyak memberikan bantuan kepada bumiputera, tetapi golongan ini masih menjuarai kemiskinan. Kita bukan sahaja telah menerima bantuan daripada dasar ekonomi bahkan turut mempunyai sistem zakat. Maka dimanakanh silapnya?

C. Pengagihan Zakat Lebih Menyeluruh

Sering mendengar aduan mereka yang tidak berpuas hati kerana ditolak permohonannya kerana faktor had kifayah mahupun hasil siasatan.

Ada juga yang mendakwa terdapat keluarga miskin yang terlepas pandang daripada institusi zakat.

Saya tidak mahu menuding jari kepada institusi zakat yang ada hari ini. Saya berpandangan institusi zakat yang ada pada hari ini mempunyai sistem dan perlaksanaan yang sangat baik. Akan tetapi, lumrah kehidupan, tidak semuanya sempurna. Diakui terdapat beberapa kesilapan dan kekurangan yang terlepas pandang atau masih belum berupaya dibaiki.

Tetapi saya percaya, institusi zakat kita semakin lama semakin hebat dan profesional dalam menjalankan tugasnya.

Di dalam aspek pengagihan zakat, saya terdapat dua pendapat:

1) Penggunaan Had Kifayah tidaklah seharusnya menjadi garis panduan total bagi penentuan kelayakan menerima bantuan sebagai asnaf miskin.
2) Meningkatkan pengagihan melalui kerjasama bersama agensi berkaitan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) dalam pencarian asnaf dan pembinaan kemahiran diri asnaf.

Perbetulkan saya kembali sekiranya saya silap dimana-mana penulisan saya.

Saya berpandangan bahawa penggunaan Had Kifayah hanya menentukan jumlah pendapatan minima yang diperlukan untuk sebulan. Ianya tidaklah termasuk sebarang perkara atau urusan kecemasan yang memerlukan duit yang banyak secara tiba-tiba seperti kes perubatan, persekolahan dan sebagainya.

Kita sedia maklum sekiranya satu isi rumah tersebut mempunyai pendapatan yang melebihi Had Kifayahnya sebanyak RM 200 tidak akan mampu menampung bebanan kewangan yang datang setiap kali musim persekolahan baru tiba ataupun apabila ada salah seorang anaknya sakit ataupun perlu mendaftarkan diri ke pusat pengajian tinggi.

Saya berharap institusi zakat sekarang ini tidak terlalu berpandukan kelayakan penerimaan bantuan sebegini hanya kepada Had Kifayah. Tetapi saya percaya, Institusi zakat hari ini tidaklah kedekut dalam menyalurkan dana zakat pada asnaf yang memerlukan.

Pada Skim bantuan secara bulanan saya setuju ianya berpandukan kepada Had Kifayah secara total bagi asnaf fakir dan miskin. Akan tetapi, bagi bantuan berbentuk one-off seperti bantuan perubatan mahupun peralatan persekolahan hendaklah meneliti kembali berapakah jumlah pendapatan yang melebihi had kifayah itu.

Institusi zakat juga hendaklah mempelbagaikan kerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan bagi meningkatkan pengagihan dan tahap kemahiran sara diri asnaf dapat ditingkatkan.

Seperti contoh di bawah asnaf ghamirin (golongan yang berhutang).Pada hari ini terdapat ramai penghutang yang sudah menginsafi kesilapan diri dalam berbelanja dan ingin keluar daripada perangkap hutang dengan mengikuti program di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Mereka yang mendapatkan perkhidmatan AKPK ini akan distrukturkan semula pembayaran hutang mereka dan akan tidak akan dibenarkan untuk membuat pinjaman sekali lagi. Tetapi terdapat situasi dimana penghutang gagal mengikuti jadual pembayaran yang telah disusun dengan baik berikutan masalah pada sumber kewangan mahupun kondisi semasa keluarga.

Melalui kerjasama institusi zakat dengan AKPK, golongan sebegini mungkin boleh dibantu.

Rakyat Malaysia mempunyai nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar yang sangat tinggi berbanding negara-negara lain. Hutang ini kebanyakannya datang daripada hutang kad kredit dan hutang peribadi.

Sebenarnya ramai rakyat Malaysia kelihatan serba cukup tetapi poketnya papa kedana malah menghampiri muflis kerana berhutang. Mereka ini biasanya tidak mendapat perhatian daripada institusi zakat.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah memetik pandangan beberapa orang ulama, misalnya Ustaz Abu Zahrah, Khallaf dan Hassan, bahawa keutamaan memberikan pinjaman kepada orang yang berhutang sehingga membebaskan mereka daripada unsur riba, lebih patut dilakukan dengan harta zakat.


Walau bagaimanapun, perlaksanaan pandangan fuqaha ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ia perlu mengambil kira pelbagai pandangan lain, misalnya adakah wang zakat sudah begitu banyak tersedia sehingga membolehkan ia dipinjamkan? Ataupun asnaf utama yang lain, seperti fakir, miskin dan muallaf sudah tidak ada ataupun sudah tidak begitu memerlukan santunan zakat, sehingga ia boleh disalurkan kepada peminjam yang pada asasnya belum lagi menjadi asnaf zakat.

Pelbagai lagi kerjasama lain yang boleh dilakukan oleh institusi zakat sepertimana yang telah dilakukan oleh beberapa institusi zakat seperti latihan konvensional, peluang perniagaan dan banyak lagi yang dilihat berupaya meningkatkan pendapatan isi rumah asnaf seterusnya membolehkan asnaf tersebut tidak lagi berada di dalam kelompok penerima zakat malah berpeluang menjadi pembayar zakat pula.

Sistem zakat adalah sangat indah jika dilaksanakan dengan baik. Ianya mampu menjadi mekanisme pengagihan semula kekayaan dan mengurangkan jurang kemiskinan.


Penutup

Saya hanya berhasrat menulis sedikit sahaja berkaitan perlaksanaan zakat di Malaysia. Realitinya, telah ramai ilmuan dan ahli akademik menulis berkenaan cadangan penambahbaikan terhadap sistem zakat pada pelbagai aspek. Saya hanyalah antara mereka yang menjadi pembaca dan cuba menulis kembali sebagai penambahan maklumat bagi rakan-rakan yang lain.

Jumlah penduduk bumiputera di Malaysia adalah seramai 18.6 juta bersamaan dengan 67.9% daripada keseluruhan jumlah penduduk Malaysia. Majoritinya adalah muslim, bermakna sejumlah inilah juga yang menjadi pembayar zakat mahupun penerima manfaat zakat. Pada tahun 2010 kutipan zakat seluruh negara mencecah RM 1.3 bilion dan terus meningkat setiap tahun. Maka mengapa kita masih miskin?

Saya bukan ingin menjadi rasis yang hanya memperjuangkan hak bumiputera. Tetapi sekiranya zakat dapat diperanankan dengan baik maka tahap ekonomi orang Islam di Malaysia turut sama akan menjadi lebih baik. Ini memberikan imej yang baik kepada golongan non-muslim terhadap sistem yang dibawa oleh Islam.

Kegagalan kita adalah apabila kita tidak berjaya mencerminkan perilaku sebagai Muslim yang hidup di dalam sebuah sistem Islam yang tulen dan syumul dengan baik.

Bukan sahaja imej Islam akan terpamir cantik pada tahap sepatutnya ia kelihatan, malah ekonomi negara turut sama akan berkembang kerana majoriti penduduknya dipelihara dengan baik keperluan asasnya.

Minta maaf salah silap sepanjang penulisan ini. Mohon tunjuk ajar.

11 comments:

  1. Mohon diterbitkan disekali rujukan bagi fakta-fakta di atas. Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Betul ke setiap tahun terdapat lebihan ratusan juta ringgit wang zakat yang tidak diagih, boleh ke bagi data,,,

    ReplyDelete
  3. Betul ke setiap tahun terdapat lebihan ratusan juta ringgit wang zakat yang tidak diagih, boleh ke bagi data,,,

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ini merupakan cubaan penulisan pertama saya secara separa ilmiah (tidaklah ilmiah sangat, huhu). Saya sudah tidak mempunyai senarai rujukan yang digunakan semasa penulisan ini dibuat.

      Berkenaan penyataan 'ratusan juta lebihan' itu saya akui saya silap. Saya bercadang untuk review semula penulisan ini dan menyusunnya kembalj dengan sandaran hujah yang lebih reliable dan tidak cuba memenangkan rasa dan emosional.

      syukran atas teguran :)

      Delete
    2. Kutipan zakat jika di gabungkan bagi keseluruhan negeri di MALAYSIA boleh mencecah billion..jumlah rakyat malaysia beragama islam jutaan..xlogik lgsg akn de yg tertekan dengan cabaran ekonomi skg...sepatutnya rakyat malaysia beragama islam ekonominya melebihi bangsa lain..cuba pk secara logik akal...

      Delete
    3. Kutipan zakat jika di gabungkan bagi keseluruhan negeri di MALAYSIA boleh mencecah billion..jumlah rakyat malaysia beragama islam jutaan..xlogik lgsg akn de yg tertekan dengan cabaran ekonomi skg...sepatutnya rakyat malaysia beragama islam ekonominya melebihi bangsa lain..cuba pk secara logik akal...

      Delete
    4. Kutipan zakat jika di gabungkan bagi keseluruhan negeri di MALAYSIA boleh mencecah billion..jumlah rakyat malaysia beragama islam jutaan..xlogik lgsg akn de yg tertekan dengan cabaran ekonomi skg...sepatutnya rakyat malaysia beragama islam ekonominya melebihi bangsa lain..cuba pk secara logik akal...

      Delete
  4. Ini merupakan cubaan penulisan pertama saya secara separa ilmiah (tidaklah ilmiah sangat, huhu). Saya sudah tidak mempunyai senarai rujukan yang digunakan semasa penulisan ini dibuat.

    Berkenaan penyataan 'ratusan juta lebihan' itu saya akui saya silap. Saya bercadang untuk review semula penulisan ini dan menyusunnya kembalj dengan sandaran hujah yang lebih reliable dan tidak cuba memenangkan rasa dan emosional.

    syukran atas teguran :)

    ReplyDelete
  5. Saya tertarik dengan artikal saudara dan berbesar hati jika kita boleh berhubung melalui email baharuddinsayin@gmail.com

    ReplyDelete
  6. salam, tak susah pun klu nak merujuk sumber yang sahih..pokoknya jika tuan menerbitkan artikal tak sahih dan tuan akui kesilapan mengapa tuan tidak memadam kesilapan tersebut? tidakkah itu fitnah yg perlu jawab diakhirat nanti?.. ittaqillah ya akhi

    ReplyDelete
    Replies
    1. untuk makluman tuan,semua data di atas telah saya perolehi dripada sumber yg shahih. Apa yg saya akui kesilapannya adalah pada penyataan "ratusan juta lebihan". Harap maklum. Angka diatas adalah tepat dan kesilapan pmilihan kata tidak menafikan kesahihan data yg dibawa

      tk

      Delete